12 Mac 2009

Kes Altantuya AMK Minta Polis Usah Double Standard

AAngkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) hari ini secara rasmi menggesa pihak polis untuk menjalankan siasatan ke atas Timbalan Perdana Menteri, Najib Tun Razak pada kadar segera berikutan pendedahan akhbar Perancis, Liberation mengenai kes pembunuhan Altantuya Shariibuu.

AMK melalui laporan polis yang telah dibuat pada 7 Mac 2009 yang lepas antara lain melihat bahawa penglibatan Najib dan juga isteri beliau, Rosmah Mansor di dalam kes pembunuhan tersebut adalah sesuatu yang sangat mengaibkan negara dalam keadaan berlaku pelbagai kelompongan di dalam perbicaraan mahkamah ke atas kes tersebut.

AMK mendesak agar pihak polis tidak bersikap double standard di dalam siasatan kes ini. Sekiranya polis boleh bertindak cergas untuk menyiasat laporan polis yang dibuat oleh Saiful Bukhari yang mendakwa sebuah blog memfitnah beliau; masakan siasatan yang secergas itu gagal dilakukan ke atas seorang rakyat Malaysia yang bertindak memalukan negara dan didedahkan pula oleh akhbar antarabangsa?

AMK akan menggerakkan kepimpinan AMK di seluruh bahagian di Malaysia untuk mengemukakan laporan polis yang sama ke atas Najib untuk menggambarkan bahawa isu ini adalah serius dan perlu diambil tindakan segera. Susulan daripada laporan polis ini, AMK akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Dalam Negeri untuk mengemukakan memorandum agar pihak polis boleh bersikap profesional dan telus di dalam mengendalikan siasatan kes ini.

AMK juga berharap agar Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dapat mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menggantung tugas Najib agar beliau boleh disiasat secara telus dan terbuka.

AMK percaya bahawa imej negara kini menjadi cemuhan masyarakat dunia. Maka bukanlah sesuatu yang sukar bagi kita untuk menumbangkan keegoan seorang pemimpin yang terpalit moral dan akhlaknya jika itu adalah penyelesaian akhir untuk memulihkan imej dan reputasi negara di mata dunia.

Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin telah memberi keterangan kepada pihak polis berhubung dakwaannya yang menemui bukti baru mengenai kes wanita Mongolia yang dibunuh, Altantuya Shaariibuu.

Shamsul berkata, beliau memberi keterangan kira-kira sejam bermula pukul 11.15 pagi tadi di Balai Polis Mutiara Damansara, di sini.

"Hari ini saya memberi keterangan berhubung laporan yang dibuat di Balai Polis Dang Wangi Sabtu lalu mengenai bukti baru yang saya dapati daripada satu artikel yang disiarkan sebuah laman web akhbar Perancis pada 6 Mac lalu.

"Artikel itu mengaitkan Razak (Baginda), (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) dan (Datin Seri) Rosmah (Mansor) dalam kes pembunuhan Altantuya disebabkan komisyen berjumlah 114 juta Euro," katanya ketika dihubungi mStar Online sebentar tadi.

Shamsul berkata, berikutan itu, beliau telah meminta pihak polis membuka semula kes siasatan terhadap Razak dan menyiasat Najib serta Rosmah.

Selain itu katanya, beliau turut mengemukakan salinan kenyataan salah seorang tertuduh bagi kes itu iaitu anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Koperal Sirul Azhar Umar tentang penglibatannya dalam pembunuhan Altantuya.

"Selain itu, pegawai polis tersebut turut bertanya saya mengapa saya tidak mengemukakan laporan ini kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

"Saya berkata kepadanya, kes ini adalah mengenai dakwaan membunuh. Walaupun terdapat unsur rasuah tetapi dakwaan bunuh adalah yang utama," katanya.

Shamsul berkata, pihak polis memaklumkan bahawa kes itu akan dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, Kuala Lumpur.

Nasib dua individu yang dituduh membunuh Altantuya, Sirul dan seorang lagi anggota UTK, Cif Inspektor Azilah Hadri akan diketahui pada 9 April ini.

Perbicaraan mereka telah berlangsung selama 159 hari di Mahkamah Tinggi Shah Alam bermula 18 Jun 2007 dan berakhir pada 17 Februari lalu.

Azilah, 33, dan Sirul, 37 diperintah membela diri atas tuduhan membunuh Altantuya antara lot 12843 dan 16735 Mukim Bukit Raja, Selangor kira-kira jam 10 malam, 19 Oktober hingga 1 pagi, 20 Oktober 2006.

Azilah memberi keterangan membela dirinya sendiri di kandang saksi, manakala Sirul pula memilih membacakan keterangan bertulisnya dari kandang tertuduh.

Pada 31 Oktober tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Zaki Md Yasin memerintahkan Razak, 48, seorang penganalisis politik yang sebelum itu dituduh bersubahat dalam kes itu dilepas dan dibebaskan tanpa perlu membela diri selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen penting dalam tuduhan bersubahat.



Tiada ulasan: