1 Sep 2009

Era Najib Altantuya : PAS Gesa Musa Tidak Disambung Kotraknya Sebagai KPN

Pas menggesa kerajaan menimbang semula kontrak untuk menyambung tugas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan berikutan kadar jenayah yang semakin meningkat dan pelbagai dakwaan penglibatan polis dengan konspirasi kongsi gelap.

Naib Presidennya Mahfuz Omar berkata, pelbagai dakwaan mengenai integriti dan kreadibiliti polis, membuktikan kegagalan Musa Hassan dalam mengemudi pasukan polis.

"Satu persoalan yang amat besar terhadap intergriti dan kredibiliti KPN sendiri sebagai seorang yang bertanggungjawab mengetuai pasukan polis dan menjaga keselamatan negara ini.

"Saya mohon kerajaan mempertimbangan kembali apakah keperluan untuk menyambung kembali tugas dan perkhidmatan KPN sepertimana yang diwar-warkan, dikatakan KPN akan disambung tugasnya," katanya pada sidang media pagi tadi.

Mahfuz menegaskan, kontrak tugas Musa tidak wajar disambung bagi membolehkan satu penstrukturan semula pasukan polis dilakukan, seterusnya membebaskan pihak polis daripada konspirasi kongsi gelap seperti yang didakwa pelbagai pihak.

Mahfuz turut memohon campurtangan Yang DiPertuan Agong agar menolak cadangan kerajaan untuk menyambung kontrak Musa demi keselamatan rakyat di negara ini.

"Saya mohon campurtangan Yang DiPertuan Agong yang mempunyai kuasa terakhir untuk menolak cadangan kerajaan bagi menyambung perkhidmatan Musa Hassan sebagai KPN.

"Kes ini sangat serius berkaitan dengan masa depan keselamtan negara, saya mohon Yang DiPertuan Agong menolak sebarang usaha dan permohonan yang dibuat oleh Perdana Menteri untuk menyambung tugas KPN dan sekiranya telah dikemukakan dan direstui, oleh kerana tarikh tamat tempoh dan pengumuman rasmi belum dibuat maka Yang Dipertuan Agong boleh menarik balik perkenaan berkenaan," katanya.

Mahfuz turut menggesa satu siasatan menyeluruh dilakukan terhadap dakwaan ke atas Musa Hassan dan pegawai polis yang terlibat dengan dakwaan pengaruh kongsi gelap dan penyalahgunaan kuasa.

Sehubungan itu, beliau meminta supaya satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menjamin keselamatan dan masa depan negara.

"Saya minta satu Suruhanjaya DiRaja, kes-kes seperti ini saya rasa tidak boleh lagi disiasat oleh polis sendiri kerana tidak berupaya menyiasat kes yang membabitkan penglibatan polis dan konspirasi polis dengan kegiatan kongsi gelap.

"Siasatan harus dibuat, termasuk ke atas KPN sekarang Musa Hassan dan pegawai lain yang difikirkan oleh suruhanhjaya untuk memastikan mereka yang terlibat dalam konspirasi kegiatan kongsi gelap ini harus dibersihkan dari pasukan polis," katanya.

Mahfuz juga menyentuh mengenai surat Timbalan Menteri Dalam Negeri Johari Baharum bertarikh 29 Ogos 2007 kepada Menteri Dalam Negeri yang diterajui Tun Abdullah Ahmad Badawi seperti yang didedahkan Malaysia Today.

Surat berkenaan merupakan pemakluman dan meminta pertimbangan daripada Perdana Menteri terhadap laporan mengenai kesan terhadap tindakan mahkamah yang diambil ke atas Goh Cheng Poh.

Cheng Poh merupakan penjenayah yang telah dibuang daerah oleh kerajaan kerana penglibatannya dalan jenayah negara.

Mahfuz berkata, menerusi laporan berkenaan terdapat unsur yang menunjukkan KPN dan Peguam Negara cuba memihak kepada Cheng Poh.

"Saya hairan mengikut laporan ini pada waktu itu ada ura-ura KPN dan Peguam Negara akan membuat satu afidavit yang berasingan selepas Cheng Poh mengemukakan saman terhadap Kementerian Dalam Negeri dan Timbalan Menteri Dalam Negeri.

"KPN dan Peguam Negara cuba untuk membuat satu afidavit yang berasingan yang mendedahkan satu pertentangan dengan keputusan yang telah dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri," katanya.

Terbaru, dakwaan bahawa Musa terlibat dengan kegiatan kongsi gelap, diperkuatkan lagi dengan kemunculan satu lagi akuan bersumpah oleh pegawai kanan polis yang pernah berkhidmat di pejabatnya.

Akuan bersumpah itu juga didedahkan oleh Malysia Today.



Tiada ulasan: