26 Sep 2013

Ustaz Tan Sri Azizan Dalam Kenangan..

Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan bin Abdul Razak , 69, meninggal dunia pada jam 11:15 pagi hari ini di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

Ustaz Azizan merupakan Menteri Besar Kedah ke-10 selepas Datuk Mahdzir Khalid. Beliau juga merupakan Pesuruhjaya PAS Kedah serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau, Kedah.

Beliau menjadi Menteri Besar pada 9 Mac 2008 selepas PAS dan Parti KeADILan Rakyat membentuk kerajaan negeri Kedah atas kemenangan dalam pilihan raya umum Malaysia 2008.

Pada 16 Julai 2008, Ustaz Azizan telah dikurniakan Darjah Seri Paduka Mahkota Kedah (SPMK) yang membawa gelaran “Datuk Seri”.Pada 1 Jun 2013 beliau telah menerima Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang turut membawa gelaran Tan Sri. Beliau adalah satu-satunya pemimpin PAS yang menerima gelaran Tan Sri.

Ustaz Azizan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungai Limau, Beliau pernah belajar di Maktab Mahmud pada tahun 1959-1965. Ustaz Azizan berkelulusan Sarjana Muda Syariah dari Universiti al-Azhar dan undang-undang dari Universiti Kent, Canterbury, United Kingdom.

Ustaz Azizan pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Jabatan Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau juga merupakan Pengarah Urusan Harakah dan tenaga pengajar di sekolah yang didudukinya iaitu Maktab Mahmud, Alor Setar pada tahun 1966. Fasih bahasa Filipina

Beliau pernah menjadi pensyarah pelawat Mindanao State University, Filipina dan pensyarah sambilan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)(1983-1984, 1986-1995). Beliau fasih berbahasa Melayu (loghat Kedah), bahasa Inggeris,bahasa Arab dan bahasa Filipina.

Beliau mula menyertai PAS pada tahun 1978 di England. Pada tahun 1986 beliau bergiat aktif dengan PAS di Malaysia. Beliau merupakan Naib Presiden PAS (2003-2005), Ketua Penerangan PAS Pusat (2001-2003), Ahli Majlis Syura Ulama PAS (1991 hingga kini) Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1993 hingga sekarang) selain menjadi Pesuruhjaya PAS Kedah (2000 hingga sekarang), Setiausaha Perhubungan PAS Kedah (2000 hingga sekarang) dan mewakili PAS ke MAPEN (1989). Beliau memenangi DUN Sungai Limau (dahulu dikenali sebagai DUN Sala) selama lima penggal mulai 1995 hingga 2013 mengalahkan calon dari Barisan Nasional.

Ustaz Azizan memang diketahui mengalami masalah kesihatan. Ini menyebabkan terdapat khabar angin beberapa pihak yang mahu beliau digantikan dengan orang lain. Datuk Mukhriz Mahathir selaku timbalan pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah pernah menggesa Azizan digantikan oleh Exco Datuk Amiruddin Hamzah kerana kesihatannya terjejas. Presiden PAS, Datuk SeriAbdul Hadi bin Awang menjelaskan tiada cadangan itu setakat ini.

Menafikan

Ustaz Azizan Abdul Razak menafikan beliau tidak profesional berbanding Mahdzir Khalid, bekas Menteri Besar Kedah.Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah tidak hutang dengan kerajaan pusat untuk bayar gaji. Hasil balak sampai RM70 juta setahun. Masa BN cuma RM8 juta. Banyak pula buat projek membazir. BN bagi JKKK (Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung) guna duit pusat.

“Saya bagi MKK (Majlis Keselamatan Kampung) guna duit kerajaan negeri. Kerajaan PAS Kedah tidak boleh banyak buat pembaharuan kerana hanya menang 16 kerusi (PAS 16 , PKR 3 dan BN 11).Manakala PAS Kelantan mentadbir lebih 30 tahun dengan banyak majoriti,” katanya.

Larangan pusat hiburan beroperasi pada bulan Ramadan ditarik balik selepas berunding dengan Exco PKR S. Manikumar dan Lim Soo Nee.Sebelum itu, kerajaan mahu melaksanakan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 sepenuhnya.Enakmen itu diperkenalkan 14 tahun lalu oleh kerajaan BN tetapi BN sendiri tidak menguatkuasakannya .

13 jenis hiburan itu termasuklah pertunjukan pancaragam, persembahan nyanyian di hotel, restoran dan bar, warung kopi, karaoke dan disko. MCA dan Gerakan mambantah larangan itu dan Penasihat DAP Lim Kit Siang mahu membawa larangan itu mesyuarat kepimpinan Pakatan Rakyat.

Setiausaha Publisiti DAP kebangsaan Tony Pua mencadangkan partinya keluar Pakatan Rakyat ekoran isu hiburan itu. Kaum Cina merayakan “Festival Hantu Lapar” pada bulan Ogos.

Pembedahan

Ustaz Azizan mahu mendedahkan pihak yang menyebabkan Kedah kerugian berjuta-juta ringgit dalam proses rawatan air .Pada 5 Oktober 2010,Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Nawawi Ahmad menggesa laporan dibuat kepada SPRM. Sebelum ini PAS dipertikaikan kerana menaikkan tarif air.

Ustaz Azizan diketahui menghidap penyakit kencing manis sejak sekian lama. Beliau juga pernah menjalani pembedahan pintasan jantung pada 2005.[Atas sebab itu, beliau terpaksa selalu ke hospital bagi menjalani pemeriksaan berkala dan mendapatkan rawatan, sehingga pernah mempengerusikan mesyuarat penting di hospital.

Pada Ogos 2011, Ustaz Azizan dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk membuat pemeriksaan perubatan berkala (susulan) pembedahan lalu. Beliau menjalani imbasan MRI(pengimejan resonans magnetik) dan rawatan menstabilkan tekanan darah tinggi di samping mengawal paras gula.

Manakala pada 6 Mei 2013, beliau dimasukkan ke Pusat Perubatan Kedah selepas merasa sakit di kakinya. Beliau dipindahkan ke ICU di Hospital Pulau Pinang keesokan harinya, di mana kemudian beliau mengalami koma. Bagi mengelakkan jangkitan merebak, kedua-dua belah kaki beliau terpaksa dipotong di bawah lutut pada 9 Mei.

Kekalahan kerajaan PAS Kedah pada pilihanraya umum lalu dikatakan kerana perebutan kuasa di antara golongan ulama, Ustaz Azizan dan golongan profesional, Amiruddin Hamzah untuk menjadi Menteri Besar. BN Kedah berjaya mengekpolitasi isu ini dan berjaya menumbangkan kerajaan PAS.

Pada 5 Mei lalu Ustaz Azizan menang dengan majoriti 2,774 undi mengalahkan calon BN, Mohd Fadzillah Mohd Ali dan dua calon Bebas, Abdullah Hashim dan Sobri Ahmad.

Ustaz Azizan mendapat 13,294 undi manakala Mohd Fadzillah memungut 10,520 undi. Abdullah (Bebas) mendapat 100 undi dan Sobri mendapat 84 undi.

Dengan kematian Ustaz Azizan, pilihanraya kecil DUN Sungai Limau akan diadakan dalam tempoh 60 hari. Alfatihah buat beliau. -FMT


“Cengih” Azizan Razak digeruni kawan dan lawan


BELASUNGKAWA. Pagi ini Malaysia dikejutkan dengan kematian bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Razak yang pernah memimpin negeri jelapang padi itu selama sepenggal dari 2008 hingga 2013.

Azizan meninggal dunia kira-kira jam 11.10 pagi ini di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada umur 69 tahun selepas menghadapi komplikasi jantung sejak dua hari lalu.

Bekas Setiausaha Akhbarnya, Helmi Khalid mengesahkan kematian Azizan kepada The Malaysian Insider pagi ini.

Penulis dan seorang lagi wartawan The Malaysian Insider, Md Izwan pernah diberikan peluang untuk menemuramah Azizan secara eksklusif pada Mac lalu untuk mendengar sendiri rancangan Pesuruhjaya PAS Kedah itu untuk berhadapan dengan lawan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Ketika diwawancara di Pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, Azizan pada waktu itu yang dikatakan sedang sakit kelihatan segar dan bersemangat.

Semasa ditanya penulis apakah janji yang bakal diberikan kepada pengundi Kedah menjelang PRU13, dengan bersahaja Azizan menjawab: “Tiada janji, kita tambah penambahbaikan sajalah.”

Dalam wawancara selama dua jam itu, Azizan kadang kala cengih atau “cengey” iaitu loghat utara yang merujuk kepada garang.

Kadang kala beliau membuat lawak jenaka sehingga penulis dan orang yang berada di sekeliling tertawa.

Dengan latar belakang pendidikan agama dan pengalaman mengajar di universiti tempatan dan luar negara, Azizan menjawab semua soalan yang ditanya dengan mudah.

Selepas wawancara itu, penulis tidak pernah mempunyai kesempatan melihat bekas menteri besar itu lagi.

Bagaimanapun, PAS yang dipimpin Azizan gagal mempertahankan negeri itu daripada Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Mukhriz Mahathir semasa PRU13 walaupun beliau berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau.

Mukhriz selepas itu menjadi menteri besar Kedah yang baru.

Setiausaha Perhubungan Umno Kedah, Datuk Othman Aziz dalam reaksinya terhadap kematian Azizan, berkata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Limau itu sering meletakkan kepentingan negeri berbanding perbezaan politik.

“Tan Sri Azizan seorang yang berjiwa besar. Boleh bekerjasama dengan semua pihak tanpa mengira fahaman politik,” kata Ahli Parlimen Jerlun itu ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Setiausaha Perhubungan PAS Kedah, Senator Datuk Yusof Husin menganggap pemergian Azizan sebagai satu kehilangan besar bagi negara.

“Kerja Ustaz Azizan ini orang tidak dapat baca. Hanya orang yang rapat dengannya sahaja nampak wawasan dia.

“Walaupun orang kata, patah tumbuh hilang berganti, tapi tidak akan sama,” katanya.

Takziah diucapkan kepada seluruh ahli keluarga Azizan atas pemergiannya. Al-Fatihah.
-TMI

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ya Allah..sedihnya. dlu masa aku jam panjang atas highway dari kedah, aku pernah terdetik dlm hati yg selalunya jam ni rakyat je yg rasa. menteri mana ada pernah rasa. bila depa nk lalu smua org kena bagi laluan. tp sungguh xkusangka tiba2 kereta kt sebelah aku 2 dalamnya ada ustaz azizan. patah tumbuh hilang tak berganti. mana nak cari. al-fatihah..semoga ustaz tenang disana, Amiin.