29 Apr 2009

PENANTI: Dr Mansor Miliki 3 Ijazah Sarjana Untuk Berbakti Kepada Rakyat Penanti

Sebagaimana diramalkan sebelum ini bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mansor Othman akan diturunkan sebagai calon bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti mewakili Pakatan Rakyat.

Mansor merupakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang.

Ia diumumkan oleh Anwar yang juga Penasihat PKR di Yayasan Aman, Penanti dalam bahagian Permatang Pauh kira-kira pukul 10 malam tadi.

Menurut Anwar, Mansor akan dicalonkan untuk mengisi kekosongan kerusi Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang jika menang pilihan raya kecil ini.

Anwar berkata, pemilihan beliau sebagai calon adalah tepat berdasarkan latar belakang pendidikan yang tinggi, kekananannya dalam parti, seorang pemimpin yang matang dan kemampuannya menerajui perjuangan parti di negeri ini.

Mansor, 56, merupakan bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) dengan memiliki tiga ijazah sarjana.

Bekas Prof Madya di Pusat Penyelidikan Dasar Universiti Sains Malaysia (USM) itu memegang Sarjana Sains Kemasyarakatan dari USM serta Sarjana Sastera dan Sarjana Falsafah (M.Phil) dari University of Yale.

Beliau merupakan Ketua Bahagian KEADILAN Balik Pulau dan Timbalan Pengerusi Perhubungan Negeri KEADILAN Pulau Pinang. Beliau juga telah berkhidmat selama 10 tahun sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat dan Timbalan Pengarah Pilihanraya Pusat KEADILAN. Dr. Mansor juga telah berkhidmat dengan Datuk Seri Anwar yang pada ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri sebagai Setiausaha Politik dari tahun 1996-1998.

Beliau secara aktif berusaha meningkatkan taraf pendidikan dan program belia di Pulau Pinang dengan penglibatan sebagai ahli Jawatankuasa Pendidikan Masyarakat dan Jawatankuasa Program Pembangunan Belia. Sebagai exco PEMADAM, beliau bekerja keras meningkatkan kesedaran awam berhubung penyalahgunaan serta langkah-langkah pencegahan dari terlibat dengan dadah.

Melalui program TEKUN di mana beliau sebagai Pengurus Besar, Dr. Mansor terlibat secara aktif dalam pembangunan usahawan bumiputera, bertujuan meningkatkan kemahiran usahawan kecil dan sederhana serta membiayai usaha mereka dengan pemberian kredit mikro.

Difahamkan, Mansor menjadi pilihan utama memandangkan beliau tidak dicalonkan mewakili PKR sebagai senator oleh Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang semalam.

Sementara itu, UMNO masih terkial-kial untuk memutuskan samada menyertai pilihanraya kecil Penanti atau pun tidak hanya selepas Biro Politik Umno bermesyuarat petang esok.

Mesyuarat tersebut dijadual dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak di Putrajaya pukul 5 petang.

Yang aneh menuurut penganalisis politik, yang bermesyuarat ialah Biro Politik UMNO, yang akan menjadi keputusan keseluruhan parti Barisan Nasional. Ini bererti parti-parti komponen BN seperti MCA, MIC, Gerakan PPP dan lain-lain hanya menjadi Pak Turut kepada sebuah "biro" di dalam UMNO.

"Kenapa bukan Majlis Tertinggi UMNO yang bermesyuarat sekalipun bukan Majlis Tertinggi Barisan Nasional?" tanya seorang pemerhati politik tempatan.

"Nampak sangat parti-parti komponen BN selain UMNO hanyalah melukut di tepi gantang diperlakukan oleh Najib, dan itupun MCA, MIC Gerakan dan PPP masih angguk-angguk lagi" tambahnya.


Tiada ulasan: