24 Feb 2008

Kemenangan di Dun Kijang akan menjana kemenangan besar PAS di Kelantan

KENYATAAN MEDIA

Pihak Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) telahpun mengisytiharkan calon PAS, bekas Senator Wan Ubaidah bt Omar menang tanpa bertanding bagi kerusi DUN N. 05 Kijang, Kelantan di Hari Penamaan Calon hari ini. Kerusi DUN Kijang dalam parlimen Pengkalan Chepa ini dahulunya disandang oleh Naib Presiden PAS Dato' Husam Musa, yang kini bertanding di DUN N.17 Salor.

Kemenangan awal 1-0 buat PAS dan Barisan Alternatif di Kelantan ini diyakini akan menyemarakkan lagi semangat dan iltizam para petugas dan penyokong parti untuk melipatgandakan lagi usaha mereka bagi memastikan kerajaan "Membangun Bersama Islam" PAS Kelantan akan kekal untuk penggal yang kelima berturut-turut.

Presiden dan seluruh pimpinan serta ahli-ahli PAS bersyukur dan bergembira dengan perkembangan terbaru ini. Kemenangan yang dicapai oleh wakil Muslimat PAS ini mudah-mudahan akan menjadi inspirasi kepada semua tenaga Muslimat dan wanita PAS seluruh negara untuk memastikan kejayaan calon-calon PAS lain semasa Hari Mengundi pada 8 Mac nanti.
24 Febuari 2008

Roslan Shahir bin Datuk Mohd Shahir Sekretariat Media Pilihanraya Umum, PAS Pusat

Tiada ulasan: