30 Mac 2015

[GAMBAR] Gambar Terbaru Awal Ashaari Selepas Terlibat Kemalangan Dasyat


Awal Ashaari kemalangan di Melaka

PENGACARA terkenal, Awal Ashaari dilaporkan terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Plus ketika dalam perjalanan ke siaran langsung Melodi di Melaka, semalam.

Berita itu dimaklumkan wartawan Melodi, Zuan Azmi melalui akaun Instagram miliknya, kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.

“Saya ingin memaklumkan bahawa pengacara Melodi, Awal Ashaari terlibat dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Plus berdekatan R&R Ayer Keroh Melaka arah selatan.

“Awal ditemani Izuan Mokhtar dalam perjalanan untuk siaran langsung Melodi dari Jom Heboh Stadium Ayer Keroh,” tulisnya.

Zuan turut berkongsi gambar keadaan kereta Awal yang remuk teruk.

Menurutnya lagi, Awal telah dibawa ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan.

“Awal sudah dibawa ke Hospital Melaka oleh ambulans dan saya masih berada di lokasi kemalangan menunggu pegawai penyiasat dan ‘towing’. Dalam pemerhatian saya, Awal tidak mengalami sebarang kecederaan serius. Sama-sama kita doakan untuk Awal,” katanya lagi.

Sementara itu, isterinya, Scha Al Yahya ketika ditemui di hospital berkenaan berkata, Awal hanya mengalami cedera ringan di bahagian mulut dipercayai akibat terhentak ketika kemalangan itu.

Dalam pada itu, Zuan berkata, tempat Awal sebagai pengacara Melodi digantikan oleh penerbit Micheal dan Liza Hot Fm.

Awal Ashaari Trauma Akibat Kemalangan - Scha Alyahya

PETALING JAYA: Isteri kepada pengacara Awal Ashaari iaitu Scha Alyahya memberitahu suaminya mengalami sedikit trauma selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada Ahad.

Bagaimanapun, Scha, 32, berkata, mereka bersyukur apabila pemerikasaan sinar-X yang dilakukan di Hospital Melaka terhadap Awal tidak menunjukkan sebarang kecederaan serius.

"Alhamdulillah dia baik dan saya bersyukur dia tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius selepas pemerikasaan semalam (Ahad).

"Dia beritahu saya apa yang dia rasa cuma sedikit trauma sahaja," katanya kepada mStar Online, ketika dihubungi di sini, Isnin.

Awal Ashaari terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) berdekatan Hentian Rawat & Rehat (R&R) Ayer Keroh, Melaka arah Selatan, pagi Ahad selepas kereta BMW yang dinaiki milik rakannya Izuan Mokhtar terbabas sehingga rosak teruk.

Awal bersama Izuan dalam perjalanan ke program Jom Heboh yang diadakan di Melaka bagi mengendalikan program siaran langsung Melodi.

Awal kemudian dibawa ke Hospital Melaka bagi membuat rawatan lanjut sementara Azuan yang memandu kenderaan berkenaan tidak mengalami kecederaan.

Dalam pada itu Scha berkata, Awal kini sudah dipindahkan ke sebuah pusat perubatan swasta di Kuala Lumpur pada petang Ahad.

Namun, setakat ini dia masih lagi dalam pemerikasaan pihak hospital sebelum dibenarkan pulang.

"Dia sudah dipindahkan di sini (Kuala Lumpur) dan mungkin dalam beberapa hari lagi dia akan keluar. Semua itu bergantung kepada keputusan dan pemeriksaan doktor," ujarnya.

Sementara itu, usaha mStar Online untuk menghubungi Awal tidak berjaya kerana dia masih memerlukan rehat yang cukup.

Bagaimanapun, pada malam Ahad, Awal memuat naik status Instagram memberitahu tentang keadaannya kini dan berterima kasih kepada orang ramai yang membantu mengeluarkannya daripada kenderaan akibat kemalangan itu.
-mstar


ULASAN GB

Awal, Allah masih menyayangimu.... jadi beringatlah selalu kepadaNya...

Pindaan EKJS Kelantan Bukan Rang-Undang-undang Hudud


EKJS: Bukan Islam tak sokong kerana belum faham

Cadangan pindaan Enakmen Jenayah Kanun Syariah (EKJS) melalui Bill Persendirian yang akan dibawa oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di parlimen disifatkan sebagai sangat cantik.

Bagaimanapun kata Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, disebabkan masa tidak mengizinkan maka ia tidak dapat disampaikan untuk dikaji oleh semua pihak.

Beliau yakin, jika cadangan berkenaan EKJS itu berjaya disampaikan 100 peratus, semua pihak bukan sahaja Pakatan Rakyat malah tidak mustahil MCA dan Gerakan yang kuat menentang pun akan menerimanya.

Katanya, tugas PAS adalah mencari jalan agar agenda yang dibawa oleh Ustaz Hadi boleh difahami oleh rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

"PAS nak bawa pindaan itu ke parlimen, kita memerlukan sokongan sekurang-kurangnya daripada ahli parlimen yang beragama Islam.

"Ahli Parlimen beragama Islam itu termasuklah daripada DAP dan PKR. Jadi, saya berpendapat jalan memberikan penerangan adalah lebih baik untuk kejayaan pindaan yang dicadangkan.

"Saya tak reti nak bergaduh macam orang lain, saya mempertahankan dengan cara saya, iaitu supaya agenda Presiden PAS itu berjaya, orang yang tidak faham dan tidak menyokong bukan kerana dia menentang tetapi kerana dia belum faham," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Batu Gajah kali ke-29 di D'Hotel, Seri Iskandar, dekat sini semalam.

Husam juga berkata, parti komponen BN di Sabah dan Sarawak termasuklah PBB dan SUPP yang berdiam diri dalam isu ini membuktikan mereka boleh menerima EKJS bahkan diyakini akan menyokong jika BN menyokong bill persendirian tersebut.

Ini katanya adalah satu perkembangan yang sangat baik dan jika PAS berjaya memberikan penjelasan dengan baik, beliau yakin ia akan boleh diterima oleh kedua-dua belah pihak.

"Saya yakin bahawa semua pihak termasuklah dari kalangan komponen BN sendiri akan boleh menerima apa yang dibawa oleh Presiden PAS," ujarnya lagi. -HD

ULASAN GB

Pom pang Pom pang, akhirnya hukum kebenaran dan keadilan terdedah dengan sendirinya.

Kenyataan daripada Presiden PAS, Haji Abd Hadi Awang sendiri melalui Surat Terbuka Kepada Umat Islam: Isu Hudud Yang Dikelirukan, ternyata bahawa pindaan Kanun Jenayah Syariah di Kelantan tempohari BUKAN hukum hudud. Begitulah juga dengan Private Bill yang hendak diusulkan di Parlimen nanti.

Petikan:

Dalam masa yang sama, apa yang ingin dicadang dan akan dibawa oleh PAS menerusi Private Members Bill nanti pula bukanlah rang undang-undang hudud, tetapi pindaan dalam akta Mahkamah Syariah untuk membuka sedikit ruang bagi membolehkan satu-dua aspek syariah itu dilaksanakan terhadap penganut Islam sahaja. -Haji Abd Hadi Awang (rujuk pautan yang diberikan)

Jika demikian halnya, maka tidaklah salah dan berdosa untuk mana-mana ahli parlimen beragama Islam menolak Private Bill berkenaan. Kerana ia bukan rang undang-undang hudud. Dan tidak pula salah dan tidak juga menjadi kesan apa-apa untuk mana-mana ahli parlimen bukan-Islam jika mereka menyokongnya.

Sepatutnya isu pindaan berkenaan tidak perlu digembar-gemburkan dan tidak perlu untuk dikatakan sebagai hudud sehingga ia menimbulkan semacam phobia di kalangan bukan Islam. Ia hanyalah pindaan biasa dengan sedikit tambahan terhadap hukuman-hukuman yang sedia ada. Malah unsur hudud tidak lansung kedapatan di dalam pindaan-pindaan yang telah dilakukan. Maka adalah tidak betul untuk Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob mendakwa pihak yang mengkritik pindaan enakmen yang dibentangkannya di DUN Kelantan sebagai “golongan yang tidak beriman”. Apatah lagi kenyataan dari Ketua Ulamak Sedunia, Sheikh Yusof Al-Qardawi pun telah menyatakan "[VIDEO] Al-Qardhawi: Tegakkan Kehidupan Islam Dahulu, Bukan Hudud".

Ianya mungkin sengaja dihebohkan sebagai hudud untuk menarik sokongan kaum Islam, mungkin untuk agenda "penyatuan PAS-UMNO" di samping memporak-perandakan Pakatan Rakyat yang mana umum mengetahui hudud ditentang oleh bukan-Islam.

Soalnya siapa dalang yang merancang menyebabkan kekeliruan itu berlaku dan mengapa PAS menghebohkannya sebagai hudud?

29 Mac 2015

Kes Mat Sabu: Banyak Hal Prof Khoo Kay Kim Bersetuju Dengan Peguam Hanipa


Prof Kay Kim kata buku Sejarah Tingkatan 5 tidak betul

Perbicaraan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu di Mahkamah Sesyen Butterworth, semalam berkaitan isu Bukit Kepong dan Mat Indera menyaksikan pihak pendakwa memanggil saksi terakhir mereka iaitu Tan Sri Prof Khoo Kay Kim.

Prof Khoo Kay Kim adalah saksi ke-11 pihak pendakwa di mana di dalam keterangan beliau semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwaraya beliau menceritakan panjang lebar berkenaan sejarah komunis di mana tesis PhD beliau adalah berkaitan sejarah perjuangan ekstrem dan anarki di Tanah Melayu 1915 hingga 1935.

Beliau juga menyatakan semasa Jepun menyerang Malaysia pihak British telah meminta bantuan Partai Komunis Malaysia (PKM) dan memberikan senjata kepada PKM. Sebaik sahaja Jepun mengundur diri dan British kembali memerintah, British telah enggan membenarkan permohonan PKM untuk terlibat dalam politik secara sah.

Tindakan British itu, menurut beliau, adalah kerana desakan atau ugutan Amerika yang menjadi sekutu British.

Amerika juga, katanya adalah pembeli utama getah dan bijih timah daripada British di mana kedua dua komoditi itu diambil oleh British daripada bumi Tanah Melayu.

Saksi tersebut juga menyatakan menurut pendapat beliau negeri negeri Tanah Melayu selain daripada negeri negeri selat bukanlah tanah jajahan British sebaliknya ianya hanya di bawah naungan British.

Alasan beliau kerana wujudnya perjanjian antara Raja-Raja Melayu dengan British di mana British mengakui kedaulatan Raja-Raja Melayu meskipun menerima British sebagai Penasihat.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguambela Mat Sabu yang diketuai oleh Mohamed Hanipa Maidin saksi diasak secara betubi-tubi oleh Hanipa sehinggakan selepas perbicaraan tamat saksi dilihat bersalam dengan Hanipa di luar mahkamah dan menyatakan kepada Hanipa bahawa beliau rasa pening diasak oleh peguambela Mat Sabu tersebut.

Hanipa memulakan soalan beliau dengan meminta pengakuan saksi tersebut bahawa pengajian atau tesis beliau tidak melibatkan inside di Tanah Melayu selepas tahun 1935 di mana beliau bersetuju.

Beliau juga bersetuju dengan cadangan Hanipa bahawa beliau tidak pernah membuat kajian akademik atau menulis apa apa tesis berkaitan peistiwa Bukit Kepong dan sekali lagi saksi tersebut bersetuju.

Saksi tersebut juga bersetuju bahawa British dan negara-negara Barat terlibat dalam imperialisme di mana Tanah Melayu salah satu sasaran mereka di Asia Tenggara. Banyak lagi soalan soalan menarik yang ditanya oleh Hanipa kepada saksi tersebut sepertimana berikut:

Hanipa: Prof, anda kata Tanah Melayu tidak pernah dijajah, bagaimanapun saya katakan bagi rakyat atau orang awam di Tanah Melayu pada masa itu kedatangan British adalah sebagai penjajah, setuju atau tidak?

Prof: Ya, setuju, bagi orang awam British adalah penjajah.

Hanipa: Tetapi, Prof tak setuju British adalah penjajah?

Prof: Ya, saya tak setuju kerana Tanah Melayu hanya naungan British.

Hanipa: Baiklah Prof, saya katakan apa yang Prof katakan ini bahawa British bukan penjajah sebenarnya satu pendapat yang tidak diakui sebagai pendapat rasmi di negara ini, setuju atau tidak?

Prof: Ya, orang politik itu katakan begitu.

Hanipa: Prof saya katakan orang politik itu adalah Timbalan Perdana Menteri sendiri di mana dalam jawapan beliau kepada soalan di Parlimen beliau secara jelas menyatakan negara ini telah dijajah. Inilah pendirian rasmi Kerajaan...sila Prof lihat Hansard Parlimen ini (sambil tunjukkan Hansard kepada saksi)...Setuju atau tidak berdasarkan Hansard atau Penyata Rasmi Parlimen ini, pendapat Prof tidak disokong oleh Kerajaan?

Prof: (Sambil membaca Hansard) Ya, saya setuju.

Hanipa: Jadi pendapat Prof ditolak, setuju atau tidak?

Prof: Ya.

Hanipa: Setuju atau tidak Prof jika saya katakan jika kita terima logik atau teori Prof bahawa negara ini tidak pernah dijajah, maka rombongan pergi ke London meminta Kemerdekaan Tanah Melayu tidak ada makna, begitu juga sambutan Hari Kemerdekaan 31 Ogos 1957 juga tidak ada makna?

Prof: (saksi termenung) Ya lah..tapi saya anggap ia bukan merdeka.

Hanipa: Kalau begitu Prof, apa kita nak gelar pada Tunku Abdul Rahman, Bapa Kemerdekaan atau bapa apa? Bapa Naugan?

Prof: (saksi dilihat termangu dan ketawa kecil)

Hanipa: Baiklah Prof, saya juga ingin bertanya adakah Prof sedar dalam Buku Teks Sejarah Tingkatan 5 yang diperakui oleh Kementerian Pendidikan (sambil hulurkan buku tersebut kepada saksi) buku ini menggunakan istilah British dengan istilah penjajah...adakah Prof sedar?

Prof: Ya, saya sedar..

Hanipa: Adakah Prof juga ingin katakan bahawa buku ini juga tidak menceritakan sejarah yang betul bila ia kata British adalah penjajah?

Prof: Ya, bagi saya, buku ini tidak betul!

Hanipa: Tapi buku ini adalah buku teks rasmi sekolah di negara ini dan ditulis oleh para penulis antaranya Prof Dr Ramlah Adam, yang tertulis di sini adalah pakar sejarah juga.

Prof: Ya, tapi Ramlah Adam ini pemimpin nombor dua Perkasa!

Hanipa: So Prof tak terima Perkasa lah..tetapi Prof, cuba Prof lihat dalam senarai penghargaan dalam buku ini dinyatakan secara jelas bahawa nama Prof dan Profesor Ainudin Wahid adalah sebagai dua pakar rujuk yang telah dirujuk sebelum buku teks ini diterbitkan. Apa Prof nak kata?

Prof: (kelihatan terkejut ) err.. tapi saya tak pernah dirujuk..ini tak betul..pada masa itu juga Prof Ainuddin Wahid dalam keadaan uzur.

Hanipa: Jadi tak betullah bila dikatakan dalam buku ini Prof telah dirujuk..

Prof: Ya...tidak betul.

Hanipa: Tak mengapa Prof...kalau Prof nak saman nanti boleh bincang dengan saya (orang ramai di gelari awam dan saksi dilihat ketawa dengan gurauan Hanipa tersebut).

Hanipa juga mempersoalkan kenyataan saksi bahawa Mat Indera adalah seorang komunis.

Hanipa: Prof setuju dengan saya bagi orang Islam mereka tidak boleh menerima penjajahan British kerana apabila British datang ke Tanah Melayu mereka juga selain ambil khazanah dan hasil mahsul Tanah Melayu juga memperkenalkan sistem perundangan common law British menggantikan undang-undang Islam?

Prof: Ya.

Hanipa: Prof, apabila PKPMM diharamkan British anggota-anggota mereka menyertai PKM sebagai platform sahaja untuk melawan British.

Prof: British tidak haramkan PKPMM, hanya isytihar darurat.

Hanipa: Kesan darurat itu, British akan tangkap mereka yang menentang British termasuk British gubal Akta Hasutan 1948 menangkap mereka yang lawan British atas alasan menghasut orang ramai benci British dan undang undang ini diambil daripada India semasa British jajah India?

Prof: Ya, benar.

Hanipa: Saya katakan Prof, orang Islam yang menentang British seperti Mat Indera hanya gunakan platform PKM untuk lawan British bukan untuk mengganut fahaman British.

Prof: Bagi saya mereka melawan Raja-Raja Melayu.

Hanipa: Macam Tok Janggut lah Prof...dia digelar penderhaka oleh British sebab walaupun lawan British dikira lawan Raja.

Prof: Ya, Tok Janggut digelar penderhaka.

Hanipa: Prof, sebagai orang bukan Islam dan tak ada pengetahuan tentang Islam, saya katakan Prof tak tahu tahaluf siyasi yang Islam benarkan.

Prof: Ya, saya tak tahu, ia bukan pengajian saya.

Hanipa: Saya katakan mereka yang lawan penjajah British seperti Mat Indera bekerjasama dengan PKM bukan kerana sokong komunis tapi gunakan PKM untuk tapak mereka lawan penjajah British.

Prof: Tapi mereka langgar undang-undang.

Hanipa: Undang-undang zalim British...Islam benarkan lawan kezaliman, jadi saya katakan tidak semudah itu untuk kita katakan hanya kerana Mat Indera bersama-sama PKM maka terus dilabelkan sebagai komunis, setuju Prof...it is not as simple as that.

Prof: Ya, it is not as simple as that.

Selain Hanipa, peguam Nasar juga menyoal balas saksi tersebut.

Perbicaraan Mat Sabu kini ditangguhkan kepada 27 April depan untuk sebutan sementara menunggu tarikh penghujahan di akhir kes pendakwa.

Timbalan Presiden PAS itu diwakili oleh Hanipa Maidin, Nasar Khan dan Aminuddin Zulkifli manakala pendakwaan pula diwakili oleh Datuk Razali dan Yusaini Amir. Perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Butterworth, Tuan Meor. - HD

[BERGAMBAR] Mat Sabu Dibebaskan, Khalid Samad Pula Ditangkap


Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu telah dibebaskan di IPD Dang Wangi pada jam 11.30 malam tadi setelah ditahan hampir 23 jam, manakala YB Khalid Samad, AJK PAS Pusat pula telah dicekup kira-kira jam 2.30 pagi tadi.

Mohamad Sabu ditahan polis tengah malam kelmarin di Seberang Jaya, Pulau Pinang dan telah dibawa ke IPD Dang Wangi. Penangkapan Mohamad Sabu ditangkap pada malam menjelang demonstrasi #Kitalawan yang berlansung semalam di mana Mohamad dijadual memimpin demonstrasi Kita Lawan dari ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut sebelum menuju ke kompleks membeli-belah Sogo.

Selain Mohamad dan Rafizi, polis juga turut menahan aktivis politik Hishamuddin Rais malam tadi. Naib presiden PKR Tian Chua ditangkap hari ini di Sentul, Kuala Lumpur.

Di dalam demonstrasi semalam, para poeserta telah memabngkitkan isu-isu semasa seperti skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), selain dari turut "meraikan" perkahwinan anak perempunan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Malaysiakini semalam turut melaporkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata beliau "tidak tahu" timbalannya Mohamad Sabu ditahan polis tengah malam tadi di Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Hadi, yang dilihat kian renggang dengan timbalannya, berkata demikian sewaktu bergegas selepas merasmikan konvensyen PAS Wilayah Persekutuan di Gombak hari ini.

Ahli parlimen Marang didekati wartawan, selepas menunggu hampir setengah jam, tetapi enggan mengulas sebarang soalan, termasuk keputusan DAP Sarawak keluar daripada gabungan pembangkang di negeri itu.

Beliau menjawab "tidak tahu" apabila diajukan soalan berhubung penangkapan timbalannya.

Hadi mempunyai sikap berbeza terhadap perhimpunan pro-Datuk Seri Anwar Ibrahim, berbeza dengan timbalannya, lebih popular dikenali Mat Sabu, yang dilihat sangat pro-Pakatan, tulis malaysiakini.

Menurut kenyataan yang ditulis oleh Dato Tarmizi Mohd Jam di dalam laman facebooknya, dengan penahanan Mohamad Sabu, maka ada kemungkinnan beberapa yang lain nseperti Dr Dzulkefly Ahmad, Pak Samad Said, Ustaz Fakrul Razi dan Dr Syed Husin Ali juga bakal menjadi tetamu tak didendang di IPD Dang Wangi. Beliau akhirnya menyakatan beginilah nasib penengang UMNO di Malaysia.

Khalid Samad adalah diantara pimpinan PAS PUsat yang turut menyertai demonstrasi #Kitalawan yang berlansung semalam.




Khalid Samad ditahan kerana menghasut awal pagi ini

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad ditahan polis mengikut Akta Hasutan berhubung perhimpunan #KitaLawan, di rumahnya di Shah Alam pada 3.20 pagi ini, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurut Dzulkefly, Khalid yang merupakan ahli jawatankuasa PAS Pusat kini dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur.

“Kegilaan tangkapan apa semua ini oleh sang penguasa politik?

"Semoga negara ini diselamatkan Allah daripada terjerumus menjadi sebuah 'police state',” kata Dzulkefly melalui akaun Facebooknya.

“Semoga kita semua dirahmati Allah. Allahu Musta'an.”

Semalam, polis menahan Setiausaha Pengelola PKR Fariz Musa sebaik sahaja perhimpunan #KitaLawan di ibu kota berakhir dengan aman tanpa sebarang insiden.

Sebelum itu, polis menahan Naib Presiden PKR Chua Tian Chang beberapa jam sebelum perhimpunan #KitaLawan dan menahan reman selama 3 hari Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan aktivis Hishamuddin Rais yang ditahan pada Jumaat.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu ditahan awal pagi Sabtu berhubung perhimpunan #KitaLawan di Pulau Pinang selepas menghadiri mesyuarat parti di peringkat negeri itu.

Mohamad bagaimanapun dibebaskan pada pukul 11.30 malam tadi selepas ditahan hampir 23 jam tanpa sebarang pertuduhan.

Pada Jumaat, polis menahan Setiausaha Agung PKR, Rafizi di bawah Akta Hasutan berhubung kenyataannya menyeru ahli parti itu turun beramai-ramai dalam perhimpunan #KitaLawan yang diadakan semalam.

Pada sebelah malam, Hishamuddin ditahan selepas “diculik” sekumpulan lelaki tidak dikenali dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur ketika baru tiba di Dataran Merdeka untuk menghadiri program penerangan #KitaLawan.
-TMI


[VIDEO & GAMBAR] Lagi Ditekan Lagi #KitaLawan -KD


Himpunan #KitaLawan diteruskan petang tadi meskipun ramai ahli politik dan aktivis yang telah ditangkap polis berkaitan himpunan ini, demikian Keadilan Daily melaporkan.

Sekretariat #KitaLawan berkata, strategi Ketua Polis Negara (IGP) ternyata gagal menyekat kemaraan anak muda untuk ke Sogo hari ini dan sebaliknya hanya membantu anak muda #KitaLawan untuk mengajak lebih ramai lagi rakyat Malaysia untuk sertai himpunan ini.

“IGP sepatutnya dipecat dengan segera kerana perangai beliau hanya memburukkan nama pasukan polis yang kini bukan sahaja menangkap dan memukul rakyat biasa tetapi juga ‘menculik’ orang,” kata mereka dalam kenyataan.

Datuk Seri Najib Razak pula kata mereka lagi, tidak nampak bahawa pentadbiran beliau terus menerus menindas rakyat. Beliau juga tidak mempunyai prinsip dan tidak menghormati perlembagaan.

Kerana sudah hilang hala tuju maka Najib perlu diberitahu secara terbuka supaya beliau meletak jawatan Perdana Menteri dengan segera.

“Beliau juga tidak peduli serta tidak faham masalah dan kesengsaraan rakyat. Beliau lebih rela menyusahkan kita semua kerana bimbang memikirkan kemewahan yang dikecapinya masih tidak mencukupi.

“Kerana itu kita sebagai rakyat Malaysia perlu lakukan sesuatu. Najib tidak akan memperjuangkan isu rakyat. Kita sendiri terpaksa memikul tanggungjawab untuk melawan regim GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan),” kata mereka.

“Kita raikan hak kita untuk berhimpun secara aman. Berdiam diri bukanlah satu pilihan. Lagi ditekan, lagi #KitaLawan,” tegas mereka lagi.

Sementara itu The Malaysian Insider melaporkan, sejak Khamis hingga awal pagi ini, pihak polis menahan ahli politik seperti Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli yang juga ahli Parlimen Pandan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja Chang Lih Kang, Adun Simpang Pulai Tan Kar Hing, dan terbaru Naib Presiden PKR Chua Tian Chang, atau Tian Chua sebentar tadi.

Sementara aktivis yang ditahan kini ialah Hishamuddin Rais, Michael Tamil, Gan Zhi Mou, Chee Chu Sang dan Yong Ming Chong. Siri penahanan ini dikritik sebagai langkah memadamkan perbezaan pendapat dan halangan kepada kebebasan bersuara, dan PAS memberi amaran kepada polis tindakan ini hanya menambah kebencian terhadap kerajaan.














28 Mac 2015

[VIDEO] Peniaga Ludah Air Minuman Yang Dibungkus Jadi Viral Semula


Kajang – Satu klip video yang memaparkan aksi peniaga meludah dalam bungkusan air minuman dijual hangat semula diperkatakan.

Difahamkan kejadian itu sudah lama berlaku, namun menjadi viral di laman sosial dan aplikasi WhatsApp. Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengambil maklum perkara itu dan akan menyiasat jika terdapat aduan baru mengenainya.

Penolong Pengarah Unit Perancangan Korporat dan Perhubungan Awam MPKj, Kamarul Izlan Sulaiman berkata, jika ada laporan pihaknya akan mengambil tindakan untuk siasatan selanjutnya.

Setakat ini, katanya, tiada aduan secara rasmi daripada mana-mana pihak berhubung kandungan klip video itu.

“Pihak majlis akan buat semakan semula. Gerai itu tiada lesen perniagaan, selepas gelagat peniaga dirakam dan menjadi viral, gerai itu sudah hentikan operasi,” katanya.

Dalam klip video berdurasi 2.17 minit itu, peniaga minuman terbabit dirakam meludah ke dalam setiap bungkusan air minuman dijualnya tanpa sedar gerak-gerinya dirakam.

Perakam dipercayai wanita berdasarkan suara dalam rakaman klip video itu, kedengaran beristighfar sambil menyatakan lokasi sebenar gerai itu beroperasi.

Video menunjukkan peniaga itu memasukkan air gula ke dalam plastik bungkusan, mencedok air minuman dari tong dan menundukkan kepala (dipercayai meludah), sebelum mengikat bungkusan terbabit.

Menerusi klip video itu, peniaga terbabit menggunakan kanopi berwarna biru dan menjalankan perniagaan di tepi jalan.

Dalam rakaman sama, peniaga itu dilihat meludah tiga kali ke dalam tiga bungkusan air dijualnya dipercayai sebagai pelaris jualan. -SH


[TERKINI] Mat Sabu & Hishamuddin Rais Ditangkap


Polis meneruskan operasi ke atas para aktivis dan para pemimpin Pakatan Rakyat menjelang perhimpunan perhimpunan besar Kita Lawan di Kuala Lumpur.

Seorang daripadanya, aktivis sosial Hishamuddin Rais 'diculik' oleh beberapa individu yang berdekatan dengan tempat protes duduk Kita Lawan dan dibawa ke Balai Polis Daerah Dang Wangi.

Seorang lagi, timbalan presiden PAS Mohamad Sabu ditahan dalam kejadian berasingan di Pulau Pinang, kata senator PKR, Syed Husin Ali.

Menurut PKR, polis turut memanggil naib presiden parti itu, Tian Chua untuk siasatan di IPD Dang Wangi.

"Beliau kemungkinan besar akan ditahan malam ini," kenyataan rasmi parti itu dipetik.

Kejadian melibatkan Hishamuddin berlaku berhampiran persimpangan Jalan Tun Perak-Jalan Tuanku Abdul Rahman sejurus selepas Hishamuddin turun dari teksi.

Beberapa lelaki yang menunggang motosikal menariknya dan membawanya masuk ke dalam kereta berwarna perak yang mengekori teksi tersebut.

Lebih 10 orang aktivis yang ternampak kejadian itu mengejarnya, menyebabkan kenderaan tersebut terburu-buru membuat pusingan-U.

Beberapa penunggang motosikal bertindak memanjat pembahagi jalan untuk beredar dari situ.

Selipar Hishamuddin kemudiannya ditemui berhampiran tempat kejadian.

Beberapa minit selepas kejadian berlaku, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Zainol Samah diminta untuk mengesahkan sama ada Hishamuddin ditangkap.

Bagaimanapun, Zainol berkata dia tidak tahu mengenai perkara itu.

Namun, para aktivis kemudiannya dapat mengesahkan bahawa Hishamuddin ditahan di IPD Dang Wangi.

Di Pulau Pinang, kejadian melibatkan Mohamad dikatakan berlaku pada kira-kira jam 11.40 malam di sebuah restoran di Sungai Dua.

Saksi, seorang MP PAS, Datuk Mujahid Yusuf Rawa berkata bedliau pada masa itu sedang minum bersama timbalan presidennya itu selepas habis bermesyuarat.

"(Mohamad ditahan) polis dari Bukit Aman lengkap dengan ski mask dan senjata lalu dibawa ke balai polis Seberang Jaya.

"Kami PAS Pulau Pinang berasa kesal dengan tindakan penangkapan ke atas pesuruhjaya kami yang juga timbalan presiden PAS," katanya dalam satu kenyataan. -mk

Sekretariat #KitaLawan Dakwa IGP Tipu Untuk Tutup Keganasan Polis


Sekretariat #KitaLawan menyifatkan Ketua Polis Negara,Tan Sri Khalid Abu Bakar menipu rakyat untuk menutup keganasan yang dilakukan pihak polis terhadap peserta duduk bantah kempen itu.

Di laman twitternya, Khalid mendakwa perserta perhimpunan aman di Dataran Merdeka malam semalam bertindak ganas dan membelasah penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur(DBKL).

“Sekretariat #KitaLawan menafikan tuduhan liar beliau bahawa anak muda yang duduk bantah secara aman di Dataran Merdeka telah bertindak ganas terhadap penguatkuasa DBKL.

“Ini jelas membuktikan bahawa IGP menipu dan cuba menghasut rakyat di Twitter bahawa anak muda #KitaLawan bertindak ganas.

Bukti-bukti di tempat kejadian jelaslah menunjukkan bahawa anak muda yang berhimpun secara aman telah dikasari,” katanya.

Menurut sekretariatnya, terdapat bukti rakaman video di facebook yang menunjukkan polis menggunakan kekerasan dan bertindak ganas termasuk memukul peserta dan menarik mereka secara kasar.

“Rakaman video juga menunjukkan bahawa peserta telah meminta individu-individu yang tidak dikenali (dipercayai polis tidak berpakaian uniform) yang menyerbu ke arah orang ramai untuk menunjukkan kad kuasa mereka. Namun, mereka enggan berbuat demikian.

“Sebaliknya mereka bertindak ganas dengan menumbuk Chang Lih Kang, ADUN Teja serta bertindak kasar dan memukul orang ramai yang cuba melindungi Chang Lih Kang dan Tan Kar Hing,” katanya.

Oleh itu katanya, IGP perlu dipecat untuk menjaga nama baik pasukan polis dan #KitaLawan akan terus memperjuangkan isu rakyat walaupun ditekan.

“Dengan pendedahan penipuan ini, IGP wajar dipecat dengan segera demi menjaga nama baik dan maruah pasukan polis.

“Kami tidak mampu untuk berdiam diri melihat harta negara terus dirompak sedangkan rakyat ditindas dan yang berkuasa terus menyalahgunakan kuasa untuk menghukum dan menyekat rakyat daripada terus bersuara.

“Kekerasan yang digunakan juga seolah-olah untuk menutup suara rakyat yang menentang pelaksanaan cukai GST. Namun ugutan dan tindakan kasar mereka tidak akan melemahkan semangat anak muda,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sekretariat itu turut mengajak semua rakyat untuk bersama hadir pada malam 27 Mac 2015 di Dataran Merdeka untuk Ceramah Rakyat Menentang GST serta himpunan #KitaLawan yang dijadualkan berlangsung 28 Mac 2015.

Susulan daripada kekecohan tersebut, 6 orang peserta telah ditangkap iaitu Tan Kar Hing (ADUN Simpang Pulai), Chang Lih Kang (ADUN Teja), Michael Tamil AL, Gan Zhi Mou, Chee Chu Sang dan Yong Ming Chong. -KeadilanDaily


Polis: Peserta himpunan pukul pegawai DBKL

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah berkata pasukannya menahan aktivis yang menyertai perhimpunan duduk bantah malam tadi selepas kejadian seorang pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dipukul.

Katanya, para pegawainya menyaksikan kejadian tersebut dan terus bertindak menahan enam orang peserta berkenaan, termasuk dua orang ADUN.

Zainol tidak menamakan mana-mana individu namun difahamkan, dua wakil rakyat itu ialah ADUN Simpang Pulai, Tan Kar Hing dan Chang Lih Kang (Teja).

Zainol berkata seramai antara lima hingga 10 orang pegawai DBKL pada masa itu sedang menurunkan dan merampas kain rentang yang mengandungi slogan anti ketua polis negara, Tan Sri Khalid Ibrahim.

“Pegawai DBKL itu dihalang dari berbuat demikian dan seorang daripada mereka dipukul oleh peserta perhimpunan sehingga salah seorang daripada pegawai itu cedera di muka, hidung dan tangan,” katanya.

Pakaian seragam pegawai berusia 45 tahun itu juga terkoyak dalam kejadian itu.

Bagaimanapun, aktivis Kita Lawan bagaimanapun menuduh polis berbohong mengenai kejadian itu.

Sekretariatnya dalam satu kenyataan menafikan bahawa aktivis mereka bertindak ganas ke atas penguatkuasa DBKL itu.

"Rakaman video oleh saksi mata jelas menunjukkan polis menggunakan kekerasan dan bertindak ganas, termasuk memukul peserta dan menangani mereka dengan kasar," kenyataan itu dipetik.

Seramai enam orang individu yang ditahan itu kemudiannya dibawa ke balai polis Jinang.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam, serta Seksyen 353 kerana menggunakan kekerasan untuk menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Sekiranya sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara dua tahun, denda, atau kedua-duanya.
-mk


Rafizi Ditangkap Lagi Kerana Seru PKR Hadiri #KitaLawan


Rafizi Ramli ditangkap sekali lagi

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli ditangkap di pusat perkhidmatannya di Pandan petang ini mengikut Akta Hasutan kerana satu kenyataan yang dikeluarkannya berhubung perhimpunan #KitaLawan esok.

Menurut Naib Ketua Pemuda PKR Fahmi Fadzil, Rafizi akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk siasatan lanjut.

Rafizi mengeluarkan satu kenyataan semalam meminta pemimpin PKR menggerakkan ahlinya untuk perhimpunan itu yang akan diadakan di ibu negara esok.

"PKR berharap semua rakyat Malaysia yang sayangkan Malaysia akan hadir dan bersuara demi menuntut hak kita dan menentang kezaliman kerajaan persekutuan.

"Kami juga berharap pihak berkuasa tidak cuba melanggar hak kami berhimpun secara aman," katanya.

Perhimpunan esok akan bermula di 3 lokasi sekitar bandar raya diikuti dengan perarakan ke pusat membeli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Tujuannya menuntut pembebasan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara dan peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, serta menolak cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dikuatkuasakan pada 1 April.


Perhimpunan besar #KitaLawan yang terakhir pada 7 Mac menyaksikan 11 orang ditahan, kebanyakannya pemimpin politik pembangkang.

Peguam Rafizi, Michelle Yesudas ketika dihubungi memberitahu, beliau dalam perjalanan ke balai Dang Wangi.

"Saya dalam perjalanan ke balai polis. Saya tidak dapat menghubunginya buat waktu ini," katanya.

Ahli Parlimen Pandan yang juga setiausaha agung PLR itu ditangkap beberapa kali oleh polis sebelum ini berhubung beberapa insiden termasuk perhimpunan #KitaLawan pada 7 Mac lalu.

Beliau juga pernah ditangkap kerana mendedahkan akaun kewangan berkaitan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) dan pengerusi eksekutifnya Mohd Salleh Ismail.



27 Mac 2015

Guan Eng Menang Saman RM550,000 Ke Atas Akhbar UMNO & Pemimpin Perkasa


Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memenangi kes samannya terhadap Ketua Penerangan Perkasa Ruslan Kassim dan enam lain berhubung kenyataan yang didakwa berunsur fitnah yang disiarkan di laman web Perkasa pada 1 Okt 2011.

Hakim Datuk Nor Bee Ariffin membuat keputusan itu selepas membenarkan saman dikemukakan Lim selaku plaintif terhadap kesemua defendan dan memerintahkan ganti rugi RM550,000 dibayar kepada anggota Parlimen Bagan, Pulau Pinang itu.

Nor Bee ketika membuat keputusan itu memerintahkan Ruslan, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dan Perkasa membayar ganti rugi am dan ganti rugi teruk berjumlah RM150,000 kepada Lim.

Hakim itu juga memerintahkan bekas Pengarang Kumpulan New Straits Time Press (NSTP) Datuk Syed Nadri Syed Harun dan The New Straits Time Press (M) Sdn Bhd membayar ganti rugi yang sama berjumlah RM200,000.


Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad Datuk Abdul Aziz Ishak dan Utusan Melayu (M) Berhad diperintah membayar ganti rugi sama berjumlah RM200,000 kepada Lim.

Mahkamah juga memerintahkan kesemua defendan membayar kos berjumlah RM60,000 kepada Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Nor Bee, dalam penghakimannya berkata mahkamah mendapati perkataan yang diadukan oleh defendan adalah memfitnah Lim dan mahkamah juga mendapati kesemua defendan gagal dalam pembelaan justifikasi mereka.

Hakim itu berkata kesemua defendan sepatutnya perlu membuktikan ulasan yang dibuat adalah betul dan saksama sebelum ia disiar atau diterbitkan dan bukannya terus menyiarkannya tanpa membuat sebarang pengesahan.

“Dalam kes ini, mahkamah juga mendapati Kumpulan Utusan dan NSTP gagal mempamerkan kewartawanan bertanggungjawab,” katanya, lapor Bernama.

Pada 11 Mei 2012, Lim memfailkan saman fitnah terhadap kesemua defendan selepas mendakwa Ruslan menerbitkan satu kenyataan dan disiarkan di laman web Perkasa pada 1 Okt 2011 yang meminta ahli perniagaan Datuk Mohamad Azman Yahaya memberi penjelasan berhubung pertemuannya (Lim) bersama Datuk Seri Kalimullah Hassan dan pemimpin kanan parti PAP Singapura pada 12 Ogos 2011.

Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP, dalam pernyataan tuntutannya mendakwa kenyataan yang dikeluarkan itu membawa maksud bahawa beliau membahayakan keselamatan negara dengan mendedahkan rahsia negara kepada Singapura.


Oleh itu, Lim menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi khas, yang kesemuanya berjumlah RM15 juta serta faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, Ruslan ketika ditemui pemberita sejurus selesai prosiding menerima keputusan yang diputuskan oleh mahkamah dengan hati terbuka.

“Saya akur dengan keputusan mahkamah dan ini menunjukkan mahkamah adalah sebuah badan bebas serta tidak diperalatkan oleh kerajaan,” katanya dan menambah mungkin akan membuat rayuan berhubung keputusan itu.

Lim yang tidak hadir pada prosiding hari ini diwakili peguam Americk Sindhu, pihak defendan daripada Kumpulan Utusan dan NSTP diwakili peguam Lim Qi Si manakala peguam Saleh Ahmad mewakili kesemua defendan daripada Perkasa.

[VIDEO] Hudud: Mahfuz Dihalau Keluar Dewan Selepas Minta Jamil Khir Nyata Pendirian


Mahfuz dihalau keluar Dewan selepas desak menteri nyata pendirian hudud

Datuk Mahfuz Omar dihalau keluar dari Dewan Rakyat hari ini selepas mengingkari perintah Speaker dan menghina Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berhubung isu hudud.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu naik berang dengan Jamil dan memanggilnya "bacul" kerana enggan menyatakan pendirian Putrajaya berkenaan undang-undang Islam itu.

Ketua Penerangan PAS itu diminta meninggalkan Dewan Rakyat selepas enggan duduk dan terus mendesak Jamil walaupun menteri berkenaan sudah menjelaskan tidak dapat menyatakan pendirian mengenainya kerana belum melihat rang undang-undang yang berkenaan.

"Bagaimana kerajaan mahu nyatakan pendirian, rang undang-undang yang dibawa PAS pun masih belum lihat lagi," kata Jamil, merujuk kepada rang undang-undang persendirian yang dijangka dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mahfuz kemudiannya gagal mengawal perasaannya apabila Jamil mendedahkan kerajaan tidak pernah membawa usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 ke Majlis Raja-Raja untuk diluluskan.

Menurut Mahfuz, pindaan kepada akta tersebut, yang diperlukan bagi membolehkan hudud dilaksanakan di Kelantan, sepatutnya dibawa kerajaan semasa mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 11 dan 12 Mac lalu.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sebulat suara meluluskan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 (Pindaan 2015) pada 19 Mac selepas dibentangkan pada 18 Mac dan dibahaskan 4 ahli DUN (Adun) serta disokong semua Adun termasuk dari Umno.

The Malaysian Insider melaporkan, jika Majlis Raja-raja meluluskan pindaan itu, Jawatankuasa Teknikal Hudud (JTH) akan membawanya ke Kabinet sebelum seorang menteri membentangkan usul di Dewan Rakyat bagi meminda Akta 355.

Tetapi tanpa lampu hijau Majlis Raja-raja, kerajaan persekutuan kini tidak boleh membentangkan rang undang-undang itu di Parlimen bagi meminda akta itu yang ketika ini mengehadkan hukuman yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah.

Langkah Hadi, yang juga ahli Parlimen Marang, membawa bil persendirian ke Parlimen juga dikatakan kerana tidak mendapat restu daripada Majlis Raja-Raja untuk ia dilaksanakan.

Mahfuz sementara itu mendakwa Putrajaya menipu dalam isu hudud walaupun pada awalnya dikatakan menyokong undang-undang Islam tersebut.

Sebelum ini, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan pendirian parti itu berhubung pelaksanaan hukum hudud di Kelantan selewat-lewatnya 24 Mac.

Katanya, pengumuman itu akan dibuat Perdana Menteri dan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak tetapi sehingga hari ini masih tiada pendirian rasmi dibuat selain pandangan peribadi beberapa pemimpin parti itu. -TMI








ULASAN GB

Hukum kebenaran dan keadilan berjalan terus. Kini terdedahlah pekung UMNO... mereka bersandiwara di dalam soal hudud yang dibentangkan di DUN Kelantan baru-baru ini.

Dan seperti GB telah utarakan berkali-kali, PAS nampaknya terus diperangkap dan terserlah kebodohan kumpulan yang masih terus mempercayai bahawa kononnya UMNO itu jujur.

Apa lagi yang kumpulan pro-ulama mahu Allah tunjukkan?

InsyaAllah, kebenaran akan terus bersinar lagi....