21 Apr 2009

UMNO BN Hipokrit Konon Jimat Duit Rakyat

Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar Perdana Menteri di atas sikap hipokrit yang dipamerkan beliau kononnya mahu menyelamatkan wang rakyat jika Umno/Barisan Nasional membuat keputusan tidak bertanding di kerusi dewan undangan negeri Penanti.

Kerusi tersebut kosong berikutan perletakan jawatan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin 16 April lalu.

"Alasan yang diberi Datuk Sri Najib kononnya pemilihan ini akan membazirkan duit rakyat. Gesaan agar jangan membazir tidak terbatas dalam pilihanraya sahaja, seharusnya ianya juga mengambil kira kaedah kempen, sogokan wang dan cambahan projek serta pesta.

"Amalan rasuah, komisyen, pesta-pestaan masih ketara dalam amalan pimpinan negara. Ini wajib dihentikan segera," tulis beliau dalam blognya, anwaribrahimblog.com

Tegas Datuk Seri Anwar sikpa hipokrit yang ditunjukkan Perdana Menteri bukanlah cara memulihkan ekonomi yang dilanda kegawatan kini.

"Saya tidak menolak betapa pentingnya usaha membawa negara ini keluar dari kegawatan. Namun sikap hipokrit bukanlah caranya memulihkan ekonomi negara.

"Saya tertanya-tanya apakah dengan memberikan komisyen berjumlah RM 510 juta kepada Perimekar Sdn. Bhd. untuk pembelian kapal selam Scorpene dan pemberian tender secara tertutup projek jalur lebar berdaya laju bernilai RM 11.31 bilion tidak membazirkan wang rakyat?," tanya Ketua Pembangkang itu.

Beliau merujuk kepada pembayaran komisen bernilai EURO114.96 juta (RM510 juta) kepada syarikat Perimekar Sdn Bhd berkaitan pembelian kapal selam Scorpene.

Datuk Seri Najib yang ketika itu Menteri Pertahanan berkata bayaran EURO114.96 juta kepada syarikat tersebut bukanlah sebagai komisen, tetapi sebagai bayaran kepada perkhidmatan koordinasi dan sokongan kepada Pasukan Projek Kapal Selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Cherbourg, Perancis dan Cartegana Sepanyol serta pelatih kapal selam di Brest, Perancis.

Berkenaan isu calon DUN Penanti beliau memberi keyakinan kepada pengundi wakil yang dipilih nanti mampu menggalas tanggungjawab termasuk kekuatan menangani masalah masyarakat Melayu dan rakyat miskin lainnya.

"Maka seandainya Datuk Sri Najib jujur dengan perakuannya, Umno wajar mengiktiraf hasrat rakyat Penanti dengan tidak mengemukakan calun," ujar beliau lagi - TVAntara


Tiada ulasan: