8 Jan 2010

Najib Melenting, Zaid Mahu UMNO Bertanggungjawab Terhadap Serangan Gereja

Datuk Seri Najib Razak dengan sekeras-kerasnya menolak dakwaan bahawa Umno membakar perasaan tidak puas hati ekoran keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan akhbar mingguan Herald menggunakan perkataan "Allah", yang turut menyebabkan tiga gereja diserang sejak tengah malam tadi.

"Jangan menuding jari ke atas Umno ataupun mana-mana pihak.

"Kami sentiasa sangat bertanggungjawab, jangan kata serangan ini dihasut oleh Umno," kata Najib yang kelihatan tidak gembira apabila ditanya sama ada ahli-ahli politik khususnya dari Umno seharusnya dipersalahkan kerana mengapi-apikan situasi yang tegang sekarang.

Sebaliknya beliau marah wartawan ini yang mengajukan soalan sama ada Umno wajar diperslahkan dalam hal ini.

Ahli Majlis Kepimpinan PKR, Datuk Zaid Ibrahim mengutuk Umno dan menggesa kerajaan mengambil tanggungjawab penuh terhadap serangan-serangan gereja sejak tengah malam tadi.

“Ia harus mengambil tanggungjawab penuh atas situasi yang semakin buruk antara masyarakat berlainan agama di negara ini dalam mengendalikan isu Allah," kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang melawat gereja The Assumption di sini mengutuk serangan ke atas gereja dan menyifatkannya suatu sebagai tindakan pengecut.

"Saya menggesa polis memberikan perlindungan kepada semua gereja dan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap serangan ke atas gereja The Assumption," tambahnya.

Beliau berterima kasih kepada pihak berkuasa gereja yang memberikan jaminan mereka tidak akan bertindak balas terhadap serangan itu.

"Saya merayu kepada rakyat Selangor agar menahan diri daripada melakukan tindakan sedemikian, yang hanya mencetuskan lebih banyak masalah kepada semua orang," katanya.

Sementara itu Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata tindakan membakar gereja dalah satu perbuatan tidak bertanggungjawab dan bukan amalan orang Islam.

"Ia tidak sedikit pun mencerminkan sikap Islam yang sebenar terhadap penganut agama lain, sedangkan hak kebebasan beragama dijamin oleh Islam," katanya.

Beliau menegaskan, malah Allah amat melarang umat Islam bertindak terhadap mana-mana rumah ibadat penganut agama lain, sekalipun dalam peperangan sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran.

"Rasulullah juga mengingatkan sahabat yang menyertai peperangan supaya tidak membunuh mereka yang berlindung di rumah-rumah ibadat agama lain, sama sekali tidak bertindak membakarnya," katanya seperti dipetik dari Harakahdaily.

Begitu juga, katanya sewaktu pembukaan Makkah oleh tentera Islam yang dipimpin Rasulullah di mana penduduk yang berada di dalam rumah-rumah ibadat dijamin keselamatan mereka selain berlindung di rumah sendiri.

"PAS mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan menyerang gereja berkenaan," tegasnya.
Dalam kejadian awal pagi tadi, tingkat bawah gereja Metro Tabernacle musnah akibat serangan itu.

Yusof Qardhawi dan Wahbah Zuhaili Kata Nama Allah Dibolehkan Kepada Penganut Agama Samawi

Allah Untuk Semua
Oleh Dzulkefly Ahmad

Saya amat insaf isu penggunaan kalimah “Allah” oleh penganut Katolik Kristian di negara ini bakal menimbulkan pelbagai reaksi buruk seandainya penganut Islam dan penganut agama lain khususnya Kristian gagal mengawal emosi dan tidak faham isunya yang sebenar.

Perasan tersebut menghantui penulis, selaku ahli Lujnah Politik PAS Pusat ketika melangkah masuk ke dewan mesyuarat, Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut pada malam Isnin, 4 Januari. Silap haribulan, dalam PAS pun boleh berlaku kebrentakan.

Bermain di minda penulis adalah kesan impak dan senario, akan akibat keputusan yang bakal diambil. Berlatarbelakangkan demografi negara atau kependudukan dan pengundi yang bersifat ‘bercampur’ 60-40 atau “mixed”, kesan “senjata dua mata” atau “double-edged sword” ini tidak dapat dielakkan. Sementara ada yang suka dan menyokong, tentunya ada yang akan kecewa dan marah. Itu cabaran politik plural yang mesti didepani.

Namun, penulis berazam dan mahukan keputusan yang bakal dicapai adalah satu yang dirumuskan dengan segala pertanggungjawabannya. Ya, betul perhitungan politik yang bijak dan waras itu penting, tetapi dasar yang berpaksikan hujjah dan sandaran Al-Quran mesti jelas dan teguh dahulu.

Penulis benar-benar menarik nafas lega dengan keputusan. Keputusan lujnah telah pun diumumkan dan tentunya penulis tak boleh menceritakan apa yang yang berlaku di sebalik dewan tertutup itu untuk hampir tiga jam.

Berikut adalah penulisan secara separa ilmiah sebagai perkongsian untuk tatapan umum.

Kerana kekurangan ruang, isu ini wajar dilihat penulis dari 2 aspek penting.

Perspektif Al-Quran atau Hukum dan Perspektif Pentadbiran atau Perundangan dan kalau sisi pandang PAS apa yang dikatakan sebagai perkiraan Siasah Syariah atau Siasah dari kacamata Syariah atau tegasnya kesan baikburuk mengikut pandangan Syariah.

Isu ini timbul kerana pengharaman yang dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap penerbitan mingguan Herald Katolik yang menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya dalam Bahasa Malaysia. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membuat keputusan bahawa KDN salah dalam pengharaman itu berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.Saya cuba huraikan kemudian secara ringkas.

Untuk pengetahuan umum, penganut agama Kristian Katolik di Sabah dan Sarawak telah menggunakan kalimah “Allah” sejak 150 tahun lalu. Kalimah Allah juga digunakan oleh penganut-penganut Sikh Gurdwara. Dalam konteks negara timur tengah dan negara umat Islam lain, penggunaan nama “Allah” oleh penganut lain, tidak menimbulkan masalah sejak berzaman.

Persoalan penting yang ummat Islam di negara ini perlu faham ialah, Apakah Al-Quran mengizinkan kalimah Allah digunakan oleh penganut selain Ummat Islam? Dan apa pula pendirian ulama-ulama besar terkini atau kontemporari terhadap isu ini, khususnya dalam konteks Islam dalam dunia kini?

Jawapan ini penting dan dapat mengelakkan isu ini dipolitikkan bahkan diekspolitasi sehingga mengeruhkan suasana perhubungan baik antara-agama dan antara-budaya.

Para Ulama kerap merujuk kepada beberapa ayat di dalam Al-Quran yang menyebutkan bahawa Allah SWT sendiri mengiktiraf, bahawa orang-orang muskrik (yang menyembah berhala) pun mengakui bahawa Allah adalah Rabb atau Tuhan yang Mencipta atau Al-Khaliq. Bermakna mereka menerima Tuhan Yang Menjadikan Semesta Alam ini (Tauhid Rububiyah). Islam secara lengkapnya dalam bab Keimanan atau Aqidah Tauhid menerima Allah selaku Pencipta (Ar-Rububiyah) dan Pentadbir/Pemberi Hukum (Al-Uluhiyah).

Contohnya ayat dalam Surah Luqman ayat 25 : “Dan jika (Muhammad) tanyakan mereka siapa yang menjadikan langit dan bumi?”, Tentu mereka akan jawab “Allah”. Katakanlah “Segala Puji bagi Allah, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui”.

Tegasnya mereka mengiktiraf Allah tetapi hanya dari sifat “Rububiyah”(Pencipta) dan tidak selengkapnya termasuk Allah selaku Yang Mentadbir dan Memberi Hukum (Tauhid Al-Uluhiyah).

Saya merujuk kepada pandangan dua tokoh besar ulama terkini, Sheikh Yusuf Qardhawi, penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 1431H dan Sheikh Dr Wahbah Zuhaili Tokoh Maal Hijrah 1429H. Kedua-dua berpandangan bahawa penggunaan nama “Allah” adalah dibolehkan kepada penganut-penganut agama Nabi Allah Ibrahim yakni Islam, Kristian dan Judaism.

Kedua-dua berpandangan bahawa ia adalah baik untuk menjalinkan kesatuan dan perpaduan di peringkat “persaudaraan agama samawiyat”, paling tidaknya.

Mereka tidak mengambil sikap sempit macam sesetengah orang Islam di negara ini, bahawa Allah hanya untuk orang Islam secara eksklusif dan penganut lain tak boleh guna nama Allah atau semacam memaksa mereka cari Tuhan yang lain. Berapa banyak Tuhan yang ada? Bukankah Islam menganjurkan semua umat manusia mengiktiraf Tuhan itu Esa atau Satu.

Perhatikan ayat di seterusnya ini. Allah sebutkan dalam Al-Quran: “….kami beriman kepada Kitab-kitab yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu, Tuhan kami dan Tuhan kamu, satu dan hanya kepadanya kami berserah diri”…..Surah Al-Ankabut:46.

Bukankah lebih baik, mengikut logik akal waras, di samping hujah dari al-Quran dan kata Ulama tadi, supaya kita galakkan mereka juga menerima “Allah”, walaupun Tauhid dan Aqidah mereka tak sempurna macam kita.

Memanglah, itulah sebabnya mereka Kristian atau Yahudi atau selainnya. Kalau mereka percaya macam aqidah kita tentang Allah, jadilah mereka orang Islam, bukanlah lagi Kristian dan Yahudi. Namun bolehkah kita paksa Aqidah kita itu kepada mereka? Tentunya tidak. Tidak ada paksaan dalam Islam.

Setelah mengizinkan agama lain menggunakan nama “Allah”, maka yang lebih penting adalah supaya tidak menyalahgunakan nama “Allah” itu. Ini perlu diberikan peraturan dan keterangan seperti yang ditegaskan oleh keputusan PAS, supaya jangan ada yang menyalahgunakan perkatan Allah.

Hal ini juga dibangkitkan oleh bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri. Ini aspek pengurusannya atau Siyasah Syariahnya, supaya dijaga maslahahnya dan dijauhkan mafsadah atau kemudharatanya. Jelasnya begitu.

Sebenarnya, perkara itulah yang dimaksudkan dengan Perkara 11(4) dan 11(5) dalam Perlembagaan Persekutuan supaya di pihak berwajib menjaga pentadbiran kebebasan bergama supaya tidak timbul huru-hara dan ketidakstabilan dan dikekalkan keharmonian. Pada waktu yang sama agama lain tidak boleh berdakwah kepada orang Islam seperti terkandung Perkara 11 (4). Semuanya telah diperuntukkan. Ini wajib dijaga dan perlu juga peraturan. Adakan peraturan. Jangan haramkan penggunaan nama Allah, tak selesai masalah.

Sebab itu juga keputusan PAS menekankan supaya jangan ada pihak yang terlalu agresif dan melakukan provakasi sehingga mencetuskan huru-hara dan menjejaskan keharmonian antara agama dan konflik antara kaum-budaya. Itu saja. Mengapa sampai nak berperang? Mengapa sampai nak berdemonstrasi? Kata 1 Malaysia? Mengapa perlu menimbulkan kesangsian dan syak wasangka sehingga menjejaskan keharmonian antara agama? Siapa yang mempolitikkan isu ini?

Dari sekadar memperjuangkan isu penggunaan eksklusif nama “Allah” itu, adalah lebih penting untuk umat Islam memperjuangkan apa yang Allah perintahkan ke atas kita, yakni menganjurkan kebaikan dan melarang kemungkaran termasuk membenteras rasuah, salah guna kuasa, pembaziran, membasmi kemiskinan, keruntuhan moral dan akhlak serta kezaliman yang diinstitusikan.

Dengan mempertegaskan sikap dan pendirian yang jauh berbeza dengan Umno, PAS telah benar-benar membawa kesedaran rakyat dalam “Politik Baru” bahawa agama mampu menyatukan dan tidak memecahkan umat manusia. PAS mahukan supaya dianjurkan dialog dan diskusi bagi mengangkat dan mendalami lagi persefahaman antara agama dan budaya supaya “Politik LiTa’arafu” atau Politik Saling Mengenali-menghormati akan dapat dibudayakan.

Andainya PAS konsisten dan terus iltizam dengan kerangkan pemikiran (fikrah) ini, maka tajribah atau eksperimen ini jelasnya adalah satu pengalaman baru dalam “Political Islam” yang sekaligus akan meletakkan PAS dan gerakan Islam dipersada politik global bagi menyumbang kepada kebangunan semula tamaddun manusia yang berteraskan nilai moral serta integriti yang tinggi yang bersendikan tuntutan agama dan wahyu.

Gereja Di Desa Melawati Diletupkan

Sebuah gereja di Desa Melawati telah diletupkan pada tengah malam tadi seiringan dengan amaran polis kepada kumpulan masyarakat Islam supaya tidak mengadakan demonstrasi membantah Catholic Herald menggunakan kalimah “Allah” di dalam seksyen Bahasa Malaysianya.

Serangan ke atas Metro Tabernacle A/G, sebuah gereja di Jalan 4/4C Desa Melawati, telah memusnahkan pejabat pentadbiran di tingkat bawah. Tiada kecederaan dilaporkan akibat serangan tengah malam itu.

Polis masih cuba mengenalpasti penyerang berkenaan dan belum ada yang tampil bertanggunggungjawab terhadap insiden yang berkumngkinan boleh dikaitkan dengan kemarahan sesetengah pihak terhadap keputusan mahkamah pada 31 Disember lalu. Penghakiman berkenaan telah ditangguhkan perlaksanaannya denga rayuan di pihak kerajaan.

Menurut saksi yangbaru selesai minum kopi di kedai berdepanan dengan gereja berkenaan, tiga atau empat orang dengan dua motosikal telah berhenti di hadapan gereja itu.

"Mereka memecahkan panel kaca di tingkat bawah sebelum mencurahkan cecair pembakar dan kemudian membakarnya," menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak gereja.

Gereja itu ditempatkan di bagunan rumah-kedai tiga tingkat dengan menjadikan pejabat di tingkat bawah. Kakitangan gereja telah membuat laporan polis terhadap kejadian berkenaan.

Sebelum itu, lamanweb kehakiman telah diceroboh dan kemudian tidak boleh diakses.

Gereja Metro Tabernacle tidak ada hubungan dengan Gereja Katolik Roman yang telah mencabar penghakiman 2007 untuk menghentikan penggunaan kalimat “Allah” bagi menampilkan Tuhan Kristian di dalam majalah Herald.

Majalah Herald diedarkan secara ketat di dalam negara ini kepada anggaran 850,000 Katolik yang melakukan ibadat mereka di dalam bahasa Inggeris, Mandarin, Tamil dan Bahasa Malaysia.

Gereja Katholik Roman telah bersetuju untuk tidak membantah penangguhan penghakiman untuk tujuan "keselamatan negara" kerana terdapat bantahan dari kalangan umat Islam terhadap keputusan mahkamah tinggi dan mengugut untuk berdemo.

Kumpulan itu telah dikatakan akan menganjurkan demo selepas solat Jumaat di Kuala Lumpur hari ini sekalipun pihak polis telah mengeluarkan amaran supaya tidak berdemo.

Perdana Menter Datuk Seri Najib Razak dan sepupunya Menteri Dalam Negeri Datuk Hishamuddin Hussein telah mempertahankan hak para pendemo untuk berdemo di kawasan masjid.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Mohamad Sabtu Osman berkata terlalu awal untuk mengkaitkan serangan ke atas gereja itu dengan protest terhadap kalimah Allah.

"Kami masih menyiasat," katanya kepada Associated Press. Beliau juga meminta umat Islam Muslims tidak menyertai demo yang dirancangkan, dan menambah bahawa polis akan di hantar ke masjid-masjid untuk memantau keadaan.

Polis menghadkan perkumpulan tidak melebihi lima orang dan lazimnya akan mengambil tindakan, termasuk menggunakan gas pemedih mata dan air berasid untuk menyuraikan penunjuk perasaan.

Ulasan GB

Jika benar ia dilakukan oleh umat Islam, ia sesuatu yang amat mengecewakan hasil dari tindakan emosional serta tidak bertanggungjawab.

Ia berlaku apabila kejahilan menguasai diri dan mereka yang mengapi-apikan sentimen perkauman dan juga keagamaan di dalam isu kalimat Allah perlu merenung terhadap implikasi buruk yang menimpa agama Islam dan umatnya ekoran kejadian itu.

Isu Kalimah Allah : DPPP Sedia Berdialog Dengan Ketua Paderi

Dewan Pemuda Pas Pusat sedia berdialog dan berbincang dengan ketua paderi roman katolik Kuala Lumpur sebagai usaha menjelaskan isu sebenar berhubung penggunaan kalimah Allah dalam akhbar The Herald.

Ketuanya, Nasrudin Hassan at-Tantawi berkata, penjelasan dan perbincangan adalah penting sebagai memperbaiki segala salah faham yang berlaku pada hari ini.

