12 Ogo 2009

Era Najib ALtantuya : Siew Fook sentiasa rujuk Pas - Zulkefly

Pas Negeri Sembilan mengesahkan, Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Loke Siew Fook sentiasa merujuk kepada parti itu terlebih dulu sebelum membuat sebarang kenyataan berkaitan Islam.

Pesuruhjayanya, Zulkefly Mohamad Omar berkata, Siew Fook sentiasa berhati-hati sekiranya ada isu yang berkaitan dengan Islam atau kepentingan orang Islam di negara ini.

Sebab itu, katanya, beliau tidak percaya Siew Fook akan mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menyentuh sensitiviti Islam termasuk menerusi laman blog.

“Pas yakin dengan beliau kerana selama ini, apa saja masalah berkaitan dengan Islam, beliau akan merujuk dengan saya terlebih dulu untuk dapat kepastian dan kefahaman sebelum membuat sebarang kenyataan.

“Jadi, apabila keluar kenyataan dalam blog mengatakan beliau menghina Islam, kita tidak percaya beliau mengeluarkan kenyataan sebegitu. Sebagai wakil rakyat yang agak senior di negeri ini, beliau faham dengan kedudukan agama Islam sendiri serta menghormati agama lain,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat DAP Negeri Sembilan dekat Kemayan Square di sini, semalam yang dipengerusikan Siew Fook sendiri.

Sidang media itu diadakan bagi memberi penjelasan sebenar mengenai kenyataan Siew Fook yang tersiar dalam laman blog www.sjsandteam.wordpress.com yang dikatakan keterlaluan dan boleh menimbulkan api kemarahan masyarakat Islam di negara ini.

Berikutan itu, Zulkefly berkata, Pas secara terbuka berdiri teguh menyokong Siew Fook mengenai isu tersebut yang disifatkan sebagai satu fitnah melampau yang dilakukan pihak tertentu terhadap Ketua Pembangkang Negeri Sembilan itu.

“Pas Negeri Sembilan secara terbuka menyokong pandangan Siew Fook agar polis menjalankan siasatan menyeluruh dengan lebih adil terhadap pengendali blog terbabit yang ternyata memfitnah beliau. Kita tidak mahu ada orang yang menggunakan blog cuba memfitnah kita,” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan selepas ini ada pihak-pihak tertentu yang akan mengkritik Pas kerana menyebelahi Siew Fook, tetapi baginya, ia merupakan satu serangan politik biasa.

Sementara itu, Setiausaha Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan, Sabaruddin Mohd Yassim berkata, PKR negeri juga menyokong penuh di belakang Siew Fook memandangkan keperibadiannya tidak mencerminkan seperti mana tuduhan yang dilemparkan kepadanya.

“Kita yakin ini fitnah terhadapnya semata-mata. Kita tidak hairan, kerana kebelakangan ini pun, parti di bawah Pakatan Rakyat (PR) memang diserang habis-habisan dan tuduhan terhadap YB (Siew Fook) ini salah satu daripadanya. Kita telah kenal lama YB dan sentiasa berhubung antara satu sama lain,” katanya. -SH

Tiada ulasan: