15 Jan 2010

Sebentar Lagi Gerhana Matahari Bermula Jam 3.03 ptg

Umat Islam di negeri ini disyorkan supaya menjalani solat sunat Gerhana Matahari dua rakaat pada hari ini (15 Januari) bermula jam 3.03 petang hingga 5.45 petang.

Pegawai Falak dan Sumber Maklumat, Jabatan Mufti Negeri Kelantan, Ahmad Talhah Abdul Rahman, berkata, fenomena Gerhana Matahari Separa akan berlaku dengan kadar 34.5 peratus.

“Ia meliputi tiga fasa dalam tempoh berkenaan iaitu pada jam 3.03 petang Fasa Sentuhan Pertama (mula gerhana), jam 4.31 petang Fasa Maksimum (34.5 peratus matahari tertutup) dan 5.45 petang bagi Fasa Sentuhan Terakhir (tamat gerhana).

“Waktu yang paling elok untuk melakukan solat sunat Gerhana Matahari ini pada jam 3.30 petang pada hari ini,” katanya kepada :Sinar Harian.

Beliau berkata, pada hari ini juga Gerhana Cincin dijangka berlaku di bahagian Tengah Afrika, Lautan Hindi, Kepulauan Maldives, Selatan India, Utara Sri Lanka, Burma dan China, manakala di Malaysia khususnya di Kelantan pula akan menyaksikan Gerhana Matahari Separa.

“Dengan kejadian fenomena ini, ia memperingatkan umat Islam mengenai Hari Kiamat, kebesaran Allah yang menguji manusia dan tanda kekuasaan Allah.

“Pada 26 Januari 2009, berlaku Gerhana Cincin, akhir Disember lalu Gerhana Penuh yang kemudian dijangka akan dilihat pada 2042 nanti dan pada 1 Januari baru-baru ini berlaku Gerhana Bulan,” katanya.

Program cerapan dan solat sunat Gerhana Matahari turut diadakan di Dataran Balai Islam, Lundang di sini, hari ini.


Solat gerhana ini disunatkan untuk ditunaikan secara berjemaah dengan diseru sebelum mendirikannya : as-Solatu Jaami'ah!! (Solat berjemaah)

i. Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Matahari :

أُصَلِّى سُنَّةَ الكُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى Ertinya : “ Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Taala.”

ii. Solat gerhana dilakukan sekurang-kurangnya 2 rakaat seperti solat sunat biasa. Ia adalah yang sekurang-kurangnya. Yang akmalnya dilakukan dengan dua kali ruku’ dan 2 kali qiyam, pada tiap-tiap satu rakaat dengan tidak dipanjangkan bacaan pada kedua-dua rakaat.

iii. Yang terlebih akmal ialah dengan 2 rakaat, dengan 2 ruku dan qiyam bagi tiap-tiap satu rakaat dengan dipanjangkan bacaan pada kedua-dua rakaat.

Kaifiatnya adalah seperti berikut:

Berdasarkan hadis :

عن عائشة نحو حديث ابن عباس وقالت: أَنَّ رسول الله صلى الله عليه وسلم يوم خَسَفَتِ الشَّمْسُ قَامَ فَكَبَّرَ وَقَرَأَ قِرَاءَةً طَوِيلَةً ثُمَّ رَكَعَ رُكُوعًا طَوِيلاً ثُمَّ رَفُعَ رَأْسُهُُ فَقَالَ سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ وَقَاَم كَمَا هُوَ نَقَرَ قِرَاءَةً طَوِيلَةً وَهِىَ أَدْنى مِنَ القِرَاءَةِ الأُولَى ثُمَّ رَكَعَ رُكُوعًا طَوِيلاً وَهِىَ أَدْنَى مِنَ الرَّكْعَةِ الأُولَى ثُمَّ سَجَدَ سُجُودًا طَوِيلاً ثُمَّ فَعَلَ ِفي الرَّكْعَةِ الآخَِرةِ مِثْلَ ذلِكَ ثُمَّ سَلَّمَ وَقَدْ تَجَلَّتِ الشَّمْسُ فَخَطَبَ النَّاسِ فَقَالَ ِ في كُسُوفِ الشَّمْسِ وَالقَمَرِ إِنَّهُمَا آيَتَانِ مِنْ آياَتِ اللهِ َلا يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وََلا لحَِيَاتِهَ فَإِذَا رَأَيْتُمُوهُمَا فَافْزَعُوا إِلَى الصَّلاَةِ.


Maksud: Dari Aisyah r.a. berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW berdiri (di masjid) pada hari terjadi gerhana matahari, lalu baginda mengadakan solat gerhana dan membaca bacaan yang panjang (seukur seratus ayat surah al-Baqarah), kemudian beliau mengangkat kepala dan mengucapkan Sami’ Allahhu Liman Hamidah, dan beliau berdiri lalu membaca bacaan yang panjang, sedang bacaan (dalam berdiri yang kedua) ini sedikit berkurang daripada bacaan yang pertama, kemudian beliau ruku’ dengan ruku’ yang panjang, sedang ruku’ ini berkurang dari ruku’ pertama, kemudian beliau sujud dengan sujud yang panjang (bertasbih seukur bacaan seratus ayat), kemudian beliau bertindak sepadan demikian (rakaat pertama) itu pada rakaat yang akhir (kedua), Selanjutnya beliau mengakhiri solatnya dengan salam, sedang gerhana matahari telah berakhir. Lalu baginda berkhutbah kepada manusia: “Pada gerhana matahari dan bulan, sesungguhnya keduanya adalah dua tanda (kebesaran) di antara tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya tidaklah terjadi gerhana kerana kematian seseorang pula tidaklah kerana kehidupan seseorang. Maka apabila kalian melihat keduanya (gerhana) maka bersyukurlah kepada solat gerhana”

(Riwayat Bukhari 4-hlm: 358)

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْرو بنِ العَاصِ أَنَّهُ قَالَ: لَمَّا انْكَسَفَتِ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ نُودِىَ بِ ( الصَّلاَةُ جَامِعَةً ) فَرَكـَعَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ رَكْعَتَينِ فِى سَجْدَةٍ. ثُمَّ قَامَ فَرَكـَعَ رَكْعَتَينِ فِى سَجْدَةٍ. ثُمَّ جُلِّىَ عَنِ الشَّمْسِ. فَقَالَتْ عَائشَةُ: مَا رَكَعْتُ رُكُوعًا قَطَُّ. وَلاَ سَجَدتُ سُجُودًا قَطَُّ. كَانَ اَطْوَلَ مِنْهُ.

Maksud: Dari Abdullah bin Amr bin Al-Ash, beliau berkata: “Tatkala matahari gerhana pada masa Rasulullah SAW, maka diserukan : ‘as solatu jami`ah’. Lalu Rasulullah SAW melakukan dua kali ruku’ dalam satu rakaat. Kemudian berdiri lagi dan melakukan dua kali ruku’ dalam satu rakaat. Kemudian matahari kembali muncul. Aisyah berkata: “Aku sama sekali tidak pernah melakukan ruku’ ataupun sujud yang lebih lama daripada itu”

(Sahih Muslim 2-hlm: 81) Secara ringkasnya seperti berikut :
A Rakaat Pertama
1. Takbiratul Ihram.
2. Membaca doa iftitah.
3. Membaca Ta`awudz. ( تعاوز )
4. Membaca surah al-Fatihah.
5. Membaca mana-mana surah,yang terlebih afdhal surah ABaqarah.
6. Ruku’ dan membaca tasbih kira-kira membaca 100 ayat.
7. Iktidal (AllahuAkbar)serta membaca surah al-Fatihah dan membaca ali-Imran atau mana-mana surah.
8. Ruku dangan membaca tasbih kira-kira membaca 90 ayat.
9. Iktidal.(SamiAllahulimanHamidah)
10.Sujud dan membaca tasbih.
11.Duduk antara 2 sujud.
12.Sujud kembali.
13.Berdiri ke rakaat kedua.

B. Rakaat Kedua
1. Membaca surah al-Fatihah.
2. Membaca surah al-Nisa’ atau mana-mana surah.
3. Ruku’ dan membaca tasbih kira-kira membaca 70 ayat semasa ruku’.
4. Iktidal (AllahuAkbar) serta membaca surah al-Fatihah dan membaca surah Al-Maidah atau mana-mana surah. 5. Ruku dangan membaca tasbih kira-kira membaca 50 ayat.
6. Iktidal.(SamiAllahulimanHamidah)
7. Sujud dan membaca tasbih.
8. Duduk antara 2 sujud.
9. Sujud kembali.
10.Membaca tasyahud akhir.
11.Memberi salam.

* Tiada iqamah tapi cukup sekadar ucapan : ( الصِّلاَةُ جَامِعَةً )
* Mana-mana surah hendaklan mengikut susunan surah dari Al-Quran
* Sunat menyaringkan suara pada bacaan Fatihah dan surah ketika solat sunat gerhana bulan dan perlahan ketika solat sunat gerhana matahari.
* Disunatkan mandi untuk solat gerhana, seperti hendak solat Jumaat.

Khutbah Solat Gerhana :

Dalil dari Aisyah r.a. berkata :

ثم سلم وقد تجلت الشمس فخطب الناس فقال في كسوف الشمس والقمر إنهما آيتان من آيات الله لا يخسفان لموت أحد ولا لحياته فإذا رأيتموهما فافزعوا إلى الصلاة.


Ertinya : Selanjutnya beliau mengakhiri solatnya dengan salam, sedang gerhana matahari telah berakhir. Lalu baginda berkhutbah kepada manusia: “Pada gerhana matahari dan bulan, sesungguhnya keduanya adalah dua tanda (kebesaran) di antara tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya tidaklah terjadi gerhana kerana kematian seseorang pula tidaklah kerana kehidupan seseorang. Maka apabila kalian melihat keduanya (gerhana) maka bertandanglah kepada solat gerhana”

(Riwayat Bukhari 4-hlm: 358)

i. Sunat membaca khutbah selepas solat sunat, walaupun gerhana sudah hilang. ii. Khutbahnya seperti khutbah hari raya tetapi tidak sunat bertakbir. iii. Isi khutbah hendaklah menyuruh para jemaah bertaubat, bersedekah, memerdekakan hamba, berpuasa, mengingati manusia supaya tidak lalai, jangan leka dengan dunia dan sebagainya. iv. Jika solat itu hanya terdiri dari wanita semata-mata, maka tidak perlu khutbah.

Secara umumnya bila pertembungan ini berlaku maka kaedahnya didahulukan yang paling ringan. Sekiranya sama nilainya, maka didahulukan yang paling kuat.

Contoh : i. Jika pertembungan berlaku di antara solat gerhana dengan solat jenazah maka didahulukan solat jenazah. ii. Jika pertembungan berlaku di antara solat gerhana dengan solat fardhu di awal waktu maka didahulukan solat gerhana kerana dibimbangi matahari atau bulan kembali cerah. Tetapi jika berlaku pertembungan itu diakhir waktu solat fardhu maka didahulukan solat fardhu. iii. Jika pertembungan berlaku di antara solat gerhana dengan witir didahulukan solat gerhana.


Dr Pornthip Tidak Akan Didakwa - Peguam Negara & KPN

Mahkamah Koroner di sini hari ini diberitahu bahawa Peguam Negara tidak akan mendakwa ahli patologi dari Thailand, DrPornthip Rajanasunand, berhubung dakwaan membocorkan maklumat laporan forensik mendiang Teoh Beng Hock kepada sebuah akhbar tabloid tempatan.

Peguam Tan Hock Chuan memberitahu Koroner Azmil Muntapha Abas, yang sedang mendengar inkues mengenai kematian Teoh, berkata, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail telahpun meneliti kertas siasatan yang diserahkan oleh polis semalam dan mendapati tidak terdapat bukti kukuh bagi menyokong dakwaan itu.

"Dalam keadaan itu, Peguam Negara berpendapat tiada asas untuk mendakwa Dr Pornthip atas tuduhan itu," kata Tan yang bertindak bagi pihak kerajaan Malaysia dalam inkues berkenaan.

Beliau juga berkata, Pornthip tidak akan dihalang daripada memberi keterangan dalam prosiding inkues itu selepas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan memberikan jaminan tidak akan menahan atau mengganggu saksi itu.

Tan menjelaskan perkara itu di hadapan Azmil Muntapha pagi ini sebelum mahkamah mendengar prosiding menghina mahkamah terhadap dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membuat laporan polis terhadap Pornthip pada 1 Jan lalu. -BERNAMA

Ulasan GB

Kan ker dah jatuh spender pegawai SPRM yang buat laporan polis terhdap Pornthip di atas arahan pegawai atasan SPRM sendiri.

Dan pegawai berkenaan itu terpaksa menghadapi dakwaan "menghina mahkamah" pula yang difailkan oleh keluarga mendiang Teoh Beng Hock.

SPRM, sorry, there is no way out for u now.

Google.com : Khalid Samad Lelaki No 2 Paling Hangat Selepas Nizar

Ahli Parlimen (MP) Shah Alam, Khalid Samad diletakkan di tangga ke-2 sebagai lelaki paling hangat yang telah mencetuskan berita, polemik kontroversi sekali gus menjadi bahan berita sensasi, demikian menurut laman sesawang Google.com sepanjang 2009.

Pimpinan PAS Selangor itu turut mengatasi dua menteri kanan dari Barisan Nasional iaitu Perdana Menteri, Najib Razak dan Menteri Pengangkutan, Ong Tee Keat yang masing-masing berada di tangga ke-3 dan ke-4.

"Saya hangat atau popular mungkin kerana kutukan, kritikan mahu pun teguran oleh pihak tertentu. Bagi saya, bukanlah nama (Khalid Samad) itu yang perlu ditonjolkan tetapi risalah dakwah Islam itu yang perlu ditekankan agar masyarakat Malaysia benar-benar faham bahawa Islam itu bersifat syumul untuk semua manusia,” katanya ketika dihubungi erapakatan.com di sini, hari ini.

Menurutnya, kehangatan dan populariti beliau mungkin memberi kesan baik atau tidak baik, tetapi beliau tetap komited untuk terus menyumbang sebanyak mungkin demi kebaikan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Khalid berkata, beliau juga tidak menolak bahawa isu-isu seperti Kerajaan Perpaduan, kerjasama dengan Umno, perbezaan pendapat dengan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali dan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Nordin selain isu Kalimah Allah antara sebab nama beliau hangat dan popular di laman maya sehingga mengundang reaksi daripada para penyokong dan pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

Beliau berkata, perbezaan pendapat dalam kalangan pimpinan PR adalah lumrah biasa.

"Itulah semangat demokrasi yang cukup subur diamalkan selama ini berbanding BN yang walaupun memerintah lebih 50 tahun, ia kekal dengan pendekatan mengongkong suara pemimpin mereka sendiri dan rakyat Malaysia," kata beliau.

Beliau memberi contoh betapa, kerajaan BN sehingga kini masih mengekalkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan untuk mengongkong media agar memberi keuntungan politik kepada mereka.

"Pemimpin Umno sendiri takut menegur pemimpin nombor wahidnya walaupun melakukan jenayah besar sehingga menjejaskan imej negara di seluruh dunia.

"Jika pimpinan PR berbeza pendapat, media yang dikuasai BN akan mempropagandakannya sebagai krisis tapi apabila MCA, MIC dan Gerakan bersama Umno bergaduh, mereka tak pula kata macam itu," katanya kesal.

Sehubungan itu, katanya, pada tahun ini isu-isu yang ditimbulkan dengan tujuan melaga-lagakan dan mengelirukan rakyat pelbagai kaum dihentikan segera kerana Islam amat menitikberatkan keadilan untuk semua dengan meletakkan hak seseorang atau kumpulan itu pada tempat yang sewajarnya.

"Segala permasalahan di dunia ini hatta yang kecil sekali pun, Islam pasti ada jalan penyelesaiannya kerana Islam itu adalah agama yang benar dan tiada yang benar melainkan Islam," kata beliau.

Google.com meletakkan Khalid di tangga ke-2 lelaki terhangat sepanjang 2009 di belakang Menteri Besar PR Perak, Datuk Seri Ir. Nizar Jamaluddin.

Khalid, yang juga adik kepada MP Johor Bahru, Shahrir Samad itu turut tersenarai dalam 10 insan terhangat di Malaysia sepanjang 2009 bersama-sama selebriti Fasha Sandha, Zakiah Anas, Sufiah Yusof, Elizabeth Wong, Kartika Sari Dewi Shukarno dan Manohara Odelia Pinot.

Beliau yang pernah bertanding dalam empat pilihan raya umum (PRU) sejak 1990 memenangi Parlimen Shah Alam pada 8 Mac 2008 dengan menewaskan mantan Menteri Pendidikan, Abdul Aziz Shamsudin dengan majoriti 9,314 undi. -erapakatan

Malaysia Tanpa PM Dan TPM

Rakyat ditinggalkan, Malaysia tanpa PM dan TPM. - Mahfuz Omar

Negara sedang menghadapi ancaman pergaduhan kaum dan agama, apa yang membimbangkan rakyat ialah kerajaan seperti hilang kawalan dimana setiap kali jaminan kerajaan (KDN) dan POLIS bahawa keadaan terkawal maka setiap kali itulah juga ada kejadian baru seperti pencerobohan terhadap pejabat peguam majalah herald dan simbahan cat berwarna merah kesebuah gereja di Kota Tinggi berlaku semalam.

Kejadian simbahan cat merah digereja Kota Tinggi dan pencerobohan pejabat peguam majalah herald menunjukkan keadaan negara dalam bahaya, malang sekali bagi rakyat Malaysia apabila kerajaan seperti tiada langkah yang berkesan dan konkrit dalam mengatasi masalah perhubungan antara kaum dan agama,sedangkan selama ini kerajaan sering melaungkan negara2 luar begitu kagum melihat formula Malaysia dalam mengurus rakyat pelbagai kaum dan agama. Ternyata peristiwa mutakhir ini menunjukkan kerajaan tiada suatu formula dan plan induk yang jelas untuk melahirkan masyarakat yang saling hormat menghormati dan saling memahami antara kaum dan agama.

Kerajaan ternyata tidak serius dalam menangani permasalahan ini dan ini dibuktikan apabila PM dan TPM meninggalkan rakyat dan negara dan berada diluar negara diwaktu negara dalam kerisis. Saya tahu pemergian mereka ada lah juga tugas untuk negara. Walaupun saya percaya TPM akan pulang dalam sehari dua ini,tapi bagi saya tidak wajar berlaku sama ada negara dalam keadaan tenang atau tegang kedua2 pemimpin utama tiada dalam negara walaupun satu hari dalam satu masa. Apatah lagi seorang PM bila negara berada dalam keadan tegang kerana isu perkauman dan keagamaan tidak wajar meninggalkan negara. Ini menunjuk tiada penyelarasan dan kesepatan serta ketidak sehaluan antara kedua pemimpin utama.Rakyat didahulukan tidak diterjemahkan dan direalisasikan sebaliknya rakyat ditinggalkan untuk pergaduhan hasil provokasi politik yang dipenuhi dengan kebusukkan politik.

"RAkYAT DIDAHULUKAN VS RAkYAT DITINGGALKAN"
"MALAYSIA TANPA PM DAN TPM"

Dato'Hj.Mahfuz Omar
Naib Presiden PAS
Ahli Parlimen Pokok Sena.




UMNO Terdesak Terpaksa Peralat Isu Kalimah Allah

Ketandusan idea Umno-Barisan Nasional meraih kembali sokongan rakyat negara ini jelas kelihatan apabila gagasan pemerintah memperalatkan kalimah Allah untuk mengalih pandangan daripada salah laku mereka.

Umno-BN bagaikan menggali kubur sendiri pelbagai pihak mencurigai tindakannya cuba berdalih susulan kes berprofil tinggi kehilangan enjin jet F-5E milik TUDM dan pelbagai kes rasuah.

Atas kesedaran ini, Parti Keadilan Rakyat Subang semalam menganjurkan kempen penerangan kepada rakyat perihal propaganda kerajaan Umno-BN.

“Zaman Mahathir ranking negara kita, ranking rasuah antarabangsa dulu kita 20 lebih, itu pun rasuah sudah teruk dah, lepas itu Pak Lah kata bekerja dengan saya bukan untuk saya, lepas itu kita dikerjakan oleh dia, sampai ranking kita naik 40 lebih, tahun ini Najib Altantuya lagi best, 1 Malaysia sekarang dah naik 50 lebih”, kata Chang Lih Kang.

Ahli Dewan Undangan Negeri Teja Perak, Chang Lih Kang berucap pada pembukaan Ceramah Umum PKR Subang di Dewan Komuniti MBPJ, Kota Damansara malam semalam.

Beliau menyelar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana gagal mengekang gejala rasuah sebaliknya mereka bersengkongkol dengan Umno-BN untuk mengaburi mata rakyat.

Sementara itu, Timbalan Ketua AMK Malaysia, Fariz Musa pula menyifatkan Umno-BN mempraktikkan politik dan agama kesukuan sehingga tergamak merobohkan sebuah masjid di Kampung Bujal, Kemaman, Terengganu suatu ketika dahulu.

Bagaimanapun katanya Umno-BN sekarang lantang pula mempertahankan penggunaan kalimah Allah oleh pihak gereja Kristian walhal parti itu juga dalang pemusnahan rumah ibadat Islam.

“Sewaktu kejadian untuk meruntuhkan rumah Allah itu di Kg Bujal, kita pertahankan, rakyat turun beramai-ramai mempertahankan rumah Allah daripada dirobohkan oleh Umno, hari ini Umno memperjuangkan pasal nama Allah”, jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua AMK Selangor, Khairul Anuar Ahmad menemplak kekejaman Umno-BN kerana sekali lagi menaikkan harga barangan keperluan harian seperti gula dan roti dengan menyifatkan hadiah 1Malaysia Najib kepada rakyat.

Kebajikan rakyat semakin terabai apabila Najib sekali lagi cuba menindas dengan memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan GST sebanyak 4 peratus pada 2011 ini akibat daripada kerugian perjanjian pengecualian cukai di beberapa Zon Bebas Cukai.

“Tahun 2011 kita akan dapat lagi satu hadiah, ini kena ingat betul-betul, apa hadiah rakyat didahulukan ni? Apa yang dia nak bagi? Gasak Sampai Tertonggeng, GST, kita kena lawan habis-habisan, satu cukai terhadap barangan dan perkhidmatan, saya ringkaskan, kesannya kepada pengguna akhir, kita pembeli”, kata Jona.

Jona menegaskan Kerajaan Persekutuan sengaja mengenakan GST ini dengan alasan untuk menambahkan pendapatan negara yang dianggarkan bernilai 1 bilion ringgit.

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Subang Sivarasa Rasiah pula berkongsi pengalamannya ketika menerima lawatan pemimpin-pemimpin dari United Kingdom memberitahu mereka mempersoalkan konsep demokrasi yang diamalkan di Malaysia.

Tambahnya lagi, di UK pihak kerajaan dan pembangkang bebas bersuara dalam media perdana tanpa sekatan, malang sekali ia tidak berlaku di Malaysia yang hanya dimonopoli Umno-BN.

“Inilah hakikat politik di Malaysia, yang pegawai kanan dari House Of Common apabila mendengar apa saya cakap itu, terkejut dan dia tanya, ini pertanyaan yang tidak dapat saya jawab, kalau itu benar, apakah jenis pilihanraya awak ada di Malaysia? Apakah maksud pilihanraya? Saya kata itu betul, inilah maksud saya, pilihanraya yang dilakukan di sini bukan pilihnaraya yang mereka faham”, jelas Sivarasa.

Di samping itu, peristiwa hitam demonstrasi bantahan kalimah Allah oleh Herald yang berlangsung Jumaat lepas turut disentuh Ahli Parlimen Shah Aalam, Khalid Samad dengan mendedahkan Majlis Agama Islam Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor bertanggungjawab dalam penganjuran demonstrasi terbabit.

Khalid kehairanan apabila dirinya dikaitkan dengan demonstrasi tersebut apabila beberapa kain rentang diletakkan gambarnya walhal Khalid tidak menahu hal itu.

“Satu sejarah, penganjur demonstrasi itu Majlis Agama Islam Selangor bersama dengan JAIS, hebat, arahkan semua masjid-masjid dan surau-surau hantar wakil untuk bersama di dalam demonstrasi di Masjid Negeri, bukan dalam kawasan masjid, dalam masjid, ini merupakan perkara yang cukup aneh yang mana selama ini segala amalan demonstrasi dikutuk, bukan daripada budaya kita”, tegas Khalid. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN (TVS)

Ulasan GB

Polis sendiri telah menyatakan mana-mana perhimpunan melebihi 5 orang di anggap perhimpunan haram. Mengapa tidak tangkap Pengarah JAIS yang terang-terangan mengarahkan penghantaran wakil dari masjid-masjid dan surau-surau untuk bersama di dalam demontrasi haram itu?

Prhimpunan anjuran Pakatan Rakyat dikatakan "perhimpunan haram" walau sekecil mana sekalipun dan walaupun tidak mengganggu ketenteraman awam. Tetapi perhimpunan akan automatik menjadi halal apabila ianya dianjurkan dan dilakukan oleh UMNO dan kerabatnya.

Sedangkan amat jelas perhimpunan itu menjadi penyebab kepada berlakunya kes-kes yang menggugat ketenteraman awam seperti serangan ke atas gereja dan pejabat peguam!



Syarikat Milik Mawi, Mawi World Disaman RM1juta

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 17 Februari ini untuk perbicaraan saman RM1 juta yang dikemukakan syarikat minuman Yassa Sdn Bhd terhadap Mawi World Sdn Bhd kerana didakwa melanggar hak harta intelek.

Hakim Datuk Azahar Mohamed menetapkan tarikh itu semasa pengurusan kes itu pagi semalam.

Peguam Nasrul Hadi Mat Saad, bagi pihak Yassa, memberitahu media di luar mahkamah seramai empat orang saksi dijangka memberikan keterangan pada hari perbicaraan itu, tiga daripada mereka merupakan saksi kepada syarikat Mawi World.

Pada 31 Okt, 2006, Yassa, selaku plaintif memfailkan saman mendakwa Mawi World telah melanggar hak harta intelek dengan memasarkan air galian di bawah jenama "Mawi World", menggunakan kandungan maklumat milik syarikat itu seperti lesen pengeluaran minuman air mineral dan alamat kilang minuman pada botol minuman tanpa memperoleh kebenaran syarikat itu.

Ia juga mendakwa botol minuman air galian yang menggunakan gambar penyanyi Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 29, mengandungi maklumat mengenai sumber dan kandungan yang sama dengan air mineral jenama "Streamline" keluaran Yassa.

Pada 14 Feb 2008, Penolong Kanan Pendaftar Noorasyikin Sahat menolak permohonan Mawi World untuk membatalkan saman itu dengan kos.

Mawi World merayu terhadap keputusan itu, tetapi ia ditolak oleh mahkamah pada 18 Jun 2008. - Bernama Foto: TheStar


Pejabat Peguam The Herald Diceroboh

Firma guaman yang mewakili warta Katolik, The Herald, dalam kes tuntutan kalimah Allah dipecah masuk awal pagi tadi.

Firma Fernandez dan Selvarajah di Jalan Yong Shook Lin, Petaling Jaya disedari dipecah masuk oleh pekerja yang membuka pintu pejabat kira-kira jam 7.45 pagi.

Peguam Derek Fernandez tiba di tempat kejadian sekitar jam 8.15 pagi sebelum memaklumkan pihak berkuasa akan pencerobohan itu.

"Ini adalah rompakan yang terancang," katanya kepada media.

"Beberapa dokumen hilang," katanya dan beliau mengesyaki kejadian ini mempunyai kaitan dengan polemik kalimah Allah.

Firma Fernandez dan Selvarajah terletak dalam satu barisan rumah kedai bertentangan Pusat Sivik dan berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

Firma ini menduduki tingkat dua dan tiga bangunan terbabit, diatas sebuah kedai telefon bimbit dan pusat tuisyen.

Syarikat telefon bimbit tidak dipecah masuk, dan hanya pejabat utama firma itu yang diceroboh, manakala kamera litar tertutup firma itu telah disembur cat hitam.

Komputer riba milik rakan firma tersebut juga diambil, yang dipercayai memiliki maklumat berkenaan kes tersebut.

Polis masih menjalankan siasatan terperinci mengenai kejadian ini.

Ulasan GB

Setiap kali ada kes yang membabitkan "pertentangan" diantara dua kumpulan, maka satu pejabat dari pihak yang ditekan akan diceroboh dan digelidah.

Ini satu modus operandi yang jelas dan rakyat menghidu ssuatu.



GERAKAN WP Selar Ketua SPRM

Setiausaha Agung Gerakan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wong Ruen Yuan mengecam sikap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperlihatkan dirinya mengatasi sistem kahakiman.

Wong Ruen Yuan tidak bersetuju dengan kenyataan Abu Kassim Mohamed (gambar kanan) yang mendakwa bahawa SPRM sedia untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang mendedahkan maklumat aduan mereka kepada umum mengikut Seksyen 29(4) Akta SPRM.

Wong Ruen Yuan berkata, biarpun SPRM mahu melaksanakan seksyen dalam akta tersebut, ia hanya wajar kalau diumumkan oleh mahkamah. Walaupun Ketua Pesuruhjaya SPRM mendakwa bahawa penggunaan Seksyen 29(4) adalah untuk berlaku adil kepada semua pihak, namun ia mencungkil kebimbangan seperti berikut seandainya dilaksanakan:-

Pertama, laporan berita oleh media akan disekat;

Kedua, menyekat atau mengurangkan orang awam untuk membuat laporan atau aduan, kerana dibimbangi mengundang kesulitan. Jadi, keadaan rasuah di negara kita akan semakin berleluasa;

Ketiga, penyiasatan SPRM akan menjadi semakin tidak adil dan tidak telus;

Pada hakikatnya, denda RM 100 ribu atau penjara 2 tahun tidak dapat mempertingkatkan kredibiliti SPRM.

Wong Ruen Yuan mencadangkan perkara berikut yang perlu diteliti:-

Pertama, harus adil tanpa mengira kaum, parti ketika menerima aduan. Kesemuanya harus disiasat tanpa selektif, sama ada kes itu besar atau kecil.

Kedua, kes yang besar seperti skandal PKFZ, kematian Teoh Beng Hock harus disegerakan. Hukuman berat perlu dijatuhkan kepada mereka yang bersalah.

Ketiga, semua kes perlu disiasat sehabis-habisnya, tidak boleh dibiarkan tanpa kesudahan. Keadaan ini akan mengecewakan orang awam.

*Kenyataan media oleh Wong Ruen Yuan, Setiausaha Agung Gerakan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Diterjemah daripada edisi bahasa Cina. -MR

14 Jan 2010

Kalimah Allah Atau Hukum Allah Yang Merupakan Soal Akidah?

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memberi amaran keras kepada Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad agar berhenti daripada mempertikai keputusan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berhubung isu penggunaan kalimah “Allah”.

Jais turut menolak dakwaan wakil rakyat itu bahawa pihaknya dan Mais sengaja ‘mempolitikkan’ isu berkenaan.

Sehubungan itu, Pengarah Jais, Datuk Mohamed Khusrin Munawi (gambar) berkata Khalid perlu mengkaji semula kenyataan tersebut kerana ia mempunyai kaitan dengan sensitiviti umat Islam khususnya di Selangor.

“Seharusnya sebagai Ahli Parlimen yang duduk di Shah Alam, beliau sepatutnya berpegang kepada pepatah ‘di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung’ dan sebagai rakyat Selangor beliau perlu hormati dan patuhi titah Sultan.

“Benda ini bukan boleh dipermain-mainkan kerana ia melibatkan soal akidah dan sepatutnya orang Islam hormati keputusan yang sudah dibuat ini,” kata beliau yang menghadiri Majlis Pengisytiharan Keputusan Peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) 2009 di sini hari ini.

Beliau turut menafikan kenyataan yang mengaitkan Jais dengan Umno.

“Saya tidak faham ada orang tuduh kita (Jais) ini Umno, kita buat kerja berdasarkan undang-undang yang telah dikuatkuasakan di Selangor dan ia bukannya dibuat oleh saya.

“Walaupun ia dibuat oleh kerajaan terdahulu tetapi ia mendapat perkenan daripada Sultan Selangor. Seharusnya beliau atau sesiapa sahaja perlu hormati undang-undang ini.

“Sehubungan itu saya menafikan sekali lagi dengan sekeras-kerasnya dakwaan yang dibuat oleh Ahli Parlimen itu dan kita harap selepas ini tidak ada lagi individu, ahli politik atau sesiapa sahaja di negeri ini yang akan mempertikaikan perkara ini,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Khalid yang menyarankan supaya Jais dan Mais menyertai atau menubuhkan parti politik.

Gesaan itu dibuat susulan daripada kegagalan kedua-dua pihak berkenaan gagal mengawal tindak-tanduk orang ramai yang menyertai demonstrasi isu penggunaan kalimah Allah di Masjid Negeri Shah Alam Jumaat lalu.

Mohamed Khusrin berkata, keputusan berkaitan kalimah Allah adalah titah Sultan Selangor dan rakyat negeri itu perlu menghormati serta mematuhi keputusan itu.

Mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang memperuntukkan mana-mana orang yang bertindak melanggar, mengingkari atau menghina kuasa yang sah atau mempertikaikan arahan atau melanggar keputusan Mais atau mufti adalah satu kesalahan.

“Isu ini adalah soal akidah bukannya soal politik yang didakwa oleh pihak terbabit.

“Ia bukan keputusan politik tetapi keputusan Mais kerana ia melibatkan kepentingan orang Islam di negara ini.

“Keputusan itu juga dibuat berdasarkan kajian serta penyelidikan yang kita buat dan mesyuarat yang kita buat sebelum ini sebulat suara melarang penggunaan kalimah Allah pada majalah tersebut,” katanya.

Ulasan GB

Soal penggunaan kalimah Allah bukan soal aqidah, tetapi menolak hukum Allah itu adalah soal aqidah.

Orang boleh menyeru Allah dengan nama-nama lain selain dari Allah. Tetapi orang tidak boleh menerima pakai hukum-hukum lain selain dari hukum Allah. Nas mengenainya adalah TERANG dan JELAS.

Katakanlah: "Serulah Allah atau serulah Ar-Rahman. Dengan nama yang mana saja kamu seru, Dia mempunyai al asmaaulhusna (nama-nama yang terbaik) dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam salatmu dan janganlah pula merendahkannya dan carilah jalan tengah di antara kedua itu" - (Al-Quran.Surah Al Israa': 110)

“Barangsiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir” (Al-Maidah : 44)

Budak Mengaku Serang Gereja Dalam Facebook: Polis Dipermainkan Atau Mempermainkan?

Tindakan polis membebaskan individu yang mengaku dalam Facebooknya bahawa beliau menyerang gereja, tidak masuk akal, dan boleh dipermain-mainkan, demikian menurut Naib Presiden PAS, Datuk Haji Mahfuz Omar dalam suatu kenyataannya di sini, hari ini.

Hal ini kerana, menurutnya, pasukan polis dilihat tidak melakukan penelitian yang rapi terlebih dahulu sedangkan suspek penyerang yang didakwa sudah pun dikenalpasti oleh pihak polis sebelum ini masih bebas dan belum ditangkap.

"Setahu saya, mana ada orang nak mengaku bahawa dia yang bakar? Bawa pertuduhan itu ke mahkamah pun tak ada yang nak mengaku. Tiba-tiba polis boleh tangkap seseorang yang mengaku dalam Facebooknya bahawa dia yang buat (serang gereja).

"Kemudian polis bebaskan apabila budak tersebut menyatakan bahawa dia saja main-main," kata Mahfuz.

Tambah Ahli Parlimen Pokok Sena itu, hal ini menunjukkan bahawa polis terlalu lemah dan terlalu percaya apabila individu yang ditahan itu membuat pengakuan bahawa dialah yang telah melakukan serangan ke atas gereja sebelum ini.

"Polis yang saya sebutkan di atas sepatutnya buatlah pertemuan berjumpa dengan budak itu di rumahnya, tanya dahulu baru buat keputusan nak tangkap atau tidak. Ini terus tangkap bawa ke balai polis. Ini yang orang ramai persoalkan kebijaksanaan polis, sekejap kena siasat dan teliti dulu, kejap terus tangkap," tambah beliau lagi.

Mahfuz berkata, kejadian ini menunjukkan dengan jelas bahawa polis boleh dipermainkan dan ditipu oleh sesorang.

"Kalau pelajar kolej swasta pun boleh menipu dan mempermainkan polis, sudah tentu Umno lebih dahsyat lagi menipu dan memperalatkan polis untuk kepentingan politik Umno yang tersepit.

"Jangan-jangan, kes serangan gereja akan jadi seperti kes enjin jet hilang. Setahun empat bulan polis ambil masa untuk siasat baru dapat tangkap dan dakwa. Itu pun sarjan dan prebet 'cabuk' sahaja. Pegawai atasan terlepas, pihak yang lagi atas (pegawai tertinggi) hilang terbang bersama enjin jet," kata Mahfuz.

Semalam, akhbar arus perdana melaporkan polis telah menahan seorang pelajar kolej swasta, selepas beliau mengaku melakukan serangan ke atas gereja di dalam Facebooknya. Pelajar itu kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis, kerana pengakuan tersebut sekadar 'gurauan' bersama rakan-rakannya.

Ulasan GB

GB tak nampak polis dipermainkan, yang GB nampak polis mempermainkan rakyat dengan hebahan sedemikian.

SPRM Tak Perlu Berselindung

Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggunakan akta bagi menyekat pendedahan laporan siasatan kes rasuah yang dibuat ke atas badan tersebut akan mencalarkan lagi imejnya yang kini semakin diragui rakyat.

"Tindakan ini tidak baik kerana rakyat berhak mengetahui lanjutan daripada siasatan itu. Kenyataan ini memberi ruang kepada umum untuk berfikir bahawa, ada perkara yang cuba dan mahu disembunyikan SPRM," kata Ahli Parlimen (MP) Balik Pulau, Yusmadi Yusof ketika dihubungi Era Pakatan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Undang-undang PAS Pusat, Hanipa Maidin, ketika dihubungi berkata, SPRM tidak perlu melihat isu ini sebagai masalah kerana secara prinsipnya, rakyat berhak mengetahui perjalanan siasatan.

"Media dan SPRM masing-masing mempunyai tanggungjawabnya yang tersendiri. Peranan media penting. Ini kerana, jika media tidak mendedahkan laporan siasatan, sudah tentu rakyat tidak mengetahui tindakan selanjutnya berhubung kes tersebut," kata Hanifah.

Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, SPRM tidak boleh menutup kes agar siasatan ke atasnya berjalan lancar, dan dengan itu juga rakyat dapat mengetahui perkembangan selanjutnya.

"Di Perak contohnya, banyak laporan berkaitan rasuah. Namun laporan hanya tinggal laporan sahaja. Banyak kes yang tidak ada keputusan. Tindakan menghalang media ini akan menyebabkan lebih banyak kes yang gagal diselesaikan," kata Ngeh lagi.

Terdahulu, media melaporkan bahawa semua pihak termasuk media tidak dibenarkan membuat pendedahan mengenai laporan kes rasuah yang dibuat ke atas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mulai sekarang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru, Datuk Abu Kassim Mohamed berkata, mulai sekarang SPRM akan menguatkuasakan Seksyen 29(4) yang melarang pendedahan maklumat berhubung kes siasatan.

Ulasan GB

Lain yang disuruh lain yang dibuat. Rakyat masih menunggu SPRM mendakwa pemimpin-pemimpin UMNO BN yang telah dilaporkan kepadanya sekian lama.

Apa yang berlaku SPRM melakukan siasatan kes-kes yang hanya melibatkan pemimpin Pakatan Rakyat terutamanya Selangor.

Tiada Laporan Kewangan Dalam Laporan Tahunan YBK

Kenyataan Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan, Datuk Zainal Abidin Sakom dalam akhbar tempatan hari ini bukan laporan kewangan tahunan.

Sambil membidas laporan itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata laporan untuk tontonan awam itu di dalam webnya hanyalah aktiviti tahunan pertubuhan itu.

Katanya lagi, sejak penubuhannya kerajaan negeri tidak pernah menerima sebarang laporan kewangan tahunan.

“Apa yang saya maksudkan bukan YBK ini tiada program dan projek, tapi yang saya katakan belum ada laporan kewangan perakaunan tahunan untuk YBK, itu yang paling penting.

"Untuk pengurusan terbaik mesti ada perakaunan bukan sahaja aktiviti” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor di Shah Alam hari ini.

Sehubungan itu, kerajaan negeri segera membuat kajian menyelesaikan kekusutan ini yang berlarutan sejak sekian lama penubuhannya selewat-lewatnya penghujung bulan ini.
“Kerajaan negeri tak payah minta. Kami akan buat beberapa kajian dari awal penubuhannya, apa aktiviti yang diberikan peruntukan oleh kerajaan negeri, dan berapa duit dari kerajaan negeri semua itu akan kita lakukan sebelum akhir bulan ini”, katanya -TVS


Tukar Kerajaan Untuk Pulihkan Ekonomi

Ramai pemimpin Pakatan Rakyat berpendapat keyakinan pelabur terhadap pengurusan kewangan negara di bawah Barisan Nasional (BN) akan terus merosot selagi gabungan itu kekal berkuasa dengan dasar-dasar perkauman dan amalan rasuah serta penyelewengan kuasa terus membelenggui kepimpinannya.

UBS Investment Reseach, sebuah unit di bawah kumpulan perbankan antarabangsa berpusat di Switzerland berkata tahap rezab antarabangsa negara merudum terus sebanyak 25 peratus pada 2009.

Dalam pada itu pelaburan asing langsung Malaysia terus dilanda kemerosotan bersih sejak 1997.

Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng (gambar) berkata keadaan itu berpunca daripada tindakan Umno-BN mempolitikkan seluruh institusi negara seperti Polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Suruhanjaya Pilihan Raya dan badan kehakiman.

"Saya amat sedih melihat keadaan ekonomi Malaysia kini. Negara komunis seperti China pun berjaya membangunkan ekonominya dengan pesat dengan dasar terbuka tetapi malangnya BN telah mempolitikkan keseluruhan ekonomi negara," kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN itu.

Malah Jui Meng menambah keadaan ekonomi negara diburukkan lagi apabila modal domestik juga turut dibawa ke luar negara.

"Kita sebenarnya mengalami "double whammy" (kejatuhan berganda) dan keadaan ini akan terus berlaku selagi BN tidak ditumbangkan dan digantikan oleh kerajaan Pakatan Rakyat yang telus, terbuka dan bertanggungjawab.

"Hanya dengan cara ini keyakinan pelabur dan rakyat akan kembali pulih," katanya.
Naib Presiden DAP, Tunku Aziz Ibrahim (gambar) turut menyokong pendapat Jui Meng sambil menambah cara BN menangani isu kalimah Allah sehingga menyebabkan beberapa gereja dibakar dan dirosakkan akan terus menghantui persepsi negatif golongan pelabur dan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia.

"BN telah memalukan Malaysia. Kerajaan gagal menangani persepsi serta pengaliran maklumat yang betul mengenai sesuatu isu sehingga kini rakyat tidak lagi mempercayai apa yang dikatakan oleh kerajaan," kata bekas presiden Transparency International Malaysia itu.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berpendapat keyakinan pelabur tidak akan pulih di bawah kerajaan BN.

"Laporan ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan tidak mempunyai dana yang mencukupi dan tidak mahu bersikap telus kepada rakyat berhubung kedudukan sebenar ekonomi negara.

Oleh sebab itu BN membuat pelbagai dasar baru yang membebankan rakyat kerana mereka amat tertekan," kata Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan itu.

Antaranya termasuk menaikkan harga gula dan roti putih, mengenakan cukai ke atas kad kredit, memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), serta kemungkinan menaikkan kadar tol dan tarif elektrik.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Md Akin pula berkata laporan UBS itu menguatkan hujah Pakatan Rakyat bahawa satu suruhanjaya perlu diwujudkan untuk menyiasat dakwaan penulis Barry Wain.

Wain dalam bukunya "Malaysian Maverick – Mahathir Mohamad in Turbulent Times" mendakwa negara mengalami kerugian atau ketirisan sebanyak RM100 bilion sepanjang pentadbiran mantan perdana menteri itu dan RM270 bilion semasa Abdullah Ahmad Badawi menerajui negara.

"Apakah wang sebanyak itu diambil daripada rezab negara sehingga ianya hampir kosong?
Tentunya kekhuatiran Pakatan Rakyat mengenai defisit belanjawan yang semakin melebar kini mempunyai asas yang amat kukuh," kata Shamsul Iskandar. -Dzukarnain Taib


RM32 bilion lesap: Buktikan Ku Li tidak benar
Oleh Ahmad Qayyum

TAIPING: Kerajaan Barisan Nasional (BN) digesa membuktikan dakwaan bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah bahawa Malaysia mengalami kerugian sebanyak RM32 bilion dalam urusan matawang asing dalam tempuh enam bulan lepas adalah tidak
benar.

Menurut Ahli Parlimen DAP – Taiping, Nga Kor Ming, (gambar) dalam wawancara bersama akhbar New Straits Times, Singapura, Tengku Razaleigh mendedahkan bahawa Bank Negara telah mengalami kerugian parah sebanyak RM32 bilion ekoran dari aktiviti spekulasi
matawang asing.

“Seandainya dakwaan tersebut benar, jumlah kerugian adalah lebih kurang sama dengan belanjawan 100 tahun Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan impaknya kepada pembangunan ekonomi negara amat besar,” katanya kepada pemberita ketika sidang media di Wisma DAP Perak, di sini pagi tadi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Remis berkata, “atas kemungkaran dan kegiatan rasuah yang serius, kini Malaysia terpaksa menanggung ledakan hutang negara mencecah RM363 billion.

“Ini bermakna setiap warganegara terpaksa menanggung hutang sebanyak RM13,446 seorang,” terang beliau.

Menurutnya, sehingga tahun 2009 negara mengalami defisit belanjawan 13 tahun berturut-turut dan jumlah defisit RM51.1 bilion adalah jumlah paling besar sejak tahun 1984.

Katanya, sekiranya dakwaan Tengku Razaleigh kepada media luar negara tidak dijelaskan, ia akan menjatuhkan imej negara dan menakutkan pelabur-pelabur asing, yang kini jumlahnya semakin merosot.

“Berdasarkan laporan The Financial Times yang bertapak di London dan kajian Bank UBS dari Switzerland menunjukkan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang mengalami penarikan pelaburan asing langsung yang paling serius di antara semua negara di benua Asia pada tahun 2009.”

“Dakwaan Tengku Razaleigh adalah satu lagi tamparan hebat kepada pentadbiran kerajaan BN dan merupakan petanda keruntuhan kuasa pemerintahan yang kian lemah,” tegasnya lagi.


Ulasan GB

Tahap rezab antarabangsa negara merudum terus sebanyak 25 peratus pada 2009 perlu dilihat sebagai satu masalah serius. Pengaliran dana keluar dari Malaysia nampaknya tidak terkawal.

Baru-baru ini Petronas mengumumkan penajaan pasukan Mercedes GP2 dan mengenepikan pasukan Lotus1 kereta Malaysia di atas alasan perniagaan. Mengutamakan keuntungan semata-mata tanpa ada tanggungjawab sosial dan kenegaraan. Bererti juga pengaliran keluar wang negara secar besar-besaran.

Tidak cukup dengan perembatan royalti minyak Terengganu dan Kelantan untuk pulihkan UMNO yang hampir pupus, Petronas, gergasi minyak negara bakal lingkup.

Lagi Cubaan Lengahkan Kes Qazaf Terhadap Saiful

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Kerajaan Persekutuan bertindak bersepadu dalam cubaan menghalang Mahkamah Tinggi Syariah daripada mendengar permohonan Anwar Ibrahim bersabit aduan qazaf yang dibuat terhadap Saiful Bukhari Azlan.

Mahkamah Tinggi itu bersidang mendengar permohonan Anwar untuk mendapatkan perintah mengarahkan JAWI membawa pertuduhan qazaf terhadap Saiful dan memastikan tidak ada lagi campurtangan politik daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Namun permohonan itu terpaksa di tunda kepada 17 Febuari selepas peguam-peguam JAWI dan Menteri berkenaan mempersoalkan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Mereka juga menuntut untuk mengetahui sama ada kes itu akan di dengar mengikut Akta Tata Cara Mahkamah Tinggi Syariah 1998.

Turut dipersoalkan ialah status seorang daripada peguam Anwar, Zulkifli Nordin.

Anwar membuat aduan kepada JAWI hampir 18 bulan lalu bahawa Saiful melakukan kesalahan qazaf kerana membuat dakwaan fitnah terhadapnya bersabit pertuduhan liwat.

Namun JAWI dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengenai hal ehwal Islam enggan melayan aduan Anwar itu.

Hakim Mohd Shukor Shabudin memberikan peguam-peguam yang mewakili Pengarah JAWI, Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom tempoh untuk menfailkan afidavit berhubung bantahan mereka.

Justeru permohonan Anwar untuk mendapatkan perintah mahkamah terbabit akan di dengar semula 17 Februari.

Anwar membuat aduan qazaf terhadap Saiful pada Januari 2009. Mantan Timbalan Perdana Menteri turut mengemukakan laporan tiga pakar Hospital Kuala Lumpur yang mendapati tidak ada bukti klinikal untuk menyokong aduan Saiful bahawa beliau diliwat.

Saiful membuat laporan polis terhadap Anwar beberapa hari selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Najib Razak pada Ogos 2008.

Najib dilaporkan pada mulanya menyangkal bertemu dengan Saiful tetapi kemudian mengakui berbuat demikian selepas ia didedahkan di media.

Laporan polis Saiful terus dijadikan senjata utama oleh Umno dalam usaha menundukkan Anwar pada pilihanraya kecil Permatang Pauh namun Anwar tetap menang dengan majoiriti besar dan diangkat menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen.

Penangguhan kes di Mahkamah Syariah hari ini dilihat sebagai usaha untuk melengahkan sistem keadilan Islam.

Tindakan mempersoalkan bidang kuasa Mahkamah Syariah oleh peguam JAWI dan Kerajaan Persekutuan dilihat sebagai cubaan memastikan perbicaraan tuduhan liwat terhadap Anwar dalam Mahkamah Sivil yang dijadualkan bermula 25 Januari ini tidak terjejas.

Menurut penganalisis politik, amat penting untuk memelihara kredibiliti Saiful dalam mahkamah sivil untuk tujuan mensabitkan Anwar atas tuduhan liwat itu di bawah undang-undang sivil.

Justeru pemerintah dilihat mempunyai keperluan mendesak untuk memastikan tuduhan qazaf terhadap Saiful ditangguhkan atau tidak diteruskan sama sekali. -TVS



Akhbar Jangan Manipulasi Fakta - Johari Abdul

Laporan media perlu telus, berfakta dan menjurus kepada akar umbi permasalahan supaya masyarakat tidak terkeliru atau terpengaruh dengan dakyah jahat.

Ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul berkata manipulasi dan penipuan maklumat mengundang lebih banyak permasalahan, bahkan menghakis kewibawaan pemerintah di mata masyarakat.

“Akhbar kena bertanggungjawab tidak kira arus perdana atau pun akhbar kecil sekali pun harus bertanggungjawab sebagai penyampai kepada rakyat perlu melaporkan menda yang betul. Jadi tak payah manipulasi berita. Kerana akhirnya maruah dan imej serta kredibiliti akhbar itu juga akan terjejas,” katanya.

Johari berkata demikian mengulas laporan Berita Harian yang mendakwa warta Katolik, The Herald, bersetuju untuk menarik balik tuntutan kalimah Allah.

Laporan akhbar pro-kerajaan itu bagaimanapun tidak tepat, dan disanggah oleh Reverend Lawrence Andrew sendiri yang terkejut dengan manipulasi sebegitu rupa.

Situasa ini seraya menguja persoalan apakah bentuk manipulasi, hasutan atau penipuan yang telah diwar-warkan media arus perdana sepanjang liputan polemik kalimah Allah.

“Walaupun mereka menjadi media pemerintah tetapi harus melaporkan benda yang benar,

Jadi kalau mereka melaporkan benda yang tidak benar, sudah pasti anggapan rakyat, kalau pun tidak berniat memanipulasikan tetapi yang pasti rakyat akan menganggap bahawa tentunya mereka ingin memanipulasikan isu ini," katanya. - FANSURINA ABDULLAH -TVS