Maka demi kepentingan rakyat, maka segala perbelanjaan mestilah dibuat dengan penuh hemah. Dan, demi meningkatkan pencapaian maka setiap urusan mestilah dinilai di segi manfaatnya kepada negara.
Lantas, bagi menyerlahkan pandangan ini kepada rakyat jelata, Najib pun melaungkan pendiriannya tidak mahu membazir dana rakyat dengan mengongkosi pilihanraya kecil di Penanti, Pulau Pinang.
Sehubungan itu, beliau menegaskan ini bukan bererti Barisan Nasional dan Umno yang dipimpinnya takut menghadapi Pakatan Rakyat di Penanti. Beliau hanya ingin menjimatkan wang rakyat, masa dan tenaga. Perhatian, katanya, mesti ditumpukan pada urusan ekonomi yang disergah kemelesetan ekonomi dunia.
Dilihat dari perspektif ini maka bolehlah dirumuskan bahawa pendirian Najib itu adalah bersandarkan perkiraan ekonomi. Lantas beliau memulangkan perhitungan kesan politik daripada pemikirannya yang enggan bertanding di Penanti itu kepada rakan-rakan politik dalam Umno dan Barisan Nasional.
Maka ramailah yang memberi pandangan. Reaksi Samy Vellu ibarat harimau kumbang yang terluka. Rekod buruk MIC dalam pilihanraya umum lalu tidak mematahkan semangat juangnya. Malah bertambah garang. Samy mahu BN meletakkan calon di Penanti!
Bagaimanapun Presiden Gerakan, Koh Tsu Koon yang baru mendapat habuan jawatan menteri (meskipun kalah dalam pilihanraya umum lalu), cepat-cepat memuji kebijaksanaan Najib yang mengatakan tidak perlu bertanding di Penanti. Beliaupun mengulang-ulang kata hikmat Najib – elak membazir sumber dan tenaga.
Sementara bagi pencacai lain, ramailah yang mengingatkan ahli Umno supaya membaca kata Najib itu sebagai larangan jangan ada ahli parti itu berkira untuk bertanding sebagai ahli bebas. Siapa yang engkar akan dipecat!
Pada permukaannya memang pandangan Najib itu kelihatan sesuatu yang mulia. Namun ada sedikit masalah dalam kes ini. Mentor Najib, Dr Mahathir Mohamad pula berpendapat Umno kena lawan di Penanti. Jika tidak, katanya, adakah apabila berlaku kekosongan kerana ragam atau takdir yang membabitkan ahli Umno sendiri di kawasan kuat Umno, parti itu juga enggan bertanding untuk jimat wang, masa dan tenaga?
Tambahan pula, Penanti adalah kubu kuat Anwar Ibrahim. Sebagai seteru nombor satu Anwar, tentu Mahathir tidak mahu melihat Anwar menang tanpa bertanding dan berkokok ke seluruh pelosok negara mengungkit betapa Umno yang baru beliau (Dr Mahathir) sertai semula takut untuk bersabung!
Kesimpulannya, adakah Najib bersedia berbalah dengan Mahathir? Dan, mampukah Najib membuktikan ketegasannya dalam mempertahankan pendirian politik (yang bersandarkan perhitungan ekonomi)?
Untuk membuktikan ketegasan, Najib perlu kesampingkan semua hujah pihak yang mahu BN bertanding di Penanti, termasuk pandangan Dr Mahathir. Dalam keadaan ini barulah rakyat akan berasa lega akhirnya ada pemimpin negara yang benar-benar tegas dengan pendiriannya. Barulah dalam keadaan itu rakyat mungkin terbuka pintu hati untuk meletakkan kepercayaan kepada anak mantan perdana menteri malaysia kedua ini.
Bagaimanapun Najib tetap Najib. Tak pernah berpendirian tegas. Awal-awal lagi beliau telah lakarkan ruang untuk keluar daripada kemelut politik yang bakal berlaku. Najib membuat kenyataan berani ini dengan bersyarat – jika dipersetujui oleh rakan-rakan dalam Umno dan Barisan Nasional.
Maknanya, Najib masih ada peluang berpatah arah jika rakan lain tak setuju. Itu demokrasi ala Najib. Meskipun begitu, bila hendak menghalalkan hujah tidak mahu bertanding, Najib mengatakan kerana tidak mahu terjebak dengan helah politik Pakatan Rakyat yang menggunakan pilihanraya kecil untuk sentiasa di hati rakyat. Walhal, di atas nama demokrasilah pilihanraya kecil itu diadakan! Fairus letak jawatan untuk membersihkan namanya daripada gugatan rasuah kuari. Begitu juga dengan Arumugam yang berhenti jadi Adun Bukit Selambau untuk memelihara keselematan ahli keluarganya.
Bila tidak tertanggung amanah politik, mereka memulangkan hak menentukan pemimpin kepada rakyat. Bukankah itu demokratik? Dan, nilai demokrasi tulen tidak boleh diukur dengan wang ringgit.
Sepanjang kerjaya politiknya mana Najib pernah membuat keputusan nekad untuk menegakkan pendirian politiknya. Pada tahun 1987 apabila berlaku keretakan Team A menentang Team B dalam Umno, beliau hanya membuat keputusan untuk bersama Team A setelah nyata Team B tidak boleh menang.
Bagaimanapun jika Najib buat keputusan awal menyertai Team B, kemungkinan Team A pimpinan Mahathir hendak menang mungkin tipis. Jika tidak percaya, tanya Tun Musa Hitam!
Mengambil kira caragaya politik Najib selama ini dan juga betapa rapuhnya kedudukan Umno yang telah tidak menang tiga pilihanraya kecil yang ditandinginya berturut-turut, agak sukar untuk menelan hujah bahawa Najib enggan bertanding di Penanti kerana soal ekonomi. Ia lebih condong kepada kegusaran akan kalah lagi.
Yang jelas pemikiran Najib ini adalah satu statement politik. Belumpun sebulan menjadi Perdana Menteri Najib gagal untuk membayangkan betapa beliau boleh menjadi negarawan seperti bapanya. Pendiriannya berhubung Penanti lebih mudah dibaca beliau sebagai ahli politik kaliber Abdullah Badawi sahaja. -- TVA
1 ulasan:
TO BE END
Letak aje
Mahadir tu calon kat Penanti...
tengok berani tak mahadir.......
Catat Ulasan