22 Jul 2009

Era Najib Altantuya : Kabinet Akur Desakan Tubuh Suruhanjaya Diraja

Kabinet sebentar tadi memutuskan penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kes kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di sini.

Pada sidang media itu, Najib berkata satu inkues yang diketuai oleh majistret juga akan diadakan untuk menentukan punca kematian Teoh.

"Kabinet putuskan tiga perkara iaitu sebuah suruhanjaya diraja akan diwujudkan untuk meneliti dan mengkaji peraturan soal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Ini bagi menentukan sama ada berlaku pencabulan hak asasi dalam kes itu langkah ini untuk memastikan perkara yang sama tidak berulang," katanya.

Najib berkata, Suruhanjaya Diraja dan inkues itu mungkin akan memulakan tugas minggu depan.

Keputusan rasmi kabinet itu yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Razak dalam satu sidang media khas di pejabat perdana menteri di Putrajaya menyebut:

Pertama, Kementerian Dalam Negeri dan polis diarahkan menyelesaikan siasatan secepat mungkin dan laporan siasatan tersebut, yang sedang berjalan, akan diumumkan.

Dua, satu inkues atau siasatan awam yang diketuai oleh seorang majistret untuk menentukan punca kematian Teoh.

Tiga, menubuhkan suruhanjaya diraja dengan bidang kuasa khas untuk menilai kaedah soal siasat yang diguna pakai oleh SPRM dan menentukan sama ada pernah berlaku pencabulan hak asasi manusia sewaktu Teoh disiasat mulai petang 15 Jun hingga awal pagi esoknya.


Susulan kematian mengejut dan penuh tanda tanya Teoh selepas disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna peruntukan DUN di Selangor, banyak pihak menggesa penubuhan suruhanjaya tersebut.

Teoh merupakan setiausaha politik exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah.

Tiada ulasan: