Bot yang memuatkan jurukamera kami Fauzi Mohammad dan wartawan Suara Keadilan Rusnizam Mahat ini mengikuti jemputan kerajaan negeri kelantan melawat pelantar itu namun dihalang polis marin dari meneruskan perjalanan.
Namun setelah satu jam disoalsiasat, bot media ini dibenarkan untuk berlepas ke Laut China Selatan.
Pelantar Minyak Cakrawala mula mencuri perhatian masyarakat Malaysia apabila gagasan Pakatan Rakyat mula menekan kerajaan persekutuan supaya menyerahkan hak rakyat kelantan hasil dari cari gali minyak di perairan negeri itu.
Sebelum ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed berkeras menafikan hak rakyat kelantan untuk mendapatkan royalti minyak dengan alasan kerajaan negeri tidak berhak menagih hasil cari gali bahan bakar itu kerana kawasan operasi bahan itu terletak di kawasan tuntutan pertindihan di bawah perjanjian perairan antarabangsa melibatkan negara jiran, Thailand dan Vietnam.
Kenyataan melulu menteri itu seraya menutup peluang hak kesamarataan yang diraih negeri -negeri lain yang sedang enak menikmati royalti minyak seperti Sabah, Sarawak dan Terengganu.
Kenyataannya itu ibarat memakan diri sendiri apabila Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Husam Musa mempersoalkan jarak pelantar minyak Kelantan jauh lebih dekat dengan perairan negeri itu berbanding dengan negeri Terengganu yang berjaya mendapatkan royalti mereka sebaik sahaja Pilihanraya Umum ke 12 lalu.
“Sekiranya diukur jarak pelantar tersebut dengan pantai Kelantan hanya 170 km berbanding dengan Terengganu 220 km. Dan nilai pengeluaran gas dan minyak dari pelantar tersebut sejak 2004 sehingga tahun lepas berjumlah RM46.8 bilion. Sedangkan di perairan Terengganu sebanyak RM36 bilion manakala Sabah (RM5 bilion). Ini bermakna jumlah pengeluaran dari perairan Kelantan lebih besar,” kata Husam.
Husam yang turut serta dalam lawatan ke pelantar itu berkata alasan kawasan opeasi bahan itu beritndih dengan negara lain tidak munasabah kerana melalui kerajaan negerilah pelantar itu disahkan milik kerajaan Malaysia.
"Buat apa hendak dikaji benda yang sudah nyata. Perjanjian bertindih ini membabitkan Thailand, Vietnam dan Malaysia. Tetapi untuk mengesahkan tuntutan kerajaan malaysia keatas kawasan minyak itu mesti berdasarkan kepada kedudu kan negeri yang terhampir iaitu Kelantan. Kalau dia kata offshore ini bukan milik kelataan, maka offshore itu secara automatik milik kerajaan Thailand. Biar rakyat menentukan apa yang akan dibuat dengan duit itu. Serah cepat, supaya rakyat dapat nikmatnya," tambahnya.
Apa yang menjadi persoalan, jika benar negeri ini tidak layak mendapat habuan royalti ini, mengapa Jabatan Perangkaan dan Unit Perancangan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri (EPU) menyenaraikan Kelantan sebagai negeri pengeluar minyak ?
Dalam pada itu Husam berharap, kerajaan persekutuan diminta mempercepatkan pembayaran hasil cari gali itu secepat mungkin.
"Kalau kerajaan pusat bersedia bayar royalti, salrkan wang rakyat kepada rakyat sebelum Hari Raya Aidilfitri untuk ringankan beban mereka," ujarnya lagi.
Turut bersama dalam delegasi ke pelantar minyak kontroversi itu adalah Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Exco Kelantan, Husam Musa, Ahli Perlimen Tumpat, Kamaruddin Jaafar, Timbalan Speaker Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan beberapa ADUN Kelantan.
Bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaliegh Hamzah tidak menafikan hak negeri ini untuk mendapatkan royalti ini.
“Perkara ini tidak patut menjadi isu kerana kita telah menandatangani persetujuan meletakkan hak minyak kepada Petronas iaitu kerajaan Kelantan dan negeri-negeri lain sudahpun bersetuju sekiranya minyak ditemui dalam kawasan milik negeri berkenaan. Tetapi dalam hal ini, minyak ditemui di luar persisiran pantai, yang dimajukan bersama dengan Thailand. Namun begitu sebahagian daripada kawasan terlibat berhampiran dengan negeri Kelantan. Merujuk kepada perjanjian milik minyak tadi, maka Petronas berkewajipan membayar wang kepada negeri berkenaan sebanyak 5 peratus keuntungan minyak,” tegas Tengku Razaleigh yang merupakan salah seorang yang menggubal perjanjian asal Petronas pada awal 1970an.
BERITA : TVANTARA
VIDEO : TVPAS
1 ulasan:
Lepas ni tok guru ajak rakyat elant munajat biar ubn rasa kepanasan akibat tak bayar oyalti
Catat Ulasan