17 Feb 2009

Ulasan Berita Hangat 17 Feb 2009 Edisi Petang

Sebanyak 75% dari responden Edisi 7 tidak bersetuju dengan keputusan Elizabeth Wong untuk meletakkan jawatannya sebagai Exco dan ADUN Bukit Lanjan seperti yang ditawarkannya pagi ini.

Sebelum ini di dalam satu sidang media, Elizabeth Wong Keat Ping yang dikaitkan dengan penyebaran gambar bogelnya di internet, menawarkan diri melatakkan jawatan Exco Selangor dan Adun Bukit Lanjan.

"Saya menerima sokongan padu daripada keluarga, pemilih kawasan saya, rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, sahabat dan masyarakat umum.

"Bagaimanapun, demi kepentingan parti, saya telah memutuskan untuk menawarkan peletakan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor dan juga ADUN Bukit Lanjan," katanya dengan nada sebak manakala penyokong-penyokongnya pula mendesak beliau menarik balik keputusannya.

"Saya akan berbincang dengan Menteri Besar (Tan Sri Khalid Ibrahim) untuk mengaturkan penyerahaan tanggungjawab saya dengan baik.

Naib Presiden PKR, YB Azmin Ali berkata: "Beliau hanya menawarkan untuk melepaskan kedua-dua jawatan, bukan meletakkan jawatan."

"Beliau baru sahaja membuat pengumuman dan beliau juga sudah memaklumkan kepada kami malam tadi, kami sudah mendapat penjelasan penuh mengenai isu ini dan kami akan membuat keputusan dalam waktu terdekat," tambahnya.

Khalid yang juga Pengerusi PKR Selangor dijadual membuat kenyataan rasmi mengenainya dalam beberapa jam lagi.

Wong, berusia 37 tahun dan masih bujang, yang memasuki dewan utama Ibu Pejabat PKR dengan ceria kelihatan sebak ketika membacakan kenyataannya.


Beberapa penyokong beliau membawa sepanduk dan poster menyatakan sokongan moral kepada beliau sambil berulang kali menggesa Wong tidak meletakkan jawatan.

Naib Presiden PKR, R. Sivarasa pula berkata, pihaknya menerima keputusan Wong dengan berat hati tetapi bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil jika diadakan.

"Kami bersedia menghadapi pilihan raya kecil di Perak, di Kedah dan juga di sini di Selangor," kata beliau yang turut hadir pada sedia media itu.

Pemerhati politik berpendapat sekalipun tawaran perletakan jawatannya diterima oleh PKR dan pilihanraya bakal diadakan, ia tidak akan memberi kemenangan kepada Barisan Nasional walaupun Khir Toyo, bekas MB Selangor sebelum ini amat mendesak Elizabeth meletakkan jawatannya.

MOHD ABDUL WAHID ENDUT ANGKAT SUMPAH

Anggota Parlimen Kuala Terengganu yang baru Mohd Abdul Wahid Endut hari ini mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Mohd Abdul Wahid, 52, berpakaian baju Melayu berwarna gelap lengkap bersongkok, turut menerima kata-kata nasihat daripada Pandikar Amin, yang mahukan memberi sumbangan yang berguna dan berfaedah kepada Dewan dan negara serta dapat berkhidmat dengan cemerlang.

Wakil rakyat dari PAS itu memenangi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu dengan majoriti sebanyak 2,631 undi pada 17 Jan lepas.

Beliau memperoleh 32,883 undi manakala calon Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh meraih 30,252 undi.

AGUSTINE PAUL MENARIK DIRI MENDENGAR HABEAS CORPUS RPK

Hakim Agustine Paul menarik diri dari mendengar permohonan rayuan kes habeas corpus Raja Petra Kamaruddin hari ini.

Walaubagaimana pun Hakim Nik Hashim Nik Abd Rahman memaklumkan bahawa Agustine dan
hakim Zulkifli Ahmad masih berkuasa untuk mendengar permohonan terbabit dan mengarahkan rayuan diteruskan.

Peguam RPK, Malik Imtiaz mengemukakan dua alasan mengapa hakim Agustine perlu disingkirkan. Pertama, Agustine didakwa terlibat di dalam kes rasuah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kedua beliau pernah menolak permohonan harbeas corpus RPK pada tahun 2001.

NAJIB AKUI EKONOMI MALAYSIA HADAPI KEADAAN SUKAR

Jika sebelum ini Timbalan Perdana Menteri, Najib Razak dengan angkuh menyatakan Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan ekonomi teknikal pada tahun hadapan tetapi pada pagi ini, Najib menyatakan di Dewan Rakyat bahawa petunjuk-petunjuk ekonomi yang ada menggambarkan situasi ekonomi Malaysia berada dalam keadaan sukar.

"Jumlah pemberhentian pekerja bagi tempoh Okt 2008 - Jan 2009 ialah seramai 11,595 orang sementara di bawah skim pemberhentian sukarela ialah serama 2,752 orang. Harga komiditi terus berada di paras yang rendah," kata beliau.

AHLI PALIMEN BN DAN MENTERI PELAJARAN PERLEKEHKAN PERJUANGAN GAPENA

Ahli Parlimen dari BN dan Menteri Pelajaran, Hishamuddin Hussein memperlekehkan perjuangan yang ditunjangi oleh NGO, GAPENA apabila "membelasah" GAPENA di dalam Parlimen hari ini behubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Ahli Parlimen Kinabatangan terus menuduh bahawa "pejuang-pejuang" GAPENA ini mempunyai anak-anak yang belajar di luar negara yang belajar di dalam Bahasa Inggeris sedangkan mereka meminta anak-anak di kampung menerima pelajaran di dalam Bahasa Malaysia.

Sebelum ini, Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) hari ini menyerahkan memorandum bantahan mereka terhadap pelaksanaan dasar PPSMI kepada Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammmuddin Tun Hussein.

Memorandum tersebut diserahkan oleh Pengerusi gerakan itu, Datuk Dr, Hassan Ahmad di lobi Parlimen pagi ini.

Beliau turut menyerahkan memorandum tersebut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakili ahli Parlimen pembangkang.

Seramai 20 ahli GMP berarak dari Tugu Negara pada pukul 9.30 pagi tadi ke bangunan Parlimen.

Bagaimanapun, hanya 10 orang yang dibenarkan masuk ke bangunan Parlimen pada pukul 10.15 pagi bagi menyerahkan memorandum itu.

Tiada ulasan: