24 Feb 2008

Gagal kemuka bukti letak jawatan Senator, SPR tolak bantahan PAS


ARAU, 24 Feb (Hrkh)- Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah menolak bantahan PAS terhadap calon Umno Dato' Ismail Kassim yang mencabar Timbalan Mursyidul Am Pas Dato' Dr Haron Din di P003 Parlimen Arau kerana tidak dapat mengemukakan bukti perletakan jawatan sebagai Senator.

Menurut peguam Zulmi Sabri yang mengemukakan bantahan tersebut, mendakwa Ismail masih lagi tidak meletakkan jawatan senator dan meminta beliau mengemukakan surat perletakan jawatannya termasuk bukti pembayaran (pay slip) pendapatan untuk dilihat sebagai bukti.

Katanya jika sabit, tindakan ini adalah bertentangan dengan perkara 481(C) Perlembagaan Persekutuan yang mana calon tersebut boleh hilang kelayakan bertanding kerana masih lagi memegang jawatan berpendapatan.

Dalam pada itu, Haron Din ketika ditemui kesal kerana SPR menolak bantahan PAS dan akan berbincang untuk melakukan tindakan susulan terhadap isu terbabit.

"Kita tidak puas hati dengan penjelasan SPR itu dan mahukan keadilan dalam kes ini," katanya.

Dr Haron adalah calon terawal sekali menyerah borang pencalonan di Dewan,Sivik Arau jam 9.11 pagi tadi manakala lawannya yang merupakan adik kepada Menteri Besar Perlis Dato' Seri Shahidan Kassim.

Turut sama menyerahkan borang pencalonan Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin bagi mempertahankan kerusi dewan undangan negeri kawasan DUN Sanglang, satu-satunya kerusi yang dimenangi PAS pada pilihan raya umum 2004.

Selain itu empat calon PAS turut bertanding di kawasan masing-masing seperti Abu Bakar Ali di N11 DUN Pauh;Che Nordin Ahmad di N12 Tambun Tulang yang mencabar Shahidan Kassim, Ahmad Adnan Fadzil di N13 Guar Sanji dan Rus'sele Eizian di N14 Simpang Empat.

Sementara turut menarik perhatian ialah dua beradik,bekas pegawai istana Dato' Hassan Din dan Ishak Din yang hadir memberi sokongan kepada Dr Haron dengan diiringi sejumlah kira-kira 1,500 penyokong yang berarak dari rumah Ustaz Ahmad Ali ke Dewan Sivik Arau.

Pengumuman calon-calon yang bertanding telah dibuat oleh Pegawai Pengurus SPR Mohd Daud Abdul Hamid dan disiarkan secara langsung oleh RTM tengah hari tadi

Tiada ulasan: