15 Jul 2009

Kes Anwar : Pendakwa Berhelah Tidak Faham Maksud Serahan Dokumen

Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan prosiding kes liwat Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim harus diteruskan walaupun tanpa peguam utama, Sulaiman Abdullah yang menarik diri dari mengetuai kes berkenaan.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memutuskan perkara itu atas dasar salah seorang daripada lapan peguam Anwar boleh menggantikan Sulaiman bagi mengetuai pihak pembelaaan.

Katanya, kesemua peguam Anwar telah mengikuti prosiding itu sejak hari pertama.

Sulaiman menarik diri kerana menghadapi masalah kesihatan dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak minggu lalu.

Beliau dilaporkan menghadapi masalah pening kepala yang agak teruk dan tidak dapat mewakili mana-mana kes termasuk kes Anwar.

Perbicaraan bagi permohonan dokumen yang berjalan selama hampir dua jam itu ditangguhkan pada pukul 5.10 petang tadi.

Terdahulu dalam prosiding hari ini, peguam pembela, Edmund Bon menegaskan bahawa pihaknya mahu pihak pendakwa raya menyerahkan semua dokumen dan bukti yang berkaitan sebelum perbicaraan kes liwat berkenaan bermula.

Katanya pihak pendakwa raya ada menyerahkan beberapa dokumen yang diminta sebelum ini namun ia masih belum lengkap.


"Mereka sepatutnya menyerahkan semua dokumen yang berkaitan berdasarkan Artikel 51 A iaitu semua dokumen dan bukti perlu dikemukakan tiga minggu sebelum perbicaraan bermula," kata Edmund dalam hujahannya.

Antara dokumen yang diminta ialah pita rakaman CCTV yang asal yang diambil di beberapa lokasi di tempat kejadian di Kondominium Desa Damansara, Jalan Setia Kasih, Bukit Damansara dari tarikh 25 Jun hingga 27 Jun 2008, sampel DNA, kenyataan-kenyataan saksi termasuk pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan, kenyataan polis dan beberapa dokumen lain.

Edmund menjelaskan lagi, pihaknya mahu semua dokumen itu dikemukakan sebelum perbicaraan kerana dokumen itu amat diperlukan, relevan dan mustahak bagi pihaknya untuk menyediakan pembelaan dengan secukupnya dan secara bernas.

Katanya, oleh kerana kes itu melibatkan keterangan DNA dan rakaman CCTV, beliau perlu mendapatkan pakarnya sendiri untuk memeriksa sampel-sampel DNA serta rakaman CCTV dan melakukan ujian yang sewajarnya.

"Mereka ada berikan salinan bercetak gambar dari beberapa lokasi hasil daripada rakaman CCTV, kemudian mereka serahkan CD (cakera padat) yang mengandungi salinan gambar berkenaan.

"Tapi kami mahukan rakaman asal CCTV berkenaan untuk diuji oleh pakar," katanya.

Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari, 23, di Unit 1151, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun tahun lepas.

Bagaimanapun Peguam Cara Negara II, Datuk Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pihak pendakwaan sengaja berhelah dengan menyatakan pihak pembelaan tidak memahami maksud sebenar yang terkandung dalam Artikel 51.

"Artikel 51 menyebut satu arahan supaya menyerahkan dokumen dan barang yang berkaitan, manakala Artikel 51 A bermaksud hak untuk memperoleh dokumen berkenaan.

"Bagaimanapun kita sudah menyerahkan dokumen yang mereka mahukan... harus diingat dokumen.

"Sampel darah atau sampel rambut bukanlah dokumen, namun kita tetap membekalkan mereka laporan bagi bahan-bahan berkenaan," kata Yusof.

Kata beliau lagi, beberapa bukti sememangnya tidak dapat diberikan kepada pihak pembelaan kerana telah disimpan rapi sehinggalah mahkamah mengarahkan untuk mengemukakannya sewaktu perbicaraan berlangsung nanti.

Beliau menegaskan tidak timbul isu pihak pembelaan menyembunyikan dokumen dan bukti-bukti berkenaan kerana apa yang boleh diserahkan telahpun diserahkan.

"Apa yang boleh kita serah, kita dah serahkan," katanya.

Hakim walaubagaimanapun tidak membuat sebarang keputusan terhadap permohonan peguam pembela berkenaan.

Prosiding disambung esok pada pukul 9 pagi.

Tiada ulasan: