23 Apr 2009

Raja Petra Kamaruddin (PRK) Dikenakan Waran Tangkap

MMahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap editor Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin kerana gagal hadir di mahkamah untuk perbicaraan kes hasutan.

Peguamnya J. Chandra memberitahu hakim Rozina Ayob bahawa anakguamnya tidak dapat hadir ke mahkamah kerana beliau telah mengambil tindakan untuk menjalani hukuman "buang daerah" yang dikenakan terhadap dirinya sendiri “di atas sebab-sebab yang telah diketahui umum.”

Chandra menjelaskan, Raja Petra, telah membuat kiriman artikel atau komen di dalam lamanwebnya berhubung dengan isu yang ada kaitan dengan pihak istana Selangor dimana terdapat beberapa kaum kerabatnya yang marah dan menuntut beliau meminta maaf.

Di dalam lamanweb Malaysia Today kendaliannya, Raja Petra menyatakan, “Keluarga saya telah memberi katadua. Samada saya membuat pernyataan meminta maaf secara terbuka atau pihak keluarganya akan memuatkan satu iklan di dalam akhbar arus perdana menyatakan menjauhkan diri mereka daripada saya, yang boleh ditafsirkan sebagai tidak mengakui saya ....

“Saya mengambil langkah buang diri keluar dari Selangor ... . Perlu diberikan perhatian bahawa ini adalah hukuman terhadap mana-mana ahli kaum kerabat Di Raja Selangor yang telah disifatkan sebagai durhaka sejak permulaan Kesultanan Selangor lebih 250 tahun lalu.”

Beliau juga menjelaskan bahawa ketidak hadirannya di mahkamah hari adalah kerana tidak berharap akan mendapat penghakiman yang adil.

Raja Petra, 57, berdepan dengan tuduhan menghasut berhubung satu artikel yang bertajuk 'Let's send the Altantuya murderers to hell' yang disiarkan dalam lamanweb Malaysia Today.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda maksima RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebelum perbicaraannya ditangguhkan Februari lalu, peguambela Gobind Singh Deo telah membangkitkan isu gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak duduk semeja dengan Altantuya Shaariibuu sewaktu majlis hari jadi wanita Mongolia itu di Hotel Mandarin di Singapura.

Raja Petra menghadapi satu lagi tuduhan jenayah memfitnah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana didakwa mengaitkan isteri Najib - Datin Seri Rosmah Mansor, dan dua pegawai tentera - dalam pembunuhan Altantuya.

Manakala tahun lalu, Mahkamah Tinggi Alor Star memerintahkan Raja Petra dan editor sebuah akhbar pembangkang - Suara Keadilan - membayar gantirugi berhubung saman fitnah oleh naib canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Datuk Nordin Kardi.

Nordin menyaman Raja Petra berhubung dakwaan beliau telah meniru sebuah artikel.

Keputusan itu dibuat selepas Raja Petra dan Suara Keadilan - yang menyiarkan berita tersebut - gagal mengemukakan pembelaan diri.

Mahkamah memerintah Raja Petra membayar RM4 juta kepada Nordin dan UUM, manakala dua editor Suara Keadilan diperintah membyar RM3 juta.

Raja Petra berkata ia hanya merupakan sepucuk surat yang ditulis kepadanya oleh seorang bekas perwakilan pelajar dan beliau tidak akan membayar gantirugi itu.






Tiada ulasan: