22 Jul 2009

Era Najib Altantuya : Chua Jui Meng Tarik Sokongan Masyarakat Cina Kepada PKR

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu menyifatkan tindakan Datuk Chua Jui Meng menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai langkah pertama untuk menguatkan sokongan PKR dalam kalangan rakyat bukan Melayu.

Ketuanya, Fariz Musa berkata, beliau yakin tindakan bekas Menteri Kesihatan itu akan diikuti sebahagian besar yang lain khususnya kaum Cina.

Menurutnya, langkah itu dilihat proaktif seiring langkah diambil bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim, 13 Jun lalu.

“Kita mengalu-alukan Chua Jui Meng ke dalam PKR. Apa yang membanggakan, beliau yang pernah berkhidmat dengan kerajaan dan salah seorang pemimpin parti besar itu mampu membawa harapan baru pada PKR.

“Kita juga menganggap Chua Jui Meng sebelum ini adalah sebagai ‘Anwar Ibrahim’ dalam MCA memandangkan agenda perjuangan parti itu mempunyai persamaan dengan yang dipegang beliau,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Jui Meng mengumumkan keluar daripada MCA dan menyertai PKR pada satu majlis forum anjuran PKR di sebuah hotel di Bandar Sunway, di Selangor pada 18 Julai, walaupun menafikan perkara itu dua hari sebelumnya.

Dalam laporan Malaysiakini, Chua berkata, beliau melepaskan jawatan Ketua MCA Bahagian Bakri untuk menempuh perubahan dan menyertai PKR kerana sistem dua parti itu berdepan ancaman.

Menurut Fariz, beliau percaya, langkah yang diambil Jui Meng itu akan diikuti pemimpin lain terutama daripada BN.

Selain itu, beliau percaya ia memberi pengaruh baik kepada golongan muda menyertai PKR seterusnya menjadi ahli AMK bagi memperkasa perjuangan.

“Mereka adalah orang yang mempunyai pengaruh dan pengalaman dalam kepimpinan di samping mampu memimpin dengan baik. Pakej yang ada ini, kita yakin dapat membawa perubahan kepada PKR dan menarik minat orang muda,” katanya.

Sementara itu Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi Barisan Nasional Negeri Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, menyatakan tindakan Datuk Chua Jui Meng keluar dari MCA dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mendatangkan banyak kesan terhadap senario politik di Johor.

Tetapi beiau mengakui Chua bagaimanapun dijangka menarik sejumlah sokongan kepada PKR terutama di Bakri, di mana beliau mempunyai penyokong selepas menjadi pemimpin MCA di situ selama beberapa tahun, kata Abdul Ghani.

Di dalam satu perkembangan berkaitan Datuk Chua telah menghadiri satu program ceramahnya yang pertama malam tadi di Sungai Besar bersama-sama Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Chua, yang tewas di dalam pertandingannya merebut jawatan Presiden MCA kepada Datuk Seri Ong Tee Keat tahun lepas, menyertai PKR minggu lalu, menyatakan keyakinannya yang beliau telah “mengambil keputusan yang betul didalam sejarah pada saat kritikal dan menentukan laluan sejarah negara ini”.

Beliau yang lancar berbahasa Melaysia telah menjelaskan sebab-sebab beliau menyertai PKR.

Di penghujung ucapannya, bersama-sama dengan Anwar, beliau mengalu-alukan beberapa pemimpin akar-umbi MCA ke dalam PKR.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

sekejap jer.. dah lama2 sikit terus tenggelam jui meng ni . macam zaid ibrahim ... tetibe nak tarik ku li.. sebab dah rasa diri dia dah tak pofular kot? hahaha!