17 Feb 2009

Harussani Mengadu Dicerca dan Dimaki

Akhbar Utusan melaporkan, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria kesal dan dukacita dengan tindakan penyokong parti pembangkang yang sanggup mencerca dan memaki beliau ekoran kenyataannya, sesiapa yang tidak taat kepada pemerintah tetap dianggap menderhaka.

Beliau berkata, tindakan berkenaan langsung kononnya tidak menggambarkan akhlak seorang Islam sejati kerana golongan mukmin mestilah takut kepada Allah, Rasul-Nya dan juga pemerintah.

Timbalan Mursyidul Am, Dato' Dr Haron Din, sebenarnya sebelum ini telah membidas kenyataan Mufti Perak berkenaan dengan menyifatkan kenyataan Dato' Seri Harussani Zakaria, yang mengeluarkan kenyataan sesiapa tidak taat kepada pemerintah dianggap derhaka dilihat sebagai tidak menepati tugasnya sebagai Mufti yang hanya wajib memihak pada Islam dan bukannya pada mana-mana individu apa lagi untuk kepentingan politik.

"Mufti Perak telah menyatakan pendapatnya, tetapi tidak pernah berlaku seumpamanya sebelum ini di mana Mufti telah memihak pada mana-mana parti politik.

"Sepatutnya sebagai orang yang diberi tanggungjawab menjaga kepentingan agama, Mufti tidak seharusnya terjebak dalam kancah politik, selain hanya memihak kepada kebenaran Islam yang satu," ujarnya lagi.

Haron Din, seterusnya memberitahu kenyataan Mufti sedemikian jelas menampakkan ianya kurang bijak dalam memberikan pandangannya berhubung kemelut politik di Perak.

"Kalau nak membuat sebarang ulasan pun biarlah ianya memberi gambaran yang jelas iaitu Islam,"ujarnya lagi.



Tindakan Harussani yang sebelum ini cuba memporak-perandakan Pakatan Rakyat dan PAS dengan mencadangkan supaya PAS bersatu dengan UMNO tidak mudah dilupakan sehingga telah timbul fitnah yang besar melanda jemaah Parti Islam SeMalaysia sedikit waktu lalu.

Mujurlah dengan ketegasan Mursyidul Am PAS waktu itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, PAS kembali bersatu sekalipun PAS hampir "karam" diakibatkan oleh tindakan Mufti Perak yang berkepentingan ini.

Sebenarnya tuduhan beliau menyatakan tindakan berkenaan (menentangnya) kononnya tidak menggambarkan akhlak seorang Islam sejati kerana golongan mukmin mestilah takut kepada Allah, Rasul-Nya dan juga pemerintah menunjukkan ketaksubannya kepada "pemerintah" tanpa memperdulikan samada pemerintah itu berjalan di atas landasan kebenaran ataupun kebatilan.

Tidak perlu untuk saya perdebatkan mengenai penggunaan Ayat 59 Surah Nisa oleh Mufti Perak berkenaan kerana kita serahkan urusan itu kepada ulama-ulama kita sekalipun telah dijelaskan beberapa kali bahawa "pemerintah" yang dimaksudkan di dalam ayat berkenaan ialah pemerintah dari kalangan orang yang beriman - pemerintah yang tidak menentang hukum Allah dan pemerintah yang tidak menderhaka ajaran Allah dan RasulNya.

Bukan bererti saya menyokong tindakan "memaki dan mencaci" yang dituduh telah dilakukan oleh umat Islam terhadap Sang Mufti itu, namun yang nyata kenyataan Sang Mufti itulah sendiri yang mengundang dirinya untuk dicaci dan dimaki kerana telah menyebabkan kekeliruan di kalangan umat Islam yang jauh lebih berbahaya dan mudharatnya dari cacian dan makian yang beliau terima itu.

Dan saya tertanya-tanya, adakah Sang Mufti ini juga ada memainkan peranannya di dalam tindakan Sultan Perak yang kontroversi di dalam episod rampasan kuasa di negeri Perak?

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Rujuk Gambar : Mufti bersalam bukan dengan MB (Menteri Besar) tapi Man in Black).

ha ha ha

Tanpa Nama berkata...

Boleh saman mufti ke menuduh orang menghina dan mercerca dia? Teringat satu hadis yang membawa maksud 'Dunia Akhir Zaman,Pilihlah antara kamu ulama didalam pagar atau ulama diluar pagar'.... ni nak tanya mufti tu dalam pagar ke luar pagar?

Tanpa Nama berkata...

Saya sayang mufti perak berbanding ulama PAS

Tanpa Nama berkata...

Ulama PAS main politik banyak...berbanding mufti perak yang banyak sumbang kepada islam di malaysia..Allahuakbar..