17 Nov 2009

Era Najib Altantuya : Kota Seputeh, SPR Akan Rayu

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan meminta nasihat Peguam Negara berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Isnin mengisytiharkan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kota Siputeh, Kedah.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata SPR akan meminta nasihat Peguam Negara bagi menentukan langkah seterusnya yang patut diambil berikutan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

"Kita perlu meminta nasihat daripada Peguam Negara terlebih dahulu mengenai langkah yang perlu diambil memandangkan ini kali pertama kes sedemikian berlaku dalam sejarah.

"Kita mahu lihat sama ada SPR menpunyai ruang untuk merayu kes itu kepada pihak yang lebih tinggi (Mahkamah Rayuan)," katanya kepada Bernama Isnin.

"Isu ini telah menjadi satu isu akademik yang wajar diteliti, jadi elok SPR membawanya kepada Peguam Negara terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan," kata Wan Ahmad.

Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin hari ini memutuskan bahawa kerusi DUN Kota Siputeh kosong selepas penyandangnya Datuk Abu Hassan Sarif tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.

Dalam keputusannya, Hakim Alizatul menegaskan bahawa SPR bertindak secara tidak wajar dan keputusan suruhanjaya itu bahawa Abu Hassan masih merupakan wakil rakyat bagi kawasan Kota Siputeh dan kerusi DUN itu tidak kosong, perlu dibatalkan.

Isu ini dibawa ke Mahkamah Tinggi berikutan SPR pada mesyuarat 1 Sept lepas memutuskan kerusi itu tidak kosong kerana pada pandangan suruhanjaya itu, Abu Hassan perlu dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib DUN Kedah terlebih dahulu sebelum kerusi itu disahkan kosong.

Sementara itu, di ALOR SETAR, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah berkata Abu Hassan tidak akan menghadiri persidangan bajet DUN Kedah yang dijadual berlangsung selama tiga hari mulai esok sebagai menghormati keputusan mahkamah.

"Kita menerima keputusan (mahkamah) dengan lapang dada dan hati terbuka dan akan sabar menunggu keputusan rayuan pada 20 Nov ini," kata Ahmad Bashah semasa dihubungi Bernama.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak pula berkata keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Kota Siputeh itu membuktikan kerajaan negeri Kedah bertindak berlandaskan undang-undang.

Katanya Speaker DUN Datuk Dr Abdul Isa Ismail mengambil tindakan yang betul apabila mengisytiharkan Abu Hasan telah hilang kelayakan sebagai Adun ekoran tidak menghadiri sidang DUN sebanyak dua kali berturut-turut tanpa memaklumkannya kepada Speaker.

"Kita bertindak atas undang-undang dan keputusan Mahkamah Tinggi itu haruslah menjadi pengajaran kepada semua wakil rakyat bahawa mereka mempunyai tanggungjawab dan diberi amanah oleh rakyat untuk menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri," kata beliau kepada Bernama.

-- BERNAMA


Kerusi Kota Siputeh Diisytihar Kosong, Mahkamah Perintah Pilihan Raya Baru

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Pilihan raya baru akan diadakan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kota Siputeh di Kedah selepas kerusi berkenaan diisytihar kosong oleh Mahkamah Tinggi di sini pada hari Isnin.

Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan bahawa kerusi itu kosong selepas penyandangnya Datuk Abu Hassan Sarif tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.

Berikutan keputusan Mahkamah Tinggi itu, Abu Hassan akan dihalang daripada menghadiri persidangan DUN esok.

Dalam keputusannya, Hakim Alizatul menegaskan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertindak secara tidak wajar dan keputusan suruhanjaya itu bahawa Abu Hassan masih merupakan wakil rakyat bagi Kota Siputeh dan kerusi DUN itu tidak kosong, perlu dibatalkan.

"Meskipun saya bersetuju bahawa SPR mempunyai kuasa untuk menentukan kekosongan berlaku secara kebetulan, namun saya tidak berpendapat SPR dapat mengatasi kuasa Speaker mengikut Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah," katanya ketika menyampaikan keputusannya pada 5.30 petang.

"Pada pandangan saya, Perkara 51 menjelaskan syarat yang menyebabkan kerusi menjadi kosong dan responden pertama (Abu Hassan) berpuas hati dengan syarat itu," kata Hakim Alizatul ketika membenarkan semakan kehakiman yang difailkan oleh Speaker DUN Kedah Datuk Dr Abdul Isa Ismail.

Abdul Isa, yang diwakili oleh peguam utama Sulaiman Abdullah, memfailkan semakan kehakiman pada 1 Okt, selepas SPR membuat keputusan bahawa tidak berlaku kekosongan dalam kerusi DUN Kota Siputeh dan Abu Hassan masih merupakan wakil rakyatnya.

Abdul Isa memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa Abu Hassan bukanlah wakil rakyat berikutan kegagalannya menghadiri dua persidangan DUN berturut-turut iaitu pada 19 April dan 9 Ogos tahun ini, dan kerusi itu adalah kosong.

Dalam permohonannya, Abdul Isa turut memohon perintah bagi SPR mengadakan pilihan raya kecil.

Perkara 51 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah memperuntukkan bahawa jika mana-mana anggota DUN tidak menghadiri persidangan dewan tanpa kebenaran Speaker selama dua persidangan berturut-turut, maka kerusi yang diwakilinya akan menjadi kosong.

Dalam keputusannya hari ini, Hakim Alizatul berkata tidak dipertikaikan bahawa Abu Hassan tidak memperoleh kebenaran daripada Speaker untuk tidak menghadiri dua persidangan DUN berturut-turut, dan hanya mengemukakan sijil cuti sakit beliau kepada Speaker pada 10 Ogos 2009.

"Speaker mempunyai kuasa mengikut Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah bagi memberi kebenaran dan beliau tidak bertindak secara tidak munasabah apabila menolak sijil cuti sakit bertarikh 10 Ogos 2009 selepas mengetahui bahawa wakil rakyat itu turut menghadiri satu majlis pada hari yang sama," katanya.

Hakim Alizatul menegaskan SPR telah bertindak secara tidak sah ketika menerima sijil cuti sakit yang dikemukakan oleh Abu Hassan sebagai alasan kerana ketidakhadirannya.

SPR juga membuat keputusan tidak wajar ketika memutuskan bahawa Perkara 51 hanya boleh digunakan selepas Speaker merujuk perkara itu kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan, katanya.

"Tiada peruntukan mandatori dikenakan ke atas Speaker untuk berbuat demikian memandangkan keputusan sama ada merujuk perkara itu kepada jawatankuasa berkenaan atau tidak adalah budi bicara beliau memandangkan perkara berkaitan kebenaran bukanlah keistimewaan yang diberikan kepada seseorang wakil rakyat," kata beliau.

Hakim Alizatul berkata SPR telah tersalah tafsir maksud "dua persidangan berturut-turut" mengikut Perkara 51 sebagai dua sesi berasingan.

"Saya bersetuju dengan peguam pemohon bahawa responden pertama (Abu Hassan) telah tidak menghadiri dua persidangan berturut-turut dalam satu sesi tanpa gendala," katanya.

Mahkamah turut menetapkan Jumaat ini untuk mendengar permohonan SPR bagi penangguhan perintah pilihan raya kecil.

Di luar mahkamah, Abu Hassan memberitahu pemberita beliau menerima keputusan itu dan menyerahkan kepada peguamnya, Datuk Hafarizam Harun, untuk mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

SPR diwakili peguam kanan persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said. -- BERNAMA


Ulasan GB

Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR perlu meletakkan jawatan kerana telah bertindak ultra vires apabila menolak perisytiharaan Speaker mengenai kekosongan kerusi ADUN.

Hal ini bukan kali pertama, kerana ia telah berlaku di Perak di mana kerusi Behrang, Changkat Jering dan Jelapang yang diisytiharkan kosong oleh Speaker Perak tidak diendahkan.

Dan sepastinya orang yang perlu diseret ke muka pengadilan serta didedahkan peranannya ialah Peguam Negara, Abdul Gani Patail yang telah mengatur perjalanan sistem mahkamah serta keputusan-keputusan kerajaan sepertimana yang didedahkan oleh Wan Ahmad di atas - iaitu segala-galanya akan dirujukkan kepada Gani Patail.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

SPR merayu kerana SPR BN?

Tanpa Nama berkata...

Begitu kuat nampaknya SPR mempertahankan BN...

Tanpa Nama berkata...

Pengerusi SPR dan Timbalannya serta Peguam Negara memang spesis manusia celaka. Itulah hadiah yang selayaknya untuk mereka kerana ada kepentingan bersama UMNO-BN