20 Apr 2009

MB Kerajaan UMNO Pahang diarah bayar syarikat balak RM63 juta

Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan perintah mandamus syarikat pembalakan, Seruan Gemilang Sdn Bhd, dikeluarkan terhadap Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, bagi mengarahkannya membayar bayaran penghakiman berjumlah RM63 juta kerana melanggar kontrak perjanjian kedua-dua pihak.

“Perintah Mandamus” bermaksud perintah mahkamah kepada agensi kerajaan supaya laksana tugasnya - GB

Hakim Datuk Abdul Halim Aman dalam keputusannya mengarahkan pihak responden iaitu menteri besar melunaskan bayaran berkenaan dalam tempoh 14 hari bermula hari ini.

Pada 17 September lalu, Kerajaan Pahang telah diperintahkan membayar RM60 juta kepada Seruan Gemilang Sdn Bhd selepas gagal dalam usaha terakhirnya di Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan kebenaran untuk merayu.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum yang bersidang bersama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nik Hashim Nik Ab Rahman dan Datuk Abdul Aziz Mohamed sebulat suara menolak permohonan kebenaran untuk merayu oleh kerajaan negeri dan Pengarah Perhutanan Negeri Pahang.

Hakim Malanjum berkata persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh kerajaan Pahang, yang diwakili Penasihat Undang-undang Datuk Mat Zara'ai Alias, "bukanlah satu persoalan yang wajar dan ia dibangkitkan di Mahkamah Rayuan."

Kerajaan negeri Pahang dan pengarah perhutanan negeri telah memohon kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 3 Ogos lalu yang menolak rayuan mereka untuk melanjutkan masa bagi memfailkan notis rayuan, demikian dilaporkan oleh Bernama.

Notis rayuan itu adalah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan pada 25 Mei 2007 yang memerintahkan mereka membayar RM37,127,471.60 kepada Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd dengan faedah pada kadar 8 peratus setahun mulai 31 Disember 2000 sehingga selesai pembayaran.

Mahkamah Tinggi memerintahkan mereka membayar jumlah itu kepada Seruan Gemilang setelah berpuas hati bahawa pengarah perhutanan negeri telah bertindak secara cuai apabila enggan mengguna pakai pelan terkini yang dikemukakan oleh Seruan Gemilang yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) pada 5 April 2000, sebaliknya mengarahkan pelan asal yang diluluskan oleh exco pada 7 Januari 1998, diguna pakai.

Pada 9 Disember 2002, Seruan Gemilang memfailkan saman terhadap Kerajaan negeri Pahang dan pengarah perhutanan negeri bagi memohon ganti rugi RM31 juta kerana didakwa melanggar perjanjian kontrak konsesi pembalakan berhubung pengeluaran kayu balak di atas tanah milik Umno di Mukim Bebar, Daerah Pekan seluas 4,000 hektar.

Seruan Gemilang menamakan kerajaan negeri Pahang sebagai defendan pertama dan pengarah perhutanan negeri, defendan kedua.

Dalam pernyataan tuntutan, Seruan Gemilang mendakwa pada 31 Julai 2000, defendan kedua telah memberi kelulusan kepadanya bagi mengeluarkan kayu balak dari mukim itu bagi kawasan seluas 3,200 hektar.

Pada 13 Mei 2002, defendan kedua telah memberi kelulusan kepada Seruan Gemilang bagi mengeluarkan kayu balak dari baki kawasan seluas 800 hektar di tanah yang sama. Ini bermakna Seruan Gemilang telah diberi kelulusan untuk mengeluarkan kayu balak dari kawasan seluas 4,000 hektar.

Bagaimanapun defendan kedua hanya membenarkan Seruan Gemilang mengeluarkan kayu balak dari kawasan seluas 2,800 hektar sahaja manakala baki selebihnya telah diberikan kepada beberapa pihak ketiga untuk mengeluarkan kayu balak dari tanah tersebut.

Kedua-dua defendan dalam pernyataan pembelaan mereka menyatakan bahawa Seruan Gemilang hanya diberi lesen untuk menjalankan kerja pembalakan secara pemindahan bagi kawasan seluas 2,800 hektar sahaja manakala bagi baki 1,200 hektar itu pula, defendan mendapati Seruan Gemilang tidak berminat untuk menjalankan kerja pembalakan di situ.



1 ulasan:

sydeen aka saidin berkata...

abis le denan lepas ni.... boleh muflis tu. Jika muflis, ilang kelayakan jd MB & pilihan raya smula.... yahooo