29 Jan 2011

Bapa Maut Anak Selamat Kenderaan Jatuh Dalam Anak Sungai

Mati Lemas Akibat Kereta Terjatuh Ke Dalam Anak Sungai Di Sandakan

SANDAKAN: Seorang lelaki dilaporkan mati lemas selepas kereta yang dinaikinya terjatuh ke dalam anak sungai di sebuah ladang sawit di Batu 14, Jalan Taman Jalil Alip di sini, Jumaat.

Adami Madi, 55, mati lemas dipercayai terperangkap di dalam kereta pacuan empat roda itu.

Anaknya yang berusia 20-an dan pemandu kenderaan berkenaan terselamat dalam kemalangan 11.30 pagi itu.

Menurut Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Mohd Apandi Mahmood, ketiga-tiga mereka sedang dalam perjalanan keluar dari sebuah ladang selepas mengambil buah kelapa sawit.

"Pemandu kereta itu dilaporkan tidak dapat melihat anak sungai di tepi jalan yang telah dinaiki air banjir, menyebabkan kereta itu terjatuh ke dalam anak sungai.

"Anak mangsa dan pemandu kereta berjaya keluar menerusi tingkap kereta," katanya.

Mohd Apandi berkata bomba mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan mayat Adami. - BERNAMA

2 Maut Bas Ekspres Bertembung Dengan Treler

Wanita Mengandung, Lelaki Warga India Maut Kemalangan Di Tatau

Gambar: KEADAAN bas yang terbabit nahas dan mengorbankan dua penumpang, semalam.

Dua penumpang termasuk seorang ibu mengandung maut, manakala empat lagi cedera parah, apabila sebuah bas ekspres bertembung dengan sebuah lori baja, selepas bas berkenaan hilang kawalan akibat tayar depan kirinya pecah dan meletup secara tiba-tiba, dalam kejadian di Kilometer 4, Jalan Bintulu-Tatau, pada kira-kira jam 6.15 pagi semalam.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali Cheria anak Menua, 39, yang mengandung enam bulan dan berasal dari Rumah Jamil, Tatau, serta seorang warga India, Ranjit Singh, 55.

Ranjit meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Cheria yang parah dalam kejadian itu meninggal dunia pada jam 8.30 pagi semalam di Hospital Tatau.

Dua pemandu bas termasuk pemandu gantian parah, selain dua penumpang, dengan pemandu lori serta sembilan penumpang lain cedera ringan, dengan kesemuanya dirawat di Hospital Bintulu.

Setakat petang semalam, polis belum dapat mengambil keterangan daripada pemandu bas berkenaan berikutan keadaannya yang parah dan identiti mereka yang parah juga belum dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Tatau, Wan Zai Zodin Wan Jaafar berkata, dalam kejadian awal pagi itu bas ekspres berkenaan dilaporkan hilang kawalan selepas satu daripada tayar hadapan meletup.

Pemandu bas itu katanya, gagal mengawal kenderaannya dan merempuh sebuah lori baja yang datang dari arah bertentangan.

"Ketika kejadian, bas berkenaan dalam perjalanan dari Kuching ke Miri, dengan polis masih menjalankan siasatan lanjut, " katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Nahas itu juga menyebabkan laluan Bintulu-Tatau sesak lebih dua jam berikutan dua kenderaan berat yang terbabit dalam nahas itu menghadang jalan, selain serpihan beberapa bahagian bas dan barangan penumpang, yang bertaburan di jalan raya. -BH

Tak Dapat Tanduk Telinga Dipulas, Serang Suami Apabila Gagal Gugat Cikgu Mala

Serangan peribadi BN amat memalukan’

Ahli Parlimen Pokok Sena mendakwa serangan yang dibuat oleh PAS dan pemimpin Pakatan Rakyat lain tidak boleh dianggap serangan peribadi.

LABIS: PAS menyifatkan serangan peribadi terhadap calon PAS Normala Sudirman salam kempen pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang sebagai sangat memalukan.

“Ini kempen pilihanraya yang paling buruk dalam sejarah Malaysia,” kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau menambah, “isu serangan peribadi ini yang dilakukan oleh pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) menunjukkan mereka dalam keadaan bertahan.”

Sebaliknya, Ahli Parlimen Pokok Sena itu mendakwa serangan yang dibuat oleh PAS dan pemimpin Pakatan Rakyat lain tidak boleh dianggap serangan peribadi.

“Apa yang kita katakan mengenai calon BN, Mohd Azahar Ibrahim ialah mengenai integriti, kita tidak sebut mengenai kisah rumah tangga beliau.

“Kita tahu perangai dia tetapi kita tidak sebut kisah rumah tangga dia,” katanya.
Tambah Mahfuz, PAS menetapkan tidak ada sebarang isu peribadi pemimpin disentuh dalam kempen pilihanraya ini.

“Kita boleh sebut kisah Datuk Seri Najib (Tun Razak) atau isterinya Datin Seri Rosmah (Mansor) tetapi kita tidak mahu.

“Kita boleh sebut kisah perceraian mereka terdahulu tetapi kita tidak mahu kerana supaya mereka tidak malu. Kita tidak mahu anak-anak mereka malu,” katanya.

Bagaimanapun, kata Mahfuz, pemimpin BN telah membangkitkan kisah perceraian Normala dengan suami terdahulu.

Beliau juga menyifatkan tindakan pemimpin BN `menyerang’ suami Normala, seperti tidak dapat tanduk telinga dipulas.

“Suami calon PAS jadi mangsa. Isu MC (sijil sakit) kalau hendak siasat, siasatlah. Tetapi siasat juga petugas Umno di Tenang dan di pilihanraya lain yang mengambil cuti sakit.

“Ramai juga kawan saya terdiri dari guru yang ambil MC setelah berunding dengan guru besar dan mengambil cuti untuk berkempen bagi pihak Umno.

“Saya tidak fikir isu MC ini menjadi isu besar. Isu yang besar ialah sama Normala kepada Mohd Azahar,” katanya.

Klinik Keluarga Sahkan Suami Normala Sakit

Pusat Perubatan Keluarga, Jalan Segamat, di sini menafikan pihaknya menjual sijil cuti sakit (MC) kepada suami calon Pas, Normala Sudirman yang dikatakan mengalami masalah kemurungan.

Pakar perubatan, Dr Siti Juriah Kusni mengesahkan kliniknya ada mengeluarkan cuti sakit berkenaan kepada Maarof Abd Mutalib berikutan tahap kesihatannya yang lemah.

"Maarof diberikan cuti sakit selama dua hari memandangkan perlu rehat secukupnya kerana mengalami simptom demam, batuk dan selsema.

"Pemeriksaan mendapati Maarof juga kelihatan begitu lesu dan tidak bermaya serta memaklumkan turut mengalami tekanan," katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Menurutnya, sebagai doktor, beliau ada bertanyakan punca tekanan itu dan Maarof berkata ia berkaitan hal pertukarannya ke Johor Bahru.

“Akibat memikirkan hal itu, beliau terlalu tertekan sehingga tidak dapat tidur malam. Oleh yang demikian, saya memberikannya cuti sakit selama dua hari, iaitu pada 6 dan 7 Januari,” katanya.

Dr Siti Juriah berkata, berikutan masalah tekanan yang dialaminya, beliau cadangkan Maarof mendapat khidmat pakar psikitrik dengan merujuk masalah itu ke Klinik Kesihatan Bandar Putra Segamat untuk pemeriksaan lanjut.

“Bimbang masalah tekanan itu berterusan, saya mencadangkan beliau berjumpa doktor,” katanya.

Bagaimanpun, Dr Siti Juriah memaklumkan tidak mengetahui sama ada Maarof mendapatkan khidmat pakar psikitrik seperti mana yang dicadangkannya sehingga mengetahuinya melalui laporan akhbar, semalam.

Menurut Dr Siti Juriah, semua ahli keluarga Maarof mendapatkan khidmat di pusat perubatan itu, yang dibuka sejak 15 tahun lalu.

“Dua tiga hari selepas penamaan calon, tiga anak Normala juga mendapatkan rawatan selepas menghidap simptom demam, batuk dan selsema.

“Mereka kelihatan lesu, tidak bermaya dengan dihantar oleh Maarof mendapatkan rawatan,” katanya.

Status kesihatan Maarof menjadi persoalan apabila beliau dilaporkan mengambil cuti sakit sehingga 21 hari sepanjang bulan ini.

Perkara itu didedahkan menerusi sebuah blog, http://marahku.blogspot.com/ yang mendakwa Maarof mengambil cuti sakit selama dua hari pada 6 dan 7 Januari dari Pusat Perubatan Keluarga di Jalan Segamat, Labis, Johor.

Ia diikuti dengan cuti sakit selama dua minggu bermula 10 hingga 23 Januari yang dikeluarkan oleh Klinik Kesihatan Bandar Putra, Segamat dan tambahan cuti lima hari lagi yang diperoleh dari pusat kesihatan sama.

Ketiga-tiga salinan surat sakit yang dikeluarkan kepada Maarof itu turut dimuat naik ke dalam blog tersebut menerusi entri bertajuk ‘PRK Tenang: Normala’s cheating husband has been keeping secrets from her’ yang disiarkan semalam. -SH

INTERLOK: Formula Muhyiddin Tidak Laku

Interlok: Gapena dan NGO India terus bantah formula Putrajaya

Isu novel kontroversial Interlok dilihat belum menemui penghujungnya meskipun Putrajaya mengumumkan bahawa ia tetap akan digunakan dengan dibuat pindaan pada bahagian-bahagian yang sensitif.

Pihak-pihak yang terlibat dengan dekat dalam kontroversi ini masih belum sanggup untuk mengiktiraf penyelesaian yang diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran, kelmarin.

Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) menegaskan keputusan kerajaan memutuskan untuk mengekalkan novel Interlok dengan membuat pindaan pada bahagian-bahagian yang dianggap sensitif oleh masyarakat India tidak selari dengan hasil perbincangan pada awal bulan ini.

Ahli Jawatankuasanya, Profesor Datuk Dr Zainal Kling berkata, sesi dialog antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan wakil MIC pada 18 Januari lalu tidak pernah membuat sebarang keputusan.

“Di Putrajaya kita ada buat tuntutan yang mana kita minta untuk tiada sebarang pindaan terhadap novel Interlok,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

“Tiada sebarang pindaan, tapi kita benarkan ada penjelasan seperti glosari atau kamus kecil tentang perkataan yang kabur dalam novel Interlok.

“Kalau pindaan, sejak dari mula kita tidak pernah sokong. Gapena pada umum tidak setuju dengan pindaan dan menyokong kebebasan pengarang untuk menulis novel,” katanya.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris itu berkata walaupun kerajaan sudah membuat keputusan, namun pihaknya tetap tidak menyokong sebarang pindaan.

“Itu keputusan kerajaan, kita tidak pasti macam mana (ia diputuskan), dari sudut pandangan kita tak sokong sebarang pindaan dibuat.

“Tapi kalau penulis nak buat (pinda) kita tak tentang tapi kita tetap berpegang kepada prinsip kebebasan untuk menulis novel,” katanya.

Sebelum ini, Persatuan Penulis Nasional (Pena) dalam komennya kepada The Malaysian Insider kelmarin juga membantah keras keputusan kerajaan yang memutuskan untuk mengekalkan novel Interlok yang kontroversial dengan membuat pindaan pada bahagian-bahagian yang dianggap sensitif oleh masyarakat India.

Pertubuhan itu mahu novel tersebut, yang dihasilkan oleh Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain, 91, empat dekad yang lalu dikekalkan tanpa sebarang pindaan walaupun sebelum ini ada desakan masyarakat India agar ia ditarik balik.

Kelmarin, Muhyiddin berkata novel Interlok kekal digunakan sebagai teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan Lima dengan pindaan dibuat kepada bahagian tertentu.

Ia diumumkan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengadakan pertemuan dengan Presiden MIC Datuk G Palanivel dan timbalannya Datuk Dr S. Subramaniam kelmarin.

Novel Interlok terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjadi kontrovesri kerana didakwa mengandungi unsur sensitif yang menyinggung perasaan kaum India pada kandungan muka surat 211 dan 220.

Muhyiddin yang juga timbalan presiden Umno berkata satu panel bebas akan diwujudkan untuk mengkaji bentuk pindaan dan mengemukakan perakuan kepada kerajaan.

“Keputusan mengekalkan novel ini dengan membuat pindaan supaya tidak menyinggung perasaan kaum India adalah jalan penyelesaian terbaik,” katanya.

Novel itu menimbulkan kontroversi berikutan keputusan Kementerian Pelajaran memilih novel itu sebagai teks sastera Tingkatan Lima tahun ini kerana didakwa terdapat perkataan yang menyinggung perasaan masyarakat India di negara ini.

Muhyiddin juga menegaskan bahawa novel Interlok hanya akan digunakan setelah pindaan disiapkan dan diedarkan ke sekolah-sekolah.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Progresif India Malaysia AP Raja Retinam berkata pihaknya sudah hilang kepercayaan dengan pendirian MIC dalam isu tersebut.

Sehubungan itu beliau yang juga bekas presiden Persekutuan Pertubuhan India Malaysia (Prima) berkata pihaknya akan meneruskan usaha membantah penggunaan novel itu di sekolah mulai sekarang.

“Kami memberikan sokongan kepada MIC untuk menyelesaikan isu ini, tetapi sekarang kami sudah hilang keyakinan dengan MIC yang gagal membawa aspirasi masyarakat India,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Katanya pihaknya sudah mengaturkan program berpuasa menuntut novel itu ditarik balik di ibu negara esok.

“Kami akan berpuasa dari pagi hingga petang esok meminta kerajaan mendengar tuntutan kami,” katanya lagi yang turut menambah bahawa pihaknya akan mengadakan forum penjelasan mengenai isu itu di seluruh negara.

Pihak berkenaan masih berpendapat bahawa novel itu tidak wajar digunakan di sekolah sebagai buku teks.

“Selepas itu kami hendak mengadakan protes di seluruh negara,” katanya lagi. -TMI

[Bergambar] Cikgu Mala Disambut Meriah Di Majlis Makan Malam Di Tenang


Cikgu Mala Di Majlis DAP Labis







Sedikit laporan daripada Twitter Tony Pua (MP PJ Utara):

The crowd @ DAP Labis dinner goes absolutely wild w/ d arrivl of calon Cikgu Normala

The atmosphere has gone beyond electric with d arrival of DS HadiAwang, @anwaribrahim and @cmlimguaneng here in Labis DAP dinner

Hundreds more following d nite's speakers outside d venue on our screens in Tenang

Atmosphere's electric here @ '000 ppl DAP Labis dinner in support of PAS Cikgu Normala in Tenang!


Sedikit laporan daripada Twitter Sim Tze Tzin (ADUN Dari Pulau Pinang):

Excitement, optimism & confidence in #Tenang!

Tenang dinner ceramah is HOT!!!! We see hope. -gomalaysian


Ceramah Perdana Terakhir Tenang: Berduyun Kaum Cina Hadir


Pakatan rayu sokongan besar Cina kejutkan BN di Tenang

Kempen pilihan raya kecil DUN Tenang menghampiri penghujung dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang malam tadi merayu masyarakat Cina memberikan undi padu kepada calon mereka Normala Sudirman.

Pengundian diadakan esok. Kempen akan berakhir secara rasmi tengah malam ini.

Bercakap pada majlis makan malam anjuran DAP, rakan komponen Pakatan Rakyat, Hadi berharap masyarakat Cina yang terdiri daripada 39 peratus pengundi di Tenang akan melakukan kejutan dengan mengubah kedudukan di mana kerusi itu secara tradisi dipegang oleh Barisan Nasional (BN).

“Pada 2008, kaum Cina telah memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat. PAS dan DAP menang di kawasan Cina, harap kemenangan selepas ini lebih besar.

“Saya yakin pengundi Cina akan melakukan kerja menumbangkan Barisan Nasional untuk anak tangga menuju Putrajaya,” kata Hadi lagi.

Turut berucap pada majlis itu ialah Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng — yang melakukan kunjungan kedua untuk menarik sokongan kepada Normala, calon wanita mewakili parti itu.

Kerusi DUN Tenang menjadi rebutan Normala, Ketua Muslimat PAS Labis dan Mohd Azahar Ibrahim mewakili BN.

Pilihan raya kecil ke-14 ini diadakan bagi mengisi kekosongan berikutan kematian penyandang Datuk Sulaiman Taha, wakil rakyat Umno-BN, 17 Disember lepas.

Allahyarham Sulaiman mempertahankan kerusi DUN Tenang pada pilihan raya umum ke-12 dengan menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran, dengan majoriti 2,492 undi.

Ia pilihan raya kecil pertama di Johor sejak Mac 2008 dan yang pertama sejak 1989.

Dalam ucapannya Hadi turut menegaskan Islam yang diperjuangkan PAS berbeza dengan Islam dibawa Umno-BN dalam sistem pentadbiran negara.

Beliau berkata Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, PKR dan DAP bergabung dengan hasrat untuk membelas nasib rakyat yang ditindas kerajaan BN selama ini.

“Pakatan rakyat adalah pakatan yang disertai PAS yang berhasrat sama dengan orang Islam dan bukan Islam dalam PKR dan DAP.

“Pakatan yang diajar oleh Islam dinamakan tahaluf. Dalam satu negara, kita berpakat menegakkan keadilan dan membanteras kezaliman.

“Kita berpakat dalam perkara asas yang sama. Umno Islam duduk dalam BN, barisan ini berbaris bukan berpakat... Umno tidak konsisten dan tak tunjuk perangai baik depan orang bukan Islam.. Ini tidak selesai masalah,” katanya.

Hadi menjelaskan Islam agama yang menganjurkan politik dan ia perlu dijelaskan kepada seluruh rakyat termasuk orang bukan Islam.

“Kita perlu mengajar pengundi memahami dengan betul perbezaan antara PAS dan Umno dan perbezaan Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional.

“Orang melihat secara zahir Umno Islam dan Pas Islam... PAS tegakkan Islam sepertimana dalam al-Quran dan Umno anggap Islam hanyalah agama rasmi dalam Perlembagaan (Persekutuan) yang digubal British. Islam adalah sekular, Ini beza PAS dan Umno.

“Dalam politik yang dianjurkan Islam adalah berbeza dengan (Islam) yang dianjurkan Umno-Barisan Nasional, tiada masalah kita berbilang bangsa tinggal di tanah air, kita menolak politik perkauman,” katanya.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, Pakatan Rakyat akan sentiasa menegakkan keadilan tanpa mengira kaum dan latar belakang.

“Selamanya kita berpakat di atas persetujuan mengekalkan keadilan dan menolak yang zalim, adil untuk semua, tolong rakyat tanpa mengira kaum.

“Boleh tanya orang Kelantan, orang bukan Islam macam mereka diberi hak yang sama. Di Terengganu juga begitu, kita selesaikan tanah di Kampung Baru," kata bekas menteri besar Terengganu. -TMI




Ribuan sertai ceramah perdana terakhir

Ribuan penyokong menyertai ceramah perdana yang diadakan oleh PAS dan Pakatan Rakyat di Dataran Cikgu Mala sempena ceramah penutup kempen utama mereka di Tenang malam tadi.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng menyertai majlis itu yang turut disertai oleh para pemimpin kanan dari parti dalam komponen Pakatan Rakyat.

Kawasan tanah lapang yang disewa oleh PAS berhadapan dengan Dataran Wayang Pacak mereka telah diberikan nama jolokan iaitu Dataran Cikgu Mala sempena dengan nama calon PAS untuk pilihan raya kecil Tenang.

Kehadiran begitu ramai ini memberikan gambaran sokongan kepada Pakatan Rakyat. Kalau tidak semua mereka adalah penduduk tempatan, kesanggupan mereka datang membayangkan sokongan untuk Pakatan dari seluruh negara walaupun dimomokkan dengan pelbagai isu oleh media BN.

Berikut adalah gambar-gambar yang dirakamkan oleh jurukamera Harakah, Wan Zahari Wan Salleh.






PRK Tenang: Ceramah DAP Hebat, Ceramah MCA Lengang

BN cuba selamatkan undi Cina, PR pula sasar FELDA dan estet

Meskipun PRK Tenang menyaksikan pertarungan antara UMNO-Barisan Nasional dengan PAS-Pakatan Rakyat, namun kelihatan rakan partinya lebih bersungguh-sungguh sepanjang tempoh kempen.

Antaranya, MCA menurunkan tujuh orang Timbalan Menteri untuk mengetuai pasukan kempennya, malah Presidennya Chua Soi Lek dan anaknya, Chua Tee Yong, juga penyandang kerusi parlimen Labis, melawat ke semua tokong Cina dan pasar malam di situ.

Sementara itu, DAP pula mencurahkan sokongan sepenuhnya kepada PAS untuk menangkis serangan isu Negara Islam yang memanah Pakatan Rakyat. Selain strategi kreatifnya yang bertemakan "TUKAR" sempena Tahun Baru Cina, kenyataan demi kenyataan media dikeluarkan untuk menyanggah setiap tuduhan yang dilemparkan MCA, malah mencabar agar Chua Soi Lek tampil berdebat.

Ceramah anjuran DAP juga mendapat sambutan yang memberangsangkan di kawasan yang majoritinya pengundi Cina. Hampir setiap ceramah yang diadakan DAP pada waktu malam menarik kira-kira 500 orang - bukan sahaja penuh sesak, tetapi orang yang datang berdiri sepanjang malam sehingga ceramah tamat.

Jamuan malam MCA disambut dingin

Sebaliknya, jamuan malam anjuran MCA menerima sambutan yang dingin daripada penduduk tempatan. Kekosongan meja dan kerusi kelihatan di merata-rata sungguhpun Chua Soi Lek turun sendiri ke jamuan tersebut. Malah, Chua Soi Lek kelihatan kekok apabila tidak ramai yang menyahutnya ketika beliau melontar soalan untuk memanaskan suasana. Situasi ini berbeza dengan apa yang berlaku di ceramah anjuran DAP - meriah dengan sorakan dan tepukan.

Jika dilihat kepada statistik PRU ke-12 - di kawasan Bandar Labis Tengah yang 96% terdiri daripada pengundi Cina, PAS memperolehi 66.8% undi. Namun, untuk kerusi parlimen Labis pula, DAP memperolehi 73.8% undi. Dengan kata lain, DAP mampu melonjakkan sokongan pengundi Cina di Bandar Labis Tengah ke paras 73.8%, sebagaimana yang diraihnya dalam PRU ke-12.

MCA yang semakin terasa bahangnya membariskan lebih ramai pemimpin untuk ceramahnya, misalnya Naib Presiden Ng Yen Yen, Gan Ping Sieu; Ketua Pemuda MCA Wee Ka Siong, Timbalan Ketua Pemuda merangkap EXCO kerajaan negeri Perak Mah Hang Soon dan sebagainya. Bagaimanapun, usaha ini digagalkan cuaca yang menurunkan hujan pada Khamis lalu. Begitu juga dengan ceramah PR, yang terjejas bilangan kehadiran lantaran cuaca hujan, sungguhpun membariskan Nik Aziz, Lim Kit Siang, Speaker DUN Selangor Teng Chang Khim, bekas Menteri Besar Nizar Jamaluddin dan sebagainya.

Langkah MCA agak lambat

MCA yang mengasak dengan isu Negara Islam, akhirnya berdepan dengan tuntutan pertubuhan Cina, yang mahu agar Sekolah Menengah Swasta Cina (SMSC) di Segamat diwujudkan semula. MCA agak lambat dalam langkahnya untuk mengendalikan isu ini, sehingga Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berjaya mengambil kesempatan untuk mendesak MCA-BN.

Chua Soi Lek cuba melontar balik isu ini dengan mencabar agar kerajaan PR di Pulau Pinang dan Selangor mengambil mereka yang tamat pengajian di sekolah swasta Cina sebagai kakitangan awam. Malah, Timbalan Presiden MCA, Liow Tiong Lai mendakwa ini kali pertama dirinya tahu isu "mewujudkan semula sekolah menengah swasta" ini, yang pada hakikatnya janji BN pada 25 tahun lalu.

Sejauh manakah isu sekolah cina swasta ini mempengaruhi pola pengundian hanya diketahui pada malam 30 Januari. Apa yang pasti, PR memiliki kelebihan dalam penguasaan undi Cina. Dan ia menjadi cabaran kepada Chua Soi Lek, lebih-lebih lagi kawasan DUN Tenang berada di bawah kerusi parlimennya, yang diwarisi dari bekas Presiden Ling Liong Sik, sebelum dilepaskan kepada anaknya ekoran skandal seksnya.

UMNO kukuh di FELDA

Bagaimanapun, UMNO kini kelihatan menguasai tiga kubu tradisionalnya, iaitu FELDA Tenang, Cehmpal Barat dan Chemplak. Ketiga-tiga kawasan ini mempunyai 4,118 undi peneroka FELDA keturunan Melayu, iaitu kira-kira 28% daripada undi keseluruhan DUN Tenang, atau bersamaan 59% undi Melayu.

Pengamatan MerdekaReview mendapati harga getah dan kelapa sawit yang melonjak mungkin menjadi faktor positif untuk BN. Kawasan kediaman mereka agak selesa, bersih dan segar, dihiasi bendera UMNO mahupun BN. Jelas, peneroka FELDA agak takut untuk berdepan dengan media, dan enggan menjawab soalan yang diajukan wartawan.

Menurut pengurus kempen PAS, Syed Osman, mereka berdepan dengan kerumitan ketika cuba menyebarkan maklumat di kawasan FELDA. Penduduk di kawasan FELDA tidak berani untuk menghadiri aktiviti anjuran PAS, terutamanya aktiviti kecil-kecilan, kerana takut identitinya dikenalpasti.

Di kawasan ladang yang majoritinya pengundi India pula, telah digulakan BN dengan hamper, kemudahan infrastruktur sejak awal lagi. Malah, pemimpin BN yang turun ke situ menyelitkan amaran yang tersirat dalam gurauannya, bahawa pemilik ladang adalah pemimpin BN. PR kini cuba menembusi ladang estet dengan pemimpin India-nya dalam tempoh yang kurang daripada 48 jam, sebelum hari pengundian pada 30 Januari.

Sesungguhnya, PRK Tenang juga merupakan satu cabaran kepada PAS, yang menguji sama ada parti politik ini mampu bertahan di kawasan campuran. Malah, ia juga menguji sejauh manakah hubungan kerjasama antara DAP-PAS-PKR, yang hampir tiga tahun terjalin di bawah nama Pakatan Rakyat. -MR


*Leong Khong ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang dari artikel-artikelnya dalam bahasa Cina.

Perihal Salam Dengan Bersarung Tangan - Apakah Soi Lek Pura-pura Tidak Tahu?

Saya orang biasa, dan saya juga amat rapat dengan kawan-kawan India dan Cina. Maka saya sangat tidak suka dan amat benci mana-mana pemimpin tidak kira Umno, PAS, PKR, MCA, DAP, Gerakan, BEBAS atau apa saja yang ingin jadi hero politik dengan memainkan isu agama, kaum dan adat resam budaya.

Mereka ini adalah pengkhianat negara kerana apabila berlaku salah faham agama, rusuhan kaum atau pergaduhan atau pembuhan sesama rakyat jelata; mereka tetap selamat.

Mungkin lari keluar negara, dan rakyat yang tidak tahu apa-apa yang akan menjadi mangsa. Kelak pihak polis dan tentera menjadi mangsa untuk mengawal negara yang darurat! Sebab itu saya menggelarkan mereka ini pengkhianat kepada negara dan rakyat marhain.

Saya seorang Islam, saya bukan sahaja faham akan amalan agama Cikgu Normala itu tetapi amat faham dan boleh jelaskan dengan terperinci. Iaitu :

• seorang perempuan Islam pada dasarnya tidak boleh bersentuhan dengan mana-mana lelaki yang dia boleh berkahwin(bernikah). Lelaki ini digelar 'mahram' dalam istilah Islam. Lelaki sebegini tidak kira apa bangsa, agama dan keturunan pun bahkan kalau orang Melayu Islam sendiri pun tidak boleh bersalaman dengan Cikgu Normala.

• lelaki yang boleh seseorang wanita Islam bersalaman/bersentuh kulit dengannya , digelar lelaki ini 'muhrim' dalam istilah Islam. Muhrim ini diharamkan (tidak boleh) berkahwin dengan wanita Islam tersebut. Contoh muhrim ialah; bapa kepada wanita Islam itu, abang wanita itu, adik lelakinya, bapa mertua wanita itu, anak-anaknya (tidak kira lelaki atau wanita), dll..(banyak lagi).

• Namun dalam Islam, ada kes tertentu khas yang dibolehkan wanita itu menyentuh lelaki lain atas kepentingan umat manusia contohnya dalam perubatan, dalam kecemasan, darurat dan yang seumpamannya.

• Wanita Islam boleh bersalaman tanpa memakai sarung tangan dengan semua wanita tidak kira apa bangsa dan agama pun. Cuma Cikgu Normala apabila turun berkempen dan takut kalau-kalau ada lelaki yang ingin bersalaman; maka beliau terus saja siap sedia memakai sarung tangan untuk majlis dengan rakyat.

Isu yang berlaku ini kerana:

Presiden MCA itu tidak faham nilai sebenar amalan ajaran Islam. Juga sepatutnya menteri kabinet Islam telah pun menerangkan kepada beliau. Apa peranan Datuk Jamil Khir dan Datuk Mashitah?

• Di zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman, isu ini tidak berlaku. Sebabnya PERKIM telah memainkan peranannya dengan baik agar semua orang-orang bukan Islam memahami budaya amalan Islam.

• Atau adakah Presiden MCA itu sengaja pura-pura tidak tahu dan ingin menjadi juara politik? Saya tidak ada masalah memohon maaf kalau beliau memang tidak tahu. Saya bersikap terbuka untuk bercakap dengan beliau.

Apakah Presiden MCA ini sengaja besarkan isu ini? Kenapa Ratu Elizabeth memakai sarung tangan ketika bersalaman dengan orang lain, serata dunia, dengan semua pemimpin negara (bukan rakyat biasa pun), Datuk Seri Chua Soi Lek tidak bising? -Ibni Khalid Jurait

[Video & Bergambar] Ribuan Rakyat Mesir Bertempur Dengan Polis Desak Mubarak Undur

Polis tembak penunjuk perasaan desak Mubarak berundur

KAHERAH: Polis rusuhan Mesir menembak peluru getah ke arah penunjuk perasaan yang menjanjikan ‘yawmul ghadab’ atau hari kemarahan di seluruh negara itu semalam bagi menuntut presiden Hosni Mubarak meletak jawatan selepas 30 tahun memerintah.

Ada laporan menyatakan penunjuk perasaan sudah sampai dekat Istana Presiden.Penunjuk perasaan berhimpun di beberapa kawasan di seluruh negara termasuk di sebuah kejiranan berhampiran istana presiden di Kaherah, memaksa polis menembak gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan mereka.

Puluhan ribu tunjuk perasaan yang mula berhimpun dan berarak selepas solat Jumaat membawa poster anti Mubarak sambil melaung ‘Undur, undur Hosni Mubarak.’

Kumpulan Vodafone berkata semua pengendali telefon selular di Mesir diarah menggantung perkhidmatan masing-masing di kawasan tertentu, bertujuan membendung penganjur bantahan daripada menghimpunkan penunjuk perasaan.

Bekas ketua agensi tenaga atom Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Mohamed ElBaradei, yang juga penerima anugerah keamanan Nobel yang turut menuntut Mubarak meletak jawatan, dihalang keluar dari sebuah masjid di kawasan Giza di Kaherah bagi memimpin kira-kira 2,000 jemaah untuk mengadakan tunjuk perasaan.
Jemaah itu dikepung polis ketika mengadakan solat Jumaat di sebuah medan di luar masjid di Giza itu.

“Rakyat mahu rejim Mubarak berkubur,” penunjuk perasaan didengar melaung selepas solat.

“Berambus, berambus Mubarak. Mubarak, pesawat menanti anda,” laung mereka lagi merujuk kepada bekas Presiden Tunisia, Zine al-Abidine Ben Ali yang terpaksa melarikan diri ke Arab Saudi pada 14 Januari lalu berikutan bantahan besar-besaran rakyat yang berterusan hingga hari ini.

Malah, bantahan di Tunisia menyaksikan protes meletus di negara Arab lain termasuk Algeria, Jordan dan Yaman. Di Jordan, tunjuk perasaan ketiga pada hari Jumaat berlangsung.

Rakyat Mesir mengadakan tunjuk perasaan sejak Selasa lalu dan lebih 1,000 sudah ditahan polis.

Ahli Ikhwanul Muslimim – kumpulan pembangkang yang diharamkan – turut ditahan polis selepas mengeluarkan kenyataan menyokong tunjuk perasaan itu.

Penunjuk perasaan yang rata-ratanya golongan muda mahu pemerintahan kuku besi Mubarak berakhir bagi menyelesaikan masalah pengangguran, inflasi dan rasuah.

Rungutan yang sama mengenai rasuah dan kemiskinan kedengaran di kalangan penunjuk perasaan di negara serantau Algeria dan Yaman yang turut mendapat inspirasi daripada revolusi di Tunisia yang menyaksikan berakhirnya pemerintahan kuku besi Ben Ali selama 23 tahun.

“Hanya tuhan yang tahu apa akan berlaku hari ini. Selepas Tunisia, apa saja boleh berlaku,” kata seorang penunjuk perasaan.

Selain perkhidmatan telefon selular, perkhidmatan internet melalui pelayan Mesir turut disekat di seluruh negara sejak malam kelmarin.

Laman web sosial Facebook sebelum ini digunakan oleh penganjur tunjuk perasaan untuk mengumumkan lokasi dan masa bantahan.– Reuters



















[Bergambar] 3 Maut Kereta Terjunam Dalam Taliair

Pekan – Tiga sekeluarga termasuk sepasang suami isteri terbunuh selepas kereta Datsun 120Y dinaiki mereka terbabas ke dalam sebuah tali air ketika mengelak daripada melanggar sebuah motosikal di Kilometer 31, Jalan Pekan-Batu Balik dekat Kampung Pulau Rumput, Pekan semalam.

Tiga mangsa yang terkorban ialah Maarof Mat Sham, 73, bersama isterinya, warga Indonesia mempunyai taraf penduduk tetap dikenali sebagai Karinah, 55, dan anak saudara pasangan itu hanya dikenali sebagai Mahmud, 36.

Hasil bedah siasat mendapati ketiga-tiga mangsa itu terkorban di tempat kejadian akibat lemas di dalam tali air sedalam lima meter.

Ketua Polis Daerah Pekan, Supritendan Yahaya Othman berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 8 pagi ketika tiga mangsa itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Kampung Pulau Rumput menuju ke bandar Pekan manakala motosikal jenis Yamaha RXZ dari arah Pekan menuju ke Sekolah Teknik Muadzam Shah.

“Sampai di lokasi kejadian, motosikal ditunggangi seorang remaja gagal memotong sebuah traktor diekori menyebabkan ia bergesel dengan traktor itu sebelum motosikal itu terjatuh ke laluan bertentangan.

“Kereta dipandu Mahmud cuba membrek daripada melanggar motosikal terbabit menyebabkan kereta itu terbabas ke kanan jalan lalu terjunam ke dalam tali air dengan keadaan keempat-empat tayar kereta terbabit berada di atas,” kata beliau ketika ditemui di sini semalam. -kosmo

Gambar ehsan Bernama








Konstabel "Hilang" Yang Belasah Peniaga Didakwa

Kes 'belasah' peniaga: Konstabel 'hilang' didakwa

Seorang anggota polis hari ini mohon dibicarakan berhubung pertuduhan membuat laporan palsu dengan niat mencederakan seorang ahli perniagaan, Chia Buang Hing pada 18 Disember lalu.

Konstabel Norzali Rosle, 25, dari Balai Polis Kota Damansara didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya mengikut Seksyen 211 Kanun Keseksaan iaitu membuat tuduhan palsu sehingga mendatangkan bencana yang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Norzali mendakwa Chia (kiri) memiliki 0.01g heroin dan mempunyai sebilah parang.

Majistret Nor Afidah Idris menetapkan wang jaminan sebanyak RM2200 dan ia dijelaskan oleh ibu tertuduh.

Timbalan pendakwa raya Amirah Mohamed Yusof pada mula mahu jaminan dikenakan pada RM3000 tetapi peguam bela, Suresh Singh merayu supaya jumlah ditetapkan pada RM1500, kerana tertuduh, sekrang digantung jawatan dan ibunya hanya seorang suri rumah.

Suresh juga berhujah tertuduh juga dikehendaki melaporkan diri ke balai polis Kota Damansara pada setiap Isnin dan Khamis.

Norzali adalah antara lima orang yang sebelum ini didakwa kerana memukul Chia.

Rabu lalu, waran tangkap dikeluarkan ke atas Norzali apabila beliau gagal muncul di mahkamah.

Hari ini, peguamnya berkata berkata waran tangkap itu dikeluarkan pada minit terakhir dan tertuduh ketika itu berada di luar Kuala Lumpur.

Chia sebelum ini, mendakwa dia dibelasah oleh beberapa anggota polis yang juga merompak ribuan ringgit daripadanya selepas mereka menahannya kerana memandu tanpa cukai jalan pada 18 Disember.

Norzali kemudiannya dibenarkan meninggalkan mahkamah mengikut pintu laluan yang digunakan oleh majistret.

Menurut peguam Chia, - Lim Lip Eng yang juga ahli parlimen Segambut, tindakan itu jelas membuktikan dwi standard terhadap sistem perundangan negara.

"Sepatutnya, jika jaminan dibenarkan, tertuduh mesti dibawa ke bilik lokap. Semua orang sepatutnya sama taraf mengikut undang-undang tetapi dia dibenarkan keluar melalui pintu majistret,” katanya. -mk

Pendedahan Sijil Sakit Tidak Beretika

Tidak beretika: PAS kesal dokumen peribadi didedah

LABIS, 28 Jan: PAS kesal dengan tindakan sebuah sekolah menengah di Labis yg mendedahkan dokumen peribadi seorang gurunya berhubung laporan cuti sakit dan dijadikan bahan kempen Umno BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tenang.

Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Md Ramli berpendapat tindakan tersebut juga boleh menjejaskan imej guru berkenaan dan menghilangkan keyakinan pekerja terhadap majikannya.

Beliau yang juga seorang pengamal perubatan berkata, sijil cuti sakit adalah dokumen rasmi yang sepatutnya hanya di ketahui oleh pesakkit (guru tersebut) dan majikannya.

Ini kerana dokumen tersebut mengandungi maklumat sulit antara doktor dan pesakitnya, termasuk diagnosis pesakit.

"Hanya pesakit atau doktor yang diizinkan oleh pesakit boleh mendedahkan maklumat itu kepada pihak ketiga," katanya.


Kekesalan itu dizahirkan ekoran Umno BN kini didakwa menggunakan sijil sakit, Maarof Abdul Mutalib iaitu suami kepada calon PAS bagi PRK Tenang, Normala Sudirman.

Sijil sakit berkenaan juga turut disiarkan di sebuah blog pro Umno dan laporannya membayangkan Maarof sedang berdepan masalah kesihatan yang serius.

Selain blog, laporan akhbar pro Umno, Utusan Malaysia hari ini juga turut memainkan isu sama dengan memaparkan tajuk 'Suami Normala sakit kritikal?'.

Laporan itu mempersoalkan status kesihatan Maarof kerana mengambil cuti sakit sehingga 21 hari sepanjang bulan ini.

Selain itu, Hatta turut membidas tindakan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr. Puad Zarkashi yang merestui tindakan sekolah berkenaan dan terus membuat kenyataan seolah-olah guru tersebut telah melakukan kesalahan tanpa usul periksa.

"Tindakan Timbalan Menteri ini sangatlah tidak profesional. Beliau wajar memohon maaf kepada guru berkenaan,"
katanya lagi.

Selain Puad, PAS juga katanya terkejut dengan tindakan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin yang mempertikaikan pegawai perubatan yang merawat dan mengeluarkan sijil cuti sakit kepada guru berkenaan.

Menurutnya, Rosnah tidak berhak campurtangan dalam urusan kerja profesional doktor berkenaan.

"Percubaan mencampuri dan mengganggu tugas seorang doktor untuk tujuan mempengaruhi cara rawatan yang dilakukan oleh doktor sangat tidak bermoral dan amat terkutuk.

"Datuk Rosnah harus tahu batas kuasa beliau di Kementerian Kesihatan.


Timbalan Menteri atau sesiapa juga pegawai atasan ujarnya, harus memberi sokongan dan perlindungan kepada pegawai dan kakitangan dibawah tanggunjawab mereka manakala sebarang perlanggaran tatatertib harus disiasat di peringkat dalaman jabatan dan bukannya dengan mengeluarkan kenyataan yang melulu.

Sehubungan itu PAS tegasnya meminta pihak Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) mengambil tindakan terhadap pihak yang sengaja menjatuhkan maruah pengamal perubatan di bawah kawalan mereka.

"Semoga ini menjadi pengajaran kepada semua pihak agar tidak mengulangi kesilapan yg sama," katanya. -harakahdaily

Ulasan GB

GB sebentar tadi baru ulas perkara yang sama. Petikan:

Sebagai seorang ahli iktisas, seseorang doktor boleh menyaman pihak yang mempertikaikan sijil cuti kepada pesakitnya. Pihak sekolah yang mendedahkan sijil cuti sakit itu juga boleh didakwa kerana surat sijil sakit itu adalah sepatutnya sulit dan tidak didedahkan kepada pihak awam.

PRK Merlimau: Penamaan Calon 26 Feb Pilihanraya 6 Mac

Tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau di Melaka ditetapkan pada 6 Mac depan.

Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 26 Februari.

Perkara itu diumumkan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof melalui satu kenyataan yang dikeluarkan di Labis lewat malam ini.

Abdul Aziz juga berkata SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Melaka pada 21 Januari lepas berhubung kekosongan kerusi DUN itu pada hari sebelumnya, lapor Bernama.

"Berikutan dengannya, SPR telah mengadakan mesyuarat khas mengenainya pada malam ini dan menetapkan bahawa satu pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan yang diputuskan oleh SPR bagi mengisi kekosongan kerusi berkenaan," katanya.

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan selepas mengalami serangan jantung pada 20 Januari lalu.

Pada pilihan raya umum 2008 itu, calon parti PAS Jasme Tompang tewas di tangan Mohamad Hidhir dengan majoriti 2,154 - peningkatan hampir 3,000 undi berbanding pencapaian pembangkang empat tahun sebelumnya. -mk