15 Jul 2009

MANEK URAI : PAS Perlu Lakukan Bedah-siasat Segera

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Manek Urai yang baru dari PAS, Mohd. Fauzi Abdullah menyifatkan kemenangan yang diperoleh hari ini bukan kejayaan peribadi beliau semata-mata.

Sebaliknnya beliau berkata, ia adalah kemenangan Islam secara keseluruhan.

"Saya berterima kasih kepada semua pengundi yang telah mengundi saya, saya bersyukur pilihan raya ini berjalan dengan lancar.

"Saya akan menjadi ADUN dengan sebaik mungkin tanpa mengira fahaman politik," katanya ketika ditemui selepas diumumkan memenangi kerusi DUN Manek Urai sebentar tadi.

Fauzi berjaya mengekalkan kedudukan PAS di Manek Urai hari ini dengan majoriti tipis 65 undi.

Beliau memperoleh 5,348 undi manakala calon Barisan Nasional (BN), Tuan Aziz Tuan Mat menerima 5,283.

Keputusan itu diumumkan secara rasmi oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Adnan Hussin pukul 9.07 malam.

Bagaimanapun calon BN dan pemimpin-pemimpin parti itu tidak kelihatan di pusat penjumlahan undi yang diadakan di Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra 1.

Dipercayai mereka terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang teruk dari Manek Urai ke Kuala Krai.

Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, beliau sangat berbangga dengan pengundi di kawasan Manek Urai kerana mempunyai ketahanan diri yang kuat walaupun wang yang banyak digunakan.

"Majoriti tidak penting kerana kita (PAS) bukan sahaja berhadapan dengan jentera pilihan raya tetapi penggunaan politik wang juga," kata beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS.

Husam yang juga Naib Presiden PAS memberitahu, pihaknya sebenarnya menjangkakan bahawa parti itu akan kalah kali ini.

Oleh itu, beliau menyifatkan malam ini sebagai satu kejayaan luar biasa.

Sementara itu PAS akan membuat post mortem dalam masa terdekat ekoran kemerosotan ketara undi diperolehi pada pilihan raya kecil Dun Manek Urai.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Abdul Halim Abdul Rahman berkata, beberapa faktor antaranya janji untuk menyediakan jambatan baru di Manek Urai dan sogokan wang boleh mempengaruhi sikap pengundi luar.

"Namun saya ingin sampaikan tahniah kepada kebijaksanaan penduduk Manek Urai yang berjaya mempertahankan kerusi tersebut," kata beliau ketika ditemui selepas pengisytiharan kemenangan Mohd Fauzi Abdullah di Dewan Sekolah Sultan Yahya Petra.

Menurutnya janji yang ditaburkan Umno pada saat-saat akhir belum mampu memikat keseluruhan pengundi di Manek Urai.

Beliau juga berkata kemenangan tipis bukan satu persoalan memandangkan ia pernah berlaku di Pulai Chondong pada pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini.

"Ia juga ada kaitan dengan sikap SPR yang mengadakan pengundian pada hari kerja dan kepulangan pengundi luar walaupun ramai namun ada yang terpengaruh dengan janji dan sogokan wang," katanya.

Anggota jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkifli Ahmad berkata, terlalu banyak janji yang ditabur Umno di Manek Urai, namun kesetiaan kepada konsep Membangun Bersama Islam tetap dipertahankan.

Beliau yang juga anggota Parlimen Kuala Selangor berkata, PAS berdepan dengan seluruh jentera kerajaan.


2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam Semua, Kenapa majoriti 65 undi sahaja? PAS perlu post mortem dengan teliti kalau tidak mahu 'bungkus' pada PRU-13 nanti. Angka 65 ini ada sebab musababnya. Mungkin RM, $$$$, Kerajaan Perpaduan (idea pemimpipin hebat???), Jambatan baru, biasiswa dan bantuan kewangan mi segera utk murid2 sekolah, kota agropolitan, anak angkat kerajaan persekutuan dll. Semuanya PAS kena kaji DENGAN TELITI (Tak perlu kaji apa2 kalu nak keputusan yang lebih merosot di seluruh Kelantan pada pada PRU-13 nanti..)

Perlu buat assessment (penilaian) jugak prestasi SEMUA Adun PAS. Kalu setakat berceramah sana sini je..rakyatpun mungkin akan bosan, melainkan ada perubahan, kemajuan, peningkatan kualiti hidup/ ekonomi lebih baik. YANG NI PAS KENA BERUSAHA. Usaha merekrutkan ahli baru, mengajar orang2 tua cara2 memangkah undi yang betul (undi rosak agak banyak)- ada tak PAS buat secara serius 2 perkara tersebut) ? Harap PAS tidak sperti zaman tok-tok lebai dulu.. ceramah cakap soal agama semata-mata. Ekonomi (tak tahu), welfare tak tau, teknonogi baru, inovasi, kreativiti tak tau..social development tak tau..

Tanpa Nama berkata...

tak payah post mortem, tanya hadi dan nasha serta kerajaan perpaduannya, lihat terengganu jatuh dari tangan pas sampai kini, siapa pemimpinnya,