18 Dis 2009

Golongan Pengampu Jahanamkan Parti - Hadi Awang

Jangan meramaikan pengampu dalam PAS
Saidah Hairan

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan seluruh pimpinan PAS negeri Selangor supaya menjadi pemimpin berjiwa besar serta bersikap terbuka dan tidak meramaikan pengampu kerana ia akan menjahanamkan masa depan parti.

Beliau menegaskan, menjadi pemimpin mesti rela dikritik jangan takut dikritik dan jangan berdegil untuk mempertahankan diri setelah dikritik kerana itu akan menjatuhkan maruah seorang pemimpin.

Katanya, menjadi pemimpin bukan saja untuk meraih kemenangan dalam pilihan raya tetapi lebih penting bertanggngjawab terhadap Allah SWT. Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Seminar Memperkasa Parti Memperkukuh Pakatan PAS Selangor di dewan MBSA, Shah Alam, Sabtu lalu.

Tambah beliau, apabila sudah menjadi pemimpin jangan memutuskan hubungan dengan parti (PAS) memelihara hubungan dengan masyarakat begitu juga dengan raja kerana raja merupakan sebahagian daripada perlembagaan.

"Pemimpin perlu menjaga hubungan dengan pegawai kerajaan kerana jika hubungan tidak baik apa saja perancangan akan tergendala kerana tidak mendapat sokongan daripada mereka," tegasnya.

Walaupun PAS mengalami `pasang surut' dalam pilihan raya katanya tetapi ahli PAS mencecah satu juta orang dan keistemewaan PAS kerana mempunyai ketahanan yang hebat.

Beliau berkata, PAS berjaya memecah tembok pemisah dengan pengundi bukan Islam apabila ditubuhkan Kelab Penyokong PAS disamping mengadakan tahaluf Siyasi (persefahaman politik) dengan parti dan kumpulan bukan Islam.

Katanya sokongan daripada orang bukan Islam kepada PAS disebabkan pimpinan PAS mempunyai harga diri serta prinsip dan diatas keistimewaan itu mereka menilai keberkesanan PAS.

Menurut beliau, PAS perlu membina dan memperkukuhkan kekuatan diatas asas pencapaian pengundi Islam yang menjadi tonggak sebenar kekuatan Islam, dalam masa yang sama hendaklah mendapat undi bukan Islam sebaik mungkin itu realiti politik dalam negara bermasyarakat majmuk.

Beliau turut mengingatkan peserta seminar dengan petikan hadis bermaksud; "Barang siapa yang mencari keredaan Allah walaupun dimarah oleh manusia, Allah meredai dan Allah menjadikan semua makhlum meredainya, ..."

"Keredaan ini sangat penting dan perlu bagi kita sebagai pejuang parti Islam. Kita perlu mempunyai hubungan yang kuat dengan Allah," tegasnya dihadapan pimpinan PAS Kawasan dan negeri.

Menurut beliau, PAS menjadi parti paling berpengalaman pernah menjadi pembangkang bersendirian di peringkat negeri dan pusat begitu juga memerintah kerajaan negeri secara bersendirian.

PAS juga pernah menyertai kerajaan campuran dan pernah menyertai BN di semua peringkat dan kembali bersendirian, seterusnya bekerjasama dalam bentuk angkatan perpaduan ummah dan pakatan dengan parti lain.

Justeru, ahli-ahli PAS boleh menerima keputusan pilihan raya dengan sabar dan istiqamah walaupun memakan masa dan generasi maka PAS hendaklah belajar daripada pengalaman itu secara positif.

Beliau menekankan sekarang PAS mengambil pendekatan `Tahaluf Siyasi' iaitu persefahaman politik melalui proses yang teguh di atas prinsip dan batas kebijaksanaan yang berlandaskan al-Quran dan sunnah al-Ijmak Ulamak dan Qiyas yang nyata dengan pengamatan siyasah syari'yyah mengikut Perlembagaan PAS.

"Alhamdulillah strategi kerjasama dalam bentuk tahalus siyasi itu berjaya merombak kesombongan yang wujud dalam BN sehingga kini mereka berhadapan dengan keretakan dalam BN,"tegasnya.

Selain itu beliau turut menekankan PAS akan terus bersama dengan Pakatan Rakyat untuk memimpin rakyat ke arah perubahan yang hakiki dengan memainkan peranan yang lebih aktif.

Di akhir ucapan itu beliau berharap semua pencapaian yang diperolehi PAS perlu dimuhasabah kejayaan dan kelemahan di semua peringkat sama ada kerajaan negeri, Adun dan ahli Parlimen serta memperkasakan Kelab Penyokong PAS secara aktif bagi meningkatkan kejayaan sehingga ke tahap mencapai kemenangan yang lebih besar.

Ulasan GB

Nampaknya pengampu-pengampu Presiden menerima tamparan paling keras di muka mereka dengan kenyataan di atas.

Ada kemungkinan Datuk Seri Presiden menyedari bahawa tindakan melampau pengampu-pengampunya menyebabkan integriti dan kredibilitinya tercalar teruk apabila terdapat sang pengampu ini telah terlajak jauh dengan kebebalan dan salah tafsir pengertian "wala'" dan "tsiqah" sepertimana yang dituntut di dalam 'amal jamiyy. Wala' membabi buta tanpa ilmu menjadi harakah hancur binasa lantarannya.

Kita melihat sikap Presiden yang berlapang dada menerima teguran tetapi terdapat sang pengampu yang mencemarkan imej parti sepertimana yang berlaku di dalam kes kecaman beberapa pengampu ke atas pengkritik-pengkritik parti sebelum ini. Semasa Datuk Presiden membuat keputusan untuk mengadakan Seminar Memperkasakan Parti untuk mendengar sendiri luahan Prof Abdul Aziz Bari, pengampu ini tiba-tiba membelasah dan mengecam Professor tersebut seperti kenyataan-kenyataan Abu Bakar Chik, Idris Ahmad, Tuan Ibrahim Tuan Man, Nasruddin Hassan Tantawi dan beberapa pemuka-pemuka parti sehingga Datuk Presiden sendiri menerima tempias "malu" dan "dihinakan" ekoran dari tindakan pengampu-pengampu ini.

Sehinggakan golongan pengampu ini menganjurkan Seminar Blogger hujung minggu ini nak brainwash blogger-blogger supaya menjadi pengampu seperti mereka.

Tidak cukup sekadar itu, terdapat pengampu-pengampu dari kalangan mereka terdiri dari webmaster dan blogger yang senegeri dengan Datuk Presiden sendiri menyerang habis-habisan mereka yang mengkritik pimpinan, seolah-olah hanya kumpulan mereka saja yang betul dan boleh menyertai syurga Ilahi dengan cara memaki hamun itu.

Kita melihat bagaimana pengkritik-pengkritik parti (samada ahli atau pun tidak) seperti Topeng Perak, Tulang Besi, Al-Bakistani, ManjongMari, GB sendiri, dan beberapa blogger lain telah diserang hebat oleh golongan pengampu ini. Malah Mursyidul Am PAS dan mereka yang cuba mempersetujui idea pengkritik seperti Peguam PAS, Sdra Hanipa Maidin juga diserangnya bertubi-tubi. Tidakkah betul GB umpamakan kerja mereka sebagai kerja gila?

GB dituduh dengan pelbagai gelaran, pemecah-belah parti, munafiq, agen talibarut UMNO ... Apa nak GB katakan lagi? Hanya bersyukur asalkan Allah meredhai dan menerima diri kita.

Walhal Datuk Presiden sentiasa mendengar dan menerima kritikan walau betapa tajam dan pedas. Itu lambang pemimpin berjiwa besar tetapi sayangnya ia dicemari dengan tindakan pengampu yang berjiwa kerdil yang bakal menjahanamkan parti.

Dan GB telah mencoretkan hal ini di dalam mesej sempena sambutan Maal Hijrah:-


Maal Hijrah : PAS Perlu Bersedia Menerima Perubahan

Ulasan GB

PAS kini sedang melalui proses perkembangan dan kematangan sebagai sebuah organisasi dakwah dan politik sehingga timbul fenomena yang dilihat seperti ianya digoncang sekuat-kuatnya bagi melihat keutuhannya untuk mengharungi cabaran di era baru.

Zaman transisi dari sebuah organisasi dakwah yang sifatnya begitu tradisional kepada sebuah organisasi yang progresif untuk berdepan dengan cabaran-cabaran baru seperti globalisasi, ledakan teknologi maklumat, diikuti dengan kehadiran golongan masyarakat yang berdasarkan pengetahuan (k-community) dan seumpamanya memerlukan perubahan kepimpinan dan struktural.

Ia sekaligus menyaksikan sudah berlalunya zaman "zon selesa" untuk pemimpin dan organisasi parti untuk sekadar mempertahankan status quo.

Tulisan diatas GB bawa untuk sama-sama kita renungkan mengenai kepincangan yang sedang dialami oleh PAS kini, sebagai satu bahan penelitian untuk menerima seadanya apa yang berlaku kini sebagai satu "sunatullah" untuk mentransformasikan PAS kepada sebuah organisasi dakwah dan politik yang lebih berjaya.

Suka atau tidak suka, perubahan pasti berlaku. Tidak ada dua hari yang bernar-benar serupa pada manusia dan sekalian alam, begitulah kepada PAS. Kesemua faktor perubahan berlaku dengan mengakui adanya nilai konstans - iaitu dasar perjuangan yang tetap.

Hari ini tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi lagi. Kejayaan dan kegagalan, kekuatan dan kelemahan sesebuah organisasi dan kepimpinannya diteliti, dibedah, disiasat, dianalisa dan didokumentasikan di bilik-bilik kuliah universiti di dalam pelbagai matapelajaran di dalam bentuk "case study" dan PAS tidak terlepas darinya.

Malah dalam beberapa keadaan ia kini menjadi desertasi untuk seseorang bergelar sarjana dan pemegang PhD.

Zaman untuk merajuk, zaman untuk bersembunyi, zaman untuk mempertahankan sikap "futur" telah tersangat semalam.

Persoalan "adab jemaah" yang ditimbulkan oleh beberapa rakan di lingkaran usrah-usrah kini perlu ditafsirkan dengan parameter baru. "Adab jemaah" bukan lagi dengan mengakui keperluan untuk mengkritik secara berbisik atau apa yang dikatakan "mengikut saluran parti". Cara itu sudah terlalu semalam, sudah ketinggalan zaman.

Kini sudah ada istilah-istilah baru yang mengambil tempat yang diterima sebagai "adab jemaah", seperti "wistle-blowing" - satu kaedah di mana ahli organisasi mendedahkan kepincangan yang dikesannya secara terbuka, "pengurusan strategik" di mana penetapan visi, misi dan objektif organisasi dibuat secara telus dan dipacu bersama oleh pemimpin dan ahli serta "etika professional" dimana nilai-nilai sejagat diakui diterima pakai oleh segenap lapisan petugas dan pekerja organisasi. Mereka yang berdiam diri terhadap kepincangan dan berrahsia untuk menutup kelemahan dilihat sebagai "tidak beradab" malah dikira bersubahabat dengan kegagalan organisasi di zaman kontemporari ini.

Tanpa melupai fakta bahawa sebagai sebuah organisasi dakwah, PAS akan menghadapi tribulasi-tribulasi, tetapi di dalam bentuk baru. PAS akan menempuh gelombang tribulasi Badar, Uhud dan Khandaqnya sendiri, malah PAS akan mengharungi "Perjanjian Hudaibiyah" dan "fathul Makkah"nya sendiri.

Sebagai entiti politik pula PAS perlu bersedia untuk berdepan dengan mehnah baru. Perlu memperlengkapkan diri untuk diheret ke mahkamah bila-bila masa. Perlu bersedia menghadapi tantangan daripada ahlinya sendiri yang akan mencabar kepimpinan yang futur (lembab). Perlu menerima hakikat bahawa struktur yang ada boleh dirombak bila-bila masa pabila ia dilihat sudah tidak mampu menatangi zamannya. Kitar hayatnya (Life cycle) akan menetapkan bahawa proses kematangan parti tidak lagi menunggu pasang-surut sokongan terhadapnya.

Sebagai entiti politik zaman baru juga PAS perlu sentiasa melakukan penyelidikan dan analisa SWOT (Strength, Weakness, Opportunities, Waknessess)nya sendiri. Perlu melakukan matriks pengurusan dan kajian "market share" yang diperolehi untuk mengetahui kedudukan dan status quo dirinya berbanding dengan parti-parti politik lain.

Zaman untuk mendengar ceramah retorik sudah berlalu. Contohnya, kelmarin Datuk Mahfuz Omar baru menempelak dan mendesak Ariffahmi untu meletak jawatan tetapi pada hari ini. Mahfuz sendiri boleh ditempelak untuk meletakkan jawatan kerana mementingkan urusan peribadi daripada parti. Dan langkah terbaik bagi Mahfuz ialah: senyumlah menerima kritikan itu, akur dan berterima kasih kerana peringatan serta dalamasa yang sama perbaiki diri. Kerana yang mengkritikmu itu adalah cerminan bagi dirimu sendiri. Kelmarin engkau menempelak, hari ini engkau ditempelak. Yang yang menempelak itu, "hakikat"nya adalah dari Tuhanmu, yang bukan membencimu tetapi mengasihmu. Begitulah juga pengajaran untuk pemimpin parti yang lain.

Tertinggallah mereka yang masih menguleti mimpi untuk menjadi "kerajaan yang dinanti" jika masih bertegang urat, menelan pil khayal untuk bermakian-makian menjadi penyokong yang akhinya membawa parti rebah ke bumi.


11 ulasan:

tukang rumah berkata...

Alhamdulillah..Jika TGHH sudah bersuara sebegini maknanya Pas sudah bergerak utk pulih dari barah puak2 yg 'belum bangun dr tidur wlupun hujan sudah menitis ke muka kerana atap yg kian bocor'..mereka ini hanya berharap agar hujan akan berhenti supaya atap yg bocor x perlu ditukar walaupun sesetengah mereka sedar hujan akan turun tanpa diundang..

Tanpa Nama berkata...

Golongan pengampu ni saling tak tumpah macam dalam UMNO. Masa Mahathir depa cium tangan Mahathir, masa Pak Lah, depa cium ketiak Pak Lah, masa Najib depa cium bontot Najib... harum, wangi melepak kata mereka. Yang menentang dituduhnya mcm2.

Ya, saya setuju dgn pandangan GB. Seminar blogger tu tak lain dari hanya nak ubah mindset blogger jadi pengampu.

Nak tengok gelagat golongan pengampu boleh pergi ke Seminar Blogger tu nanti.

-kerishijau

Tanpa Nama berkata...

Apakah ini taktik Hadi utk dptkan semula sokongan yang telah merudum?

Damage has been done.

Walau bagaimanapun, kita bersanka baik. Kita berhrp Hadi jujur dgn kritikannya terhdp pengampu-pengampunya yang tak sedar diri tu.

Saya dah terfikir utk keluar dari PAS sebelum ini kerana saya sudah tidak yakin dengan Hadi dengan UG dan para pengampunya yang bertindak di luar batas.

Mujur terjumpa kenyataan terbaru Hadi ini.

Tanpa Nama berkata...

"Walhal Datuk Presiden sentiasa mendengar dan menerima kritikan walau betapa tajam dan pedas. Itu lambang pemimpin berjiwa besar tetapi sayangnya ia dicemari dengan tindakan pengampu yang berjiwa kerdil yang bakal menjahanamkan parti."

BENAR!

Tanpa Nama berkata...

Saya agak skeptik juga dengan kenyataan terbaru Hadi Awang.

Satu ketika sebelum berlansungnya penamaan calon untuk Muktamar, sewaktu itu sudah ada suara untuk mencabar jawatan Presiden. Ini kerana isu gagasan UG yang dibawa oleh Presiden.

Namun sehari sebelum penamaan calon kawasan2 bermula, Hadi buat media conference dengan menyatakan "UG ditutup".

Ekoran kenyataannya itu kawasan2 yang menentangnya sebelum ini telah menarik balik tindakan untuk mencabarnya sebagai Presiden sehingga beliau menerima pencalonan sebulat suara.

Tetapi selepas menang tanpa bertanding isu UG timbul semasa beliau ditanya oleh wartawan. Diperburukkan dengan respons Tim Presidennya yang menang kurang dari 50% undi (kerana undi anti-UG berpecah dua kepada Husam dan Mat Sabu) terhadap kenyataan Najib.

Diekori tindakan2 Hassan Ali dan puak UG di Selangor yang amat mencurigakan.

Mujur gerakan anti-UG masih terus kukuh dengan suara dan tulisan GB yg lantang menentang UG dan beberapa rakan blogger lain menyebabkan kebenaran semakin hari semakin terdedah.

Saya mengikuti radio GBfm sebelum ini dan kagum dengan keberanian GB mengupas isu berkenaan shingga tidak ada seorang pun yang boleh menyanggah hujjah GB selama ini selain dari sekadar melemparkan kata-kata caci-maki.

Dan kini Hadi menghentam pengampu2nya.

Setakat manakah kita boleh percaya GB?

- botak, Maran.

Tanpa Nama berkata...

Sebenarnya pengampu itu sedang menunding jari agar orang lain memerhati kepada orang lain.

Jangan hanya ingat ada orang mengampu presiden tetapi ramai juga mengampu Bakal timbalan presiden yang kalah....

Kalau menang Timbalan presiden ari tu lagi kuat mengampu...

nuriah berkata...

Saya suka baca ulasan2 GB. terang dan jelas fikrahnya.

Tanpa Nama berkata...

golongan pengampu ni paling ramai dari trengganu dan selangor.

sb dehlawi berkata...

Hidup gb, hidup Nik Aziz, hidup husam musa, hidup pas, hidup Islam

Tanpa Nama berkata...

org yg telah biasa mengampu tidak akan hilang sifat mengampunya kerana tanpa disedarinya ALLAH MAHA MENGETAHUI APA YG TERSIMPAN DLM HATI TIDAK ADA YG DAPAT KITA SEMBUNYIKAN DRPD PENGETAHUAN ALLAH. Jika kita sedar perkara ini, dan takut akan azab ALLAH kemudian hari kelak, maka semua org akan bekerja dgn ikhlas demi memperjuangkan HAK ALLAH. KERANA ITU MARILAH KITA SAMA2 MENCARI ILMU ISLAM SUPAYA KITA TAHU APA YG DIREDHOI ALLAH

Kuda Perang berkata...

Betul saranan saudara Anonymous 7:07 tu. Sedih yang amat sangat terasa bila melihat perkembangan dikalangan penyokong2 PAS mutakhir ini.

Masing2 saling tuduh menuduh antara satu sama lain, pelbagai tuduhan, segalanya berpunca daripada pro-UG a.k.a pro-UMNO a.k.a pro-Melayu.

Pro-UG dan anti-UG kedua2nya sebenarnya adalah dua bola beracun yang dilemparkan oleh musuh ke dalam jemaah yang disambut oleh ahli2 jemaah, asalnya disambut oleh penyokong2 yang bukan ahli jemaah.

Kononnya ada kumpulan anti-UG dan ada pula kumpulan pro-UG, kononnya kumpulan Terengganu n Selangor adalah pro-UG kumpulan2 negeri lain adalah anti-UG.

Kemudian ahli2 biasa, penyokong2 malah sesetengah pimpinan menjadi terpengaruh dengan kedua2 'bola beracun' Pro-UG dan anti-UG itu. Mereka kemudiannya saling lontar-melontar kesana kemari kedua2 bola itu ditengah2 jemaah dan para penyokong PAS.

Hasilnya wujudlah kesan2 berantai yang menyebabakan rasa tidak senang dihati masing2 ahli2, penyokong2 dan juga sesetengah pemimpin berjiwa kecil.

Pelbagai label dan cop diberikan sekehendaknya menyebabkan segelintir orang2 baru yang mahu bersama PAS menjadi keliru.

Sedangkan PAS adalah sebuah parti Islam yang benar2 memperjuangkan Islam di Bumi Malaysia ini. Perlembagaannya dengan jelas meletakkan Al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias sebagai tunjang parti.

Parti PAS bukan sekadar parti politik malah adalah badan dakwah yang berjuang demi memartabatkan Islam.

Jadi kenapakah kita semua menjadi TERLALU AMAT AMAT AMAT BODOH bergerak dalam jemaah kita dengan cara dan gaya yang boleh meruntuhkan perpaduan jemaah kita, jemaah kita ini adalah JEMAAH ISLAM!!!

Jadi saya menyeru kepada semua blogger usahlah sengaja atau tidak sengaja memburukkan lagi keadaan atau pun membiarkan keadaan buruk berterusan seperti api i dalam sekam.

Kerana keadaan seperti itu jika dibiarkan bukannya merugikan individu atau parti tetapi itu adalah SERANGAN KEPADA ISLAM!!!
Wal'iyaazu billah...