26 Sep 2013

[GAMBAR & VIDEO] Penghormatan Terakhir Buat Allahyarham Ust. Azizan, Agong Turut Ziarah


Yang di-Pertuan Agong ziarahi jenazah Ustaz Azizan

POKOK SENA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah berangkat menziarahi jenazah mantan Menteri Besar Kedah, Tan Sri Ustaz Azizan Razak di Dewan Kompleks PAS Pokok Sena, Jalan Langgar, jam 4.05 petang tadi.

Tengku Bendahara Kedah turut menziarahi jenazah Allahyarham pada jam 3.50 petang.

Antara yang hadir menziarahi jenazah Allahyarham Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali dan para pemimpin PAS di semua peringkat.

Orang ramai turut berpusu-pusu memberikan penghormatan terakhir sebelum jenazah disembahyangkan sebaik selesai solat Asar. -HD




Ustaz Tan Sri Azizan Dalam Kenangan..

Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan bin Abdul Razak , 69, meninggal dunia pada jam 11:15 pagi hari ini di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

Ustaz Azizan merupakan Menteri Besar Kedah ke-10 selepas Datuk Mahdzir Khalid. Beliau juga merupakan Pesuruhjaya PAS Kedah serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau, Kedah.

Beliau menjadi Menteri Besar pada 9 Mac 2008 selepas PAS dan Parti KeADILan Rakyat membentuk kerajaan negeri Kedah atas kemenangan dalam pilihan raya umum Malaysia 2008.

Pada 16 Julai 2008, Ustaz Azizan telah dikurniakan Darjah Seri Paduka Mahkota Kedah (SPMK) yang membawa gelaran “Datuk Seri”.Pada 1 Jun 2013 beliau telah menerima Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang turut membawa gelaran Tan Sri. Beliau adalah satu-satunya pemimpin PAS yang menerima gelaran Tan Sri.

Ustaz Azizan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungai Limau, Beliau pernah belajar di Maktab Mahmud pada tahun 1959-1965. Ustaz Azizan berkelulusan Sarjana Muda Syariah dari Universiti al-Azhar dan undang-undang dari Universiti Kent, Canterbury, United Kingdom.

Ustaz Azizan pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Jabatan Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau juga merupakan Pengarah Urusan Harakah dan tenaga pengajar di sekolah yang didudukinya iaitu Maktab Mahmud, Alor Setar pada tahun 1966. Fasih bahasa Filipina

Beliau pernah menjadi pensyarah pelawat Mindanao State University, Filipina dan pensyarah sambilan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)(1983-1984, 1986-1995). Beliau fasih berbahasa Melayu (loghat Kedah), bahasa Inggeris,bahasa Arab dan bahasa Filipina.

Beliau mula menyertai PAS pada tahun 1978 di England. Pada tahun 1986 beliau bergiat aktif dengan PAS di Malaysia. Beliau merupakan Naib Presiden PAS (2003-2005), Ketua Penerangan PAS Pusat (2001-2003), Ahli Majlis Syura Ulama PAS (1991 hingga kini) Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1993 hingga sekarang) selain menjadi Pesuruhjaya PAS Kedah (2000 hingga sekarang), Setiausaha Perhubungan PAS Kedah (2000 hingga sekarang) dan mewakili PAS ke MAPEN (1989). Beliau memenangi DUN Sungai Limau (dahulu dikenali sebagai DUN Sala) selama lima penggal mulai 1995 hingga 2013 mengalahkan calon dari Barisan Nasional.

Ustaz Azizan memang diketahui mengalami masalah kesihatan. Ini menyebabkan terdapat khabar angin beberapa pihak yang mahu beliau digantikan dengan orang lain. Datuk Mukhriz Mahathir selaku timbalan pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah pernah menggesa Azizan digantikan oleh Exco Datuk Amiruddin Hamzah kerana kesihatannya terjejas. Presiden PAS, Datuk SeriAbdul Hadi bin Awang menjelaskan tiada cadangan itu setakat ini.

Menafikan

Ustaz Azizan Abdul Razak menafikan beliau tidak profesional berbanding Mahdzir Khalid, bekas Menteri Besar Kedah.Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah tidak hutang dengan kerajaan pusat untuk bayar gaji. Hasil balak sampai RM70 juta setahun. Masa BN cuma RM8 juta. Banyak pula buat projek membazir. BN bagi JKKK (Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung) guna duit pusat.

“Saya bagi MKK (Majlis Keselamatan Kampung) guna duit kerajaan negeri. Kerajaan PAS Kedah tidak boleh banyak buat pembaharuan kerana hanya menang 16 kerusi (PAS 16 , PKR 3 dan BN 11).Manakala PAS Kelantan mentadbir lebih 30 tahun dengan banyak majoriti,” katanya.

Larangan pusat hiburan beroperasi pada bulan Ramadan ditarik balik selepas berunding dengan Exco PKR S. Manikumar dan Lim Soo Nee.Sebelum itu, kerajaan mahu melaksanakan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 sepenuhnya.Enakmen itu diperkenalkan 14 tahun lalu oleh kerajaan BN tetapi BN sendiri tidak menguatkuasakannya .

13 jenis hiburan itu termasuklah pertunjukan pancaragam, persembahan nyanyian di hotel, restoran dan bar, warung kopi, karaoke dan disko. MCA dan Gerakan mambantah larangan itu dan Penasihat DAP Lim Kit Siang mahu membawa larangan itu mesyuarat kepimpinan Pakatan Rakyat.

Setiausaha Publisiti DAP kebangsaan Tony Pua mencadangkan partinya keluar Pakatan Rakyat ekoran isu hiburan itu. Kaum Cina merayakan “Festival Hantu Lapar” pada bulan Ogos.

Pembedahan

Ustaz Azizan mahu mendedahkan pihak yang menyebabkan Kedah kerugian berjuta-juta ringgit dalam proses rawatan air .Pada 5 Oktober 2010,Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Nawawi Ahmad menggesa laporan dibuat kepada SPRM. Sebelum ini PAS dipertikaikan kerana menaikkan tarif air.

Ustaz Azizan diketahui menghidap penyakit kencing manis sejak sekian lama. Beliau juga pernah menjalani pembedahan pintasan jantung pada 2005.[Atas sebab itu, beliau terpaksa selalu ke hospital bagi menjalani pemeriksaan berkala dan mendapatkan rawatan, sehingga pernah mempengerusikan mesyuarat penting di hospital.

Pada Ogos 2011, Ustaz Azizan dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk membuat pemeriksaan perubatan berkala (susulan) pembedahan lalu. Beliau menjalani imbasan MRI(pengimejan resonans magnetik) dan rawatan menstabilkan tekanan darah tinggi di samping mengawal paras gula.

Manakala pada 6 Mei 2013, beliau dimasukkan ke Pusat Perubatan Kedah selepas merasa sakit di kakinya. Beliau dipindahkan ke ICU di Hospital Pulau Pinang keesokan harinya, di mana kemudian beliau mengalami koma. Bagi mengelakkan jangkitan merebak, kedua-dua belah kaki beliau terpaksa dipotong di bawah lutut pada 9 Mei.

Kekalahan kerajaan PAS Kedah pada pilihanraya umum lalu dikatakan kerana perebutan kuasa di antara golongan ulama, Ustaz Azizan dan golongan profesional, Amiruddin Hamzah untuk menjadi Menteri Besar. BN Kedah berjaya mengekpolitasi isu ini dan berjaya menumbangkan kerajaan PAS.

Pada 5 Mei lalu Ustaz Azizan menang dengan majoriti 2,774 undi mengalahkan calon BN, Mohd Fadzillah Mohd Ali dan dua calon Bebas, Abdullah Hashim dan Sobri Ahmad.

Ustaz Azizan mendapat 13,294 undi manakala Mohd Fadzillah memungut 10,520 undi. Abdullah (Bebas) mendapat 100 undi dan Sobri mendapat 84 undi.

Dengan kematian Ustaz Azizan, pilihanraya kecil DUN Sungai Limau akan diadakan dalam tempoh 60 hari. Alfatihah buat beliau. -FMT


“Cengih” Azizan Razak digeruni kawan dan lawan


BELASUNGKAWA. Pagi ini Malaysia dikejutkan dengan kematian bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Razak yang pernah memimpin negeri jelapang padi itu selama sepenggal dari 2008 hingga 2013.

Azizan meninggal dunia kira-kira jam 11.10 pagi ini di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada umur 69 tahun selepas menghadapi komplikasi jantung sejak dua hari lalu.

Bekas Setiausaha Akhbarnya, Helmi Khalid mengesahkan kematian Azizan kepada The Malaysian Insider pagi ini.

Penulis dan seorang lagi wartawan The Malaysian Insider, Md Izwan pernah diberikan peluang untuk menemuramah Azizan secara eksklusif pada Mac lalu untuk mendengar sendiri rancangan Pesuruhjaya PAS Kedah itu untuk berhadapan dengan lawan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Ketika diwawancara di Pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, Azizan pada waktu itu yang dikatakan sedang sakit kelihatan segar dan bersemangat.

Semasa ditanya penulis apakah janji yang bakal diberikan kepada pengundi Kedah menjelang PRU13, dengan bersahaja Azizan menjawab: “Tiada janji, kita tambah penambahbaikan sajalah.”

Dalam wawancara selama dua jam itu, Azizan kadang kala cengih atau “cengey” iaitu loghat utara yang merujuk kepada garang.

Kadang kala beliau membuat lawak jenaka sehingga penulis dan orang yang berada di sekeliling tertawa.

Dengan latar belakang pendidikan agama dan pengalaman mengajar di universiti tempatan dan luar negara, Azizan menjawab semua soalan yang ditanya dengan mudah.

Selepas wawancara itu, penulis tidak pernah mempunyai kesempatan melihat bekas menteri besar itu lagi.

Bagaimanapun, PAS yang dipimpin Azizan gagal mempertahankan negeri itu daripada Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Mukhriz Mahathir semasa PRU13 walaupun beliau berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau.

Mukhriz selepas itu menjadi menteri besar Kedah yang baru.

Setiausaha Perhubungan Umno Kedah, Datuk Othman Aziz dalam reaksinya terhadap kematian Azizan, berkata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Limau itu sering meletakkan kepentingan negeri berbanding perbezaan politik.

“Tan Sri Azizan seorang yang berjiwa besar. Boleh bekerjasama dengan semua pihak tanpa mengira fahaman politik,” kata Ahli Parlimen Jerlun itu ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Setiausaha Perhubungan PAS Kedah, Senator Datuk Yusof Husin menganggap pemergian Azizan sebagai satu kehilangan besar bagi negara.

“Kerja Ustaz Azizan ini orang tidak dapat baca. Hanya orang yang rapat dengannya sahaja nampak wawasan dia.

“Walaupun orang kata, patah tumbuh hilang berganti, tapi tidak akan sama,” katanya.

Takziah diucapkan kepada seluruh ahli keluarga Azizan atas pemergiannya. Al-Fatihah.
-TMI

Kembalinya Sebutir Permata Islam Ke Rahmatullah


Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak kembali ke rahmatullah jam 11.10 pagi ini di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Jenazah almarhum akan disemadikan di Muasasah Darul Ulum, di sini petang ini.

Keadaan kesihatan Azizan sebelum ini dilaporkan kritikal kerana menghadapi masalah jantung yang serius.

Beliau dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar sejak dipindahkan dari Hospital Pulau Pinang bulan lepas dan terpaksa diberi bantuan kecemasan pukul 3 pagi Rabu.

Menteri Besar Kedah ke-10 selepas Datuk Seri Mahdzir Khalid itu diketahui umum menghidap kencing manis sejak sekian lama dan pernah menjalani pembedahan pintasan jantung pada 2005.

Pada Ogos 2011, Azizan dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk membuat pemeriksaan perubatan berkala (susulan) pembedahan lalu.

Beliau menjalani imbasan MRI (pengimejan resonans magnetik) dan rawatan menstabilkan tekanan darah tinggi di samping mengawal paras gula.

Pada 6 Mei 2013, beliau dimasukkan ke Pusat Perubatan Kedah selepas berasa sakit di kaki dan dipindahkan ke ICU di Hospital Pulau Pinang keesokannya sebelum dilaporkan koma.

Bagi mengelakkan jangkitan merebak, kedua-dua kakinya terpaksa dipotong pada 9 Mei.

Beliau adalah Pesuruhjaya PAS Kedah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau, Kedah.

Beliau menjadi Menteri Besar selepas PAS dan PKR membentuk kerajaan negeri Kedah atas kemenangan dalam pilihan raya umum pada 2008.

Pada 1 Jun 2013 beliau antara penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Beliau menerima Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri.

Azizan pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Jabatan Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau juga merupakan Pengarah Urusan Harakah dan tenaga pengajar di sekolah yang didudukinya iaitu Maktab Mahmud, Alor Setar pada 1966.

Beliau pernah menjadi pensyarah pelawat Mindanao State University, Filipina dan pensyarah sambilan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)(1983-1984, 1986-1995).

Beliau adalah Naib Presiden PAS (2003-2005), Ketua Penerangan PAS Pusat (2001-2003), Ahli Majlis Syura Ulama PAS (1991 hingga kini) Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1993 hingga sekarang) selain menjadi Pesuruhjaya PAS Kedah (2000 hingga sekarang), Setiausaha Perhubungan PAS Kedah (2000 hingga sekarang) dan mewakili PAS ke MAPEN (1989).

Beliau memenangi DUN Sungai Limau (dahulu dikenali sebagai DUN Sala) mulai 1995 hingga 2013 mengalahkan calon dari Barisan Nasional. Alfatihah...

Ni Apa barang? K'jaan Bazir RM15 Juta Taja Kelab Bola Sepak Vincent Tan!


Perbelanjaan kerajaan melalui Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan berjumlah £3 juta atau melebihi RM15 juta melalui penajaan jersi “Front of Shirt Sponsorship” adalah tidak wajar dan membazir.

Penajaan tersebut disalurkan kepada Kelab Bola Sepak Cardiff City milik ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan (gambar) untuk tempoh setahun.

Perbelanjaan tersebut tidak akan berupaya membayar balik melalui tarikan pelancong hanya dari United Kingdom khususnya Negara Eropah Barat.

vinni-tan_getty_2645418bMungkin perbelanjaan tersebut menjurus kepada bantuan kerajaan yang disalurkan kepada ahli perniagaan, Tan Sri Vincent Tan yang memiliki secara langsung Kelab Bola Sepak EPL Cardiff City tersebut. Persoalan lain ialah mengapa kelab bola sepak EPL Cardiff City dan bukannya kelab bola sepak Liga Inggeris yang lain?

Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan sepatutnya lebih kreatif dalam urusan mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2014 selain daripada menaja logo Tahun Melawat Malaysia 2014 di stadium Cardiff.

Peruntukan sebanyak itu sepatutnya disalurkan kepada Kementerian yang bertanggungjawab dalam membantu kelab-kelab bola sepak tempatan yang sekian lama mengalami kekurangan dana atau sekurang-kurangnya dilaburkan kepada latihan-latihan pemain-pemain muda berbakat yang mampu bersaing dengan pemain antarabangsa.

Rujukan:

Jawapan pertanyaan lisan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan di Dewan Rakyat pada 24 September 2013

Soalan:

YB Tuan Hee Loy Sian minta MENTERI PELANCONGAN DAN KEBUDAYAAN menyatakan:-
a) Jumlah perbelanjaan Kerajaan daripada menaja jersi Kelab Bolasepak Cardiff City dan tempoh penajaan; dan
b) Bagaimana penajaan jersi bola sepak berkenaan dapat menarik pelancong ke Malaysia.

Jawapan:

Datuk Seri Mohamed Nzari Abdul Aziz
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan

Tuan Yang di-Pertua,

a) Kos keseluruhan bagi menaja “Front of Shirt Sponsorship” ini adalah sebanyak £7.35 juta. Daripada jumlah tersebut, pihak Kementerian menampung sebanyak £3 juta bagi sepanjang musim Liga Perdana Inggeris 2013/2013.
Nilai publisiti dan perhubungan awam yang dianggarkan dapat diperolehi daripada penajaan ini di peringkat global adalah seperti berikut:
i) Jumlah penonton televisyen seramai 720 juta orang;
ii) Masa siaran tayangan televisyen sebanyak 217,000 jam; dan
iii) Melibatkan lebih 80 rakan penyiar (broadcasting partner) antarabangsa.

Penajaan ini juga termasuk mengadakan pameran sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 di stadium Cardiff sepanjang musim perlawanan dan hak untuk mempamerkan logo Tahun Melawat Malaysia 2014 sepanjang musim perlawanan.
b) Melalui penajaan jersi Kelab Bola Sepak Cardiff City Football Club telah dapat memperkasakan lagi promosi Tahun Melawat Malaysia 2014 secara global serta menjadikan Malaysia sebagai Top of The Mind Destination mencapai sasaran ketibaan pelancong. Program kerjasama ini juga berpotensi besar dalam meningkatkan bilangan kedatangan pelancong ke Malaysia terutamanya hih end tourist daripada negara pasaran khususnya pasaran daripada United Kingdom dan Eropah Barat dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan bilangan kedatangan pelancong ke Malaysia yang disasarkan sebanyak 28 juta oranfg pada tahun 2014. Pasaran pelancong-pelancong daripada United Kingdom dan Eropah merupakan pasaran long haul yang utama bagi Malaysia. -KD
,br>

Kelab bola sepak Vincent Tan ditaja lebih RM15 juta?


Ahli parlimen Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian telah mempersoalkan perbelanjaan kerajaan berjumlah lebih RM15 juta melalui penajaan jersi “Front of Shirt Sponsorship” dengan melabelkannya sebagai usaha yang membazir.

“Perbelanjaan tersebut tidak akan berupaya membayar balik melalui tarikan pelancong hanya dari United Kingdom, khususnya negara Eropah Barat,” kata Hee.

Penajaan tersebut disalurkan kepada Kelab Bola Sepak Cardiff City milik ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan untuk tempoh satu tahun.

Hee juga menganggap bahawa perbelanjaan tersebut menjurus kepada bantuan kerajaan melalui Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan kepada Tan Sri Vincent Tan.

“Persoalan lain ialah mengapa kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) Cardiff City dan bukannya kelab bola sepak Liga Inggeris yang lain?

“Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan sepatutnya lebih kreatif dalam urusan mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2014 selain daripada menaja logo Tahun Melawat Malaysia 2014 di stadium Cardiff,” tegas Hee.

Beliau juga berpendapat bahawa peruntukan sebanyak itu sepatutnya disalurkan kepada Kementerian yang bertanggungjawab dalam membantu kelab-kelab bola sepak tempatan yang sekian lama mengalami kekurangan dana.

“Peruntukan itu sekurang-kurangnya harus dilaburkan kepada latihan pemain-pemain muda berbakat yang mampu bersaing dengan pemain antarabangsa,” tambah Hee.

Hee di parlimen semalam telah meminta Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz untuk menyatakan jumlah perbelanjaan kerajaan daripada menaja jersi bola sepak Cardiff City dan tempoh penajaan serta bagaimana penajaan jersi bola sepak berkenaan dapat menarik pelancong ke Malaysia.

Dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Hee, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz telah menyatakan bahawa kos keseluruhan bagi menaja “Front of Shirt Sponsorship” adalah sebanyak £7.35 juta.

“Daripada jumlah tersebut, pihak Kementerian menampung sebanyak £3 juta bagi sepanjang musim Liga Perdana Inggeris 2012/2013,” kata Datuk Seri Nazri.

Tambah Datuk Seri Nazri, penajaan ini juga termasuk mengadakan pameran sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 di stadium Cardiff sepanjang musim perlawanan dan hak untuk mempamerkan logo Tahun Melawat Malaysia 2014 sepanjang musim perlawanan.

Datuk Seri Nazri juga berpendapat bahawa program ini berpotensi besar dalam meningkatkan bilangan kedatangan pelancong ke Malaysia terutamanya “high-end tourists” daripada negara pasaran, khususnya pasaran daripada United Kingdom dan Eropah Barat. Tambahnya, ini akan menyumbang kepada peningkatan bilangan kedatangan pelancong ke Malaysia yang disasarkan sebanyak 28 juta orang pada tahun 2014.
-FMT

Benarkah MB S'ngor Sudah Terlupakan Jasa PAS?


Khalid Ibrahim jangan lupa budi PAS - Shahbudin Husin

Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim terlihat tidak matang apabila seakan-akan melenting dengan teguran Pemuda PAS Selangor yang mempersoalkan kemerosotan pasukan bola sepak negeri itu sehingga gagal masuk ke peringkat suku akhir dan mengaitkannya dengan kekurangan penajaan dan menyebabkan ramai pemainnya berhijrah ke pasukan lain untuk musim depan.

Dalam jawapan balasnya terhadap kritikan Timbalan Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohd Sany Hamzan itu, Khalid menjelaskan bahawa syarikat Menteri Besar Incorporated (MBI) menyalurkan kira-kira RM7 juta setahun kepada pasukan bola sepak negeri atau dalam erti kata lain melebihi kos pembinaan sebuah masjid.

"Bermakna adakah Pemuda PAS berminat kita buat masjid atau menggalakkan bola sepak. Kita kena buat pilihan," kata Khalid lagi.

Sesiapa pun yang membaca kenyataan Khalid itu pasti akan geleng kepala, kalau pun tidak memaki dan menyumpah seranah terhadapnya. Apa kaitannya pembinaan masjid dengan pembangunan bola sepak? Penasihat kerajaan negeri Selangor, Anwar Ibrahim yang sedang berada di luar negara sekarang juga pastinya turut geleng kepala dan sedikit terganggu percutiannya dengan kenyataan Khalid yang tidak matang dan dan separuh masak itu.

Dalam erti kata lain, jika sebelum ini ada menteri yang mengatakan tukarlah makan ikan dan daging kerana harga ayam sudah mahal, tanamlah sayur kerana sayur mahal, pindahlah ke luar negara atau duduk dalam hutan jika tidak setuju dengan undang-undang dan sistem pilihan raya, jangan beli rumah jika rumah begitu mahal, gula akan dinaikkan harganya kerana rakyat banyak penyakit kencing manis dan sebagainya lagi, ternampak bahawa Khalid juga sudah dijangkiti aliran pemikiran yang sama sekarang ini.

Tiada jauh bezanya beliau dengan menteri-menteri Umno yang selama ini mengeluarkan kenyataan tidak masuk akal dalam sesuatu isu yang melibatkan rakyat.

Khalid jelas tidak boleh ditegur dan dikritik sedangkan niat Pemuda PAS membuat teguran itu adalah dengan niat yang baik, lebih-lebih lagi pasukan Selangor adalah pasukan yang hebat dengan sejarahnya sebelum ini dan kegagalan memasuki peringkat suku akhir adalah sesuatu yang memalukan.

Jika tidak dibendung dan tidak diperbaiki segera serta pemain bola sepak yang berbakat pula dibiarkan dipancing oleh pasukan lain yang mempunyai dana lebih besar, tidak mustahil musim depan pasukan Selangor lebih merosot prestasinya dan mungkin untuk masuk ke pertandingan Piala Malaysia pun tidak layak.

Dalam hal ini, teguran dan kritikan Pemuda Selangor tidak ada salah dan celanya, lebih-lebih lagi PAS dan PKR bersama-sama berada dalam Pakatan Rakyat yang membentuk kerajaan negeri Selangor sekarang ini.

Teguran Pemuda PAS tentunya bukan saja kerana merasakan mereka adalah rakan dalam gabungan tetapi juga kerana Khalid dan kerajaan negeri selalu berbangga sebelum ini dengan kemampuan mengumpulkan rizab tunai melebihi RM2 bilion yang digambarkah sebagai tanda aras pentadbiran yang cekap, berhemah dan telus.

Tetapi tentunya tiada gunanya berbangga dengan rizab sebanyak itu jika untuk pembangunan bola sepak pun terlalu berkira dan menjadi haji bakhil sehingga digambarkan jika pembangunan bola sepak terpaksa menggunakan dana yang melebihi RM7 juta, maka pembinaan masjid akan terjejas.

Bukankah antara tujuan berjimat cermat dan mengumpulkan tabungan itu supaya akhirnya duit itu dapat dibelanjakan untuk faedah rakyat dan kepentingan negeri dan membangunkan bola sepak serta mencipta kejayaan adalah juga sebahagian daripada usaha kerajaan negeri yang membangkitkan rasa banggga di hati rakyat.

Tentulah lebih membanggakan lagi jika di ketika bola sepak terus mahu, syiar Islam dan pembinaan masjid juga tidak tergendala.

Tolonglah Khalid, janganlah buat lawak yang membuatkan rakyat jadi meluat. Perbandingan antara bola sepak dan masjid langsung tidak kena dan memalukan rekod serta prestasinya sebagai tokoh korporat dan pentadbir yang dibanggakan selama ini.

Kalau pun mahu membuat perbandingan, janganlah bandingkan bola sepak dengan masjid. Macam menghina agama pula bunyinya dan seolah-olah mengeluarkan lebih daripada RM7 juta untuk bola sepak merupakan suatu dosa besar sedangkan ada tabungan berjumlah RM2 bilion. Apakah rizab tunai RM2 bilion itu mahu disimpan dalam bank saja?

Kenyataan Khalid ini turut menimbulkan rasa kurang senang Pengerusi PKR Selangor, Azmin Ali yang segera menyindir dalam Twitternya dengan antara lain menulis, "jom kita bermain bola sepak dan jangan lupa ke masjid" dan "tahniah PKNS FC, tapi jangan lupa ke masjid".

Di kalangan rakyat biasa juga ramai yang bersungut dan mencebik bibir kepada Khalid atas kenyataan tidak matang dan sikap haji bakhil yang ditunjukkan itu. Malah ada yang bertanya, apa sudah jadi Khalid sekarang sedangkan dulu sikap dan perangainya tidaklah sebegitu?

Dalam menempelak Pemuda PAS yang berniat baik membuat kritikan demi pembangunan bola sepak negeri Selangor serta dalam masa yang sama membuat perbandingan tidak logik antara bolas epak dan masjid, Khalid juga seharusnya tidak lupa bahawa kerusi yang didudukinya sekarang ini adalah atas ehsan PAS juga berikutan PAS menang lebih banyak kerusi berbanding PKR dalam pilihan raya umum lalu.

Hanya atas dasar kesepakatan dan memikirkan PAS sudah ada Kelantan untuk ditadbir dan DAP ada Pulau Pinang, maka persetujuan diberi kepada PKR untuk menjadi Menteri Besar di Selangor supaya masing-masing mempunyai kuasa yang seimbang dalam Pakatan Rakyat.

Tetapi melihat cara Khalid melibas Pemuda PAS seolah-olah beliau terlupa budi dan jasa PAS itu. – shahbudindotcom

Pelakon Anita Baharom Lebih Tenang Selepas Bertudung


Pelakon yang dikenali menerusi drama bersiri ‘Dunia Baru’, Anita Baharom mendedahkan yang dia kini berasa lebih tenang selepas mengenakan tudung semenjak beberapa bulan yang lalu.

“Alhamdulillah, kini selepas bertudung, saya rasa lebih tenang. Sebenarnya, saya sudah lama berniat untuk mengenakan hijab. Namun saya tak tahu bila masanya.

Beberapa bulan yang lalu, suami saya yang merupakan seorang penerbit di sebuah stesen televisyen menjalani penggambaran di Tanah Suci Mekah dan perubahan saya bermula selepas mendapat pengalaman di sana,” jelas Anita memulakan perbualan.

“Hati saya tergerak untuk mengikut sekali suami saya ke sana. Tujuan saya bukanlah hendak ‘kacau’ suami menjalani penggambaran tetapi saya memang sudah lama pasang niat ke Mekah.

Alang-alang suami saya mahu ke sana, jadi saya sudah mempunyai mahram untuk menunaikan ibadah Umrah. Alhamdulillah, saya mula mengenakan tudung ketika berada di lapangan terbang sebelum berlepas ke Mekah sehinggalah ke hari ini,” ujar Anita lagi.

25 Sep 2013

Bancian Al-Jazeera: 91.4% Responden Kata Roadmap Al-Sisi Akan Gagal


Majoriti penonton Al-Jazeera telah meramalkan bahawa Peta Jalan (Roadmap) yang dilaksanakan oleh tentera Mesir akan gagal.

Seperti dikutip dari Middle East Monitor, Rabu (25/9/2013), jejak pendapat itu menunjukkan bahwa 91.4 peratus dari mereka yang disoalselidik menyatakan tidak percaya pada peta jalan tersebut dan meramalkan bahwa roadmap itu akan gagal. Roadmap itu diumumkan Menteri Pertahanan Mesir Abdul Fattah-Al-Sisi pada 3 Julai lalu, ketika pihak tentera melakukan kudeta.

Sekitar 13,848 orang responden memberikan suaranya dalam jejak pendapat itu, hanya sekitar 8.2 persen dari mereka menyatakan keyakinannya dalam peta jalan.

Ketika Presiden sah Mesir, Mohammed Morsi dikudeta oleh tentera, dengan pantas Al-Sisi mengumumkan roadmapnya untuk Mesir, lalu diikuti dengan penahanan dan pertumpahan darah yang dilakukan oleh junta tentera terhadap rakyatnya.

Anak Muda Akan Tetap "Sambut" Obama Sekalipun Menteri Kata Jangan


Saranan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mustapa Mohamad supaya jelajah anti Obama dan anti TPP dihentikan tidak akan dilayan penganjurnya.

Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Edy Noor Reduan berkata, pihaknya dan rakan sekutu tetap akan meneruskan jelajah seperti yang dijadualkan.

"Saranan beliau (Mustapa) supaya kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama tidak disambut dengan protes besar-besaran turut tidak akan diendahkan.

"SAMM ingin menegaskan bahawa pentingnya jelajah ini diteruskan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai betapa perjanjian TPP ini bakal mengheret negara ke kancah penjajahan moden dalam bentuk ekonomi," katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Jelajah #BantahObama #TolakTPP kini memasuki siri ke-5 yang berlangsung di Taman Meru, Ipoh, Isnin lalu.

Ujarnya lagi, program tersebut akan bergerak ke sembilan lagi lokasi di seluruh negara.

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Menteri kata jangan tetapi 'sambut' Obama diteruskan

Gabungan NGO membantah Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) tidak peduli terhadap gesaan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri agar menghentikan siri jelajah anti Obama dan anti TPPA.

Sebaliknya jurucakap gabungan, Badrul Hisham Shahrin yang juga Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berkata, mobilasi rakyat bagi 'menyambut' kedatangan Presiden Amerika Syarikat (AS) Barrack Obama ke Malaysia pada 11 Oktober depan akan diteruskan mengikut jadual.

Beliau berkata, mereka mahu Obama melihat sendiri aksi rakyat yang tidak bersetuju dengan TPPA.

"Menteri (Mustapa) bukan sahaja keliru dan tak faham tujuan kita tapi cuba mengelirukan dewan.

"Kita bantah TPPA yang masih dalam rundingan kerana orang Umno sendiri pun tak tahu isi kandungan perjanjian sebaliknya selepas empat tahun baru boleh dedah isi kandungan perjanjian.

"Jadi siri mobilisasi dan himpunan akan diteruskan bagi menunjukkan bantahan kita," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily semalam.

Bercakap di Dewan Rakyat pagi semalam, Mustapa meminta supaya kehadiran Obama tidak disambut dengan protes besar-besaran sepertimana yang sedang disusun melibatkan pelbagai pihak.

Beliau turut berkata, siri jelajah juga tidak wajar diteruskan memandangkan Malaysia masih berunding dengan negara-negara yang terlibat dengan TPPA.

SAMM bersama Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dengan kerjasama Gabungan Membantah TPPA (Bantah) dengan pendokong utamanya Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) sedang mengadakan jelajah Bantah TPPA yang bermula 17 September lalu.

Berikut merupakan jadual Jalajah TPPA sehingga 10 Oktober:

26 September: Kompleks Pendidikan ISlam, Badak, Bachok, Kelantan
27 September: Jalan Gong Pasir, Dungun, Terengganu
28 September: Padang Balok Makmur, Kuantan, Pahang
1 Oktober : Pusat Khidmat Dun Kuala Kurau, Parit Buntar
4 Oktober : Pusat Komuniti Bakri-Bentayan, Muar, Johor
5 Oktober : Taman Asean, Bandar Melaka, Melaka
6 Oktober : Taman Tasek Jay, Senawang, Seremban, Negeri Sembilan
8 Oktober : Dewan Seri Sekinchan, Selangor
10 Oktober : Grand Finale, Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Kemuncak Jelajah #BantahOBAMA #TolakTPPA di Kelab Kg Baru, memberi ruang kepada dua tokoh ternama iatu Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berada sepentas bersama menentang Perjanjian TPPA.

Petisyen jemputan telah diserahkan kepada kedua-dua belah pihak melalui serahan tangan dan faks.
-HD

Pandikar Amin Tidak Mulia, Masih Amalkan Halau MP Pakatan Keluar Dewan

Naib Presiden PKR Ahli Parlimen pertama dihalau keluar Dewan Rakyat

Ahli Parlimen Padang Serai dari PKR, N Surendran (gambar) menjadi ahli Parlimen pertama diarah keluar sidang Dewan Rakyat oleh speaker bagi penggal ini kerana membangkitkan pertanyaan berkenaan kes kematian dalam tahanan sebelum bermulanya sesi sidang Dewan Rakyat.

Naib Presiden PKR itu diarahkan keluar serta-merta oleh Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Surendran ketika sidang media sejurus dihalau keluar berkata, beliau menggunakan Peruntukan 14 F yang membenarkan petisyen dibawa ke Dewan Rakyat sebelum sesi soal jawab.

"Mengikut Peruntukan 14 F, petisyen boleh dibawa sebelum sesi soal jawab. Tapi speaker halau saya sebab bangkitkan perkara ini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Sebelum itu, kekecohan berlaku apabila keluarga Karuna Nithi Palani Velu, individu yang terlibat dalam kes kematian dalam tahanan di Negeri Sembilan cuba memasuki kawasan sidang media namun dihalang pegawai keselamatan Parlimen.

"Tengok bahasa yang digunakan Ahli Parlimen BN, seperti 'biadap', dan itu ini. Umno menghancurkan negara ini," kata Surendran.

"Ini peringkat tertinggi kesombongan speaker yang dilantik oleh BN (Barisan Nasional)," katanya.

Surendran berkata, rayuan petisyen berkenaan dibangkitkan beliau selepas Karuna meninggal dunia dalam tahanan polis pada 1 Jun lalu dan doktor mengesahkan terdapatnya 49 kesan pukulan di badan mangsa.

Disebabkan tiada pembelaan, Surendran cuba membawa isu berkenaan ke Parlimen, namun ditolak speaker.

Pandikar bagaimanapun sejurus Surendran meninggalkan sidang berkata, tindakan itu terpaksa dilakukannya kerana tidak menghormati ahli Parlimen yang lebih senior.

"Ini bukan soal baru, ini pernah dibangkitkan ahli Parlimen yang lebih lama.

"Dalam keadaan seperti ini, suara-suara itu walaupun tidak berdiri saya dengar juga, jangan suatu hari nanti saya halau juga, jangan," katanya memberi amaran. -TMI

Budaya Samseng Dan UMNO Tak Dapat Dipisahkan


Calon Majlis Tertinggi Umno, Mohd Ariff Abdul Aziz yang mendakwa dipukul ketika menghantar borang pencalonan untuk jawatan Ketua Bahagian Umno Titiwangsa, Sabtu lalu meminta pihak polis menyegerakan siasatan kes itu.

Menurut Mohd Ariff, dia turut mengenali pihak yang memukulnya itu kerana individu berkenaan turut memegang jawatan dalam Umno Bahagian Titiwangsa.

"Gejala samseng dalam Umno perlu dihapuskan agar ia tidak memberi imej buruk kepada parti terbesar dalam negara ini.

“Di bahagian lain semuanya berjalan lancar, tetapi kenapa berlaku kejadian ini untuk bahagian Titiwangsa,” katanya kepada media, semalam.

Mohd Ariff berkata, kes pukul berkenaan tidak boleh dikaitkan dengan Datuk Johari Abdul Ghani kerana pada masa itu Ketua Umno Bahagian Titiwangsa itu masih belum menghantar borang untuk mengekalkan jawatannya.

"Namun, saya menafikan kenyataan Datuk Johari yang menganggap kejadian pukul ini merupakan satu drama yang dilakukan untuk memburukkan nama beliau.

“Ia memang betul berlaku dan laporan polis juga saya telah buat termasuk pemeriksaan doktor.

“Mungkin Datuk Johari tidak percaya kerana saya masih belum menyerahkan laporan polis ini kepadanya atas sebab kekangan masa. Insya-Allah esok (hari ini) saya serahkan kepadanya," katanya.

Mohd Ariff dalam pada itu meminta mana-mana pihak agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan siasatan pihak berkuasa.

“Biar pihak polis dan lembaga disiplin parti melakukan siasatan seterusnya mengenakan tindakan terhadap pihak yang bersalah,” katanya. -SH

‘Hentikan budaya samseng dalam Umno’


Calon Majlis Tertinggi Umno, Mohd Ariff Abdul Aziz, 57, hari ini mahu pimpinan Umno pusat menghentikan penularan budaya samseng di dalam Umno ekoran kejadian yang menimpa beliau.

“Umno tidak memerlukan pemimpin bersifat gangster. Sila singkirkan mereka,” kata beliau dalam satu sidang media di sini.

Beliau telah pun menghantar surat cadangannya kepada pengerusi jawatankuasa disiplin Umno, Tengku Ahmad Rithaudeen Ismail dan pengerusi jawatankuasa pemilihan Umno, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali.

Surat sama akan diberikan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dua hari lalu, Ariff bercadang menghantar borang pencalonan di PWTC untuk bertanding kerusi Ketua Bahagian Umno Titiwangsa telah dipukul oleh Setiausaha Kerja Umno Titiwangsa, Noryumisza Abu Nasir.

Beliau yang cedera terpaksa mendapatkan rawatan perubatan di Hospital Kuala Lumpur. Satu laporan polis telah pun dibuat di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Beberapa jam sebelum itu, beliau telahpun mendaftarkan diri sebagai calon untuk kerusi ahli majlis tertinggi Umno. Beliau merupakan salah seorang daripada 64 calon yang bertanding untuk 25 kerusi ahli majlis tertinggi.

Pemangku Ketua Bahagian Umno Titiwangsa sekarang ialah Datuk Johari Abdul Ghani Beliau yang akan mempertahankan jawatan beliau telahpun menafikan dakwaan Ariff.

“Bila tiada orang nak lawan saya, jadi mereka reka cerita ada orang kena pukul. Saya rasa ini satu usaha untuk jatuhkan saya.

“Saya bukan orang seperti itu, siapa lakukan perkara seperti ini, kita akan pastikan mereka kena pecat daripada Umno,” kata Johari kepada akhbar Sinar Harian dua hari lalu.

Dalam akhbar sama hari ini, Johari mendakwa kejadian ini ialah satu drama lakonan semata – mata.

Mengulas kenyataan ini, Ariff berharap pihak polis akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya.

Ariff turut memberitahu bahawa beliau telah menerima pesanan ringkas melalui telefon dari Noryumisza.

“Dia minta maaf kepada saya kerana menyangka saya akan menghantar pencalonan untuk kerusi ketua bahagian Umno Titiwangsa. Saya tidak berbuat demikian.

“Dia juga redha untuk menghadapi apa saja hukuman sewajarnya,” kata Ariff.


ULASAN GB

Hukum Kebenaran & Keadilan terus berjalan. Akhirnya kini terbukti budaya samseng itu budaya UMNO. Selama ini PR menjadi mangsa samseng-samseng UMNO ini. Kini calon MT UMNO sendiri menjadi mangsanya.

Tapi aneh, belum didengar pihak polis menangkap samseng-samseng UMNO ini.

Ikhwan Jordan Kecam Perlarangan Kegiatan Ikhwan di Mesir


Kumplan Ikhwanul Muslimin di Jordan telah mengecam keputusan mahkamah Mesir yang melarang semua kegiatan Ikhwanul Muslimin. Mereka menyatakan keputusan itu satu usaha untuk menghidupkan kembali penindasan dan kezaliman yang pernah berlaku di Mesir.

“Para pendukung kudeta tentera Mesir mengambil keputusan ini bertentangan dengan keinginan rakyat setelah mereka gagal untuk mendapat kepercayaan mereka,” kata Zaki Bani Rsheid, Wakil Ketua Ikhwanul Muslimin Jordan di akaun Facebook-nya.

“Para pendukung kudeta berusaha untuk menghidupkan kembali penindasan dan tirani serta kekuasaan tentera berlaku mutlak. Mereka ingin mencengkam oposisi dan mengubah semua orang menjadi pengikutnya.”

Mahkamah Mesir pada hari Isnin kelmarin juga memerintahkan penyitaan seluruh aset Ikhwan dan ini menjadi pukulan terbaru bagi gerakan Islam yang telah berusia puluhan tahun tersebut.

Mahkamah juga melarang semua lembaga yang berkait dengan Ikhwan, lapor pejabat berita rasmi MENA. Dan hal ini menunjukkan kemungkinan ada pembatasan sayap politik gerakan Ikhwan, Partai Kebebasan dan Keadilan.

Bani Rsheid mengatakan keputusan mahkamah itu menunjukkan bahwa penguasa tentera akan melalui krisis yang mendalam dan mereka dalam keadaan yang lemah dan bingung.

“Setiap hari agenda kudeta, yang terkait dengan Zionis dan beberapa negara di Teluk, menjadi semakin lebih jelas,” tambahnya.

“Kumpulan Islam di Mesir dilarang di masa lalu, tapi ini tidak mencegah mereka memperolehi kepercayaan dari rakyat Mesir,” ujarnya, meerujuk pada serangkaian kemenangan di dalam pilihanraya yang mendahului kejatuhan Mursi.

Dibentuk pada tahun 1928, Ikhwanul Muslimin dilarang selama puluhan tahun sebelum berlaku revolusi rakyat yang menggulingkan Presiden Hosni Mubarak pada tahun 2011.

Kelompok ini memenangi pemilihan parlimen berikutnya dan berhasil menaikkan Mursi dalam pemilihan presiden tahun lalu.

Ini Kenyataan Ikhwanul Muslimin Berhubung Keputusan Mahkamah Membubarkannya


Ikhwanul Muslimin mengeluarkan kenyataannya, Isnin (23/9/2013), berkaitan dengan keputusan mahkamah rejim kudeta yang membubarkan orrganisasi terbesar di Mesir itu. Berikut kenyataan tersebut yang diterjemahkan dari Dakwatuna, Selasa (24/9/2013):

“Hari ini, mahkamah Kaherah yang dipimpin oleh hakim Muhammad Sayid menjatuhkan hukuman yang melarang semua aktiviti gerakan Ikhwanul Muslimin, jemaah Ikhwanul Muslimin, semua yayasan cabang, atau yang ada kaitan, atau didirikan dengan dana dari Ikhwan, atau mendapatkan bantuan kewangan dan bantuan lainnya, dan lembaga-lembaga yang menerima bantuan dari Ikhwan atau anggota Ikhwan.

Selain itu, mahkamah juga membuat keputusan membekukan semua aset jemaah, baik yang berbentuk bangunan, aset bergerak, dana cair, yang dimiliki atau disewakan, maupun semua aset yang dimiliki oleh orang-orang yang ada kaitan dengan gerakan Ikhwan, untuk kemudian dimanfaatkan negara sesuai dengan undang-undang Mesir sebagaimana mestinya.

Ikhwanul Muslimin menegaskan bahwa keputusan mahkamah ini bersifat diskriminatif, balas dendam, politik, dan berusaha untuk menghancurkan pihak tertentu. Keputusan ini tidak mengejutkan, kerana tujuannya hanya untuk dijadikan untuk menutup semua kejahatan yang telah dilakukan tentera mulai dari 3 Julai lalu. Pihak tentera telah menangkap lebih dari 15 ribu orang Ikhwan, termasuk di dalamnya Mursyid ‘Am, Muhammad Badi’ dan dua orang wakilnya. Mereka juga telah membakar pejabat-pejabat Ikhwan, membunuh anggota Ikhwan, dan menuduh para peserta demonstrasi a man dengan tuduhan yang sengaja diada-adakan.

Ikhwanul Muslimin ingin mengingatkan tentera tentang para pendahulu mereka yang pernah melakukan hal yang sama. Dulu mereka mengira dapat menghilangkan Ikhwan dan anggotanya dari masyarakat Mesir.

Padahal Ikhwan adalah bahagian yang sangat penting dalam masyarakat; memberikan denyut kehidupan, membimbing, memberi dan merangkul semua lapisan masyarakat. Penerimaan masyarakat terhadap Ikhwan terbukti dengan lima kemenangannya dalam proses demokrasi. Ketika ini, demonstrasi yang terus saja terjadi di Mesir juga membuktikan bahwa masyarakat akan terus bersama Ikhwan mendukung demokrasi, menentang kudeta tentera, membela kebebasan rakyat dalam berjuang, mengembalikan kemerdekaan bangsa dan masa depan generasinya.

Keputusan yang bersifat diskriminatif, balas dendam, politik, dan berusaha menghancurkan pihak tertentu ini, dikeluarkan oleh mahkamah yang tidak memiliki kuasa untuk mengeluarkannya. Selain itu, isi keputusannya juga melebihi tuntutan yang diajukan oleh pihak penuntut.

Sebenarnya, tuntutan hanya diajukan untuk lembaga swasta yang diatur oleh undang-undang lembaga swasta. Oleh kerana itu, keputusan seperti ini belum pernah dikeluarkan oleh rejim sekejam apapun, dan di manapun. Pengeluaran keputusan ini hanyalah rentetan baru kejahatan pemerintah kudeta.

Ikhwanul Muslimin adalah fikrah, manhaj, dan jamaah. Ikhwan telah ada, dan akan selalu ada. Ikhwan akan terus berjalan menyeru semua orang kepada Allah swt., setia dengan janji kepada-Nya, dan berbakti kepada negara dan rakyatnya. Ikhwan akan terus memegang prinsip dakwahnya yang penuh hikmah, mau’izah hasanah, dilakukan dengan cara-cara yang aman dan menghormati undang-undang yang adil.

Ikhwanul Muslimin adalah dakwah yang mengajak kepada kebenaran, kekuatan dan kebebasan. Dia melintasi semua batas geografi dan politik, untuk memelihara umat dan bangsanya agar tetap berjuang demi negara, dengan tetap memegang prinsip dan menjaga manhajnya. Tujuannya adalah agar seluruh bangsa dapat hidup mulia dan merdeka dengan cahaya Islam yang diridhai Allah swt. Kejahatan penguasa tidak akan pernah melemahkan perjuangan kami.

Niscaya orang-orang yang zalim akan segera mengetahui akhir kezalimannya. Allahu Akbar Wa Lillahil Hamdu.

Ikhwanul Muslimin, 23 September 2013


ULASAN GB

GB tertarik dengan perenggan terakhir kenyataan di atas iaitu:

Niscaya orang-orang yang zalim akan segera mengetahui akhir kezalimannya.

GB sentiasa, di dalam blog ini mengingatkan pihak tertentu tak kira siapa dan dimana termasuk di Malaysia ini bahawa rancangan jahat dan zalim itu tidak akan menimpa orang lain, sebaliknya akan menimpa mereka yang merancangnya.

Itu adalah hukum kebenaran dan keadilan. Itu adalah hukum Allah dan tercatat jelas d dalam Al-Quran:


Sambil bersikap sombong di bumi dan berusaha merancangkan rencana jahat, dan tidak ditimpakan dengan rancangan yang jahat itu melainkan orang yang merancangkannya sendiri. Maka tiada yang mereka tunggu melainkan seperti berlakunya kebinasaan ke atas orang yang telah lalu. Kerana engkau tidak akan mendapati perubahan bagi Sunnatullah, dan engkau tidak akan mendapati Sunnatullah itu menyimpang.[Fatir: 43]

24 Sep 2013

Pelatih PLKN Mati Dibunuh


Seorang pelatih berumur 18 tahun dipercayai dibunuh di kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Muadzam Shah, Pahang kerana dikatakan memotong barisan semasa sarapan pagi pada Ahad lalu.

Sehubungan itu, tiga pelatih berumur 17, 18 dan 21 ditahan polis bagi membantu penyiasatan kes bunuh berkenaan.

Mangsa, Muhammad Suhaimi Norhamidi ditemui tidak sedarkan diri di bilik mandi kem itu pada 12.04 pagi dan disahkan meninggal dunia ketika tiba di Hospital Muadzam Shah.

Terdapat tanda kecederaan di belakang telinganya, dipercayai disebabkan oleh objek keras.

Bedah siasat awal mendapati Suhaimi mati kerana kecederaan di bahagian otak.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Mohd Haris Dau mengatakan tiga yang ditahan berasal dari Johor dan Pahang.

Katanya siasatan awal mendapati mangsa menyebabkan kemarahan beberapa pelatih PLKN lain apabila memotong barisan pada Ahad.

Ini menyebabkan pergaduhan pertama antara mangsa dan tiga yang lain beberapa jam kemudian.

Mohd Haris berkata, pergaduhan kedua berlaku pada 11.30 malam dan 30 minit selepas itu, mangsa ditemui tidak sedarkan diri di lantai bilik mandi.

Terdapat 22 kematian semenjak PLKN diperkenalkan pada Disember 2003 termasuk mati lemas, jangkitan kuman dan masalah kesihatan lain.

Ini merupakan kes pertama mangsa dibunuh di kem latihan PLKN. Pada 2004, gadis berumur 17 tahun dirogol oleh jurulatih PLKN yang kemudiannya dipenjarakan selama 12 tahun.

Dr Syed Azman Mengaku Tidak Bersalah Anjur Black 505


Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas tuduhan menganjurkan Perhimpunan Black 505 tanpa mematuhi arahan daripada polis pada 22 Jun di Padang Merbok.

Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, 52, didakwa menganjurkan perhimpunan yang melanggar syarat yang ditetapkan oleh OCPD Dang Wangi bahawa kebenaran diperlukan daripada pemilik padang terlebih dahulu , Dewan Bandaraya, sebelum apa-apa perhimpunan boleh diadakan di sana.

  OCPD Dang Wangi pada masa yang itu ialah Penolong Pesuruhjaya Polis, ACP Zainuddin Ahmad.

 Syed Azman didakwa melakukan kesalahan itu di Padang Merbok, Jalan Parlimen di sini, diantara jam 2 hingga 6 petang pada 22 Jun.

 Timbalan Setiausaha Agung PAS itu turut mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan alternatif gagal menyertakan salinan kebenaran daripada pihak polis untuk mengadakan perhimpunan tersebut.

 Kesalahan alternatif yang didakwa berlaku di tempat, masa, dan tarikh yang sama.

 Kedua-dua kesalahan yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10, 000 di bawah Seksyen 15 (3) dan 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 Akta masing-masing.

Hakim Mahkamah Sesyen, Mat Ghani Abdullah menetapkan dua hari bermula 9 Disember sebagai tarikh kes perbicaraan.

Ikat jamin ditetapkan sebanyak RM3,000.

Hakim turut menetapkan 22 Oktober sebagai tarikh pengurusan kes bagi memastikan dokumen lengkap sebelum perbicaraan penuh diadakan. 

Tiga orang adalah Muhammad Adib Ishar, 24 dari sektariat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli, 36, dan Ahli Parlimen DAP Anthony Loke Siew Fook, 36.

Hakim juga membenarkan permohonan dari Timbalan pendakwa Raya Nurulhuda Muhammad Nor supaya Syed Azman dibicarakan bersama tiga orang yang dihadapkan dengan tuduhan serupa. Peguam Ariff Azami Hussein bertindak bagi Syed Azman.

Mahkamah Mesir Haramkan Aktiviti Ikhwanul Muslimin


Mahkamah di Kaherah telah mengharamkan "semua aktiviti-aktiviti" yang dijalankan oleh Ikhwanul Muslimin, demikian lapor Ahram Online

Keputusan yang diputuskan semalam terpakai kepada pertubuhan tersebut, NGO dan "mana-mana organisasi yang dibentuk olehnya," kata hakim.

Mahkamah juga mengarahkan kerajaan sementara Mesir untuk merampas dana pertubuhan itu dan membentuk sebuah panel untuk mentadbir aset yang dibekukan sehingga apa-apa rayuan telah didengar.

Satu sumber Ikhwanul Muslimin memberitahu Ahram Online, mereka akan membuat rayuan dalam masa sepuluh hari.

Pertubuhan Islam itu telah wujud di luar undang-undang Mesir selama beberapa dekad dan hanya secara rasmi didaftarkan sebagai NGO pada Mac 2013.

Tuntutan itu difailkan oleh parti berhaluan kiri, Tagammu.

Keputusan yang diputuskan itu bukanlah satu-satunya cabaran kepada kewujudan kumpulan Islam yang berusia 85 tahun itu.

Pada 2 September lalu, Lembaga Pesuruhjaya Negeri Mesir, sebuah badan yang menasihatkan kerajaan mengenai isu-isu undang-undang, mengesyorkan pembubaran Ikhwan selepas dakwaan mereka terlibat dengan pengganas bersenjata.

Cadangan pihak berkuasa itu - yang tidak terikat - telah dibuat selaras dengan Undang-undang 84 tahun 2002, yang melarang organisasi dan institusi bukan kerajaan daripada membentuk kumpulan separa tentera.

Pihak berkuasa Mesir telah melancarkan tindakan keras terhadap kumpulan berikutan penyingkiran Presiden Mohamed Mursi - yang berasal dari Ikhwanul Muslimin - oleh pihak tentera pada 3 Julai.

Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, Mohamed Badie, dan ramai pemimpin tertinggi dan peringkat pertengahan telah ditahan dan berhadapan dengan tuduhan termasuk hasutan keganasan terhadap lawan mereka.

Pada 17 September, pendakwa raya Mesir membekukan aset beberapa pemimpin kanan Ikhwan dan Islamis lain yang terkenal sebagai sebahagian daripada siasatan hasutan keganasan semasa demonstrasi.

Mohamed Badie, timbalan mursyidul am Khairat El-Shater, setiausaha agung Ezzat Ibrahim dan pemimpin kanan Mohamed El-Beltagy adalah antara berpuluh-puluh pemimpin Islam terkemuka disasarkan oleh pihak berkuasa.

Langkah mengharamkan aktiviti Ikhwanul Muslimin dan cabang politiknya, Parti Kebebasan & Keadilan dilihat oleh ramai permerhati politik sebagai usaha kerajaan Mesir untuk menghalang Dr.Mursi kembali sebagai Presiden dan menafikan penyertaan Ikhwanul Muslimin di dalam pilihanraya yang bakal diadakan.