8 Nov 2010

Pengalaman Jurugambar, Banyak Yang Perlu Dipelajari

Di balik sekeping gambar Hillary Clinton

Gambar: Bendera Amerika Syarikat (kanan) kelihatan segar dengan bantuan sebatang penyangkut baju di lekatkan di dalam gulungan bendera itu ketika majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Kerajaan Malaysia yang di wakili oleh Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dengan Kerajaan Amerika Syarikat, diwakili oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Rodhan Clinton yang disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bangunan Perdana Putra di sini, baru-baru ini.

Menjadi satu pengalaman amat berharga buat jurugambar Bernama ketika membuat liputan lawatan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Hillary Rodham Clinton baru-baru ini.

Mungkin tidak setanding pengalamannya merakam gambar peperangan di Iraq tujuh tahun lalu, tetapi Harry Salzman Abu Bakar menganggap persediaan sebelum mengambil gambar pegawai diplomat tertinggi negara maju itu harus diteladani bukan sahaja buat dirinya tetapi bagi pemimpin-pemimpin yang ingin gambar mereka menjadi lebih menonjol.

Apa yang diminta oleh pegawai pengiring Clinton beberapa minit sebelum majlis bermula mungkin dilihat remeh tetapi itu merupakan perincian bagi mendapatkan hasil gambar yang terbaik dan menjadikan pemimpin mereka itu kelihatan lebih menyerlah.

"Sebagai satu-satunya jurugambar mewakili media rasmi saya diajak berbincang tentang persediaan untuk mengambil gambar bekas wanita pertama Amerika Syarikat.

"Saya diberitahu lebih awal warna pakaian yang akan dipakai oleh Secretary Clinton agar dapat menyediakan penataan cahaya yang sesuai," katanya.

Ketika itu Harry Salzman ditugaskan untuk mengambil gambar majlis menandatangani tiga perjanjian persefahaman antara Malaysia dan Amerika Syarikat di Pejabat Perdana Menteri, di Putrajaya Selasa lalu.

"Mereka juga bertanya kepada saya keadaan manakah yang sesuai bagi posisi badan pemimpin itu sama ada mengadap ke hadapan atau mengiring ketika berdiri untuk bersalaman selepas menandatangani perjanjian.

"Apabila saya bersetuju posisi bagaimana yang saya mahu, mereka terus menandakan di atas lantai kedudukan yang harus Secretary Clinton berdiri kelak," katanya.

Hasilnya jika dilihat daripada gambar yang diambil, memang anda akan lihat posisi beliau kelihatan 'segak' dan 'kemas' berbanding orang di sekelilingnya, kata anak Perlis ini.

Malah Harry Salzman berkata cara Clinton memegang folder perjanjian sambil bersalaman juga dititikberatkan bagi menunjukkan penghargaan dan mencerminkan "ia urusan yang penting."

Harry Salzman juga berkata beliau sempat melihat bagaimana pegawai-pegawai negara itu menitikberatkan kedudukan bendera yang diletakkan di sebelah pemimpin itu agar kelihatan 'segar' dan 'bermaya'.

"Sebatang penyangkut baju diletakkan dalam gulungan bendera itu agar kelihatan lebih rapi.

"Selain itu, buku lawatan dan folder perjanjian yang bakal ditandatangani Clinton juga ditanda lebih awal agar mudah pemimpin itu untuk menurunkan tandatangannya," katanya.

Malah mereka tidak menggalakkan kehadiran 'dayang-dayang' untuk menunjukkan bahagian mana yang perlu ditandatangani ketika majlis berlangsung, katanya.

Warna tirai baldu juga ditetapkan sebagai biru gelap, digunakan di belakang upacara menandatangani perjanjian dan dibiarkan kosong tanpa sebarang latar belakang yang ditulis berkaitan majlis berkenaan.

Mereka mengatakan mereka tidak mahu menggunakan tirai berwarna terang atau berkilat supaya penataan cahaya lebih baik untuk kamera.

"Cuba kita fikirkan mengapa mereka perlu memikirkan tentang semua ini untuk pemimpin mereka," katanya.

Harry Salzman berkata untuk meletakkan replika kecil kapal terbang bagi majlis memeterai perjanjian antara Malaysia Airlines dan Pratt and Whitney juga diperincikan.

"Saya ditanya di mana mahu diletakkan replika itu. Selepas mendapat sudut yang saya mahu, sekali lagi dibuat satu tanda di atas meja di mana apabila giliran perjanjian itu tiba untuk ditandatangani, replika itu akan diletakkan di tempat yang saya mahukan."

Harry Salzman berkata beliau turut teruja untuk mengambil gambar setiausaha negara itu yang dilihat pandai membuat 'gerakan' yang disukai oleh mana-mana jurugambar untuk merakam gambarnya.

"Beliau kelihatan 'hidup' walaupun gambar diambil dalam bentuk 'stills'.

Pergerakan tangan, senyuman yang lebar dan pandangan yang lembut tapi tepat ke arah lensa dari matanya yang biru.

"Saya berharap pemimpin dan pegawai lain juga dapat menonjolkan diri sepertinya walaupun setakat bergambar. Gambar turut memberi impaknya. Bukankah satu gambar boleh memberi seribu satu cerita?" --Bernama

Ulasan GB

Tidak mudah untuk menjadi seorang jurugambar yang profesyenal kecuali kegigihan dan ketekunan untuk terus belajar.

Kesilapan mengambil gambar akan hanya mengundang padah. Malah mengaibkan. Dan ia kadangkala menjadi bahan untuk ditertawakan orang. Contohnya di dalam PRK Galas tempohari bagaimana kesilapan jurugambar merakam satu acara kemudian disebarkan melalui blog rasminya.


Di satu majlis calon PAS bersama orang Asli, tetapi berlatarbelakangkan bendera UMNO BN!


Begitu juga mendesign dan melakarkan poster/banner untuk tatapan umum. GB temui ini di dalam facebook PRK N.45 Galas. Perhatikan gambar di bawah ini dan camkan dimana silapnya?



Gambar di atas sepatutnya betul. Ia cuba membersihkan semula fitnah yang dilemparkan UMNO terhadap PAS mengenai isu pemberian zakat kepada muallaf. Tetapi yang dibesarkan ia "gambar" TGNA menyampaikan wang tersebut .. sedangkan itulah gambar yang digunakan oleh musuh terhadap PAS.

Sekali imbas orang tidak membaca apa-apa di banner, mereka hanya menumpukan perhatian apa yang ada di gambar. Jadi poster itu "membantu" UMNO untuk menyatakan TGNA memberikan sogokan wang kepada orang asli.

Sepatutnya yang diperbesarkan oleh ayat Al-Quran tersebut yang memerintahkan agar sedeqah diperuntukkan hanya kepada golongan faqir, miskin, amil dan mualaf.

Mesej itu tidak sampai kepada rakyat. Mesej yang sampai ialah apa yang dilihat pada gambar itu yang telah sengaja disalahfahamkan oleh UMNO.


Begitulah juga tulisan dan gambar-gambar yang diletakkan di dalam blogger.

Seorang blogger yang prihatin dan seorang blogger yang bagus akan sentiasa menitik-beratkan soal "persembahan" selain dari sekadar menjadi penyalin-tampal sesuatu entri. Mesej bukan sahaja kena betul dan tepat, tetapi terang dan jelas agar apa yang hendak disampaikan itu tiba kepada pembacanya.

Sabda Nabi di dalam hadis qudsi:

"Allah menyukai apabila seseorang itu melakukan tugas, dilakukan dengan sebaik-baiknya".

Zaid Isytihar Tarik Diri Dari Pemilihan dan Letak Semua Jawatan Dalam Parti

Datuk Zaid Ibrahim akhirnya mengumumkan penarikan dirinya sebagai calon Timbalan Presiden PKR disamping meletakkan semua jawatannya dalam parti.

Perkembangan ini berlaku selepas minggu kedua pengundian Pemilihan parti berjalan.

Menurut Zaid, beliau ditawarkan untuk menyertai PKR dengan kepercayaan bahawa beliau boleh membawa pembaharuan dan politik yang progresif, menyubur dan membangunkan nilai-nilai dan budaya politik yang berprinsip yang beliau kira amat penting untuk pembangunan demokrasi dan governance yang baik untuk negara. Namun katanya beliau tersilap.

Melihat kepada perjalanan pemilihan yang sedang berlansung, terdapat keadaan di mana pihak pimpinan secara aktif melakukan kegiatan salahlaku dan penipuan untuk mencapai objektif yang mereka sasarkan. Katanya, beliau yakin bahawa mana-mana parti politik yang mengamalkan nilai-nilai palsu dan hipokrit sedemikian tidak akan berupaya untuk menawarkan pembaharuan yang bermakna untuk rakyat di negara ini.

Beliau menambah keputusannya untuk menarik diri dari pemilihan dan perletakan semua jawatannya di dalam PKR diambil kerana kerana tidak terdapat kesungguhan di pihak pimpinan parti untuk menyelesaikan beberapa isu manipulasi dan amalan salahlaku pengundian, sekali isu berkenaan telah didedahkan berkali-kali.

Beliau berterima kasih kepada semua ahli yang telah menyokong beliau dan yang menberikan kepercayaan kepadanya untuk perubahan. Amat menyedihkan katanya, beliau tidak mampu untuk meneruskannya di dalam proses pemilihan yang kotor.

Walau bagaimanapun, Zaid berkata beliau tetap komited dengan matlamat pembangkang dan akan terus bercakap mengenai isu-isu masyarakat terbanyak. Bersama katanya, kita berjuang untuk sebuah kerajaan yang lebih baik untuk rakyat.

Akhirnya beliau berkata, diharapnya keputusannya itu, pihak penyokong tegar Anwar tidak lagi akan melihatnya sebagai "penghalang" mereka untuk berarak ke Putrajaya.

Ulasan GB

1. GB mengalu-alukan keputusan Datuk Zaid Ibrahim. Sebelum ini pun GB sudah meminta Zaid untuk berfikir bukan sahaja menarik diri atau melepaskan semua jawatannya di dalam parti, malah GB meminta beliau tinggalkan PKR. Petikan:


Seandainya pemimpin-pemimpin PKR tidak suka kepada Zaid, sepatutnya kemasukan Zaid dahulu tidak diterima atau tendang saja Zaid keluar daripada parti awal-awal lagi. Tidak perlu perburukkan beliau dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menyerang beliau seperti "... kesetiaan Zaid diragui" dan seumpamanya.

Ingin saja saya menelefon Zaid sekarang ini, saya akan kata "Ok brother, ramai pemimpin PKR sudah tak suka anda, biarkan mereka, tinggalkan saja PKR kerana mereka tidak perlukan sumbangan kita lagi, mereka sudah ramai orang-orang lama era reformasi kononnya."


2) GB muak dan geli dengan perlakuan "hero-hero" palsu di dalam PKR, terutama Azmin dan sekalian YB-YB patung dari PKR yang berdiri di belakangnya. YB-YB yang sepatutnya bertindak berkecuali tetapi dihinggapi dengan sikap cenderung untuk memihak yang kelak mereka akan segera dikalahkan di dalam pilihanraya nanti.


Akibat daripada tidak adanya penghormatan terhadap demokrasi di dalam pemilihan, wujud YB-YB bebal yang terang-terang membuat kenyataan menyokong Azmin sebelum ini. Ini kerja bodoh, ini kerja pemimpin bermentaliti rendah, kerja pemimpin "captive mind" atau "bebalisma".


3) Anwar sebagai Ketua fe facto ternyata cuba untuk menjadi seorang diktator, gagal untuk berkecuali, gagal untuk menunjukkan ciri-ciri pemimpin adil dan bersih. Beberapa kenyataannya dilihat menghentam Zaid dan membela Azmin, satu perlakuan buruk untuk dicontohi dari seorang ketua. GB semalam menyatakan di SINI, petikan:


Memalukan sebagai pemimpin yang telah berpuluh tahun berada di pentas politik mengambil sikap yang tidak adil terhadap ahli-ahli parti sendiri. Berwibawakah tindakan sebegitu? Kerana sikap anda yang tidak berkecualilah maka wujud rasa tidak puas hati di kalangan ahli-ahli. Bukan kecil bilangan mereka itu.


4) Pihak pimpinan tertinggi PKR ternyata jelas memejamkan matanya terhadap perbuatan salahlaku Azmin di dalam kempen-kempennya, tetapi mereka (terutama Anwar, Saifuddin dan Syed Husin) menyerang Zaid habis-habisan.

5) Apa yang berlaku kini, Saifuddin nampaknya lebih hebat dari sekalian yang ada di dalam PKR. Tanpa segan-silu beliau menunjukkan sikap "biased"nya walaupun sepatutnya beliau tidak boleh memainkan apa-apa peranan di dalam Pemilihan. Beliau terus-terusan membonekakan Presiden PKR dan Ketua JPP, Dr. Molly Cheah.

6) GB amat yakin dan percaya tindakan Zaid ini akan meruntuhkan sebahagian besar kesombongan dan keegoan PKR dimana penyokong-penyokong Zaid terutama dari kalangan yang berprinsip dan moderate di dalam PKR akan mengikut langkah Zaid tersebut, atau setidak-tidaknya tidak menjadikan mereka kerbau yang dicucuk hidungnya di dalam parti.


Angkara Penipuan BN Semasa Banjir 2005, Peniaga Serik Mohon Bantuan

Peniaga serik mohon bantuan kerana takut tertipu

Gambar: Seorang pekerja di Pusat Optik Jitra Optical Centre membersihkan premis itu yang dilanda banjir besar sejak 1 November lepas.

JITRA: Peniaga di Pekan Jitra 2 di sini, serik untuk mendaftarkan diri dalam senarai mangsa-mangsa terbabit banjir kerana pernah tertipu apabila mengalami pengalaman mengecewakan selepas banjir besar pada 2005.

Low Poh Wan, 47, berkata selepas terbabit banjir besar lima tahun lalu, peniaga-peniaga diminta membuat laporan serta mendaftarkan nama mereka bagi membolehkan bantuan kewangan disalurkan untuk meringankan bebanannya.

"Tunggu punya tunggu apa pun tak dapat, sekarang saya sudah malas lagi mahu mendaftar, tak guna daftar kalau kena tipu macam tu, tak dapat apa-apa pun," katanya ketika ditemui di premisnya di pekan Jitra 2, di sini hari ini.

Low, pemilik Wan Hantaran Enterprise, yang menjual pelbagai barangan seperti bunga hiasan, barangan jahitan serta barangan hantaran perkahwinan berkata, akibat dilanda banjir pada 2005 beliau kerugian lebih RM5,000 manakala pada kali ini kerugiannya dianggarkan lebih RM10,000.

Sementara itu, bagi pemilik Perniagaan Kain Lim K.K Sdn. Bhd., Lim Kheng Seng, beliau terpaksa melelong barangan yang terkena air banjir kerana ia tidak boleh lagi disimpan kerana akan rosak.

Lim berkata, beliau sudah mula melelong barangan seperti pakaian dan tekstil di premisnya sejak air surut kelmarin dengan harga serendah RM0.50 bagi setiap satu barang.

"Barang basah tak boleh simpan lama, kena jual semua sebab tu bagi harga murah-murah, ada tudung, tuala, baju, kain ela dan macam-macam jenis pakaian," katanya.

Lim berkata, ada juga barangan dalam kedainya yang rosak sepenuhnya dan tidak boleh dijual manakala anggaran kerugiannya adalah lebih RM30,000.

Pemilik Pusat Optik Jitra Optical Centre, Doreen Tan pula berkata, banyak barang seperti bingkai kaca mata rosak akibat terkena air berlumpur dan kedainya terpaksa ditutup lebih kurang seminggu lagi untuk kerja-kerja pembersihan.

Jitra merupakan salah satu pekan dalam daerah Kubang Pasu yang terjejas teruk akibat dilanda banjir Isnin lalu, yang juga bencana terburuk selepas banjir besar pada Disember 2005 yang mengakibatkan lebih 11,000 mangsa banjir dipindahkan. --Bernama

7 Nov 2010

Lagi Kes Kereta Terbakar Dalam Kemalangan, 4 Rentung

Empat Rentung Selepas Kereta Terbakar Bertembung Treler

Gambar: Keadaan kereta Proton Persona yang dinaiki empat sekeluarga terpelosok di bawah lori trailer sebelum terbakar dan menyebabkan kesemuanya rentung di kilometer 119 Jalan Kuantan-Segamat di sini, malam tadi.

KUANTAN: Empat rentung selepas kereta Proton Persona yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler sebelum terbakar di Km119 Jalan Kuantan-Segamat malam Sabtu.

Ketua Polis Daerah Rompin, DSP Johari Jahaya berkata dalam kejadian 10.30 malam itu kereta berkenaan terbakar selepas bertembung dengan treler yang membawa muatan buah kelapa.

Mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Rosli Mat Isa, 28, Md Sharif Nani, 61, Marinah Kambas, 60, dan Patimah Ramli, 46.

"Semua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas kenderaan yang dinaiki itu terbakar selepas bertembung manakala pemandu dan kelindan treler terbabit hanya cedera ringan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Ahad.

Beliau berkata, ketika kejadian kesemua mangsa yang menaiki sebuah kereta dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Segamat.

Katanya, keadaan cuaca ketika itu hujan lebat dengan keadaan jalan yang menurun bukit dan licin.

Johari berkata, ekoran daripada itu kereta yang dinaiki empat penumpang berkenaan dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan.

Kemudian katanya, sebuah treler yang membawa muatan buah kelapa ke Kelantan untuk bekalan bagi persiapan Hari Raya Aidiladha yang datang dari arah bertentangan telah merempuh kenderaan berkenaan.

"Kereta berkenaan yang terperosok di bawah treler itu terbakar, treler berkenaan kemudiannya turut terbakar bagaimanapun pemandu dan kelindannya sempat menyelamatkan diri," katanya.

Katanya, semua mangsa yang berasal dari Taman Ayer Keroh, Melaka kemudiannya dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat. - BERNAMA


Bekas Wartawan BH Antara Empat Rentung Dalam Kemalangan

KUANTAN: Bekas wartawan Berita Harian, Patimah Ramli, 46, antara empat yang rentung selepas kereta Proton Persona yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler sebelum terbakar di KM119 Jalan Kuantan-Segamat, dekat Rompin, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Rompin, DSP Johari Jahaya berkata tiga lagi yang maut dalam kejadian pukul 10.30 malam itu adalah pesara Jabatan Kerja Raya, Md Sharif Nani, 61, isterinya, Marinah Kambas, 60, dan anak saudara mereka yang juga pemandu kereta, Rosli Mat Isa, 28.

Patimah adalah adik ipar kepada Md Sharif.Johari berkata pemandu treler, Rosli Che Hassan, 50, dan kelindan yang juga anaknya Rozlan, 18, hanya mengalami kecederaan ringan.

Katanya kereta mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan dalam cuaca hujan lebat sebelum bertembung dengan treler yang membawa muatan buah kelapa.

"Kereta berkenaan yang terperosok di bawah treler itu terbakar, treler berkenaan kemudiannya turut terbakar bagaimanapun pemandu dan kelindannya sempat menyelamatkan diri," katanya.

Menurut anak bongsu Md Sharif, Zaid, 20, ibu bapanya sedang dalam perjalanan pulang ke Duyong, Melaka selepas menghadiri majlis pertunangan seorang anak saudara di Marang, Terengganu dengan berkonvoi bersama tiga lagi kenderaan lain.

Katanya pada masa itu kereta yang dinaiki ibu bapanya tertinggal di belakang manakala tiga kereta lain sudah sampai di Segamat, Johor.

"Saya tidak mengikuti rombangan itu kerana berada di Kuala Lumpur dan kejadian itu diberitahu oleh seorang sepupu pada 2 pagi tadi," katanya yang kali terakhir berjumpa kedua-dua ibu bapanya pada 31 Oktober lalu.

Katanya ketika pertemuan itu dia mendapati sikap ayahnya yang agak pendiam dan tidak ceria seperti kebiasaan.

Sementara itu, pemandu treler berkenaan berkata ketika kejadian, dia bersama anaknya dalam perjalanan menghantar kelapa dari Batu Pahat, Johor ke Rantau Panjang, Kelantan.

Rosli berkata kejadian berlaku dengan pantas dan dia berusaha menyelamatkan diri sebaik melihat kepulan asap keluar di tengah trelernya sebelum disusuli bunyi letupan.

"Kami berdua juga tidak sempat untuk membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta kerana ia sudah terbakar," katanya. - BERNAMA



Mangsa Berselawat dan Berdoa Ketika Terapung 16 Jam Di Lautan

Semua 16 mangsa bot karam di Pulau Tenggol ditemui selamat

Gambar: Sebahagian daripada 16 mangsa bot karam yang terselamat ketika tiba di Pengkalan Marin di sini hari ini.

KEMAMAN: Kesemua 16 mangsa yang dikhuatiri hilang dalam kejadian bot karam di Pulau Tenggol dekat sini, petang semalam ditemui selamat dalam keadaan terapung kira-kira 12 batu nautika dari pulau berkenaan menghala ke Kuantan pagi tadi.

Ketua Pasukan Gerakan Marin Wilayah Timur, Asisten Komisioner Mohd Salleh Mat Jani, berkata kesemua mangsa iaitu sembilan lelaki dewasa, enam wanita dan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, ditemui dalam keadaan keletihan kira-kira jam 10 pagi tadi oleh pasukan gerakan marin yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat.

Kesemua mangsa kini dalam perjalanan pulang ke jeti Pangkalan Marin Wilayah Timur Teluk Kalong di sini untuk diberikan bantuan dan rawatan.

Mereka dilaporkan hilang di sekitar perairan Pulau Tenggol petang semalam, setelah 18 jam berada dalam keadaan terapung di lautan akibat bot yang dinaiki bocor.

Petang semalam, bot jenis D-Guardian Katamaran membawa pelancong dari kumpulan berbeza termasuk penyelam bertauliah dari Kuala Lumpur dan Selangor termasuk dua doktor, seorang jurulatih selam karam.


Selawat, doa berserah kepada tuhan supaya ditemui: Mangsa bot karam

Sepanjang 16 jam hanyut di lautan, kesemua penumpang bot yang karam di perairan Terengganu berhampiran Pulau Tenggol hanya mampu berdoa dan berselawat selain berserah kepada tuhan supaya mereka ditemui dalam keadaan selamat.

Pemandu bot, Zulfadly Yahya, 29, berkata dalam keadaan hujan dan kegelapan malam itu, mereka nyaris dilanggar beberapa kapal yang dipercayai tidak nampak mereka terapung di lautan.

"Sebaik menyedari bot akan karam, saya menyuruh mereka yang telah lengkap dengan jaket keselamatan terjun untuk mengelakkan kejadian yang lebih buruk.

"Selepas itu kami cuba berenang semula ke pulau tetapi gagal akibat ombak yang agak kuat. Apa yang boleh kami lakukan ialah pastikan kami tidak berpecah dan berada dalam keadaan berkumpulan untuk memudahkan pihak berkenaan mengesan kami," katanya ketika ditemui sejurus tiba di Pangkalan Marin Wilayah Tiga di Kemaman di sini, hari ni.

Menceritakan kembali kejadian yang berlaku semalam, Zulfadly yang sudah 11 tahun bekerja sebagai pemandu bot, berkata dalam kejadian pada jam 6.45 petang itu bot jenis D-Guardian Katamaran itu mengalami kerosakan enjin selepas mengambil pelancong dari Pulau Tenggol.

"Saya cuba membawa bot berpatah balik, tetapi gagal sebab ombak agak kuat menyebabkan bot itu karam tetapi saya sempat hubungi majikan saya bagi memaklumkan kejadian itu," katanya.

Beliau berkata, sepanjang terapung di lautan dengan keadaan malam yang gelap dan hujan, ada di kalangan mereka yang disengat obor-obor, malah ada yang menangis terutama pelancong wanita.

Namun, mereka tidak putus asa dan sentiasa berselawat serta berdoa selain memberikan kata-kata semangat antara satu sama lain dan meminum air hujan bagi menghilang dahaga.

Azhar Ahmad, 40-an dari Kuala Lumpur pula berkata pengalaman sebagai penyelam profesional banyak membantu menyelamatkan keadaan walaupun ketika itu beliau terfikir kematian telah hampir dengan dirinya.

"Kami datang dari Kuala Lumpur seramai 10 orang, kebanyakannya penyelam bertauliah dan keadaan ini membantu kami agar tidak panik, namun apa yang kami risaukan ada di antara penumpang lain adalah kanak-kanak dan seorang wanita mengandung," katanya yang mempunyai dua tahun pengalaman menyelam.

Mazli Abd Malik, 33, dari Ampang berkata pada mulanya beliau risau jika mereka tidak ditemui oleh pasukan penyelamat.

"Sepanjang 16 jam kami terapung di laut dalam keadaan gelap, banyak kapal yang lalu, tetapi semuanya tidak nampak kami," katanya yang bekerja sebagai juruperunding.

Seorang lagi mangsa, Loo Kit Chong berkata semasa saat-saat cemas sebelum bot itu karam, mereka cuba membuang air dari dalam bot setelah dimaklumkan bot yang mereka naiki mengalami kerosakan.

"Namun tidak sempat sampai daratan bot itu tenggelam, menyebabkan kami terpaksa terjun. Semasa hanyut, kami beberapa kali nampak daratan dan cuba berenang, namun gagal sebab ombak kuat.

"Jadi kami ambil keputusan untuk membiarkan diri kami hanyut sahaja untuk menjimatkan tenaga sebelum ditemui oleh pasukan penyelamat," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said melawat kesemua mangsa yang kini dirawat di Hospital Daerah Kemaman.

"Mungkin disebabkan mereka dari Kuala Lumpur dan Selangor jadi tidak faham dengan keadaan cuaca di Terengganu iaitu pulau-pulau di negeri ini tidak sesuai dikunjungi pada musim tengkujuh kerana ombak besar dan angin kencang.

"Jadi saya menasihati mereka yang ingin datang ke pulau-pulau di Terengganu supaya menunda hasrat mereka sehingga musim tengkujuh berakhir," katanya.

Tiga mangsa yang dilaporkan kritikal sebelum ini iaitu seorang kanak-kanak Mohd Danial Aiman Mohd Zulkifli, 4, ibunya yang mengandung empat bulan Noraini Sosilawati, 33, dan Mohd Azharini Mohd Amin kini berada dalam keadaan stabil. - BERNAMA

Calon Timb Presiden : Ada Pihak Yang Tak Melakukan Keadilan Dalam PKR

Musuh PKR ialah mereka yang tidak mahu keadilan"

KUALA LUMPUR: Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan yang juga Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim berkata musuh utama PKR ialah orang yang tidak mahu melakukan keadilan.

"Musuh kita bukan A, B, C, D tetapi musuh kita ialah orang yang tidak mahu melakukan keadilan.

"Kalau hendak buat reformasi mesti bermula dari diri kita dahulu, diri kita mesti betul.

"Kita semua membuat pengorbanan cuma berbeza sahaja. Pengorbanan bukan dilakukan oleh seorang sahaja tetapi semua orang," kata bekas menteri undang-undang.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam pertemuan dengan pemimpin PKR Wilayah Persekutuan malam tadi.

Zaid yang bertanding jawatan timbalan presiden PKR menegaskan sejak mula lagi beliau sangsi dengan proses pemilihan PKR.

Menurutnya, beliau yakin ada yang tidak betul berlaku dalam pemilihan PKR kali ini.

Katanya, Jawatankuasa Pemilihan (JKP) melakukan tanggungjawab dengan telus tetapi tidak kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).

"Saya dukacita kerana banyak bantahan, segala kepincangan dan kelemahan tetapi sampai hari ini tidak ada tindakan yang diambil.

"…(Dan) Parti tidak mengambil tindakan," katanya.

Zaid berkara, pemilihan PKR bukan soal kalah menang tetapi mengenai demokrasi dan kebertanggungjawaban.

Dalam pemilihan semalam Zaid menang di cabang Kota Belud, Pasir Mas, Kudat dan Keningau.

Dua lagi yang bertanding jawatan timbalan persiden PKR ialah Azmin Ali dan Mustaffa Kamil Ayub.

PKR melaksanakan pemilihan secara langsung di mana ahli peringkat akar umbi terlibat secara langsung. -FMT

Ulasan GB

GB ulangsiar artikel berkenaan dari FMT kerana mendapati media-media PKR samada suara keadilan atau tvsnews (dulu tvselangor) tidak menyediakan ruang untuk beliau.

Sekadar makluman, untuk tempoh pemilihan ini, kedua-dua media PKR tersebut bertindak biased dan lantaran itu, sudah hampir sebulan, GB mengambil langkah untuk memboikot melayari, membaca atau menyebarkan apa-apa berita darinya.

Jika kita boleh memboikot media massa arus perdana terutama Utusan lantaran penyiaran berita yang tidak adil, mengapa media massa PR pula bersikap demikian dan apa pasal kita perlu menyokong perbuatan "ketidak-adilan" itu?

WE WALK OUR TALK!

Tragedi Gunung Merapi: Pelajar Malaysia Dibawa Pulang Guna Pesawat TUDM

2 pesawat TUDM ke Solo bawa pulang rakyat Malaysia

Gambar: Para pelajar Malaysia menunggu giliran untuk diterbangkan pulang ke tanah air disebabkan letusan Gunung Merapi paling dahsyat pada awal pagi Jumaat lalu. Mereka dijadualkan menaiki pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Lapangan Terbang AdiSoemarmo, Solo, di sini Ahad.

KUALA LUMPUR: Dua pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berlepas ke Yogyakarta, Solo, Indonesia dari Pangkalan TUDM Subang dekat sini, hari ini, bagi membawa pulang 664 rakyat Malaysia yang terkandas di provinsi republik itu berikutan kejadian letusan Gunung Merapi.

Pengarah Malaysian Jabatan Pelajaran di Indonesia, Datuk Dr Junaidy Abu Bakar, berkata pesawat berkenaan sepatutnya berlepas ke Solo semalam, namun disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu serta tidak mendapat kebenaran dari Lapangan Terbang Solo, ia ditangguhkan ke hari ini.

Bagi misi hari ini, hanya 240 orang akan dibawa pulang dan dijangka tiba di Pangkalan TUDM Subang kira-kira 5 petang memandangkan setiap pesawat C-130 itu hanya dapat memuatkan seramai 120 orang dalam satu-satu masa.

"Selebihnya akan dibawa pulang esok," katanya ketika ditemui di Pangkalan TUDM Subang sebelum berlepas dengan pesawat itu hari ini.

Junaidi turut meminta ibu bapa pelajar terbabit yang terbabit supaya tidak terlalu risau kerana keadaan anak mereka selamat.

"Di sana kita telah menempatkan anak mereka di hotel dan asrama jadi anak mereka berada dalam keadaan selamat, jadi ia berbeza dengan keadaan kita ketika di Padang dahulu," katanya. - BERNAMA




Anwar Guna Proksi Hentam PAS & DAP?

PAS dan DAP menafikan sekeras-kerasnya dakwan ‘keluhan Batu Sapi’ kononnya kedua-dua komponen Pakatan Rakyat (PR) itu tidak memberi bantuan setimpal bagi memastikan kemenangan calon PKR Ansari Abdullah pada pilihan raya kecil baru-baru ini.

Keluhan itu didakwa dibangkitkan oleh Abdul Rahman Yusof, setiausaha politik Ketua Umum PR Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi laman sosial Facebook semalam iaitu sehari selepas pilihan raya kecil Batu Sapi dan Galas.

Tetapi, tinjauan The Malaysian Insider petang tadi di Facebook sendiri mendapati tulisan Abdul Rahman hanya berkisar tentang kritikan umum terhadap Umno dan BN sempena pilihan raya kecil Batu Sapi dan Galas.

Bahkan, komentar terbarunya pada dinding Facebook Abdul Rahman petang ini meminta supaya mana-mana pihak terus menghubunginya untuk mendapatkan maklum balas rasmi.

“Pandangan saya dalam Facebook ini hanya pandangan peribadi. Ia bukan pandangan rasmi mana-mana pihak. Untuk mengambil pandangan dari Facebook saya adalah tidak wajar sama sekali.

“Sekiranya pandangan rasmi ingin diambil, harap dapat hubungi saya secara peribadi,” kata beliau pada akaun Facebook.

Abdul Rahman yang dihubungi The Malaysian Insider kemudian berkata, komentarnya berhubung bantuan PAS dan DAP di Batu Sapi, yang dipercayai menyinggung kedua-dua parti itu, dibuat bukan mempunyai apa-apa niat buruk.

“Tak ada apa-apa lah, tak ada isu apa-apa... saya saja-saja tulis.

“Itu adalah pandangan peribadi saya, tidak rasmi dan boleh jadi betul atau salah, pemerhatian saya boleh jadi salah atau benar.

“Saya sendiri tidak tahu kerja PAS, kerja DAP, saya tidak tahu... itu adalah urusan mereka,” jelas beliau.

Abdul Rahman yang juga bekas Ahli Parlimen Kemaman turut menegaskan, hasil pemerhatian yang ditulisnya dalam Facebook tidak mewakili mana-mana pihak, termasuk PKR.

Terdahulu seorang pembaca The Malaysian Insider yang menamakan dirinya Abdul Aziz Anon menulis bahawa setiausaha politik itu menyatakan rasa tidak puas hati beliau terhadap PAS dan DAP dalam membantu kempen pilihan raya yang melibatkan calon PKR di Batu Sap.

“Abdul Rahman dalam akaun Facebook beliau pada 5 November (semalam) mengatakan bahawa jika PKR membantu kempen pilihan raya yang ditandingi PAS dan DAP, parti itu akan membiayai semua kegiatan kempen mereka walaupun kerusi itu ditandingi parti rakan dalam Pakatan Rakyat seperti di Sibu, Bukit Gantang, Kuala Terengganu, Bagan Pinang mahupun Galas.

“Apabila PKR bertanding di Batu Sapi, PKR dipaksa untuk membiayai jentera PAS dan DAP kerana parti PAS dan DAP langsung tidak memberi peruntukan kepada jentera mereka untuk membantu kempen pilihan raya yang ditandingi PKR.

“Penulis merasakan sebagai setiausaha politik kepada Datuk Seri Anwar tidak perlulah mengeluarkan kenyataan seperti ini kerana boleh mengundang rasa kurang senang rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

“Hubungan baik Pakatan Rakyat mesti sama-sama kita pelihara untuk menawan Putrajaya pada pilihan raya ke-13 nanti,” katanya.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar ketika ditanya tentang ’keluhan Batu Sapi’, mencadangkan PKR membuat bedah siasat dalaman berhubung pilihan raya kecil Batu Sapi dengan memanggil bersama wakil PAS dan DAP.

Langkah itu, kata beliau, membolehkan parti-parti rakan dalam PR mendengar sendiri ’keluhan Batu Sapi’ oleh Abdul Rahman sebelum ini secara peribadi.

‘Keluhan Batu Sapi’ itu selepas calon PKR Ansari Abdullah yang mendapat 3,414 undi, dikalahkan oleh calon BN Datin Linda Tsen yang menerima 9,773 undi manakala Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee hanya mendapat 2,031 undi.

“Saya tak tahulah yang beliau (Abdul Rahman) anggap kita tidak menolong partinya, tetapi kita (PAS) memang ada bilik gerakan di (DUN) Sekong sebab kita diamanahkan untuk tumpu kempen di sini.

“Apa pertimbangan beliau untuk mengatakan yang tidak ada bantuan dan sokongan, tetapi kalau perlu bedah siasat, bersama itulah yang terbaik,” ujar beliau kepada The Malaysian Insider sambil percaya Abdul Rahman berniat baik kepada PAS dan DAP.

Sambil melahirkan rasa pelik, beliau berkata, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri pun beberapa hari sebelum hari penamaan calon telah memberikan arahan khusus supaya ahli-ahli Parlimen PAS menyusun jentera bantuan di sana.

“Apabila dia mendakwa demikian, saya sendiri secara peribadi agak pelik sendikitlah,” kata Mahfuz lagi.

Bahkan, katanya lagi, Abdul Hadi sendiri menyertai siri kempen bersama Ansari.

“Sebelum penamaan calon dan selepas penamaan calon pun, Presiden PAS turun di sana (Batu Sapi), saya pun turun beberapa kali kerana kemenangan Ansari, kita anggap sebahagian daripada kita (PAS),” katanya.

Selain dirinya, Mahfuz berkata, Nasharudin Mat Isa selaku Timbalan Presiden PAS, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Ahli Parlimen Padang Terap Mohd Nasir Zakaria yang mengepalai jentera Dewan Pemuda PAS antara yang bergilir-gilir berkampung di Sekong - salah satu kerusi DUN dalam bahagian Parlimen Batu Sapi.

Pun begitu, beliau berkata, penggemblengan jentera PAS tidaklah ditumpukan di Batu Sapi kerana PAS mempertaruhkan Dr Zulkefli Mohamad untuk mempertahankan kerusi DUN Galas yang pilihan rayanya serentak dengan Batu Sapi.

“Cuma penggemblengan gelombang peringkat nasional dari kita (PAS) tidaklah ramai kerana kita beri tumpuan di Galas,” katanya lagi.

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng Giaw ketika dihubungi turut menafikan dakwaan tersebut.

“Kita (DAP) memang ada memberi sokongan kuat kepada calon PKR, begitu juga saya lihat PAS,” ujar Dr Tan.

“Macam mana dikatakan tidak memberi sokongan, kita turun di semua tempat (berkempen), jadi itu (dakwaan) tak betul,” tegas beliau lagi.

Selain Penasihat DAP Lim Kit Siang sendiri komited menyertai kempen PKR, Dr Tan yang juga Ahli Parlimen Kepong memberitahu, Ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chien Jen dan Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo antara pemimpin utama DAP yang lama berkampung di Batu Sapi.

“Apabila dia mendakwa demikian, saya sendiri secara peribadi agak pelik sendikitlah,” kata Dr Tan. -TMI

Ulasan GB

Kalau PAS dan DAP nak hentam PKR, lagi banyak perkara boleh didedahkan, tetapi kerana kesetiakawanan, ianya tidak dilakukan.

Abdul Rahman menyatakan ia pandangan peribadi. Mungkin benar, tetapi apabila ia ditulis oleh seorang yang berstatus S/U Politik kepada Ketua Pembangkang, sekalipun di dalam facebooknya, namun persepsi ramai memberi interpretasi bahawa rakyat melihat itulah luahan Anwar sendiri melalui seorang proksi.

Jika itu tidak benar, namun apa-apa jua pemikiran Abdul Rahman sepastinya tercerna dan terwarna dari pandangan "majikan"nya sendiri, atau di sebaliknya, pandangan beliau yang kelak mencerna dan mewarnai pendirian Anwar.

Untuk menyatakan tiada lansung sebarang kesan dan pengaruh terhadap salah satunya adalah tidak mungkin sama sekali.

[Video & Bergambar] Gunung Merapi Meletus Lagi


Yogyakarta - Lahar sejuk yang mengalir deras selepas Gunung Merapi meletus pada tengah malam kelmarin membanjiri sungai-sungai di sekitarnya dan menyebabkan penduduk di kota ini cemas, lapor sebuah akhbar semalam.

Gunung Merapi terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar ini yang dihuni kira-kira 400,000 penduduk.

Hujan lebat yang turun semalam membawa lahar sejuk yang mengandungi lumpur, pasir, belerang dan abu volkanik melimpahi tebing Sungai Code di sini semalam.

Seorang pegawai tempatan berkata, amaran berwaspada sudah dikeluarkan tetapi sama ada banjir lahar sejuk itu bakal membawa kemusnahan banyak bergantung sama ada berlaku hujan lebat pada hari ini.

Terdahulu, lahar panas yang mengalir deras sejurus selepas letusan Gunung Merapi pada tengah malam kelmarin telah memusnahkan tujuh buah dusun di sekitar lerengnya selain padang Kelab Golf Merapi.

"Tujuh dusun sudah hancur dibakar lahar panas selama dua hari dari Jumaat hingga Sabtu," kata seorang pegawai tempatan, Heri Suprapto, di Sleman dekat sini semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, angka kematian keseluruhan sejak Gunung Merapi mula meletus pada 26 Oktober lalu kini meningkat kepada 138 orang.

Mayat-mayat mangsa korban dikumpulkan di pekarangan Hospital Sardjitodi Yogyakarta.

Seorang pegawai di Hospital Sardjito di sini, Sigit Priohutomo berkata, sekurang-kurangnya 94 orang terbunuh dalam letusan Gunung Merapi kelmarin.

Sejumlah 44 lagi terkorban dalam letusan pertama gunung berapi berkenaan.

Kelmarin Gunung Merapi yang memiliki ketinggian 2,914 meter dari aras laut mengganas dengan memuntahkan lahar dan menghambur awan panas sejauh beberapa kilometer di udara.

Terbaru, Gunung Merapi kembali meletus pada pagi semalam dengan mengeluarkan awan panas dalam jumlah besar sekitar pukul 7 pagi waktu tempatan. Gunung berkenaan mengeluarkan awam hitam yang menyelubungi udara manakala beberapa bunyi dentuman kuat turut didengari dari puncak gunung itu.

Penduduk dilihat memenuhi jalan-jalan raya dengan menaiki trak, kereta dan motosikal untuk meninggalkan zon berbahaya.

Selain manusia, binatang ternakan seperti lembu dan kambing turut dipindahkan.

Sementara itu, sukarelawan dan warga tempatan turut berkawal bagi melarang orang ramai daripada menghampiri zon berbahaya di sini.

Setakat pukul 1 tengah hari semalam, Gunung Merapi dilihat masih menyemburkan awan panas ke udara manakala sekitar 200,000 orang telah mencari perlindungan di beberapa penempatan sementara di sini dan Jawa Tengah.

"Ia menakutkan. Letusan Gunung Merapi tak kunjung kebah," kata seorang penduduk, Wajiman, 58, yang berlindung di sebuah penempatan di Jawa Tengah. - Agensi

















Suasana Kiamat Di Universiti Gadja Mada

Suasana kiamat di UGM selepas hujan abu, kerikil

SOLO: Suasana sepi serba putih tanpa sebarang pergerakan seperti dunia telah kiamat, itu adalah gambaran Fakulti Perubatan Universiti Gadjah Mada (UGM) Yogyakarta, 26 kilometer dari Gunung Merapi, yang dinyatakan seorang penuntut Malaysia.

Letusan Gunung Merapi yang paling dahsyat pada 12.46 pagi semalam mengakibatkan ratusan penduduk di sekitar gunung berapi paling aktif di dunia itu terkorban akibat terkena awan panas manakala ramai lagi yang cedera.

Semburan awan panas "wedhus gembel" setinggi 8,000 meter itu telah menerbangkan hujan abu volkanik dan hujan kerikil ke kota Yogyakarta, ibu kota lama Indonesia.
"Keadaannya amat menyeramkam sekali, kereta yang diselimuti abu putih kelihatan seperti tidak pernah dicuci selama beberapa tahun.


"Terasa seperti saya dan sahabat saya sahaja yang terselamat daripada kiamat pada masa itu apabila kami berjalan di kawasan fakulti itu jam 6.45 pagi menuju kelas semalam," kata Srijesh Sobha Kumar (gambar), 20.

Penuntut tahun pertama dari Kepong, Selangor itu berkata apabila menerima SMS bahawa semua penuntut Malaysia di universiti itu akan dipindah dan dihantar pulang ke Malaysia, beliau menjadi cemas kerana bimbang akan ketinggalan daripada kumpulan itu.

Bantuan seorang pelajar senior membawanya pulang ke asrama dengan motosikal pada masa itu benar-benar melegakan hati, apalagi apabila mendapat tahu semua penuntut lain sudah bersedia untuk dipindahkan.

Itulah pengalaman yang tak akan dilupakan Srijesh yang sejak awal tahun ini telah mengalami beberapa peristiwa baru yang mengejutkan dalam kehidupannya iaitu gempa bumi, ribut taufan dan demonstrasi anti-Malaysia di kota Yogyakarta.

Srijesh yang menceritakan pengalaman itu di sini hari ini, berkata hujan abu dan kerikil yang turun di Yogyakarta pada malam itu juga menjadikan beliau berasa takut keadaan lebih buruk akan berlaku di Yogyakarta.

"Tengah malam itu masa kami hendak memotong kek Deepavali, kami terdengar bunyi guruh yang kuat di langit, bunyi itu berulang-ulang tanpa henti dan tak lama lepas itu kami dengar bunyi batu-batu kecil menimpa bumbung di atas tingkap asrama.

"Orang tempatan kata jika Merapi sudah menurunkan hujan kerikil, ia akan diikuti dengan gempa bumi, inilah yang paling menakutkan saya," katanya.

Srijesh yang menunggu untuk pulang Malaysia dengan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pagi esok bersyukur kerana Kerajaan Malaysia telah membuat keputusan untuk membawa pulang penuntut Malaysia di sini.

Seorang lagi pelajar Nur Taufiqah Idris, 22, dari Greenwood, Gombak, Selangor berkata beliau bersyukur mereka akhirnya akan dibawa pulang ke Malaysia setelah beberapa kali menunggu saat ini.

"Kami telah bersedia dengan beg pakaian sejak Merapi meletus kali pertama pada 26 Oktober lepas dan apabila hujan abu volkanik turun pada Sabtu lalu, saya sudah ketakutan," katanya.

Sementara itu, Ketua Multimedia, Penerbitan dan Komunikasi Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia cawangan Yogyakarta, William Chin Jian Wei, 22, berkata persatuan itu telah bersiap sedia dengan sistem komunikasi yang telah teruji dalam usaha menyebarkan maklumat penting kepada penuntut Malaysia.

Penuntut tahun empat fakulti perubatan UGM itu berkata, sistem komunikasi melalui penghantaran SMS itu dapat menyampaikan pesanan penting dan nasihat agar penuntut bersedia untuk dipindahkan pagi semalam.

Presiden Kelab UMNO Luar Negara cawangan Yogyakarta, Mohd Hafiezulniezam Mohd Hasdin, 25, berkata sejumlah 386 penuntut Malaysia akan dihantar pulang ke Malaysia awal pagi esok.

Difahamkan penuntut itu akan diterbangkan pulang dengan pesawat C130 TUDM awal pagi esok.

Chin berkata, 21 pelajar kedoktoran UGM memilih untuk tidak pulang ke Malaysia sebaliknya akan tinggal di Solo sehingga keadaan selamat kerana mereka terikat dengan tugasan klinikal. - BERNAMA

Dia Angkut Isterinya Guna Wheelbarrow Kerana Banjir


Angkut Cayangnya Guna Wheelbarrow


Siapa kata tiada kenangan indah dan tiada hikmah di sebalik banjir?

Semalam, pasangan pengantin baru, Noor Asrolizham Zakaria membawa isterinya Zuhainy Zulkifli dengan kereta sorong meredah air banjir di majlis perkahwinan mereka yang berlansung semalam, 06 November di Langgar, ketika Negeri Kedah dilanda banjir besar.

Sepastinya ia kenangan sepanjang hayat.

PENGAJARAN: Justeru itu, jika kita berada di dalam kegawatan dan menempuh ujian berat seperti banjir atau kesesakan jalanraya sewaktu pergi dan pulang bekerja, senyumlah, dan ingat Tuhan... dicelah-celah kepayahan itu ada kemanisan yang oleh digarap untuk kemudiannya kita melafazkan syukur kepadaNya di atas segala nikmatNya.

Apa-apa pun Selamat Penganti Baru kepada kedua mempelai.

Foto: Ramdzan Masiam (06/11/10).

Anwar & Saifuddin Cuma Perlu Jawab Satu Saja - Kenapa Berpihak Kepada Azmin?

Dakwaan blogger Haris kertas undi dijual kenyataan liar, kata SU Agung PKR

KUALA LUMPUR, 7 Nov — Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan siri dakwaan aktivis sosial Haris Ibrahim bahawa kertas-kertas undi pemilihan pusat parti itu, yang berlangsung sejak 29 Oktober lalu, kini dijual oleh kem Azmin Ali.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan dakwaan itu sebagai “kenyataan liar Haris.”

“Borang yang Haris dedahkan itu adalah minggu lepas punya, sepatutnya sudah dihapuskan.

“Lagipun, warna borang minggu ini adalah berbeza dengan warna minggu lepas. Kalau (didakwa) ada jual beli kertas undi, mana kertas undi minggu ini,” kata beliau kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi malam tadi.

Selain itu kata beliau, Jawatankasa Pemilihan Pusat (JPP) juga tidak menerima apa-apa aduan walaupun sistem pemilihan kali ini membolehkan setiap calon yang bertanding menghantar ejen proses pengundian dan pengiraan undi (PACA) di setiap pusat pengundian.

“Kalau ada anasir jual kertas undi, tentunya PACA paling awal menyerang JPP, bukan seorang blogger liar,” kata beliau lagi.

Pentadbir Pemilihan PKR Raden Shamsulkamar Raden Shamsudin juga menafikan perkara itu dengan menegaskan, beliau juga ingin tahu butiran lanjut mengenai tuduhan itu.

“Tidak benar... sebenarnya saya pun nak tahu dari mana, berapa banyak kertas undi boleh dibeli, harganya, tetapi kami telus (dalam mengendalikan pemilihan),” kata beliau lagi kepada The Malaysian Insider.

Calon jawatan naib presiden Nurul Izzah Anwar melihat dakwaan itu sebagai sesuatu yang berat.

“Saya memandang berat dakwaan ini dan saya menggesa agar siasatan mendalam dijalankan berhubung perkara ini,” kata Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai ketika ditanya tulisan Haris semalam.

Pada masa yang sama beliau meminta ahli-ahli parti bertenang dan berkata, parti harus mengambil tindakan tegas dengan menjalankan siasatan rapi.

“Sebaik sahaja siasatan selesai, parti harus mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang mencuri harta parti, selain kerana telah membenarkan sekuriti dilanggar,” katanya lagi.

Sebanyak 68 cabang telah selesai mengadakan pemilihan pucuk kepimpinan pada hujung minggu lalu - pusingan awal tiga hari pertama - dengan Azmin kini mendahului Datuk Zaid Ibrahim dan Mustafa Kamil Ayub bagi pemilihan timbalan presiden.

Pada sidang media minggu lalu, Saifuddin telah memberi penjelasan berhubung kesilapan pada pengumuman keputusan rasmi yang menunjukkan Zaid, Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, pada Isnin lalu mendahului saingan tiga penjuru jawatan nombor dua itu buat seketika.

Dalam blognya kelmarin di bawah tajuk ‘PKR, and its ballot papers, up for sale’ (PKR, dan kertas undi untuk jualan), Haris berkata, beliau akan menemui seseorang yang mendakwa mempunyai kertas undi, yang boleh digunakan dalam pemilihan kali ini dan akan menyerahkan kepadanya sebagai bukti.

Dalam tulisan susulan bertajuk “Kak Wan, what do you want me to do with these ballot papers? (Kak Wan, apa yang anda mahu saya lakukan dengan kertas-kertas undi ini) semalam, Haris berkata, beliau menemui lelaki berkenaan yang menunjukkannya kertas undi bagi jawatan timbalan presiden, naib presiden dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

“Kertas undi bagi jawatan timbalan presiden, naib presiden semuanya membawa nombor siri manakala kertas undi MPP tidak.

“Dia memiliki 100 keping kertas undi kesemuanya,” tulis Haris dalam blognya The People’s Parliament.

Haris berkata, beliau bertanya pihak yang bertanggungjawab mengeluarkannya tetapi dia enggan menjawab.

“Dia menjelaskan pengawas pemilihan JPP boleh memanipulasi senarai ahli yang menghadiri proses pemilihan, di mana peratusan keluar mengundi adalah rendah, diubahsuai ke arah peningkatan, dan dimasukkan kertas undi tambahan ke dalam peti undi,” katanya lagi.

Malah kata beliau lagi, di tempat tertentu tiada langsung senarai kehadiran ahli, keadaan yang membolehkan kertas undi tambahan dimasukkan ke dalam peti undi.

Haris memberitahu, lelaki berkenaan mengakui dia mendedahkan perkara berkenaan kerana kepimpinan yang dia memihak dilihat ditipu.

Malah menurut Haris, lelaki itu bertindak sedemikian dengan harapan sesuatu akan dilakukan untuk membetulkan keadaan itu dan jika tidak, tiada gunanya kekal dalam PKR.

Haris juga berkata, apabila ditanya siapa di belakang kejadian itu, lelaki berkenaan mendakwa Azmin dan sekretariat ibu pejabat dan beberapa anggota JPP di mana pengerusinya Dr Molly Cheah tidak lagi mempunyai kawalan ke atas jawatankuasa berkenaan.

Haris, peguam yang berpejabat di Bentong juga menunjukkan kertas undi yang didakwa diperoleh daripada lelaki terbabit dan mempersoalkan sama ada terdapat banyak lagi kertas undi di luar pada masa sekarang.

Haris juga bertanya sama ada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang berjaya mempertahankan jawatannya tanpa cabaran akan melakukan sesuatu untuk mengatasi isu terbaru ini.

Malah dalam mesej Twitter semalam, Timbalan Presiden Senator Dr Syed Husin Ali pula berkata, “anggota-anggota PKR harus waspada terhadap blog-blog dan laman-laman web yang menabur pelbagai fitnah untuk gagalkan pemilihan parti.”

“Mereka punya agenda buruk,” kata beliau yang tidak mempertahankan jawatannya kali ini.

Hari ini masuk hari kelima pemilihan dilangsung dan tinggal lima hari lagi. -TMI

Ulasan GB

Isu kertas undi dijual atau pun tidak, saya kira tak berapa penting, tetapi kertas undi yang wujud di luar masa mengundi, menunjukkan ada sesuatu yang tidak betul di dalam proses pengundian.

Bagaimana kertas undi itu boleh didapati sedangkan jika terlebih pun ia perlu dimusnahkan. Dan ini bererti juga jika peratus yang keluar mengundi pada minggu lepas hanya di sekitar bawah 20%, lebih 80% kertas undi mesti dimusnahkan. Sesuatu yang paling tidak masuk akal kerana ratusan ribu kertas undi dimusnahkan pada setiap minggu. Ahli-ahli PKR saya kira berhak mempersoalkan pembaziran itu.

Kedua, tak payah cakap banyak. Anwar dan Saifuddin (dan Syed Husin juga) perlu berdiri sekarang dan jawab, mengapa anda semua dilihat tidak berkecuali di dalam pemilihan? Mengapa terlalu jelas berpihak kepada Azmin? Layakkan pimpinan tertinggi parti bersifat demikian?

Mengapa tidak membiarkan ahli-ahli parti membuat pemilihan pemimpin dengan bebas?

Memalukan sebagai pemimpin yang telah berpuluh tahun berada di pentas politik mengambil sikap yang tidak adil terhadap ahli-ahli parti sendiri. Berwibawakah tindakan sebegitu? Kerana sikap anda yang tidak berkecualilah maka wujud rasa tidak puas hati di kalangan ahli-ahli. Bukan kecil bilangan mereka itu.

Hukum kebenaran dan keadilan sejagat menjelaskan anda berdua sudah tidak layak lagi memimpin PKR jauh sekali PR. Itu belum lagi hukum Islam yang ada hukumannya yang tersendiri terhadap pemimpin yang tidak adil seperti kamu.

Saya dan lain-lain blogger bukan benci Azmin dan suka Zaid atau Mustaffa, tetapi kami ingin melihat PKR meletakkan kebenaran dan keadilan itu pada tempatnya yang wajar kerana sebagai parti dominan PR, PKR perlu tunjukkan teladan yang baik. Tanpanya seluruh PR akan terbalik.

Allah pasti selamatkan PR dari dipimpin oleh mereka yang ingin bertindak sebagai para diktator yang liar!

Isteri Jalin Hubungan Dengan Si "Awang Hitam"

Hampir saban hari dia melihat isterinya berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS) tapi menganggap ia perkara biasa pada zaman teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Namun, situasi yang dianggap biasa itu menjadi ‘racun’ dalam rumah tangga Johan, 40-an, apabila isterinya rupa-rupanya menjalin hubungan sulit dengan lelaki Afrika.
Lebih menyedihkan kakitangan kerajaan itu, ‘selera’ isterinya sangat pelik apabila mudah terpengaruh dengan ayat manis dan bentuk fizikal ‘Awang Hitam’.

Wanita berusia lingkungan 40-an yang mempunyai perniagaan sendiri itu dikatakan dua kali terpedaya dengan janji manis dua lelaki Afrika untuk sehidup semati hingga sanggup melakukan apa saja, termasuk menggadai barang kemas.

Malah, pasangan berkenaan pernah bercerai gara-gara penangan asmara lelaki Afrika pertama sebelum diberi peluang kedua oleh suaminya.

Namun, wanita berkenaan tidak serik dan menjalin percintaan dengan lelaki Afrika lain, dipercayai rakan kepada kekasih pertamanya.

Perkara itu dibongkar Johan ketika ditemui wartawan Metro Ahad di satu lokasi di Nilai, dekat sini, baru-baru ini.

Menurut Johan, dia mula menyedari perubahan sikap isterinya pada pertengahan Jun tahun lalu.

“Mulanya saya tidak mengesyaki apa-apa, namun semakin hari dia semakin pelik. Bila terima panggilan telefon, dia berlari dan bercakap jauh daripada saya dan anak.

“Malah, dia (isteri) dilihat sering bermain SMS dan kerap termenung seorang diri,” katanya yang dikurniakan lima anak hasil perkahwinan dengan isterinya sejak 20 tahun lalu.

Menceritakan lanjut mengenai kisah malang menimpa keluarganya, Johan berkata, isterinya dipercayai berkenalan dengan seorang lelaki Afrika yang belajar di kolej swasta di sekitar Nilai.

Katanya, perkenalan itu berlaku selepas isterinya bertemu lelaki berkenaan atas urusan kerja di rumah warga Afrika itu di Nilai dan mereka dipercayai bertukar-tukar nombor telefon.

“Sejak itu, lelaki warga Afrika berkenaan menggoda isteri saya melalui SMS sebelum mereka disyaki menjalin hubungan cinta selepas beberapa lama pertemuan itu.

“Rahsia isteri terbongkar selepas saya berjaya menghidu perbuatannya beberapa hari sebelum Aidilfitri tahun lalu. Dia mengaku keluar berjumpa lelaki Afrika terbabit, menyebabkan kami bertengkar. Saya cuba mempertahankan rumah tangga yang dibina lebih 20 tahun namun gagal, menyebabkan kami bercerai hujung tahun lalu,” katanya.

Bagaimanapun, Johan berkata, isterinya mula menunjukkan perubahan sikap membuatkan hatinya terbuka untuk menerima semula isterinya sebagai teman hidup selain demi masa depan anaknya dan mereka berkahwin kali kedua Jun lalu selepas lelaki Afrika itu pulang ke negara asalnya.

Menurutnya, isterinya berjanji tidak akan mengulangi kesilapan lalu dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu kepada lima anaknya.

“Bagaimanapun, janjinya hanya bertahan kira-kira tiga bulan apabila dia sekali lagi terpedaya dengan cinta palsu seorang lelaki warga Afrika, dipercayai rakan kepada teman lelakinya sebelum itu.

“Saya syak dia (lelaki Afrika itu) seolah-olah menyerahkan isteri saya kepada rakannya selepas pulang ke negara asal,” katanya.

Johan berkata, lelaki warga Afrika terbabit yang petah berkata-kata itu mendakwa dirinya ahli perniagaan dan seolah-olah ingin mempergunakan isterinya untuk kesenangan hidupnya.

Katanya, daripada apa yang dia tahu, isterinya sanggup menggadai barang kemas dipercayai untuk membantu lelaki terbabit.

“Yang menyedihkan saya, isteri sekali lagi mengulangi perangai lama dan keluar dengan lelaki Afrika terbabit tanpa diketahui tujuan. Malah, adiknya pernah terserempak isteri saya jalan beriringan dengan lelaki Afrika itu di bandar ini.

“Rumah tangga saya sekali lagi bergolak dan isteri saban hari menuntut supaya dia diceraikan, dipercayai selepas terpedaya dengan cinta palsu lelaki Afrika itu. Sehingga sekarang saya masih cuba mempertahankan rumah tangga demi anak.

“Saya mendedahkan perkara ini bukan bertujuan mengaibkan sesiapa atau membuka pekung di dada, namun sekadar ingatan kepada golongan wanita, terutama berstatus isteri orang, supaya tidak mudah cair dengan cinta palsu lelaki Afrika yang ingin mempergunakan diri untuk kesenangan mereka,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Johan membuat tiga laporan polis mengenai perbuatan lelaki Afrika itu yang memporak-perandakan keluarganya. -hm

Asri: Pemimpin PKR, PR Perlu Belajar Berlapang Dada

Dr Asri: 'Dinosour' PKR enggan terima hakikat

Selepas saranan beliau supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim bersara 'politik' mengundang kritikan sebilangan pemimpin kanan PKR, bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini membidas sikap tidak berlapang dada pemimpin pembangkang.

Dr Mohd Asri berkata kenyataan beliau Isnin lalu itu menyebabkan terdapat pemimpin PKR yang "melenting, buruk sangka dan membuat anggapan yang bukan-bukan".

"Apabila saya menyatakan banyak dinosaur politik dalam BN dan Pakatan Rakyat yang perlu memberi ruang kepada orang lain, dan saya sebut nama YB DSAI (Anwar) sebagai contoh, seperti biasa mereka melenting, buruk sangka dan membuat anggapan yang bukan-bukan.

"Saya kata bahawa, jika tidak berlaku perubahan; momentum politik yang berkesan akan habis dan politik berkualiti akan sukar dicapai," katanya.

"Sebagai rakyat bawahan yang melihat permainan politik dalam negara ini, dengan sikap 'buta warna parti', saya dapat rasakan sejauh manakah pertarungan itu di sudut ketangkasan dan 'manfaat yang dapat dirasai oleh rakyat'.

"Momentum sesebuah aliran politik bukan selamanya. Rakyat bukan sahaja akan terikat dengan 'kenangan semalam', sebaliknya mereka juga terikat dengan 'realiti hari ini' dan 'impian masa depan'," tulisannya dalam blognya pagi ini.

Dr Mohd Asri turut meminta pemimpin Pakatan yang tidak bersetuju dengannya merujuk kepada sebuah analisis berita yang mendakwa gabungan PAS, DAP dan PKR mula hilang momentum selepas kekalahan di DUN Galas dan Batu Sapi kelmarin.

Tokoh agama itu mengingatkan, momentum sesebuah aliran politik tidak akan kekal selamanya kerana rakyat bukan sahaja akan terikat dengan 'kenangan semalam'.

Sebaliknya, tambah Dr Asri, mereka juga terikat dengan 'realiti hari ini' dan 'impian masa depan'.

"Sebab itu, jangan hairan jika 'momentum Barack Obama' boleh surut dalam hanya masa dua tahun apabila dilihat gagal merealisasikan impian rakyat seperti yang dijanjikan," katanya sambil membandingkan dengan kepimpinan presiden Amerika Syarikat itu.

Sehubungan itu, kata Dr Mohd Asri, jika perkara tersebut berterusan, Pakatan Rakyat akan hilang momentumnya disebabkan pelbagai perkara.

"Salah satunya ubat bagi saya; keperluan 'mentajdidkan' (memperbaharui) pemain utama. Jika tidak, mungkin negara kita hilang keseimbangan politik antara pemerintah dan pembangkang!" tegasnya.

"Jika hendak jadi penguasa, kena belajar berlapang dada dengan rakyat jelata. Bukan semua yang berbeza itu menzalimi anda!" -mk

Baru Sebulan Nikah, Bergelar Janda Apabila Suami Mati Lemas Dihanyutkan Arus Deras

Suami lemas ketika cuba selamatkan isteri

Gambar: Penguatkuasa Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Nor Faridah Mat Amin,26, ditenteramkan oleh keluarga terdekat ketika menunggu di bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) selepas kematian suami, Mohd Hazrul Abdul Jalil,26, akibat lemas semasa berkelah di Sungai Jin, Kampung Pasir Kubur, Sungai Lembing dekat sini, hari ini.

KUANTAN: Seorang lelaki, yang baru sebulan berkahwin mati lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi bersama isteri dan keluarganya di Sungai Jin di Kampung Pasir Kubur, Sungai Lembing, dekat sini hari ini.

Mohd Hazrul Abdul Jalil, 26, yang tidak sedarkan diri ketika dibawa keluar dari sungai itu, disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan. Ketika kejadian Mohd Hazrul yang bekerja dengan Lembaga Pertubuhan Peladang di Perak bersama isteri Norfaridah Mohd Amin, 26, ibu dan adik lelakinya berkelah di sungai itu.

Adiknya, Mohd Helmi Abdul Jalil, 25, berkata kesemua mereka turun ke sungai untuk mandi selepas makan pada jam 12 tengah hari dan abang serta kakak iparnya yang turun ke kawasan dalam, secara tiba-tiba dihanyutkan arus deras.

"Masa itu abang dan kakak ipar dihanyutkan bersama tetapi abang cuba menolak kakak ipar ke atas permukaan air sebelum mereka dihanyutkan ke kawasan cetek dan diselamatkan tetapi abang tidak sedarkan diri," katanya.

Beliau berkata, setelah dibawa ke daratan, abangnya diberikan bantuan penafasan oleh orang ramai namun petugas kesihatan yang tiba di tempat kejadian tidak lama selepas itu memaklumkan Mohd Hazrul sudah meninggal dunia.

Mohd Helmi berkata, jenazah akan dibawa ke kampung halamannya di Pulau Tambun, Pekan untuk urusan pengebumian setelah bedah siasat dilakukan di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusof ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.-- Bernama