15 Jul 2009

Pasca Manek Urai : Hebahan PAS Menang 2000 Undi Untuk Lumpuhkan Jentera BN

Tindakan PAS menghebahkan kemenangan calonnya pada jam 3 petang semalam bagi pilihanraya kecil DUN Manek Urai, bertujuan melumpuhkan kempen BN dua jam sebelum pengundian tamat, kata penasihat pilihanraya PAS Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, demikian lapor Malaysiakini.

Ia dibuat oleh pengarah pilihanraya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun bahawa calon PAS Mohd Fauzi Abdullah sudah menang dengan majoriti hampir 2,000 undi.

Abdul Fatah dilaporkan berkata, kemenangan itu berdasarkan kepada bancian jentera pilihanraya PAS terhadap proses pengundian setakat jam 3 petang.

Malah penyokong PAS telah mula meraikan kejayaan Mohd Fauzi dan mengucap tahniah kepadanya selepas Fatah menghebah kemenangan tersebut.

Bagaimanapun, apabila pengumuman rasmi dibuat pada malamnya, Mohd Fauzi mengekalkan kerusi DUN Manek Urai dengan majoriti tipis 65 undi sahaja.

Beliau mendapat 5,348 undi manakala calon BN Tuan Aziz Tuan Mat mendapat 5,283 undi.

Mengulas mengenainya, Wan Abdul Rahim berkata, 'serangan psikologi' itu bertujuan untuk menarik sokongan pemilih Manek Urai supaya mengundi calon PAS dalam pilihanraya kecil semalam.

"Kenyataan tersebut diharap dapat melumpuhkan keghairahan kempen jentera BN dua jam yang terakhir untuk mendapatkan undi," katanya.


Ditanya mengenai faktor kemerosotan sokongan terhadap calon PAS kali ini, Wan Abdul Rahim mengakui terdapat pengundi yang terpengaruh dengan tawaran dan janji yang dibuat oleh BN.

Beliau mendakwa, BN membuat tawaran yang berbentuk ugutan,dan berunsur rasuah.

Kekalahan di Laloh mengejutkan

"Seperti nak bina jambatan yang menghubungi Manek Urai Lama dengan Manek Urai Baru, menjadikan Manek Urai kawasan agropolitan dan sebagai anak angkat kerajaan persekutuan.

"Ia mempengaruhi pengundi dan kita tidak mampu untuk melawan serangan di Manek Urai pada dua hari terakhirnya," katanya sambil menambah laporan polis sudah dibuat berhubung perkara tersebut kelmarin.

Menurut Wan Abdul Rahim lagi, PAS mengalami kekalahan di lima daripada sembilan pusat mengundi di DUN tersebut.

Katanya, PAS kalah di Manek Urai Baru, Manek Urai Lama, Manjor, Temalir, Laloh tetapi menang di Chuchoh Puteri, Lata Rek, Sungai Peria dan Sungai Sok.

Mengulas lanjut, beliau juga berkata kekalahan di peti undi Laloh adalah "suatu yang mengejutkan" kerana terdapat pengundi yang tidak puas hati Mohd Fauzi dipilih sebagai calon PAS.

"Kita tidak berkesempatan untuk menanganinya," katanya sambil menambah kekalahan di Manek Urai Baru, Manek Urai Lama dan Manjor memang sudah dijangka dari awal.

Dalam pilihanraya umum tahun lalu, PAS menang di semua pusat pengundian, kecuali di Manjor.



Tiada ulasan: