
Serentak itu, beliau kesal dengan laporan sebuah akhbar pada 14 September lalu yang membangkitkan isu itu sehingga menimbulkan rasa kurang senang ahli parti kerana boleh menyebabkan berlaku salah faham.

Kata beliau, tajuk laporan akhbar itu secara tidak langsung boleh mengundangkan kekeliruan kepada pembaca iaitu seolah-olah semua perwakilan MIC sebulat suara bersetuju dengan cadangan mahu mengalungkan selipar pada gambar Tun Dr Mahathir.
Sebenarnya, beliau berkata, apa yang berlaku dalam dewan ketika itu ialah seorang perwakilan mengusulkan cadangan itu, tetapi apabila laporan akhbar tidak dibaca dengan teliti atau lihat pada tajuknya, seperti menggambarkan semua perwakilan bersetuju
“Ini boleh mengelirukan orang ramai,” katanya.
Veerasingam berkata, sebaik sahaja seorang perwakilan mencadangkan demikian, Samy Vellu terus menegurnya dan mengatakan perkara kurang sopan itu tidak sepatutnya ditimbulkan.
“Apabila seorang perwakilan menyebut mengenai perkara itu, Presiden MIC terus memberhentikannya daripada meneruskan hujah. Beliau marah kerana perwakilan itu tidak menghormati Tun Mahathir dan isu tersebut tidak seharusnya dibangkitkan,” katanya.
Beliau yang juga penasihat kepada Menteri Besar Perak berkata, Tun Mahathir adalah Bapa pembangunan dan telah mengorbankan banyak jasa kepada bangsa serta negara.
Oleh itu, beliau seharusnya dihormati dan semua orang harus mengucapkan terima kasih kepadanya.
“Samy Vellu juga tidak mahu sesiapa pun memburukkan mantan Perdana Menteri itu, malah semua rakyat berbilang kaum harus berterima kasih kepadanya. Apa yang berlaku dalam persidangan tidak disebut dengan jelas, sedangkan MIC menolak keras kenyataan tidak sopan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan