Oleh Greenboc
Tinggal hanya beberapa hari lagi, perhimpunan 100,000 untuk menuntut pilihanraya bebas, bersih dan adil akan berlansung di Dataran Merdeka 10 November ini.
Ini adalah satu perhimpunan sekalian rakyat. Ini adalah perhimpunan aman bagi menyerahkan memorandum kepada Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agong. Ini adalah perhimpunan raksaksa bagi memanifestasikan keluhan rakyat mengenai perjalanan sistem pilihanraya di negara ini yang terlalu banyak sumbing dan tempangnya. Justeru, tiada sebab ia perlu dihalang oleh sesiapa samada polis mahupun kerajaan sendiri.
Banyak pula kebelakangan ini desas-desus dan usaha-usaha untuk menggagalkan perhimpunan ini. Kononnya ianya tidak berpermit, kononnya peserta perhimpunan akan dihalang dengan cara termasuk sekatan jalanraya menuju ke Dataran Merdeka, kononnya anggota FRU telah bersap sedia untuk "menggempur" perserta perhimpunan, kononnya nanti ada yang bakal "tertembak" dan 1001 jenis desas-desus lain yang cuba untuk menakutkan orang ramai untuk turut serta perhimpunan berkenaan.
Kita ingin nyatakan kepada mereka BAHAWA semakin kuat rakyat dihalang akan semakin kuat penentangan yang datang, semakin kejam rakyat diperlakukan semakin membara semangat rakyat untuk berada di jalanan bagi mempastikan kezaliman itu berakhir dan semakin tinggi keangkuhan kerajaan untuk menutup suara rakyat maka semakin cepat kerajaan yang ada di campakkan ke lembah kekalahan dan kehinaan.
Kita ingin menyeru kepada pihak Polis agar tidak secara wewenangan melakukan sekatan-sekatan ataupun tindakan-tindakan provokasi ataupun penyalah-gunaan kuasa untuk mendera dan bertindak kejam ke atas para hadirin yang hadhir di perhimpunan berkenaan.
Sudah cukup banyak kejadian di masa lalu polis-polis telah bertindak ganas dan kasar, menggunakan kekerasan tidak kena pada tempatnya, menyembur gas pemedih mata secara kejam dan zalim semata-mata beralasan untuk menyuraikan satu perhimpunan aman, menyeret-memukul-mendera rakyat menjadi tabiat polis di mana sahaja demontasi aman diadakan, provokasi polis serta pengunaan senjata api untuk "menembak" rakyat yang tidak berdosa adalah insiden Batu Burok yang masih segar di dalam ingatan sekalian rakyat.
Kepada sekalian rakyat, kita serukan agar JANGAN GENTAR dan JANGAN TAKUT kepada sebarang kezaliman dan kekejaman yang mugkin berlaku. Precedent mahkamah telah pun ada untuk menjutawankan mereka yang disiksa dan didera polis. Keputusan mahkamah 18 Oktober lalu dimana Sdra Abd. Malek Hussin dibayar ganti rugi sebanyak RM2.5 juta atas penderaan serta penahanan secara salah selama 57 hari pada zaman reformasi lain sepatutnya menjadi peransang untuk sekalian rakyat marhaen yang tidak bersalah untuk tidak lagi gentar dengan sebarang ugutan polis atau sesiapa sahaja selepas ini. Itu habuan yang tidak kecil, namun yang lebih penting darinya ialah usaha bakti tuan-tuan untuk mewariskan kepada rakyat dengan satu sistem pilihanraya yang telus, adil dan bersih.
Rakyat telah sekalian lama dikatunkan oleh pemerintah dengan sistem pilihanraya yang kotor, jijik lagi berat sebelah. Diperbodohkan pula oleh menteri-menteri alang kepalang kematangannya yang kini menjaga kementerian-kementerian penting di dalam negara. Rakyat dihina dengan tindak-tanduk pegawai-pegawai kerajaan seperti Peguam Negara dan Biro Pencegah Rasuah dengan pembebasan perasuah-perasuah dari kalangan orang ternama. Pengundi-pengundi ditipu hidup-hidup oleh Suruhanjaya Pilihanraya yang gagal menjalankan amanah negara supaya bertindak adil dan saksama. Rakyat dihidangkan dengan berita-berita yang senget sebelah oleh media massa arus perdana. Kesemuanya ini perlu dihentikan segera dan perhimpunan 10 November adalah titik mulanya!
Dan tiada siapa berhak untuk menahan dan menghalang rakyat untuk bertemu Yang Di Pertuan Agong jika Yang Di Pertuan Agong sendiri sudah sedia menerima rafak sembah rakyatnya.
APA YANG ANDA PERLU LAKUKAN
Peserta perhimpnan perlu menjaga disiplin sepanjang masa kerana kita berhimpun secara aman. Kita berhimpun untuk merafak sembah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong.
Hadirkan diri dan jangan timbulkan lakukan apa-apa tindakan sebelum mendapat izin dan makluman dari pimpinan perhimpunan.
Datang dan sertai kelompok orang yang ramai mengikut pertubuhan masing-masing dan jangan berjalan sendirian.
Jangan membawa senjata api atau apa-apa juga benda-benda tajam atau bahan bakar.
Jangan berlari, jangan membaling apa-apa, jangan rosakkan sebarang kenderaan atau apa juga yang ditemui di sepanjang jalan seperti pokok-pokok, tanaman bunga, papantanda, bendera dan sebagainya serta jangan memaki atau berbahasa kesat kepada sesiapa sahaja.
Elakkan menghisap rokok di sepanjang jalan kerana puntung rokok yang dibuang mungkin boleh mengakibatkan kebakaran dan kemusnahan.
Seandainya kenderaan anda ditahan oleh polis
1) Dapatkan kad kuasa polis yang menahan dengan baik untuk pastikan beliau sememannya seorang anggota polis.
2) Ambil gambar dari beberapa kamera yang berbeza terhadap insiden itu
3) Jangan lari, jangan takut tetapi jangan timbulkan sebarang ketegangan
4) Kawal emosi serta berhubung dengan pimpinan sekadar segera
Polis yang berpakaian preman (SB-SB) amat mahir untuk menimbulkan provokasi di dalam keadaan-keadaan seperti itu. Justeru itu tuan-tuan pastikan:
1) mengenali provokator yang bertindak lain dari apa yang diarahkan pimpinan
2) mengenalpasti mereka yang melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak sepatutnya ada di dalam sebarang perhimpunan aman seperti membakar bendera, membaling batu, memaki hamun, merosakkan kenderaan dan harta benda serta bertindak ganas
3) mengambil gambar-gambar mereka dan perlakuan mereka dari kamera atau videocam yang banyak dan berbeza-beza (penting untuk evidence jika ada kes mahkamah dan penting juga jika satu rampas ada 10 yang lain)
4) bertanya kawan jika ada yang mengenali "orang yang bertindak ganjil" itu
5) bertindak untuk menasihat "perbuatan ganjil" itu dihentikan
6) melihat kelompok yang membawa sepanduk/banner, supaya hanya sepanduk/banner yang diluluskan sahaja dibawa (ertinya tiada sepanduk/banner yang bermaksud lain daripada motif atau motto perhimpunan)
7) pakaian yang digunakan oleh peserta tidak ada tulisan atau gambar motif keterlaluan, sebaik-baiknya pakaian berwarna kuning atau memakai pakaian rasmi perhimpunan.
Semuga PERHIMPUNAN 10 NOVEMER 2007 ini berjaya dengan cemerlangnya dan menjadi titik tolak baru di dalam sejarah kebangkitan rakyat negara ini serta mendapat keberkatan Allah s.w.t. hendaknya.
greenboc - jumpa di sana...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan