16 Sep 2009

Era Najib Altantuya : Rasul Melayu Tak Puasa Semasa Ditangkap

Pengamal ajaran sesat yang mengaku dirinya 'Rasul Melayu', Abdul Kahar Ahmad (berbaju kuning) sedang makan sambil menonton televisyen ketika ditangkap oleh Jabatan Agama Islam (JAIS) Selangor pagi tadi.

Pengarah JAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi juga berkata Abdul Kahar cuba melarikan diri ketika serbuan dibuat kira-kira pukul 9.45 pagi tadi di sebuah rumah dekat Sungai Long, Kajang.

"Semasa kita nak tangkap dia tengah makan, tengok televisyen, bila kita ketuk (pintu rumah) dia cuba nak lari, tapi kita berjaya kepung... Rasul Melayu pun tak puasa," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Abdul Kahar, 59, berjaya ditangkap setelah usaha memburunya dilakukan sejak Isnin lalu berdasarkan maklumat orang awam.

"Kita kesan dia di Sungai Long, setelah beliau berpindah ke sana, kita dapat maklumat dari orang awam mengesahkan yang dia telah berpindah ke Sungai Long.

"Jadi kita buat intipan beberapa hari untuk sahkan dia memang ada di situ dan kita buat serbuan pagi tadi," katanya.

Menurut beliau ketika serbuan dibuat, anak lelaki Abdul Kahar yang dikenali sebagai Zulhelmi serta orang gaji mereka turut berada dalam rumah tersebut.

Abdul Kahar dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini tengah hari tadi dan diperintahkan supaya dia ditahan sehingga tarikh perbicaraan akan datang.

Hakim Syarie Abu Zaky Mohammad mengeluarkan arahan itu selepas membenarkan permohonan Ketua Pendakwa Syarie Selangor, Abdul Shukor Abdul Hamid agar Abdul Kahar, 59, ditahan kerana beberapa kali gagal hadir pada perbicaraan kesnya walaupun waran tangkap telah dikeluarkan.

Mahkamah turut menetapkan 24 September ini untuk sebutan bagi menyambung waran tahanan terhadapnya.

Dalam sidang media yang sama, Mohammed Khusrin juga memaklumkan pihaknya kini sedang mengumpulkan maklumat untuk mengambil tindakan terhadap anak lelaki Abdul Kahar yang bertanggungjawab menyebarkan ajaran sesat melalui internet.

"Kita akan ambil tindakan terhadap Zul (Zulhelmi) kerana sekarang ini risalah-risalah mengenai ajaran sesat mereka disebarkan melalui internet.

"Mereka sebarkan melalui internet...ada laman blog sendiri, kita tunggu masa, bila kita dah cukup bukti kita akan ambil tindakan," katanya. -MSTAR

Tiada ulasan: