Ketika demontrasi memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1 Ogos lalu terdapat pandangan yang mengatakan SPRM itu ialah `suruhanjaya pembunuh rakyat Malaysia' dikatakan berikutan kematian Teoh itu.
Akhirnya SPRM tidak terlepas daripada badan kerajaan yang digossip rakyat seperti juga Jabatan Kerja Raya (JKR) dipanggil `jangan kerja rajin'. JKR mendapat gelaran tersebut kerana pada tahun 70 dan 80 an, jentera pengangkutan jabatan tersebut dilihat paling perlahan melalui jalan raya.
Bagi mengatasi masalah kerja kakitangan yang perlahan dan memulih nama jabatan tersebut maka kerajaan mula menyerahkan projek jalan raya malah termasuk menurap jalan berlubang kepada syarikat swasta sedangkan sebelum ini ia dilakukan JKR.
Kemungkinan seperti juga JKR tadi maka SPRM perlu membuat sesuatu bagi memulihkan nama baiknya yang makin tercemar. Jalan permulaannya mencari mangsa yang boleh ditahan untuk menutup mulut pembangkang.
Apakah kes menangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Kemaman bersama dua lagi rakannya di sebuah bilik hotel di Kemaman, Terengganu, pada 2 Ogos lalu dan direman selama lima hari bermula 3 Ogos bagi membantu siasatan, adalah perancangan memulihkan maruah SPRM?
Ketiga mereka itu ditahan oleh SPRM setelah dipercayai menerima sogokan berjumlah lebih RM20,000 daripada sebuah syarikat pemaju. Sementara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan dakwaan pembangkang bahawa SPRM adalah alat kerajaan Barisan Nasional (BN).
"SPRM adalah satu badan bebas dan mereka tidak pilih bulu, jadi parti pembangkang telah dakwa SPRM sebagai alat kerajaan BN, (dakwaan itu) adalah tidak benar dan kalau mereka (SPRM) dapat laporan yang dilakukan oleh sesiapa pun, mereka akan ambil tindakan," katanya.
Malah dengan bangga Najib boleh menunjukkan kepada pembangkang bahawa contoh `tidak pilih bulu' ialah apabila SPRM menahan Adun terbabit untuk siasatan terhadap kes yang dihadapi selain terus menguatkuasakan undang-undang mencegah jenayah rasuah.
Sekiranya ini cara SPRM menutup maruah tercemar mereka maka amat teraniaya Adun dari Kemaman dan rakan mereka yang terbabit.
Adun tersebut dikenali cukup baik dari segi lahiriah seperti kata Penolong Setiausaha PAS Terengganu, Hanafiah Mat katanya: "Sebagai pemimpin saya tidak menyangka dia ( Adun tersebut ) mempunyai tingkahlaku negatif, saya mengenalinya sebagai seorang yang pendiam."
Malah dikatakan Adun terbabit tidak juga dalam senarai nama dalam laporan polis atau SPRM. Tidak sepertimana nama pemimpin besar Umno yang dibuat laporan polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebelum nama ditukar kepada SPRM oleh pembangkang terutama Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Begitu juga Bekas Pengerusi Gerakan Demokrasi dan anti Korupsi (Gerak) Mohamad Ezam Mohd juga antara yang aktif ketika dahulu membuat laporan polis dan BPR tetapi sehingga sekarang tidak ada kesan.
Laporan terakhir Ezam sebelum menyertai Umno ialah kes rasuah bekas Pengarah BPR Datuk Seri Zulkifli Mat Noor yang kertas siasatannya diarah tutup oleh Peguam Negara.
Malah Ezam membuat cabaran terbuka kepada pihak berkuasa bahawa jika siasatan Peguam Negara mendapati aduan rasuah Gerak dan Ramli Manan tiada kes maka beliau bersedia ditangkap kerana membuat laporan palsu.
Ezam sebelum ini membuat laporan BPR terhadap Datuk Seri Zulkifli Mat Noor dari dokumen yang diperolehi bersabit dakwaan bekas Pengarah BPR Sabah Ramli Manan.
Berikutan tindakan SPRM itu juga, politik Umno di Terengganu makin bergolak. Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh makin terasa Umno pusat mula menghakis pengaruh beliau di Terengganu.
Apakah geng Idris boleh menerima mainan politik Umno pusat terhadap kumpulan mereka? Setelah banyak aduan dibuat kepada Najib dan Umno pusat berhubung tingkah laku Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang gagal memerintah Terengganu tetapi tidak diambil peduli.
Apakah sudah tiba giliran geng Idris dianaktirikan? Mungkin juga timbul soalan Umno Terengganu apakah sesuai kumpulan Idris di kambing hitam untuk selamatkan maruah SPRM?
Apa yang pastinya hanya nama SPRM sahaja berubah tetapi tindakan dan siasatan berpilih yang telah sinonim sejak BPR lagi tetap berlaku. Hanya satu sahaja langkah pulih SPRM iaitu Najib perlu letak jawatan. -Adnan Ibrahim
Tiada ulasan:
Catat Ulasan