Dalam kejadian kira-kira pada pukul 8 malam tadi, polis menggunakan "water canon" (semburan air) dan bertindak melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan lebih 20,000 orang yang menyertai perhimpunan anjuran PKR.
Perhimpunan itu telah mendapat permit tetapi polis menarik balik permit tersebut hanya 3 jam sebelum majlis dimulakan.
Mantan timbalan perdana menteri itu, yang turut berada di tempat kejadian, berkata beliau terpaksa dilarikan ke dalam bilik gerakan untuk mengelak tindakan tersebut yang bermula selepas 9.30 malam.
"Saya diseludup ke bilik gerakan pilihanraya (dekat pentas ceramah) dan berlindung bersama beberapa orang pimpinan Pakatan Rakyat.
"Difahamkan hampir 50 das gas pemedih mata dibedil oleh pihak polis," kata Anwar dalam blognya.
"Tanpa sebarang amaran, polis membedil gas pemedih mata beserta pancutan air. Hadirin lari bertempiaran menyelamatkan diri.
"Namun ia tidak menghentikan pembedilan bertubi-tubi tanpa sebarang belas kasihan terhadap wanita dan kanak-kanak."
Polis Kedah hari ini mengesahkan 31 orang ditahan kerana enggan bersurai selepas diarahkan.
Semua mereka dilaporkan dibebaskan pagi ini selepas keterangan mereka diambil.
Selain beberapa penyokong parti itu dan pendengar, turut ditahan senator Zamri Yusof, ketua staf pejabatnya Ibrahim Yaacob dan pegawai khas menteri besar Kedah, Mohd Ismadi Abd Kadir.
Kementerian Dalam Negeri semalam secara mengejut menggantung serta-merta permit penerbitan dua akhbar berpengaruh itu selama tiga bulan.
Dalam coretan blog yang sama, Anwar mengulangi lagi kecamannya terhadap timbalan perdana menteri dengan menyifatkan kenyataan mengenai perubahan yangg diucapkan di Parlimen baru-baru ini "hanya omongan kosong untuk mengalih perhatian rakyat daripada skandal yang terpalit."
"Jelas, Umno-BN sememangnya dalam keadaan yang sangat terdesak ketika ini. Gelombang kebangkitan rakyat di Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Ai cukup meresahkan mereka," katanya.
Ketiga-tiga kawasan itu akan menghadapi pilihanraya kecil antara 29 Mac hingga 7 April ini.
Ceramah Anwar di Taman Ria Jaya, Sungai Petami malam tadi bagi memperkenalkan calon PKR S Manikumar yang akan menggalas cabaran parti itu di DUN Bukit Selambau, Kedah.
PKR juga bertanding di DUN Batang Ai, Sarawak; manakala PAS meletakkan bekas menteri besarnya Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin di kerusi parlimen Bukit Gantang, Perak.
Anwar juga menyeru para penyokongnya agar bertenang dan tidak mudah dibakar dengan sebarang provokasi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan