7 Ogo 2009

Era Najib Altantuya : Tiada Kesan Alkohol Dan Dadah Pada Mayat Teoh

Prosiding inkues menyiasat punca kematian bekas Setiausaha Politik Selangor, Teoh Beng Hock pada hari ketiga semalam di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini dimaklumkan bahawa tidak terdapat sebarang unsur alkohol atau dadah biasa dalam spesimen Teoh.

Saksi ketujuh iaitu Ahli Kimia dari Seksyen Toksikologi Jabatan Kimia, Zaraiha Awang berkata, hasil analisisnya menunjukkan tiada kandungan alkohol atau dadah biasa dalam spesimen darah, air kencing dan kandungan perut Teoh pada masa kematiannya.

Analisis tersebut dibuat untuk mengetahui sama ada terdapat kesan racun atau sebarang bahan berbahaya ke atas spesimen biologi, sama ada haiwan atau manusia.

Dalam keterangannya, Zaraiha juga mengesahkan bahawa Teoh tidak mati kerana diracun, mabuk atau berada di bawah pengaruh dadah kerana tiada unsur ethanol, alkohol dan dadah biasa dalam spesimennya.

Zaraiha menerima empat sampel spesimen Teoh untuk dianalisa daripada pegawai penyiasat, ASP Mohd Nazri Zainal, pada 21 Julai lepas.

Dalam pada itu, berlaku sedikit ketegangan apabila Peguam Pendakwa Tan Hock Chuan membantah soalan yang diajukan kepada saksi ketujuh itu oleh peguam pemerhati keluarga Teoh, Gobind Singh Deo yang menggunakan perkataan ‘ditolak’ menyebabkan kematian Teoh.

Pertikaman lidah kemudian dihentikan oleh koroner Azmil Muntapha Abas agar mengajukan soalan yang relevan dan berkaitan dengan bidang tugas saksi sahaja.

Manakala saksi ke lapan, Ahli Kimia dari Seksyen Kriminalistik, Jabatan Kimia, Saiful Fazamil Mohd Ali memberitahu mahkamah telah menjumpai dan menganalisa tujuh barang kes di tempat kejadian iaitu skru, pin penyambung jam tangan, jam tangan, lapik kaki lima, seluar panjang, klip logam, dan butang logam.

Sementara itu, saksi kesembilan, Ahli Kimia dari Seksyen Serologi/DNA Jabatan Kimia, Dr Seah Lay Hong memberitahu profil DNA untuk 157 orang individu telah berjaya diperolehi.

Bagaimanapun, ‘seorang lelaki’ tidak tersenarai daripada 157 senarai individu berkenaan apabila di padankan dengan DNA di kot dan tali pinggang Teoh.

Prosiding inkues pagi tadi bermula pada jam 9.20 pagi di mana saksi keenam, pengawal keselamatan di Plaza Masalam, Abdul Rahman Rahim dipanggil memberi keterangan.

Sebelum itu, peguam Tan Hock Chuan menyoal Abdul Rahman mengenai buku pelawat yang tidakdiisi sejak Jun lalu dan Abdul Rahman mengakui tidak mengemaskini buku itu setiap masa.

Enam saksi telah dipanggil memberi keterangan semalam. Mereka terdiri daripada pengawal keselamatan di bangunan Plaza Masalam dan tiga ahli kimia dari Jabatan Kimia, Petaling Jaya.

Inkues kematian Teoh Beng Hock ditangguhkan hingga Isnin depan.

Bagaimanapun Koroner Azmil Mustapha Abas memberi kebenaran kepada permohonan peguam Gobind Singh Deo untuk mengadakan lawatan bagi meninjau kawasan tempat kejadian untuk mendapatkan gambaran jelas, hari ini.

Gobind ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu bahawa koroner akan turut menyertai lawatan tersebut bersama dua wakil peguam dari setiap pihak.


Tiada ulasan: