22 Jul 2009

Era Najib Altantuya : Hishamuddin Terlibat Dalam Konspirasi Musa dan Gani Menzalimi Anwar

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat dua aduan polis berhubung "kenyataan- kenyataan palsu" yang terdapat dalam afidavit pihak pendakwaan berhubung kes liwat terhadapnya dan juga tiada tindakan konkrit berhubung aduannya terhadap peguam negara dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Kenyataan tersebut berhubung siasatan terhadap Abdul Gani yang dituduh oleh mantan timbalan perdana menteri, dalam laporan polisnya, pernah terlibat memalsukan kes mata lebamnya.

Kedua-dua laporan polis itu akan dibuat awal petang ini.

Aduan pertama berhubung pendirian tiga hakim bebas yang menilai hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Abdul Gani yang mendapati seorang daripada anggota panel itu berhujah bahawa terdapat kes jenayah terhadap peguam negara.

Bagaimanapun afidavit yang disediakan oleh Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM Datuk Razak dan timbalan pendakwaraya Hanafiah Zakariah, pada 30 Jun lalu, menyatakan ketiga-tiga hakim tersebut mendapati tiada kes terhadap Abdul Gani.

"Saya menemui kenyataan palsu yang terkandung di dalam afidavit tersebut. Saya percaya mereka menyedari kepalsuan kenyataan-kenyataan tersebut namun masih tetap memasukkannya untuk tujuan digunakan dalam prosiding mahkamah nanti," kata Anwar.

"Tindakan mereka adalah satu kesalahan jenayah dan menguatkan serta mengesahkan hujah bahawa saya berhadapan dengan pasukan pendakwaan yang merupakan sebahagian daripada konspirasi politik sebagaimana yang wujud ketika perbicaraan 1998 itu."

Ahli parlimen Permatang Pauh mendakwa "Razak dengan sengaja mengelirukan Mahkamah Tinggi" dengan berkata tiga hakim bersara tersebut Datuk Kadir Sulaiman, Datuk Mohd Noor Ahmad dan Datuk Mohama Noor Abdullah "mendapati Abdul Gani tidak terlibat dalam sebarang kesalahan jenayah."

"Razak ... sewajarnya menyedari sekurang-kurangnya seorang ahli panel daripada tiga hakim tersebut mendapati Abdul Gani sememangnya melakukan kesalahan jenayah," kata Anwar dalam satu kenyataan berhubung aduan polis terbarunya.

"Hanafiah pula selaku timbalan pendakwaraya kanan semestinya sudah menyiasat dan meneliti fakta-fakta tersebut sebelum memasukkan afidavit Razak yang mengandungi kenyataan palsu ke dalam afidavit pendakwaan (untuk menjawab permohonan Anwar agar kes liwatnya diketepikan)."

Kes ini akan disebut pada 24 Julai, sementara esok mahkamah akan mendengar permohonan pihak pendakwaan untuk menangguhkan perintah menyerahkan dokumen kes liwat kepada Anwar yang diperolehinya daripada hakim, 16 Julai lalu.

Aduan kedua Anwar dibuat berhubung dakwaan polis gagal menyiasat laporan olehnya pada 20 Februari lalu ke atas Abdul Gani dan Musa susulan peranan mereka yang dituduhnya memalsukan laporan polis berkaitan penahanannya pada 20 September 1998.

Peguam cara saya telah menghantar surat bertarikh 23 April lalu kepada ketua balai Damansara (Utama) untuk mengetahui status laporan, namun sehingga ke saat ini belum ada sebarang jawapan," kata Anwar lagi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishammuddin Hussein - dalam jawapannya kepada soalan Naib Presiden PKR Sivarasa Rasiah di Dewan Rakyat 22 Jun lalu - berkata laporan yang dikemukakan Anwar telah dirujuk kepada SPRM untuk tindakan lanjut pada 21 Februari.

"Peguam saya kemudiannya menghantar surat bertarikh 26 Jun lalu kepada SPRM bertujuan untuk mengetahui kedudukan penyiasatan kerana kami belum mendapat sebarang maklum balas dari mereka selama ini," kata Anwar.

"Kami terkejut apabila menerima maklum balas bertulis bertarikh 10 Julai lalu yang menyatakan mereka telah menerima laporan tersebut, telah menelitinya dan mendapati kesalahan yang didakwa berlaku adalah luar dari bidang kuasa mereka.

"Mereka merujuk semula laporan tersebut kepada polis untuk tindakan selanjutnya."

Mantan timbalan perdana menteri itu menambah, perkembangan ini bermakna polis dan pegawai Kementerian Dalam Negeri "menyebabkan Hishammuddin mengelirukan Parlimen" dengan mengemukakan jawapan pada 22 Jun kepada Sivarasa, juga ahli parlimen Subang.

"Polis yang menerima semula laporan tersebut daripada SPRM gagal untuk berbuat apa-apa. Kesimpulannya adalah jelas - wujud satu perancangan dalam polis untuk memastikan tidak ada tindakan terhadap laporan yang dibuat oleh saya serta memastikan jenayah yang berlaku disembunyikan," kata Anwar dalam kenyataan yang sama.

"Oleh kerana laporan saya ini menyatakan Abdul Gani dan Musa terbabit memalsukan laporan, usaha menutup serta menyembunyikan dakwaan saya ini pastinya datang dari pihak atasan."

Akibat sikap kedua-dua agensi penguatkuasaan itu, Anwar mendakwa Abdul Gani dan Musa "dilindungi secara politik demi menyembunyikan peranan yang dimainkan mereka merekayasa pertuduhan palsu terhadap saya pada 1998 dan sekarang," katanya lagi.



Tiada ulasan: