3 Sep 2009

Era Najib Altantuya : Buah Pala Akhirnya Akur

Setelah bekeras menghalang rumah mereka dirobohkan, penduduk Kampung Buah Pala di sini akhirnya bersetuju berbincang lebih lanjut dengan pemaju berhubung tawaran untuk berpindah bagi membolehkan kawasan itu dibangunkan, demikian laporan Bernama.

Pengerusi Pertubuhan Penduduk Kampung Buah Pala, M Sugumaran, berkata penduduk terpaksa akur dengan arahan mahkamah supaya mengosongkan tanah itu yang dimiliki sebuah koperasi.

"Kami kecewa dengan keadaan ini dan terpaksa menerima tawaran pemaju," katanya kepada pemberita ketika kerja meroboh empat daripaa 23 rumah di situ dijalankan hari ini.

Sugumaran berkata, penduduk di kampung itu meminta tempoh untuk berbincang lebih lanjut bagi mendaptakan penyelesaian sebelum mereka berpindah.

Keadaan di kampung itu pagi ini kecoh seketika apabila pemaju, Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd, hendak memulakan kerja meroboh rumah di situ.

Pengarah Nusmetro, Gary Ho, berkata sepatutnya syarikat itu merobohkan 12 buah rumah hari ini tetapi ekoran kekecohan yang berlaku pada awalnya hanya empat rumah dapat dirobohkan.

Penduduk dan beberapa pihak luar bertindak membuat benteng manusia bagi menghalang pemaju untuk melakukan kerja meroboh rumah.

Dalam keadaan kelam kabut itu, Ho turut dipukul sehingga menyebabkan lebam di lutut dan cedera di bahagian badan lain.

"Saya akan pergi mendapatkan rawatan dan membuat laporan polis berhubung kejadian ini," katanya.

Lebih 100 pegawai dan anggota polis terdiri daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) dan juga Unit Simpanan Persekutuan (FRU) berkumpul di kawasan kampung itu seawal 7 pagi selain turut menempatkan sebuah balai polis bergerak.

Pada 9.30 pagi, Ho dilihat berbincang dengan pegawai bailif mahkamah, wakil penduduk kampung berkenaan dan polis yang berada di kawasan berkenaan.

Sejam kemudian beberapa jentolak dan jengkaut tiba di perkampungan itu bagi merobohkan rumah terbabit.

Cubaan pekerja pemaju untuk memasuki kawasan itu pada 10.30 pagi dan sekali lagi pada 12 tengah hari dihalang oleh penduduk yang berkumpul di laluan masuk ke kampung tersebut.

Kekecohan memuncak apabila penduduk beramai-ramai berbaris dalam keadaan hujan dan menghalang laluan masuk sambil melaungkan "Hidup Kampung Buah Pala" dan "Selamatkan Kampung Kami".

Mereka turut menjerit nama beberapa wakil rakyat yang sebelum ini menabur pelbagai janji untuk menyelamatkan kampung mereka.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, dalam satu sidang akhbar berkata kerajaan negeri tidak mempunyai kaitan dengan kerja meroboh dan memaksa penduduk kampung itu berpindah.

"Ini adalah urusan pemaju, koperasi dan perintah mahkamah," katanya.

Guan Eng berkata kerajaan negeri sedaya-upaya mencari jalan penyelesaian termasuk ganti-rugi ex-gratia RM8,000 ringgit serta pampasan rumah teres dua tingkat bernilai RM500,000 kepada penduduk-penduduk yang layak menerimanya.

Beliau bagaimanapun menyatakan kekesalan terhadap penduduk yang enggan menerima tawaran tersebut, disebalik menyedari bahawa perobohan tersebut telah diluluskan dan telah diarahkan oleh mahkamah.

Guan Eng berharap semua pihak mengambil iktibar dari perobohan Kampung Buah Pala ini. Tambah beliau lagi, tiada sesiapa yang boleh melanggar perintah dan keputusan mahkhamah dan sesiapa yang melanggarnya pasti akan menerima padah.

Mengulas mengenai kritikan wakil penduduk terhadap Pakatan Rakyat, Guan Eng berkata MIC sekadar bermain politik kerana parti perkauman itu sendiri menyedari bahawa mereka tidak boleh melawan perintah mahkamah.

Guan Eng sebelum ini mempersoalkan keikhlasan MIC yang dikatakan mahu membeli tanah Kampung Buah Pala pada nilai RM3.2 juta ringgit. Sehingga perobohan hari ini, tiada perkembangan susulan mengenai RM3.2 juta ini.

Tiada ulasan: