17 Nov 2009

Era Najib Altantuya : Usul Tubuh Sjaya Siasat Kematian Teoh Diluluskan DUN Selangor

Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini meluluskan usul mendesak kerajaan pusat menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat punca kematian Teoh Beng Hock.

Usul tersebut dibentangkan oleh ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim dan diluluskan tanpa kehadiran wakil rakyat pembangkang selepas dibahaskan kira-kira satu jam.

Teoh adalah setiausaha politik kepada exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah yang juga ADUN Sri Kembangan.

Difahamkan, beberapa ADUN BN yang hadir ke sidang DUN hari ini, bertindak keluar dewan apabila usul tersebut dibentangkan tengahari tadi.

"Kenapa bila bicarakan tentang Teoh Beng Hock, semua orang BN lari?" kata Ng yang mempersoalkan tindakan wakil-wakil pembangkang itu.

Ng seterusnya berkata, usul tersebut dibentangkan memandangkan kabinet sebelum ini telah bersetuju menubuhkan suruhanjaya diraja.

Namun, kuasa suruhanjaya itu didapati terbatas kepada menilai kaedah soal siasat SPRM dan sama ada pernah berlaku pencabulan hak asasi manusia sewaktu Teoh disiasat mulai petang 15 Jun hingga awal pagi esoknya.

Kabinet juga memutuskan satu inkues atau siasatan awam yang diketuai oleh seorang majistret untuk menentukan punca kematian Teoh.

Inkues tersebut sedang berjalan di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas.

Ng berkata, usul yang dibentangkannya itu berpandukan garis panduan inkues yang dikeluarkan oleh Hakim Besar Malaya, Mahkamah Persekutuan Malaysia pada 2007.

"Ini jelas menyatakan mahkamah koroner hanya berhak mencari kebenaran tetapi tiada kuasa mencari siapakah pembunuh serta tiada hak mendakwa sesiapa.

"Oleh itu peranan mahkamah koroner hanya sama dengan satu pendengaran awam yang terbuka sahaja," katanya lagi.

Ng juga turut mendesak ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan meletak jawatan sekiranya sebab kematian Teoh tidak ditemui.

"Pihak SPRM mesti bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kematian mendiang Teoh Beng Hock.

"Jangan cuba berdolak-dalik dan lepas tangan kononnya kematian tersebut tiada kena mengena dengan SPRM," tambahnya.

Ng juga mendakwa, Ean kini menghadapi masalah untuk mendapatkan setiausaha politik baru untuk menggantikan tempat Teoh, kerana ramai yang takut musibah yang sama akan menimpa diri mereka.

Beliau mendakwa ia merupakan salah satu perang saraf pihak BN yang didakwanya memperalatkan SPRM demi untuk melemahkan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat. -malaysiakini


Tiada ulasan: