13 Mei 2010

Utusan Malaysia Dan Berita Harian Tak Siar Kerajaan Lulus Lesen Judi

Media Melayu Tutup Berita Lulus Lesen Judi

Utusan Malaysia dan Berita Harian yang dikawal oleh UMNO tidak memuatkan laporan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Najib Tun Razak meluluskan pemberian lesen judi perlawanan bola itu.

Tindakan itu disifatkan sebagai cubaan terancang untuk melindungi UMNO daripada dikritik oleh orang Melayu.

Pengumuman Bursa Saham Kuala Lumpur mengenai kelulusan lesen itu menjadi antara tajuk akhbar berbahasa Inggeris the New Straits Times dan The Star.

Namun laporan sama tidak mendapat tempat dalam akhbar Utusan Malaysia, mahupun Berita Harian walaupun ia menjadi antara berita utama semalam.

Tindakan Utusan dan Berita harian memadamkan laporan pemberiam lesen judi itu sekali lagi dilihat di pengaruhi oleh pertimbangan politik Umno dan perdana menteri sendiri.

“Saya rasa mereka tidak mahu masyarakat, khususnya masyarakat Islam tahu berkenaan ini kerana mereka tahu masyarakat bukan Islam tidak menyokong Barisan Nasional, dan yang tinggal saki bakinya tinggal masyarakat Islam Melayu, jika ini didedahkan dalam akhbar, besar kemungkinan ramai yang akan meninggalkan UMNO,jadi ini adalah usaha UMNO untuk tidak memberitahu kepada rakyat walaupun perjudian diluluskan oleh Kementerian Kewangan dan kabinet, ini satu tindakan yang terdesak yang saya fikir untuk mendapatkan sumber kewangan yang berpunca daripada sumber haram" ujar Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Naib Presiden PAS Mahfuz Omar pula berkata, berita lesen judi baru diluluskan sengaja digelapkan oleh dua akhbar itu untuk memberi ruang kepada pimpinan Umno mengaut keuntungan secara haram bagi mengisi dana politik parti.

“Sebahagian daripada ini, pulangan kepada tabung dana untuk UMNO menghadapi pilihanraya umum akan datang, dan termasuk, saya percaya bahawa inilah yang akan mengisi dana untuk membeli undi dan wakil-wakil rakyat samada di peringkat DUN dan sebagainya, dan saya percaya sebelum inipun mungkin wang daripada syarikat-syarikat judi itulah yang diguna untuk membeli adun-adun yang melompat atau ahli-ahli parlimen yang melompat untuk dibayar pada mereka”

Bukan Islam Juga Sokong Pengharaman Judi, Apa Hal UMNO?

Langkah kerajaan memperkenalkan lesen judi sukan merupakan tindakan yang jauh menyimpang daripada ajaran Islam sedangkan pemimpin bukan Islam dalam Pakatan Rakyat (PR) menyokong pengharaman judi tersebut.

Demikian menurut Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa tindakan tersebut juga membelakangkan tatacara kehidupan masyarakat Malaysia.

"Inilah kejayaan satu anjakan paradigma dalam aspek dakwah apabilakita memberi kefahaman kepada orang bukan Islam untuk menerima apa yang diharamkan oleh Islam," kata Abdul Hadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata Umno sebagai tulang belakang kerajaan membawa semakin banyak perkara negatif kepada negara sejak mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun lalu.

"Ia menggambarkan bahawa kerajaan pimpinan Umno-BN yang ada sekarang ini telah muflis idea dan membawa negara mundur ke belakang, ke arah yang lebih jauh daripada ajaran Islam," katanya.

Semalam dilaporkan kerajaan meneruskan keputusannya untuk mengeluarkan lesen judi semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung awal bulan depan walaupun dibantah banyak pihak.

Kumpulan Berjaya dilaporkan mengesahkan mendapat lesen tersebut, sekaligus membolehkan pertaruhan secara sah dilakukan sebelum kejohanan berprestij itu bermula pada 11 Jun ini.

Berjaya akan menjadi syarikat tunggal pertaruhan bolasepak di negara ini yang mempunyai lesen. Ia dijangka menggunakan lebih 200 kedai pertaruhan Toto yang dimilikinya itu untuk menerima pertaruhan.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan PKR Latheefa Koya berkata, tindakan meluluskan lesen judi sebelum piala dunia menunjukkan betapa rakusnya BN untuk mengaut duit Rakyat.

"Warga Malaysia menyukai Piala Dunia dan sukan bola sepak umumnya. Menghalalkan perjudian akan hanya membawa lebih ramai orang ke dalam kancah kitaran ganas yang berakhir dengan kemiskinan dan ketagihan judi.

"Lebih teruk lagi, kerajaan BN bersekongkol dengan agensi perjudian yang tidak telus dalam urus niaga kewangan dan keuntungan mereka, berbanding dengan negara-negara lain yang mana perjudian terkawal.

"Tindakan ini hanyalah seperti skim buat duit yang tidak bertanggungjawab yang dicadangkan oleh BN serta ia merupakan permulaan yang berbahaya dan menghancurkan. Ia perlu ditolak dengan serta-merta," katanya.


Najib Lulus Lesen Judi, Ketepikan Nasib Rakyat

Tindakan kerajaan Umno-Barisan Nasional meluluskan lesen judi sukan kepada Kumpulan Berjaya telah mengenepikan sensitiviti rakyat Malaysia terutamanya masyarakat Islam yang menentang percambahan aktiviti perjuadian di negara ini.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan I memberi kelulusan itu menyebabkan rakyat akan menjadi miskin.

"Kenapa Najib tidak fikir apa yang beliau lakukan, tindakan beliau meluluskan lesen judi itu menyebabkan rakyat menjadi semakin miskin kerana sentiasa berjudi bagi mengharapkan kemenangan.

"Lebih teruk lagi kelulusan itu diberikan tanpa ada tender terbuka dilakukan bagi sesiapa yang ingin mendapat lesen tersebut. Kelulusan itu diberikan terus kepada tauke judi Tan Sri Vincent Tan yang telah kaya dan dengan kelulusan ini beliau menjadi semakin kaya.

"Kelulusan tanpa sebarang tender dan juga sebarang kertas cadangan ini melihat kerajaan hanya mementingkan kroni dan disebalik kelulusan tersebut kita tidak ketahui. Kelulusan secara terus ini dilihat telah terpesong jauh dengan Model Ekonomi Baru yang dibanggakan oleh Najib dan bersifat ejekan kepada NEM." katanya dalam satu kenyataan.

Beliau memberitahu sebelum ini Ahli Parlimen Pakatan Rakyat telah membantah sekeras-kerasnya di dalam Parlimen apabila mengetahui Najib akan memberi kelulusan judi sukan di Malaysia.

"Rakyat Malaysia terkejut apabila kerajaan Barisan Nasional telah memberi kelulusan perjudian sukan. Apakah Najib tidak pernah mengambil perhatian dengan setiap bantahan yang telah dilakukan.

"Najib patut lihak kesan yang besar akan menimpa rakyat terutamanya rakyat bukan Islam, dari segi hutang dan juga masalah sosial kerana tindakan beliau mengalakkan lagi rakyat Malaysia berjudi dan berhutang," katanya lagi.

Dasar MEB yang telah dilaungkan oleh Najib hanyalah sebagai perhiasan dan boleh dibuang ke dalam tong sampah katanya Tony lagi.

"Najib menjanjikan ketelusan dalam setiap perniagaan dan juga urusan tetapi tindakan ini telah mengenapikan semua yang termaktub di dalam MEB.

"Janji Najib hanyalah janji kosong sahaja dan rakyat perlu tahu, dalam masa dua bulan perjudian ini akan bermula dan ia juga menjadi tanda kematian untuk sebuah ekonomi model baru, selain memberi keuntungan besar ke atas pimpinan BN dan Vincent Tan.

"Rakyat marah dengan sikap Najib yang telah berjanji untuk berubah namun beliau menunjukkan secara jelas BN benar-benar tidak mahu berubah. Amalan kronisma hanya tertumpu kepada kepentingan individu tertentu dan juga pembohongan besar Najib bila menjanjikan akan melakukan sebarang urusan ekonomi secara telus dan juga tender terbuka.

"Pakatan Rakyat hari ini ingin meminta kerajaan membentuk Jawatankuasa Pilih Parlimen Khas bagi mengkaji kesan taruhan sukan judi itu di Malaysia.

Maka jika ianya diluluskan, ia perlu melalui tender terbuka bukan diberi secara terus." kaya beliau lagi. -sk



Judi Bola Bawa Hasil Kerajaan, Rakyat Dibebani Lambakan Hutang

SHAH ALAM 13 MEI: Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menyifatkan kelulusan lesen judi bola hanya mencambah gejala sosial dan moral di kalangan rakyat kerana ia dikhuatiri mengheret kaki judi dengan bebanan hutang apabila tabiat berjudi kian berleluasa.

Bercakap kepada TV Selangor, beliau juga berpendapat tindakan meluluskan lesen judi ini dibuat berikutan sumber kewangan kerajaan pemerintah kian terhad bagi menampung perbelanjaan negara.

Lebih parah lagi, Charles berkata, kelulusan ini hanya melonjakkan masalah moral apabila kaki judi menambah nilai pertaruhan manakala kaki bola pula mungkin terjebak dalam tabiat berjudi.

“Ini merupakan masalah besar yang akan dihadapi rakyat Malaysia khususnya orang miskin, baik Melayu, Cina mahupun India. Mereka akan belanja lebih wang untuk berjudi khususnya pada masa Piala Dunia Jun ini.

Ini merunsingkan dan menjadi masalah serta menyusahkan keluarga miskin, malah orang kaya sekalipun dalam hal ini,” katanya.

Mengulangi pendirian Pakatan Rakyat yang membantah sekeras-kerasnya kelulusan lesen judi bola kerana ia membawa musibah kepada semua kaum di Malaysia, beliau mengesyaki tindakan Umno BN ini mungkin ada muslihat tertentu.

Charles juga kesal kerana kelulusan lesen judi bola ini bukan sahaja tidak disenangi ramai, bahkan tidak melalui proses tender terbuka.

“Jelas bahawa tender untuk perjudian pada Berjaya Corporation nampaknya tidak ada apa-apa tender dikeluarkan. Maka, kita boleh mengatakan ini satu projek yang diberi untuk kawan-kawan dalam Umno," katanya.

Akhbar Sin Chew Daily sebelum ini melaporkan kementerian kewangan pimpinan Datuk Seri Najib Razak secara rasminya memberi lesen judi itu kepada Kumpulan Berjaya. -TVS


Ulasan GB

Ternyata Najib bersama UMNO BN mencemar dan memalukan Islam dan umat Islam.
Dah ler tak pandai agama, nasihat ulamak tak mahu didengar dan dipatuhi.

Tindakan kerajaan UMNO BN yang meluluskan judi benar-benar mengundang kemurkaan Allah.

Tunggu sahaja tsunami ke 2.

Judi : Akhirnya Harussani Bidas Najib

Mufti Perak, Datuk Dr Harussani Zakaria menyifatkan keputusan kerajaan Persekutuan meluluskan lesen judi pertaruhan bola sepak sempena kejohanan bola sepak Piala Dunia, umpama menentang hukum Syarak

Beliau berduka cita lantaran kerajaan Umno BN menghalalkan perkara yang terang-terang haram dan mengingatkan pemimpin beragama Islam yang terlibat dalam meluluskan lesen judi itu, sebagai bersyubahat mengikut peruntukan hukum syarak.

Kenyataan Mufti Perak ini menunjukkan keputusan kerajaan Umno Barisan Nasional itu bukan sahaja tidak disenangi pimpinan Pakatan Rakyat, sebaliknya dari segenap peringkat.

“Saya dukacitalah, kerana kerajaanmeluluskan judi, kerana judi ini haram dalam Islam. Jadi, kita meluluskan judi seolah-olah kita menghalalkan judi sedangkan ia haram di sisi Islam. Perbuatan ini sepatutnya dihindari,” katanya kepada TV Selangor hari ini.

Dr Harussani menegaskan umat Islam terlibat dalam aktiviti ini, hukumnya tetap haram walaupun kerajaan umno-bn bertindak menghalalkannya.

“Jadi apa hukumnya orang Islam terlibat dalam aktiviti tidak bermoral ini? Kalau orang Islam terlibat, hukumnya haram. Orang Islam yang terlibat hukumnya haram walaupun aktiviti dihalalkan oleh kerajaan,” katanya.

Ditanya apa hukum pemimpin yang terdiri dari orang Islam yang terlibat dalam meluluskan lesen judi bola, beliau menyatakan, perbuatan mereka hukumnya syubahat.

“Orang yang meluluskan bersyubahat dalam perbuatan judi. Dia luluskan benda yang haram,"
katanya lagi.

Mufti Perak itu menyifatkan tindakan pimpinan kerajaan Malaysia tidak wajar kerana kelulusan lesen judi ini hanya menggalakkan rakyat berjudi sedangkan Malaysia adalah sebuah negara yang diwar-warkan Umno sebagai negara Islam.

“Kesan tindakan ini akan menggalakkan orang terus berjudi, apatah lagi judi sudah diharamkan dalam syarak dan al-Quran, maka wajib kita pelihara. Membenarkan judi maka menggalakkan orang berjudi,” katanya.

Akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily sebelum ini melaporkan kementerian kewangan pimpinan Datuk Seri Najib Razak secara rasminya memberi lesen judi itu kepada Kumpulan Berjaya, dan pertaruhan secara sah itu boleh dibuat sebelum kejohanan bolasepak bermula 11 Jun ini.

Pada 6 Mei lalu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussein berkata, kerajaan mempertimbang kemungkinan mengeluarkan lesen pertaruhan judi sempena kejohanan Piala Dunia atas alasan mengelak pertaruhan haram. -TVS

Ulasan GB

Jika demikian jawapan Mufti Harussani, apa pula hukum orang yang menyokong pihak yang meluluskan judi? Tidakkah itu juga syubahat namanya?

Justeru itu, ayuh tinggalkan UMNO BN. Anda bersyubahat dengan Najib, anda bersyubahat dengan UMNO BN, anda bersyubahat dengan perbuatan dosa yang dilakukan. Tidak wajar seseorang yang bergelar mukmin dan Muslim bersyubahat dengan perkara-perkara yang berlawanan dengan hukum Allah. Tidak kira siapa, tak kira jawatan apa yang kamu sandang. Sayangkan agama, sayangkan kesejahteraan, sayangkan bangsa, sayangkan negara - tolak Najib, tolak UMNO BN segera. Itu sahaja jawapannya!

Undang-undang Mana Yang Halang Musa Hassan Minta Maaf Kepada Keluarga Aminul-rasyid?

Peguam keluarga Aminulrasyid Amzah, N Surendran menyatakan tiada undang-undang yang menghalang Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan meminta maaf kepada keluarga Aminulrasyid.

Ini ekoran kenyataan Musa semalam bahawa beliau tidak akan meminta maaf kepada keluarga Aminulrasyid disebabkan kemungkinan wujudnya implikasi undang-undang.

"Polis merupakan satu badan yang perkidmatan awam dan apabila berlaku kesilapan, maka mereka perlulah meminta maaf kepada masyarakat awam, dalam kes ini keluarga Aminulrasyid.

"Pilihan bukan di tangan polis samada mahu meminta maaf atau tidak, dan dalam kes Aminulrasyid, polis patut meminta maaf," tegas beliau lagi.

Surendran juga berkata sehingga kini, polis dan Pejabat Pendakwaraya langsung tidak memaklumkan kepada beliau atau keluarga Aminulrasyid berhubung perjalanan perbicaraan dakwaan terhadap seorang anggota polis, Korporal Jenain Subi yang didakwa mendatang kematian secara tidak sengaja kepada Aminulrasyid.

Tambahnya lagi, tiada maklumat langsung diberi kepada beliau atau keluarga Aminulrasyid samada anggota lain yang bersama-sama melepaskan tembakan akan didakwa atau tidak dan samada dakwaan akan dibuat terhadap anggota yang menyerang saksi utama dan rakan Aminulrasyid, Azzamuddin Omar.

"Polis dan pejabat pendakwaraya seolah-olah tidak mahu kami mengikuti ataupun mengetahui apa-apapun mengenai perjalanan kes ini, sedangkan sebagai pihak mangsa, kami patut diberitahu," kata beliau yang kesal dengan sikap dingin polis. -SK

Ulasan GB

GB turut merasa pelik dengan jawapan Musa Hassan tersebut. Undang-undang mana dan kesan perundangan apa yang menghalang KPN itu memohon maaf kepada keluarga Aminul-rasyid? Bukankah seorang koperal polis telah didakwa? Jika tidak apa ertinya pendakwaan itu, atau ia semata-mata satu sandiwara?

Hakim Perintah Prosiding Diteruskan, Tak Ubah Zaman Augustine Paul

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan penangguhan prosiding yang dikemukakan oleh peguambela Karpal Singh sementara menunggu keputusan rayuan.

Menurut hakim, Datuk Mohamad Zaibidin Mohd Diah, tidak ada alasan istimewa bagi menangguhkan prosiding sambil berkata keputusannya semalam adalah sesuatu yang mengikut procedure dan non-appeable (tidak boleh dirayu).

Justeru, katanya, perbicaraan mesti disambung.

Pagi tadi, sebaik sahaja sessi mahkamah bermula, Karpal memohon prosiding perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ditangguhkan.

"Prosiding sepatutnya ditangguhkan sehingga rayuan didengar di Mahkamah Rayuan,” kata Karpal.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan peguam Karpal bagi mendapatkan kenyataan beramaran daripada pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan yang diberikannya kepada polis.

Karpal memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan memerlukan keterangan itu kerana terdapat percanggahan antara keterangannya kepada polis dan pertuduhan liwat yang dikenakan terhadap Anwar.

Karpal berkata Saiful, dalam keterangannya kepada polis dan keterangannya di mahkamah, menyatakan dakwaan liwat itu dilakukan tanpa kerelaannya manakala pertuduhan yang dikenakan terhadap Anwar mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan adalah persetubuhan yang dipersetujui.

Mohamad Zabidin, bagaiamanpun menolaknya dengan alasan tidak ada percanggahan dalam keterangan Saiful kepada polis dan keterangannya di mahkamah, dan terpulang kepada peguam negara untuk menetapkan pertuduhan terhadap seseorang itu. -mk

Ulasan GB

Cara bagaimana keseluruhan prosiding berjalan dan bagaimana hakim membuat keputusan tak ubah seperti prosiding semasa mendiang Hakim Augustine Paul menghakimi kes liwat 1. Plotnya serupa. Semua permohonanan peguambela akan diketepikan, walaupun hujjah kukuh dan tidak dapat dipertikaikan oleh Pendakwa.

Munkin, hakim-hakim zaman mutakhir ini serupa.

Apakah kenyataan di atas menghina mahkamah. Tidak! Ia adalah pemerhatian secara keseluruhan tanpa melibatkan mana-mana hakim secara khusus.

Di bawah ini khusus, tetapi sekadar menyatakan perkara yang benar.

Hakim yang bernama Datuk Mohamad Zaibidin Mohd Diah, semalam menyatakan "Walaupun terdapat percanggahan dalam laporan polis dan pengakuan saksi. Namun kenyataan saksi tidak konflik dengan kejadian. Berdasarkan hujah itu, permohonan Karpal ditolak.”

Tidak konflik dengan kejadian? Liwat tanpa rela atau liwat suka sama suka?


Hari Ini 13 Mei : Jangan "Bergurau" Berhubung Tarikh Ini

PAS memberi amaran kepada semua pihak termasuk Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) supaya jangan sesekali “bergurau” berhubung tarikh 13 Mei kerana peristiwa berdarah itu sangat sensitif.

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata tindakan memilih tarikh 13 Mei untuk membangkitkan kesedaran orang Melayu dan mengenang peristiwa berdarah 13 Mei itu adalah satu sentimen perkauman yang sempit.

“Hari ini Gertak memberitahu bahawa tarikh 13 Mei dipilih kerana hanya ketika itu bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai masa lapang untuk hadir.

“Alasan tersebut tidak boleh diterima dan saya rasa rakyat Malaysia juga mempunyai pendapat sama,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Perhimpunan “Melayu Bangkit” anjuran Gertak, yang dijadual berlangsung hari ini ditangguhkan, dipercayai ekoran tekanan daripada pelbagai pihak khususnya PAS.

Pihak penganjur berkata ia ditangguhkan selepas mendapat arahan Institut Integriti Terengganu (IIT) kerana melibatkan isu keselamatan negara.

Pengerusi Gertak, Razali Idris berkata IIT telah menasihatkan supaya perhimpunan tersebut ditangguhkan.

“Saya mendapat arahan tersebut kira-kira pukul 2 petang tadi yang meminta supaya perhimpunan ini ditangguhkan atas sebab keselamatan negara.

“Jadi kita terpaksa akur dengan arahan tersebut dan pada masa sama menghindari daripada fitnah yang dilemparkan sebelum ini,” katanya.

Salahuddin berkata PAS tidak menghalang untuk mengadakan perbincangan yang memberi sumbangan kepada orang Melayu bukan perhimpunan untuk membangkitkan semangat dan kesedaran tentang peristiwa 13 Mei.

“Kita tidak halang sebarang program yang boleh menganjak pemikiran orang Melayu melalui pentas-pentas ilmu dan motivasi yang boleh memberi impak kepada mereka.

“Selain itu, perbincangan yang diadakan perlu mempunyai intipati yang boleh menyumbang kepada masa depan negara, orang Melayu dan bangsa lain.

“Tetapi jika program ini mengenai perbincangan untuk membangkitkan semangat 13 Mei itu yang kita tentang kerana ia boleh beri kesan buruk kepada perpaduan selain bertentangan dengan semangat keharmonian negara,” katanya.

Kira-kira 10,000 orang termasuk anggota 45 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dijangka bakal menyertai program “Melayu Bangkit” untuk membincangkan beberapa isu termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB), Wawasan 2020 dan perancangan ke arah penyatuan orang Melayu secara khusus.

“Tindakan Gertak yang membuat perhimpunan untuk membangkitkan kesedaran orang Melayu dan mengenang peristiwa berdarah 13 Mei adalah tidak relevan dengan semangat yang diamalkan sekarang.

“Kita sudah berada di abad ke-21, itu bukan pemikiran orang sekarang yang sepatutnya lebih bijak berfikir,” kata Salahuddin yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian.

Beliau mengadakan sidang media membantah penganjuran program itu di ibu negara kelmarin.

Dewan Pemuda PAS Terengganu membuat laporan polis semalam berhubung penganjuran program itu.

Dalam pada itu, Presiden MCA Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata keputusan Gertak semalam untuk menangguhkan pertemuan hari ini adalah satu berita baik.

“Kesemua rakyat Malaysia harus sensitif dengan perasaan orang lain.

“Kita mesti sensitif dengan perkara-perkara tertentu... yang mengingatkan kita tentang pengalaman pahit masa lalu, peristiwa hitam 13 Mei,” kata beliau ketika dihubungi.

Kata beliau, mana-mana pertubuhan bukan kerajaan boleh mengadakan pertemuan mereka.

“Kami tiada masalah dengan itu. Kami hanya bimbang dengan program yang berkaitan dengan peristiwa 13 Mei,” katanya.

Setiausaha Agung MIC S. Murugessan memberitahu The Malaysian Insider bahawa pihaknya gembira dengan keputusan menangguhkan pertemuan itu.

“Kami masih mengutuk program itu kerana perkara perbincangan masih sama. Jika mereka mahu bercakap mengenai isu 13 Mei dan mahu mendidik orang ramai, mereka seharusnya bercakap mengenai perpaduan bersama kesemua kaum,” katanya.

“Bagaimanapun buat masa sekarang, kami akan menunggu dan melihat konteks perancangan mereka untuk meneruskan pertemuan itu,” katanya. -TMI


Perhimpunan 13 Mei Tindakan Terdesak Umno Tarik Undi Melayu

Kerajaan Umno-Barisan Nasional terbukti begitu terdesak untuk meraih kembali sokongan rakyat khususnya kaum Melayu sehingga sanggup menggunakan sentimen perkauman sempit sebagai senjata terakhir untuk memenuhi kepentingan politik mereka.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub mengulas demikian ekoran laporan Utusan Malaysia Isnin lalu berhubung cadangan kira-kira 10,000 orang termasuk ahli 45 pertubuhan bukan kerajaan pro-Melayu menyertai program 'Melayu Bangkit' anjuran Institut Integriti Malaysia (IIM) Terengganu di Stadium Tertutup Gong Badak 13 Mei ini.

Menurut Salahuddin, Pakatan Rakyat membantah penganjuran program berkenaan kerana ia bakal mengancam keselamatan dan keharmonian hidup rakyat berbilang kaum di mana pemilihan tarikh tersebut merupakan perkara yang dirancang untuk mengembalikan sejarah tragedi rusuhan antara kaum pada 1969.

Pengerusi Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak), Razali Idris dilaporkan sebagai berkata, tarikh 13 Mei dipilih untuk membangkitkan kesedaran orang Melayu dan mengenang peristiwa berdarah yang pernah berlaku empat dekad lalu.

"Ini satu kenyataan yang serius yang menyebut secara nyata dan terang memilih tarikh tersebut sebagai satu tarikh untuk membangkitkan semangat orang Melayu.

"Ia merupakan suatu perkara yang tidak sihat, tidak perlu dan tidak wajar untuk diwujudkan dan diadakan di persada tanah air kita setelah merdeka lebih 50 tahun.

"Dan di saat Perdana Menteri bercakap tentang 1Malaysia yang menggunakan khidmat Apco membayar RM77 juta namun masih lagi nak membangkitkan satu peristiwa atau program yang sangat berunsurkan perkauman yang tidak sepatutnya wujud lagi," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS semalam.

Salahuddin juga menegaskan Pakatan Rakyat khususnya PAS menolak perbuatan segerombolan pihak tidak bertanggungjawab ini kerana perkara tersebut adalah bertentangan dengan perjuangan untuk membela semua kaum.

"PAS memandang kenyataan ini sebagai amat tidak bertamadun yang bertentangan dengan semangat yang kita bina dalam negara apatah lagi atas nama Pakatan Rakyat, kita mahu satu Malaysia yang lebih baik, adil dan saksama kepada semua kaum, semua agama tetapi tiba-tiba masih ada lagi kumpulan yang pada hari ini ingin menggunakan peristiwa berdarah 13 Mei itu untuk membangkitkan tragedi yang tidak sepatutnya diingini rakyat.

"Bukan sekadar orang Melayu, Cina mahupun India malah semua manusia yang bertamadun tidak akan membenarkan lagi peristiwa ini berlaku lagi dalam negara ini," katanya lagi.

Justeru, beliau menyeru seluruh rakyat bangkit dan menyedari tentang kewujudan kumpulan yang menyumbang tercetusnya kepada kacau-bilau dalam negara.

"Mereka perlu untuk diberitahu bahawa inilah kumpulan yang sangat berbahaya dan sangat perlu dijauhi oleh rakyat Malaysia pada hari ini.

"Kalau setakat nak bincang tentang DEB (Dasar Ekonomi Baru), nak bincang tentang masa depan orang Melayu tidak menjadi satu kesalahan tetapi bukan forumnya kita mewujudkan satu program dengan niat begitu jelas yang dibangkitkan oleh pengerusinya memilih 13 Mei itu dan menyebut tarikh itu untuk membangkitkan semangat orang Melayu.

Beliau juga bimbang IIIM Terengganu dipergunakan untuk politik sempit Umno-BN.

"Saya sangat aktif dengan IIM dan banyak perkara yang dibangkitkan dalam IIM. Tapi IIM Terengganu dilibatkan dalam program yang sangat sempit dan ekstrim ini.

"Jadi saya minta Presiden IIM, Datuk Dr Mohd Tap Salleh mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap IIM Terengganu yang boleh dipergunakan oleh puak-puak yang ekstrim ini kerana saya yakin di belakang program ini adalah Umno."

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali pula bertegas supaya program itu dibatalkan.

Menurutnya, pengajuran program berkenaan jelas melibatkan Unit Perancang Ekonomi di bawah Kerajaan Negeri Terengganu.

Beliau juga mempersoalkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dijangka akan menghadiri program itu.

"Saya nak tanya Mahathir, adakah dia nak hidupkan kembali semangat perkauman ini? Dia sebagai negarawan, nak hadir ke program sebegini. Ini yang amat dikesalkan," katanya lagi.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Fariz Musa ketika dihubungi berkata, penganjuran program berkenaan bertujuan untuk membangkitkan sentimen perkauman di kalangan melayu yang berupa mencetuskan ketegangan kaum di negara ini.

"Gertak jelas didalangi Umno kerana pimpinannya merupakan pemimpin Umno. Jadi sebab itu mereka menganjurkan program bagi membakar sentimen perkauman di kalangan orang Melayu.

"Ini menunjukkan Umno sudah semakin terdesak untuk mendapatkan sokongan orang Melayu dalam keadaan di mana orang Melayu tidak lagi memberi sokongan kepada mereka.

Katanya, perkara itu juga menunjukkan gagasan 1Malaysia yang diperkenal Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak gagal apabila Umno secara berterusan memainkan isu-isu perkauman demi kepentingan politik sempit mereka.

"Ini juga menunjukkan gagasan 1Malaysia telah gagal mewujudkan keharmonian kaum dan hanya digunakan sebagai sandiwara demi menjaga kepentingan politik Umno. Umno menjadi dalang dan bayang-bayang dalam penganjuran perhimpunan ini dengan meletakkan Gertak di hadapan. Kita mahu Umno dan NGO terbabit untuk hentikan perhimpunan itu kerana ia mampu mencetuskan keadaan huru hara dan menganggu gugat keharmonian kaum di negara kita," ujarnya. -SK



MCA dan Gerakan selar program "Melayu Bangkit"

MCA dan Gerakan menyelar program "Melayu Bangkit" yang bakal diadakan pada 13 Mei di Terengganu, malah MCA menggesa agar pemimpin parti komponen Barisan Nasional yang lain tidak menghadiri perhimpunan tersebut.

Jelas, seruan Presiden MCA, Chua Soi Lek ditujukan kepada pemimpin UMNO, agar berpegang kepada gagasan "1Malaysia" yang dijanjikan kepada rakyat. Namun, ketika ditanya semalam dalam sidang media, seandainya terdapat pemimpin yang tetap mahu hadir, Chua Soi Lek menjawab, biarpun kehadiran seseorang mungkin tidak membawa kesan negatif yang besar, tetapi cukup untuk rakyat menilai kelakuan pemimpin tersebut.

Timbalan Presiden Gerakan, Chang Ko Youn pula menggesa agar kerajaan campur tangan untuk menghalang perhimpunan 13 Mei yang berunsur perkauman oleh mana-mana pertubuhan, agar keharmonian antara kaum tidak dijejaskan.

Sambil mengakui bahawa tanggal 13 Mei sebagai detik yang bersejarah, Chang Ko Younmencadangkan ianya harus diperingati dengan bertitik tolak dari perspektif memupuk persefahaman antara kaum, dan bukannya menguar-uarkan marginisasi sesesuatu kaum.

Malah, Chang Ko Youn mempertikaikan, "Kita sering berkata bahawa jangan mengulangi sejarah, namun kita tidak pernah menghormati sejarah, sebaliknya menggunakan sejarah untuk mengancam dan menakut-nakutkan rakyat. Jadi, bagaimana kita mengambil iktibar dari sejarah?"

Pemuda KLSCAH desak PM nyatakan pendirian

Selain itu, pemuda Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor yang juga kecewa dengan perhimpunan ini mendesak agar Perdana Menteri Najib Razak dan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said untuk menyatakan pendirian mereka, sama ada mereka menyokong atau tidak perhimpunan tersebut.

Ketua Pemuda KLSCAH Ng Chong Soon menganggap perhimpunan yang dianjurkan oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) Terengganu dan Gerakan Kebangkitan Rakyat (GERTAK) ini bertentangan dengan konsep "1Malaysia" yang disarankan oleh PM.

Malah, Ng Chong Soon juga memuji keputusan pemimpin PAS untuk tidak menyokong perhimpunan perkauman tersebut, sebagai kelakuan yang harus diteladani oleh pemimpin politik yang lain.

Dalam satu kenyataan semalam, Ng Chong Soon (gambar kiri) berpandangan bahawa semua isu semasa seperti kenaikan harga barangan, kemelesetan ekonomi, keganasan polis, pencemaran alam sekitar dan lain-lain adalah masalah yang mempengaruhi kehidupan rakyat tanpa mengira kaum atau agama, dan semua slogan berunsur perkauman seperti "Melayu Bangkit", "Cina Bersatu" ataupun apa jua slogan perkauman adalah slogan yang mengelirukan rakyat serta selalu dipermainkan oleh ahli-ahli politik yang tidak bertanggungjawab.

Akhirnya, Pemuda KLSCAH menyeru agar semua rakyat bangkit dan menyokong nilai-nilai pluralisme serta hak asasi manusia dan menolak sebarang slogan dan perhimpunan yang berunsur berperkauman.

*Perhimpunan "Melayu Bangkit" telah dibatalkan setelah menerima arahan pimpinan tertinggi negara, menurut Pengerusi GERTAK, Razali Idris. -FMT


Kes Anwar-Saiful, Amat Jelas Ia Satu Konspirasi

Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin menggesa Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail supaya menggugurkan pertuduhan terhadap Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pertuduhan berniat jahat dan bersifat fitnah yang dihadapi beliau.

Shamsul berkata sepanjang perbicaraan soalbalas Mohd Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Tinggi, jelas terdapat percanggahan keterangan yang diberikan oleh saksi utama tersebut yang juga pengadu dalam kes itu.

"Pertuduhan ini sangat jelas di mana pengadu dalam kes ini tidak boleh mengelirukan mahkamah dengan membuat keterangan yang bercanggah.

"Ini kerana dalam laporan polis diketahui Saiful mengadu diliwat secara suka sama suka tetapi keterangan kemudiannya menjurus kepada dipaksa atau tanpa kerelaan. Jadi keterangan ini ternyata bercanggah," tegas beliau kepada Suara Keadilan.

Menurut Shamsul, Peguam Negara mempunyai kuasa untuk menarik balik pertuduhan ke atas Anwar berdasarkan keterangan yang jelas bercanggah sekiranya beliau berpandu kepada prinsip undang-undang.

"Kuasa yang ada pada pihak Peguam Negara, pendakwaraya dan hakim tidak boleh digunakan sesuka hati. Pra syarat asas bagi perbicaraan yang adil ialah hakim yang adil, peguam dan pendakwaraya yang adil.

"Ini membuktikan kes ini adalah satu fitnah dan konspirasi peringkat tertinggi. Ini kita melihat pendekatan pendakwaan yang berbeza diambil dalam kes melibatkan Anwar.

Tambah beliau, keterangan Saiful bahawa beliau bertemu dengan pegawai penyiasat ACP Mohd Rodwan Yusof, berjumpa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, bertemu Senator Ezam Mohd Nor serta menghubungi Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengukuhkan bukti wujudnya konspirasi peringkat tertinggi dalam kes itu.

Ini kerana hampir kesemua mereka terlibat dalam pendakwaan dan konspirasi pertama terhadap Anwar pada 1999.

"Kesemua mereka ini mendapat habuan politik, dinaikkan pangkat termasuk Ezam dilantik sebagai Senator yang jelas membuktikan kes ini merupakan satu konspirasi tertinggi dalam politik negara bagi menamatkan karier politik Anwar.," kata Shamsul lagi.

"Kuasa yang ada kepada Peguam Negara bukan mutlak, ia adalah kuasa yang perlu dipandu undang-undang. Justeru kita mendesak Peguam Negara menarik balik pendakwaan berlandaskan undang-undang," kata Shamsul lagi.

Jelas beliau lagi, Anwar bukan sahaja dinafikan hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil termasuk mendapatkan senarai saksi daripada pendakwaraya, malah dinafikan mendapat hak sewajarnya mengikut perundangan syariah apabila memfailkan pertuduhan qazaf terhadap Saiful.

"Sekiranya Datuk Seri Anwar dibenarkan untuk melalui proses di mahkamah syariah sudah pasti kes ini dibuang dan Anwar mendapat keadilan tetapi kes qazaf tersebut juga dinafikan terhadapa beliau," kata beliau.

Shamsul menggesa rakyat dan semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya menzahirkan sikap mereka terhadap apa yang berlaku di mahkamah hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan peguam, Karpal Singh untuk mendapatkan kenyataan beramaran daripada Saiful yang diberikannya kepada pihak polis yang menjurus kepada aduan beliau diliwat secara paksa.

Pihak peguam bertegas bahawa Saiful dalam kenyataannya kepada polis menyatakan kejadian liwat yang didakwa itu berlaku tanpa kerelaannya manakala pihak pendakwaan pula menuduh Anwar mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan iaitu melakukan hubungan seksual secara sukarela.

Bagaimanapun, dalam penghakimannya, Mohd Zabidin memutuskan walaupun terdapat perbezaan antara keterangan Saiful dengan pertuduhan yang dihadapi Anwar, ia tidak boleh dijadikan asas bagi membolehkan kenyataan Saiful yang diberikan kepada polis, diserahkan kepada peguambela berdasarkan Seksyen 145 Akta Keterangan atau prosiding mencabar kesahihan di bawah Seksyen 155. -SK

12 Mei 2010

Cameron PM Baru Britain, Petunjuk Baru Untuk PR Ke Putrajaya

David Cameron mengetuai Parti Konservatif untuk kembali mentadbir Britain selepas 13 tahun, awal pagi ini, tetapi Perdana Menteri baru itu masih perlu memuktamadkan gabungan bersama Liberal Demokrat bagi membentuk kerajaan.

Ini berikutan Gordon Brown meletakkan jawatan sebelum itu yang menyaksikan saat dramatik dalam politik Britian.

Parti Buruh pimpinannya menguasai pemerintahan Britain sejak 1997 dengan Perdana Menteri pertama ialah Tony Blair sebelum diambil alih oleh Brown.

Cameron menjadi Perdana Menteri selepas Konservatif memenangi banyak kerusi pada pilihan raya Parlimen, minggu lalu tetapi gagal memenangi majoriti, manakala Parti Buruh kedua dan Liberal Demokrat ketiga.

Dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri, Cameron, 43, berkata matlamatnya untuk membentuk kerajaan campuran pertama di Britain sejak 1945.

Bagaimanapun bentuk kerajaan campuran itu masih tidak jelas kerana Parti Liberal Demokrat masih belum memberi kata putus mengenai tawaran Konservatif bagi bersamanya dalam kerajaan.

"Ia tentunya satu keadaan yang sulit dan sukar. Kerajaan campuran tentunya akan berdepan dengan banyak cabaran.

"Namun saya percaya, kami akan membentuk satu pakatan yang kuat dan stabil dalam kerajaan yang diperlukan negara ini," katanya ditemani isterinya yang sarat mengandung, Samantha.

Apa yang pasti, Cameron muncul sebagai Perdana Menteri paling muda di Britain sejak kira-kira 200 tahun.

Antara cabaran pertamanya ialah bagaimana untuk mengurangkan bajet defisit Britain ketika ini selain menangani kemelesetan ekonomi. - Reuters

Ulasan GB

Kemenangan parti pimpinan Cameron memberi harapan baru kepada rakyat Britain, dan juga Pakatan Rakyat di Malaysia.

Sebagai sebuah negara komanwel, Malaysia sepastinya turut terkena tempias perubahan lanskap politik Britain.

Pakatan Rakyat sebelum ini sukar untuk menafikan majoriti 2/3 kerajaan BN, namun segala-galanya berubah pada pilihanraya 2008 dimana impian itu menjadi realiti.

Dan kini, hasrat PR ke Putrajaya... masih dalam impian, dan segera menjadi realiti jika kita meyakininya sekalipun dihalang dengan pelbagai cara yang tidak demokratik seperti memperkudakan institusi polis, kehakiman dan sebagainya.

Namun, bak kata TGNA, air dari gunung, siapa bisa menahannya untuk mengalir? Atau kamu kelak akan tercampak dek aliran air deras itu. Demikian siapa berani menahan arus kebangkitan rakyat yang telah muak dan mual dengan pemerintahan kerajaan BN yang ternyata gagal menangani masalah rasuah, jenayah, kronsme dan lain-lain penyakit kronik yang kini sedang dan akan menghantar UMNO dan BN ke lembah kehancuran!

Peralihan kuasa di Britain adalah fajar baru yang sedang menyinsing, yang akan dituruti dengan peralihan kuasa di negara-negara komanwel termasuk Malaysia. Satu kerajaan baru, pakatan dari PAS-PKR-DAP akan terbentuk, dengan izin Allah, tidak lama dari sekarang.

Resolusi MCA Selangor: Keadilan Untuk Beng Hock, Siasat Kes Rasuah!

Kerajaan pusat seharusnya mempercepatkan penyiasatan terhadap kes kematian Teoh Beng Hock, agar menegakkan keadilan untuk mendiang dan keluarganya. Di samping itu, kerajaan pusat juga harus memberi penjelasan kepada rakyat, dalam kes "banglow mewah Khir Toyo".

Demikianlah antara resolusi yang diluluskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan MCA Selangor kedua, yang diadakan di Jenjarom pada malam 8 Mei 2010. Pengerusinya, yang juga Naib Presiden MCA Pusat, Donald Lim Siang Chai (gambar kiri) memaklumkan keputusan mesyuarat kepada Oriental Daily, yang menyiarkan berita ini pada hari ini.

Donald Lim berkata, seandainya kerajaan gagal memberi penjelasan kepada rakyat dalam isu rasuah, maka ia akan memberi kesan kepada pilihan raya umum yang akan datang. Oleh yang demikian, Donald Lim mendesak agar kes Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) juga didedahkan kebenarannya dalam masa sesingkat mungkin.

Selain isu kematian Teoh Beng Hock, Setiausaha Politik Exco Selangor yang dijumpa mati di bangunan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), dan banglow mewah yang dimiliki bekas Menteri Besar Selangor, Khir Toyo, mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan MCA Selangor juga menggesa agar kerajaan pusat mengotakan janjinya terhadap masyarakat Cina ketika PRU ke-12, pada tahun 2008.

Donald Lim menyeru agar kerajaan pusat bekerjasama dengan kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor, untuk menyelesaikan isu pembinaan dan perpindahan sekolah rendah jenis kebangsaan Cina, lantas mengatasi masalah kesesakan dalam sekolah Cina yang dihadapi pada hari ini. -MR

Bagaimana Jika KPN Dan CPO Selangor Sebagai Penjenayah Yang Disyaki?

Ketua Polis Negara Tan Musa Hassan dan Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar menolak permintaan keluarga Aminulrasyid Amzah agar kedua-dua mereka meminta maaf kerana melabelkan remaja berkenaan sebagai “penjenayah”.

Ketika ditemui pemberita di sini hari ini, Musa enggan memohon maaf kepada keluarga berkenaan atas alasan “jika berbuat demikian ia akan membawa implikasi perundangan.”

“Saya tidak akan menjawab, berbuat demikian akan membawa implikasi perundangan,” kata Musa pada sidang media di sini.

Dalam pada itu, Khalid ketika dihubungi The Malaysian Insider mempertahankan bahawa remaja berkenaan merupakan “penjenayah yang disyaki” apabila polis mengejar kenderaan dipandu Aminulrasyid kira-kira enam kilometer.

Khalid memberitahu anggotanya mengejar kereta tersebut hanya kerana mereka disyaki sebagai “penjenayah disyaki.”

“Adakah salah untuk mengatakan dia sebagai penjenayah disyaki?” kata beliau ketika dihubungi.

Bagaimanapun Khalid menafikan polis melabelkan Aminulrasyid sebagai “seorang perompak” dan istilah yang digunakan hanyalah “penjenayah disyaki.”


“Kami tidak pernah mengatakan dia perompak. Pegawai-pegawai saya mengatakan bahawa mereka bertindak demikian kerana kedua-dua remaja lelaki itu adalah perompak yang disyaki.

“Itu sebabnya mereka mengejar mereka dengan cara begitu. Sebenarnya, mereka tidak mengatakan mereka sebagai perompak yang disyaki.... yang digunakan penjenayah disyaki,” jelas beliau.

Semalam keluarga Aminulrasyid menuntut pihak berkuasa khususnya polis agar memohon maaf berhubung insiden menimpa pelajar berkenaan.

Bapa saudara Aminulrasyid, Kamarudin Hassan berkata keluarga itu mahukan permohonan maaf secara langsung daripada Musa, Khalid atau Kementerian Dalam Negeri yang telah mencemari nama pelajar berkenaan.

Malah tegas Kamarudin, keluarganya juga mahu pihak polis menarik balik kenyataan bahawa adanya parang dalam kereta yang dipandu oleh Aminulrasyid pada hari kejadian.

Kelmarin, Koperal Jenain Subi, 48, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu pada 26 April antara pukul 1.10 pagi dan 2 pagi di Jalan Tarian 11/2 di Seksyen 11.

Jika bersabit kesalahan, tertuduh boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Ulasan GB

“Adakah salah untuk mengatakan dia sebagai penjenayah disyaki?” kata beliau ketika dihubungi.

Jika demikian jawab KPN dan CPO Selangor, maka rakyat juga boleh berkata bahawa kamu kedua-dua adalah penjenayah yang disyaki. Tentu lagi tak salah.

Sebabnya kamu melakukan pembelaan terhadap sekalian banyak jenayah yang dilakukan oleh anggota polis.

Daripada pemerhatian dan persepsi rakyat, kedua-dua penjawat awam ini telah sepatutnya meletakkan jawatannya kerana mencemari imej PDRM dan telah mengkhianati tugas yang diberikan oleh negara dengan melabelkan orang awam sesuka hati sematamata untuk melakukan pembelaan dan justifikasi terhadap jenayah yang dilakukan oleh anggota bawahan mereka berdua.

Lesen Judi - Sah UMNO Pilih Untuk Murtad

Akhbar Harian Cina, Sin Chew Daily hari ini melaporkan kerajaan Pusat pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak secara rasmi meluluskan lesen judi pertaruhan bola sepak Piala Dunia kepada Kumpulan Berjaya.

Ini menjadikan Kumpulan Berjaya sebagai syarikat tunggal pertaruhan bola sepak di negara ini yang memiliki lesen sah mengikut perundangan negara.

Kelulusan ini sekaligus menunjukkan kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) tidak mengendahkan bantahan rakyat Malaysia, baik yang beragama Islam mahupun bukan Islam

Antara pimpinan yang lantang menegur cadangan kelulusan lesen judi ialah Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Rasah dari DAP, Anthony Loke.

Mengikut laporan Sin Chew Daily, Berjaya Corporation dijangka amenggunakan lebih 200 kedai pertaruhannya, Toto, untuk menerima pertaruhan daripada kaki judi.

Pertaruhan secara berlesen ini dijangka bermula sebelum kejohanan bola sepak terbesar di dunia ini bermula pada 11 Jun ini.

Mengikut laporan berkenaan, wujud kebimbangan kemungkinan rangkaian kedai serbaneka, 7-eleven yang dimiliki Kumpulan Berjaya akan digunakan untuk tujuan pertaruhan.

Kumpulan Berjaya pada 11 Mei lalu memohon sahamnya di Bursa Kuala Lumpur digantung hari ini mulai jam 9 pagi hingga 5 petang sementara menunggu pengumuman lanjut berhubung cadangan menaikkan modalnya.

Ulasan GB

Meskipun mendapat bantahan daripada pelbagai pihak, kerajaan meneruskan keputusannya untuk mengeluarkan lesen judi semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung awal bulan depan.

Malah kita menjelaskan pesanan ulamak-ulamak bahawa murtadlah mereka yang menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Justeru, melesenkan perbuatan judi seumpama menghalalkannya dan dengan itu tidak syak lagi murtadlah UMNO dari agamanya.

Mana mufti yang bernama Harussani Zakaria, Mohd Noh Gadot dan lain-lain serta sekalian ulamak UMNO bernama Nakhaei, Mohd Jamil Khir Baharom dan seangkatannya? kenapa berdiam diri? Ada komisyen?



Utusan, Akhbar Primitif Sebarkan Fitnah 61 Ahli PAS Sertai UMNO

Kisah '61 PAS masuk Umno' yang diuar-uarkan media primitif pro Barisan Nasional(BN) menjadi kisah dongeng apabila terdapat beberapa fakta yang tidak benar dalam laporan tersebut.

"Beberapa fakta tidak betul dalam laporan tersebut. Antara disebut, Pas dalam Bahagian Alor Setar sebenarnya tiada ‘Bahagian’ dalam Pas. Jawatan Timbalan Ketua Pas Cawangan juga tiada dalam Pas," kata Ketua Penerangan PAS Kawasan Alor Setar, Zulkifli Yahya dalam sebuah blog.

Menurut Zulkifli, satu lagi pembohongan yang disebut adalah Cawangan Akar Penyengat.

Beliau berkata tiada kampung dalam kawasan Alor Setar bernama Akar Penyengat. Yang ada Akar Peluru, tapi Akar Peluru tiada cawangan Pas.

"Laporan oleh media primitif BN itu sangat bercelaru. Maklumlah sebuah laporan bohong, jadi pembohongan pun bertali temali," tegas beliau.

Kenyataan Zulkifli itu telah menjelaskan pembohongan yang dibuat oleh media-BN itu.

Beliau membuat kenyataan itu setelah dihujani dengan pertanyaan mengenai kesahihan 61 ahli Pas dalam Bahagian Alor Setar yang bertindak keluar daripada parti.

Zulkifli juga menjelaskan, hanya seorang sahaja bekas ahli PAS yang menyertai Umno berbanding '61 orang' seperti yang dilaporkan Utusan sebelum ini.

"Sebenarnya ada sebab orang tua tu masuk Umno tapi malaslah nak cerita kat sini, nanti nampak macam dia tu besar sangat,"jelas Zulkifli lagi dalam KedahLanie.

Sebelum ini, media pro Umno-BN juga melaporkan pembohongan kononnya 1700 orang PKR India masuk MIC di Kulim, Kedah. Padahal ahli PKR India di cabang (bahagian) tersebut tak sampai pun 500 orang.

Zulkifli menjelaskan kenapa Umno-BN Kedah begitu terdesak dengan laporan bohong akhbar primitif itu, "sebenarnya Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Dato’ Mat Bashah sudah berada dalam keadaan tertekan sekarang ni apabila ramai ahli Umno Bahagian Alor Setar keluar parti dan masuk PAS.

"Di Taman Wira hari tu 65 orang masuk PAS (diketuai oleh JKKP Pak Pin) dan berikutnya di Alor Mengkudu 55 orang lagi Umno masuk PAS (diketuai oleh Naib Ketua Umno cawangan Alor Keriang)," terang Zulkifli.

Dalam pada itu, Zulkifli Yahaya turut memberitahu akan ada kejutan yang bakal memberi tamparan hebat kepada Umno-BN Kedah.

"InsyaAllah 28 Mei ini bertempat di Taman Wira Mergong akan ada lagi majlis penyerahan borang Umno masuk PAS.

"Siapa ketuanya, tunggu dan lihat. Pasti mengejutkan! Kita rodak habis-habisan untuk pastikan PRU ke 13 nanti BN tertungging kat Bakar Bata, di samping tertiarap juga kat Pusat, " jelas Zulkifli Yahaya Lagi. -erapakatan


ALOR SETAR 11 Mei – Sebanyak 61 ahli Pas dalam Bahagian Alor Setar bertindak keluar daripada parti itu dan memohon menyertai UMNO selepas hilang keyakinan terhadap kerajaan negeri yang diterajui Pas.

Kumpulan itu yang diketuai Timbalan Ketua Pas Cawangan Akar Penyengat, Abu Bakar Hussain, 62, menyerahkan borang permohonan menyertai UMNO kepada Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md. Hanipah pada satu majlis di Taman Wira, Mergong dekat sini malam tadi.

Abu Bakar berkata, mereka bertindak demikian selepas mendapati sejak dua tahun pemerintahan pakatan pembangkang di negeri itu, Pas gagal menunaikan janji dan tidak turun padang membela rakyat.

Sementara itu, Ahmad Bashah berkata, tindakan ahli-ahli Pas itu di negeri ini hanya satu permulaan kerana beliau mendapat tahu lebih ramai lagi yang akan berbuat demikian tidak lama kerana berasa terpedaya dengan gelagat para pemimpin Pas. –Utusan


SUPP Hina Islam Untuk Raih Undi

Menteri Besar Perak yang digulingkan Barisan Nasional, Nizar Jamaluddin membidas SUPP kerana menyebarkan fitnah 'negara Islam' dalam usaha untuk menakut-nakutkan pengundi Sibu, dan bagi meraih sokongan kepada calon BN, Robert Lau.

Bercakap kepada pemberita di sidang akhbar hari ini, Nizar berkata Parti Islam Se-Malaysia kesal SUPP-BN menyebarkan fitnah dan melakar imej pemimpin Pas sebagai tidak bertamadun dan ganas.

Nizar berkata demikian menjawab tuduhan SUPP bahawa Pas mahu mewujudkan 'negara Islam'. BN dipercayai menggunakan isu negara Islam dalam usaha untuk menyekat sokongan masyarakat Kristian kepada Pakatan Rakyat.

Masyarakat Kristian membentuk 53 peratus dari jumlah pengundi Sibu. Pas yang aktif membantu kempen Pakatan Rakyat di geraja serata Sibu sebelum ini diberi amaran oleh SUPP untuk tidak membawa politik Semenanjung ke Sarawak.

"Kita mahu memberi penerangan apa sahaja tohmah berkenaan isu kerajaan negara Islam adalah mainan jahat, fitnah besar yang dibuat SUPP," kata Nizar.

Nizar berkata Pakatan Rakyat bersepakat diatas prinsip bersama iaitu mewujudkan kerajaan yang adil, bebas rasuah dan tidak menindas mana-mana bangsa dan agama.

"Pas bersama-sama Pakatan Rakyat menggemblengkan usaha membentuk dan menubuhkan kerajaan yang adil, menghapuskan gejala rasuah dan membasmi diskriminasi kaum dan agama. Ini adalah teras perjuangan Pas, yang turut dikongsi DAP dan PKR. Atas dasar ini kita bersekutu," kata Nizar.

Nizar turut merungkai persepsi bahawa gerakan Islam terbesar tanahair itu akan melaksanakan hukum hudud.

"Soal negara Islam dan perkara-perkara yang menakutkan ini semua mainan SUPP disini, dan MCA di Semenanjung suatu masa dulu," kata Nizar.

"Semalam (di pertemuan bersama masyarakat Kristian Sibu), saya ditanya apakah Pas akan potong tangan pencuri. Saya jawab, pemimpin utama Pas iaitu Mursyidul Am Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang juga Menteri Besar Kelantan tidak pernah memotong mana-mana tangan orang Islam dan bukan Islam selama 20 tahun pentadbiran beliau. Bahkan, patung Buddha antara yang terbesar di Asia juga berada di Kelantan," tegas Nizar.

Beliau juga menambah 'senjata' ini telah lapuk, dan bukan lagi isu di Semenanjung Tanahair, melihatkan kepada sokongan masyarakat bukan Islam kepada Pas.

"Sebenarnya kalau di Semenanjung, isu negara Islam ini sudah beres. BN memainkan peranan mengulangi isu yang lapuk," kata Nizar.

Sementara itu, Nizar turut menepis soalan media arus perdana yang mempersoalkan kewujudan klausa 'Negara Islam' dalam Perlembagaan Pas.

"Perlembagaan Pas tidak perlu dipinda kerana 'negara Islam' tidak disebut dalam Perlembagaan Pas," katanya, menjawab tuntutan SUPP supaya Pas meminda perlembagaan parti.

Ulasan GB

Polis begitu cepat menghalang penggunaan isu kalimah Allah di dalam kempen PRK Sibu setelah dilihat masyarakat Kristian memberi sokongan kepada PR, tetapi membiarkan SUPP memainkan isu negara Islam malah sehingga ke takat mereka menghina agama Islam.



11 Mei 2010

Saiful Terjerat : Tak Solat Kerana MUNGKIN Diliwat

Berikut ialah Transkrip perbicaraan Fitnah Kali Ke Dua terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim (soal balas hari pertama) semalam.

Perbicaraan tersebut didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.

(10.37 pagi - Saiful Bukhari Azlan mengangkat sumpah semula dalam Bahasa Melayu)

Karpal Singh (KS): Tadi ada bersumpah? Bersumpah untuk apa?

Saiful Bukhari (SB): Untuk berkata apa yang benar.

KS: Itu tidak benar, bukan?

SB: Tidak.

KS: Benar sahaja tidak mencukupi dalam bagi keterangan? Do you speak English? (Awak boleh berbahasa Inggeris?)

Yang Arif (HAKIM): Jawab dalam Bahasa Melayu sebab saksi angkat sumpah dalam Bahasa Melayu.

KS: Baca sekali lagi sumpah itu.

SB: (Saksi membaca semula sumpah)

KS: Yang terakhir, melainkan yang benar?

SB: Ya.

KS: Bukan senang masuk dalam kandang itu? Ada kewajipan, bukan?

SB: Ya.

KS: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kenal?

SB: Ya, Perdana Menteri. Kenal sejak kecil lagi.

KS: Ada jumpa Perdana Menteri (PM)?

SB: Ada, pada 24 Jun 2008.

KS: Jumpa di mana?

SB: Di kediaman Perdana Menteri di Taman Duta, KL.

KS: Masa itu Timbalan Perdana Menteri (TPM)?

SB: Ya.

KS: Jumpa TPM untuk apa?

SB: Saya mengadukan pada beliau tentang masalah saya.

KS: Pada 24 Jun?

SB: Ya.

KS: Lepas itu ada jumpa dia?

SB: Tidak jumpa lagi. Langsung tidak jumpa.

KS: Dengan isteri PM?

SB: Tidak pernah.

KS: Kenal seseorang bernama Mumtaz?

SB: Rakan kepada keluarga saya, kenal sejak kecil.

KS: Pernah jumpa isteri PM?

SB: Tidak.

KS: Kejadian berlaku bila?

SB: 26 Jun 2008.

KS: Pada 27 Jun ada jumpa PM? Pada 28 Jun?

SB: Tidak jumpa.

KS: PM ada menyatakan awak ada jumpa dia.

SB: (Saksi tidak menjawab)

(Karpal mengulangi pertanyaan)

Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden (MY): Saya tidak fikir Karpal patut terus mendesak.

KS: Ada pernah jumpa PM?

SB: Itu tidak pasti tetapi saya jumpa dia (PM) 24 Jun, langsung tidak jumpa lepas itu.

KS: Ada jumpa Asisten Supritendan (ASP) Rodwan? Sekarang dia Asisten Komisioner?

SB: Ada jumpa.

KS: Bila jumpa?

SB: 24 Jun 2008, waktu malam, di Hotel Melia di Jalan Imbi.

KS: Pukul berapa.

SB: Pada masa itu dia yang telefon saya. Masa telefon kata nak bertemu dengan saya.

KS: Tujuan apa? Apa terjadi bila jumpa dia?

SB: Masa telefon dia tidak beritahu tujuan apa. Masa jumpa, dia nak tahu masalah apa yang saya sedang hadapi.

KS: Pernah jumpa ASP Rodwan sebelum 24 Jun?

SB: Tidak.

KS: Jumpa Rodwan selepas jumpa PM?

SB: Ya.

KS: Siapa yang arahkan Rodwan jumpa kamu?

SB: Saya tidak pasti.

KS: Ada tanya mana dia dapat nombor kamu?

SB: Saya tak tanya dia.

KS: Apa berlaku lepas jumpa dia?

SB: Saya beritahu saya diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) beberapa kali.

KS: Jadi, masa jumpa PM, beritahu dia apa yang berlaku sebelum 26 Jun?

SB: Ya.

KS: Itu sahaja?

SB: Ya.

KS: Ada buat kenyataan bahawa kamu diliwat tanpa kerelaan?

SB: Ya, dalam laporan polis.

KS: Baca P3 (laporan polis).

(SB membaca semula laporan polis yang dibuat olehnya. "Saya Mohd. Saiful Bukhari Azlan ingin melaporkan saya telah diliwat oleh majikan saya. Perkara ini berlaku tanpa kerelaan saya. .... berlaku ialah pada 26 Jun 2008. Laporan dibuat dengan tujuan mendapatkan keadilan dan pembelaan. Bimbang keselamatan diri dan keluarga jika perkara ini tersebar luas ke pengetahuan khalayak ramai. Majikan saya ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.")

KS: Kejadian 26 Jun?

SB: Ya.

KS: Selepas 26 Jun ada diperiksa oleh doktor?

SB: Ada.

KS: Sebelum 28 Jun?

SB: Ada.

KS: Oleh siapa?

SB: Oleh doktor di Hospital Pusrawi tetapi bukan sepenuhnya.

KS: Jumpa doktor di Pusrawi bila?

SB: 28 Jun.

KS: Kejadian 26 Jun? Laporan dibuat 28 Jun?

SB: Ya.

KS: Kamu orang Islam yang baik?

SB: Try my best to be (Cuba yang terbaik untuk jadi baik)

KS: Ada sembahyang 5 kali sekali?

SB: Ada, kalau dulu ada tertinggal.

KS: Dalam bulan Jun 2008?

SB: Semasa kerja dengan DSAI, saya kurang sikit sembahyang.

KS: Selepas itu?

SB: Selepas membuat laporan, saya kembali insaf.

KS: Dari 26 hingga 28 Jun ada sembahyang? Kewajipan orang Islam.

SB: Saya ada pergi sembahyang Jumaat.

KS: 26 Jun?

SB: 26 Jun tidak sembahyang.

KS: Kenapa tak sembahyang? Ini kewajipan.

SB: Saya tidak bersolat. Ini mungkin kerana saya telah diliwat.

KS: Pada 27 Jun?

SB: Ada sembahyang Jumaat.

KS: Ada mandi? Cuci badan semua sebelum sembahyang pada 27 Jun?

SB: Ada, mandi sedikit sahaja tetapi saya tidak cuci di bahagian dubur.

KS: Biasa mandi semua badan bukan sebahagian, bukan?

SB: Ya.

KS: Mandi junub, wajibkan?

SB: Ya.

KS: 26 (haribulan) tidak solat?

SB: Tidak.

KS: Tidak mandi wajib?

SB: Tidak.

KS: Jadi, pada 27 Jun, tak mandi wajib jadi sembahyang kamu tidak sah?

SB: Ya, tidak sah.

KS: Bermakna kamu adalah bukan seorang Islam yang baik?

MY: Ini pendapat peguam.

KS: Saya ada hak untuk mencadangkan kepadanya.

HAKIM: Kalau awak serang peribadi dia, nanti pihak pendakwaan juga boleh menyerang peribadi DSAI. Awak tak boleh membantah.

KS: Tidak apa, mereka boleh berbuat demikian. Ia bukan isu.

KS: Saya cadangkan, kamu tidak mengikut syarat-syarat dalam Islam.

SB: Pada tempoh tersebut, saya tidak.

KS: Jadi kamu bukan seorang Islam yang baik?

SB: Saya dalam keadaan darurat pada ketika itu kerana kalau saya mandi... (Saksi dihalang daripada meneruskan jawapannya oleh KS)

KS: Pada 28 Jun, ada mandi wajib?

SB: Tidak.

KS: Kamu tidak ikut cara Islam?

SB: Saya terpaksa.

KS: Dalam darurat?

SB: Ya.

KS: Pada 28 Jun, sebelum pergi Hospital Kuala Lumpur (HKL), ada jumpa doktor lain?

SB: Di Pusrawi.

KS: Sebelum itu ada pergi Hospital Tawakal?

SB: Ya tapi Tawakal tidak jumpa doktor.

KS: Tujuan apa?

SB: Untuk dapatkan pemeriksaan.

KS: Pada 26 Jun, ada pergi jumpa doktor?

SB: Tidak.

KS: Pada 27 Jun pun tidak?

SB: Tidak.

KS: Hanya pada 28 Jun?

SB: Ya.

KS: Apa nama doktor yang kamu jumpa di Pusrawi?

SB: Dr. Osman.

(Dr. Mohd. Osman bin Abdul Hamid dipanggil dan dicamkan oleh MSB)

KS: Ada buat apa-apa aduan sebelum diperiksa?

SB: Saya hanya kata saya sakit di bahagian dubur.

KS: Itu saja? Lain?

SB: Sakit perut.

KS: Tidak ada aduan lain?

SB: Sebelum dia periksa, saya cakap sakit perut dan dubur. Semasa diperiksa saya cakap saya telah diliwat.

(Saksi dirujuk dengan nota pemeriksaan perubatan Hospital Pusrawi)

KS: Dalam laporan ini ada ditulis "introduction of plastic into the anus (kemasukan objek plastik ke dalam dubur)."

SB: Kurang jelas tulisan ini, tidak boleh baca tulisan.

KS: (Karpal ulang baca nota pemeriksaan) Adakah ini benar perkara ini?

SB: Saya tidak pernah buat aduan ini.

KS: Doktor akan dipanggil beri keterangan, masih berpegang pada keterangan tadi?

SB: Ya, saya tidak pernah buat aduan ini.

KS: Jadi kenapa doktor tulis begini? Adakah doktor ini berbohong?

SB: Saya tidak pasti kenapa dia tulis begini. Ini bohong, tidak benar.

KS: Selepas itu ada pergi HKL?

SB: Ya.

(KS memohon untuk memasukkan nota pemeriksaan perubatan Hospital Pusrawi sebagai bukti pembelaan. Permohonan dibenarkan.)

KS: Ada kenal doktor itu sebelum ini? Sebelum 28 Jun?

SB: Sebelum ini tidak pernah.

KS: Siapa hantar kamu pada dia?

SB: Saya pergi dengan pakcik saya, Uncle Tuah.

KS: Doktor ini bohong?

SB: Mengikut laporan ini, doktor berbohong.

KS: Ada apa-apa sebab dia hendak berbohong, ada berselisih faham dengan dia?

SB: Tidak.

KS: Lepas itu HKL?

SB: Ya, itu cadangan Dr. Osman.

KS: Dalam pukul 3 petang?

SB: Ya, tiba di HKL lebih kurang pukul 3 petang.

KS: Ke Pusrawi pukul 2 petang?

SB: Ya.

KS: Dari pukul 3 hingga 9 malam ada di HKL?

SB: Tidak. Dari pukul 3 hingga 12 malam dan keesokkan harinya sebab dimasukkan ke wad.

KS: Ada Dr. Danial periksa kamu?

SB: Dr. Danial tidak periksa. Dia arahkan saya ke Pusat Khidmat Krisis Sehenti (One Stop Crisis Centre - OSCC).

KS: (Pohon Dr. Danial dipanggil untuk dicamkan).

MY: Ini adalah soal balas. Masalahnya doktor ini memerlukan sekurang-kurangnya notis lapan jam, mereka pakar bedah di HKL.

KS: Ini masalahnya apabila senarai saksi tidak dibekalkan.

HAKIM: Esok boleh datang?

MY: Kesemua doktor?

KS: Semuanya.

KS: Ada doktor ambil atau rekodkan latar belakang atau sejarah perubatan?

SB: Saya tak pasti tapi ada tanya berkali-kali tentang masalah yang saya hadapi seperti laporan saya.

KS: Buat laporan polis di HKL?

SB: Ya, di HKL.

KS: Buat di pondok polis?

SB: Tidak, di wad.

KS: Polis datang untuk buat repot? Siapa?

SB: Ya, ada 2 orang polis. Saya tidak cam.

KS: Jude Blasious ada di sana?

SB: Masa pemeriksaan, dia ada dalam bilik.

(Supritendan Jude Blasious Pereira dicamkan)

KS: Jadi, kamu diperiksa oleh tiga doktor? Lelaki?

SB: Tiga tetapi ada seorang doktor perempuan, dia tidak periksa.

KS: Pemeriksaan rapi?

SB: Ya.

KS: Adakah kamu dapat laporan doktor ini?

SB: Tidak.

(SB dirujuk dengan nota pemeriksaan perubatan HKL)

KS: Rujuk muka surat dua 'Anal examination to the external anus doesn't show any recent of injury.' (Pemeriksaan dubur di bahagian luar anus tidak menunjukkan sebarang kecederaan baru). Kamu bersetuju dengan ini?

MY: Sukar untuk saksi untuk menjawab setuju atau tidak pada soalan ini.

HAKIM: Kita dengar dulu apa jawapan saksi.

SB: Saya tak dapat lihat bahagian anus saya sendiri.

KS: Sekarang dirujuk pada kamu masalahnya. Apa pendirian kamu tentang perkara ini. Tiada masalah dengan anus kamu?

SB: Saya tak dapat tengok anus saya sendiri. Doktor yang buat keputusan itu pun kena tengok anus saya. Saya tidak dapat simpulkan laporan ini.

MY: Ini soalan patut ditanya pada Doktor.

HAKIM: Saksi dah beritahu jawapan dia.

KS: Apa jawapan dia?

HAKIM: Dia cakap dia tidak boleh tengok anus dia sendiri.

KS: Memanglah dia tidak boleh tengok anus dia sendiri. Jadi?

SB: Sebab masa saya diliwat, gunakan pelincir, jadi, saya tak pasti ...

KS: Rujuk muka surat terakhir, Rumusan/Kesimpulan. Tiga doktor menyatakan "no conclusive clinical finding of anus penetration". (Tiada penemuan klinikal yang kukuh menunjukkan kemasukan di anus). Apa komen kamu?

SB: Tiada komen.

(KS pohon nota pemeriksaan perubatan HKL dimasukkan sebagai bukti. Permohonan dibenarkan)

KS: Ada pernyataan dari kamu direkodkan oleh sesiapa, polis?

SB: Ada, banyak kali.

KS: Berapa kali kamu bagi keterangan?

SB: Tak pasti, banyak kali oleh DSP (ketika itu) Jude.

KS: Keterangan yang direkodkan ada baca balik?

SB: Ada setiap muka surat.

KS: Diliwat tanpa kerelaan?

SB: Ya, seperti dalam laporan saya.

KS: saya membuat permohonan kepada mahkamah supaya keterangan bersumpah dibacakan di mahkamah.

HAKIM: Saya perlukan pihak-pihak berhujah. Peguam minta dibekalkan dengan semua keterangan bersumpah di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

MY: Apa asas perundangan bagi permohonan ini?

KS: Dia (SB) tidak berkata benar.

HAKIM: Ada alasan lain? Kamu menggunakan peruntukan yang mana?

KS: Kebiasaannya ia merupakan satu hak istimewa tetapi ada pengecualiannya.

HAKIM: Kalau pihak pendakwaan ingin membantu saksi untuk ingat semula tetapi ia bukan yang berlaku sekarang.

(Mahkamah berhenti seketika selama kira-kira satu jam)

KS: Kami telah berbincang mengenai perkara ini. Kami perlukan masa untuk menyediakan hujahan lengkap. Kami berharap mahkamah dapat menangguhkan kes sehingga esok.

MY: Tiada bantahan.

HAKIM: Tangguh sehingga esok?

MY: Ya.

HAKIM: Mahkamah ditangguhkan sehingga pukul 9 pagi esok (hari ini). -erapakatan

Ulasan GB

Hmm baru jelas, Saiful sendiri tak pasti dia diliwat atau tidak. Dia mengakui "mungkin" dia diliwat, lantaran itu tak solat jumaat.

Justeru tuduhannya menyatakan DSAI telah "meliwatnya tanpa kerelaaan" jelas satu pembohongan.

Percanggahan itu jelas dan nyata. DSAI perlu dibebaskan segera dari tuduhan yang jahat dan jelek itu.

Manicka Ada Hati Nak Jadi MB Selangor?

Khalid temu MP Kapar esok berhubung dakwaan rasuah

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan anggota Parlimen Kapar S. Manikavasagam esok berhubung dakwaannya tentang kegiatan rasuah melibatkan syarikat berkaitan kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Setiausaha politik Menteri Besar, Nik Nazmi Nik Ahmad, dalam satu kenyataan berkata mesyuarat itu membolehkan Manikavasagam secara formal menyampaikan kepada Khalid dakwaannya mengenai penyelewengan di kalangan pegawai kanan KSSB dan seterusnya merangka tindakan bagi menentukan syarikat itu bebas dari amalan rasuah.

KSSB, syarikat yang terlibat dalam industri pasir dan mineral adalah milik penuh Menteri Besar Incorporated (MBI).

“Kerajaan negeri memandang serius dakwaan Manikavasagam itu dan akan mempertimbangkan segala cadangannya bagi menangani hal itu,” kata Nik Nazmi, dan menambah hasil pertemuan akan diumumkan selepas mesyuarat exco negeri esok.

Manikavasagam sebelum ini mencadangkan agar kerajaan negeri membentuk sebuah badan bebas bagi menyiasat dakwaannya.

Semalam, dua pegawai dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) datang ke pejabat Manikavasagam bagi mengambil kenyataan beliau mengenai kegiatan rasuah itu.

Manikavasagam bagaimanapun tidak menyerahkan sebarang dokumen kepada pegawai itu, atas alasan beliau tidak yakin SPRM mampu menjalankan siasatan dengan berkesan. — Bernama


Manikavasagam: Kewibawaan SPRM dipertikai

Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam berkata, beliau tidak mahu membuat laporan mengenai rasuah dalam Kumpulan Semesta Sdn Bhd kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana tidak percaya dengan kewibawaan Suruhanjaya itu.

"Sudah banyak laporan saya buat terhadap SPRM tetapi sebaliknya saya sebagai pengadu yang disoalsiasat," katanya kepada Free Malaysia Today hari ini.

"Sebab itu saya tidak percaya kepada SPRM kerana tidak menyiasat orang yang saya buat laporan tetapi sebaliknya mereka menyiasat saya. Contohnya dalam kes tanah di Kampung Perpat, Kapar, saya membuat aduan tetapi saya yang disiasat," katanya.

Ahli majlis pimpinan tinggi PKR itu berkata demikian ketika ditanya mengapa beliau tidak mahu membuat laporan SPRM berhubung dakwaannya pegawai syarikat tersebut mengamalkan rasuah.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mahu Manikavasagam membuat laporan SPRM mengenai dakwaannya dalam Kumpulan Semesta tersebut.

Manikavasagam sebelum ini dilaporkan mendakwa bahawa pegawai atasan KSSB mengamalkan terlalu banyak rasuah dan perkara itu perlu dibersihkan segera oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau juga dilaporkan memberi masa 72 jam bermula semalam kepada Khalid untuk mengambil tindakan segera terhadap pegawai yang dimaksudkannya itu sebelum beliau mendedahkan nama pegawai yang terlibat.

KSSB ditubuhkan oleh kerajaan di bawah Pakatan Rakyat bagi mempelopori industri pasir dan bahan batuan serta mineral lain secara bersepadu di Selangor.

Semalam, sekumpulan pegawai SPRM dari ibu pejabat Putrajaya datang menemui ahli parlimen PKR Kapar di pejabatnya untuk mendapatkan dokumen mengenai syarikat tersebut.

Bagaimanapun, Manikavasagam tidak memberikan dokumen yang diminta oleh pegawai terbabit. -FMT


Ulasan GB

Lain macam pula perangai Ahli Parlimen Kapar ni sekalipun beliau sebenarnya tidak mempunyai sebarang track record yang tidak bagus terhadap Pakatan Rakyat.

Kemungkinan apa yang dilakukan ialah hasratnya untuk melihat sebuah kerajaan PR yang telus dan berwibawa di Selangor. Maka itu beliau menggunakan nama Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyokong tindakannya.

Apa-apa pun, Manicka ialah seorang "wistle-blower" di dalam PR. Tetapi Manicka sepatutnya telah bertemu dengan MB Selangor terlebih dahulu daripada membuat kenyataan terbuka seperti yang dilakukannya sekarang.

Atau beliau memang tak suka Tan Sri Khalid sebagai MB, atau Manicka sendiri ada hati nak jadi MB Selangor?

Manicka, do you know what does teamwork mean?