Menurutnya, peranan dan tanggungjawab Dewan Pemuda Pas untuk menjelaskan kedudukan isu adalah penting supaya keadaan tidak bertambah buruk.

“Itu memang sikap kitalah. Kita akan memberikan penjelasan dan kita akan berikan hujah bagi melihat kedudukan sebenar isu ini dan kita akan melihat apa sebenarnya tindakan mereka, apa sebenarnya tujuan mereka, apa maksud mereka, apa motif mereka,” katanya.

Nasrudin berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas tentang pertemuannya bersama Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, tidak lama lagi.

Menurutnya, dalam perbincangan itu nanti Dewan Pemuda Pas akan menyatakan sikap umat Islam serta prinsip-prinsip Islam terhadap isu ini.

Walau bagaimanapun, tarikh serta tempat pertemuan itu masih belum ditetapkan dan bergantung kepada kelapangan pihak paderi terlibat.

“Itu kita belum putuskan lagi dan kita cadang akan adakan buat di pejabat Tan Sri Murphy sendiri. Kita dah hantar surat dan masih menunggu respon daripada pihak mereka. Kita juga masih belum menetapkan tarikh dan terbuka kepada pihak mereka pada bila-bila masa sahaja," katanya. - FANSURINA ABDULLAH (TVS)



Koroner Perintah Laporan Polis Diserahkan Ke Mahkamah

Koroner Azmil Muntapha Abbas memerintahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyerahkan salinan laporan polis yang difailkan pegawai SPRM Raub Ghani kepada semua panel peguam yang terlibat dalam Inkues Kematian Setiausaha Exco Teoh Beng Hock.

SPRM diarahkan berbuat demikian esok selepas peguam mewakili keluarga mangsa Karpal Singh memohon untuk meneliti laporan tersebut dan mengambil tindakan susulan.

Pihak keluarga sebelum ini menyelar tindakan SPRM memfailkan laporan polis itu, yang didakwa cuba mengugut Pakar Patologis Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand.

Dr Pornthip yang dilantik oleh kerajaan negeri Selangor menemui kesan-kesan yang menunjukkan mangsa mungkin telah dibunuh, sebelum mayatnya ditemui terdampar di bumbung tingkat 5 bangunan Plaza Masalam.

Sehubungan itu, Koroner Azmil Muntapha Abas menetapkan 15 Januari ini bagi mendengar permohonan keluarga mangsa yang mahu pegawai SPRM terbabit dikenakan tindakan kerana menghina mahkamah.

Keputusan ini dibuat selepas mahkamah yakin bahawa tindakan pegawai SPRM ini boleh menjejaskan penyiasat inkues keatas punca kematian mangsa.

“Hari ini kami bangkitkan sama ada ia perlu diselesaikan dahulu dan mahkamah setuju dengan kami bahawa permohonan menghina mahkamah sangat serius kerana ia mengganggu prosedur inkues. Saya setuju dengan pandangan keluarag Beng Hock bahawa laporan polis SPRM adalah perangkap dan cubaan menakutkan,”katanya peguam mewakili Kerajaan Selangor, Malik Imtiaz Sarwar.

Peguam Gobind Singh Deo berkata pihak keluarga kesal dengan apa yang disifatkan satu perangkap oleh SPRM. Lantaran itu pihaknya mengalu-alukan perintah mahkamah menangguhkan tarikh memanggil Dr Pornthip sebagai saksi sehingga isu ugutan ini selesai.

“Dr Pornthip mungkin boleh ditahan, ditangkap jika ke sini kecuali jika Peguam Negera dapat memberi jaminan. Sebab itu adalah penting untuk menetapkan tarikh untuk mendengar permohonan dakwaan menghina mahkamah terlebih dahulu dan bukannya menetapkan tarikh memanggil saksi. Ia lebih serius,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Karpal Singh dan Timbalan Pendakwaraya SPRM Datuk Abdul Razak Musa bertikam lidah mendebatkan dalang laporan polis ini.

Raub mendakwa beliau telah diarah untuk memfailkan laporan polis terhadap Dr Pornthip selepas akhbar Parti Keadilan Rakyat, Suara Keadilan, menyiarkan rencana kematian Teoh 29 Disember lalu.

SPRM bagaimanapun menyangkal pengakuan itu dan mendakwa Raub berbuat demikian atas kapasiti peribadi.

“Saya tidak mempunyai salinan laporan itu. Saya perlu mendapatkannya daripada pegawai terlibat kerana ia merupakan laporan yang dibuat oleh individu. Ia sesuatu yang bersifat peribadi,”katanya Timbalan Pendakwaraya SPR, Abdul Razak Musa.

Hujah Razak bagaimanapun disanggah keras oleh peguam mewakili kerajaan Selangor, Malik Imtiaz Sarwar, dan keluarga mangsa.

“Dalam laporan polis itu tercatit bahawa laporan yang dibuat mewakili SPRM dan ia tidak menyatakan laporan itu dibuat oleh individu. Difahamkan laporan itu juga dibuat atas arahan Ketua SPRM,’”katanya.

Sementara itu Karpal di luar mahkamah berkata, pihaknya akan membuat laporan polis terhadap Raub kerana tindakan cuba menakutkan saksi iaitu pakar patologi Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand.

“Saya terkejut Timbalan Pendakwaraya SPRM dalam mahkamah mengatakan bahawa laporan polis yang dibuat oleh Raub Gani dan satu lagi laporan tyerhadap Suara Keadilan dibuat atas kapasiti individu pegawai SPRM.

“Selepas mendapat salinan laporan itu, sesorang perlu membuat laporan polis terhadap Raub Gani dan tindakan akan dibuat terhadap dia. Bukan hanya menghina mahkamah tetapi kita akan dakwa di bawah Seksyen 5 Akta Melarikan Orang dan Menakutkan Saksi Secara Jenayah 1947,”katanya Karpal Singh. -TVS



Qazaf: Mahkamah Syariah Dengar Permohonan Anwar 13 Januari

Mahkamah Syariah menetapkan Rabu depan untuk mendengar permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi mengarahkan pihak berkuasa Islam Wilayah Persekutuan memulakan pertuduhan Qazaf terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Permohonan itu dibuat setelah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutan gagal mengambil tindakan wajar ke atas aduan Qazaf terhadap Saiful yang difailkan hampir 18 bulan lalu.

Anwar telah menfailkan aduan Qazaf itu setelah Saiful membuat pertuduhan liwat terhadap beliau walaupun laporan tiga pakar Hospital Kuala Lumpur mendapati tidak ada bukti forensik menunjukkan Saiful diliwat.

Hari ini, Anwar meminta Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur untuk mengarahkan Ketua Pendakwa Syarie JAWI dan pengarahnya serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom meneruskan pertuduhan Qazaf terhadap Mohd Saiful.

Anwar berkata pertuduhan liwatnya di Mahkamah Sivil telah dibiar berterusan dengan pelbagai kekangan yang beliau percaya berpunca daripada campur tangan politik.




Qazaf: Anwar Bidas UMNO Cuba Kekang Keadilan Islam

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas pimpinan Umno yang cuba menafikan keperluan pihak berkuasa Islam untuk bertindak ke atas aduan Qazafnya terhadap Saiful Bukhari Azlan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mej Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom memberitahu Parlimen sebelum ini, siasatan Qazaf terhadap Saiful terikat kepada perbicaraan Anwar atas tuduhan liwat di Mahkamah Sivil.

“Saya terkejut dengan kenyataan Menteri yang membuat kenyataan politik di parlimen pada 27 Oktober bahawa keputusan pendakwa qazaf itu hendaklah menunggu perbicaraan liwat di Mahkamah Tinggi Sivil,” Anwar memberitahu pemberita di perkarangan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur".

“Sejak bila Mahkamah Syariah harus tunduk di bawah Mahkamah Sivil?,” kata Anwar. Kes ini berbeda dengan kesalahan jenayah liwat lain. Ini bersabit kes qazaf.” tambah beliau.

Mahkamah Syariah hari ini menetapkan Rabu depan untuk mendengar permohonan Anwar untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi mengarahkan pihak berkuasa Islam Wilayah Persekutuan memulakan pertuduhan Qazaf terhadap Mohd Saiful.

Permohonan itu dibuat setelah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutan gagal mengambil tindakan wajar ke atas aduan Qazaf terhadap Saiful yang difailkan 18 bulan lalu.

Anwar menfailkan aduan Qazaf itu setelah Saiful membuat pertuduhan liwat terhadap beliau walaupun laporan tiga pakar Hospital Kuala Lumpur mendapati tidak ada bukti forensik menunjukkan Saiful diliwat.

Anwar meminta Mahkamah Tinggi Syariah untuk mengarahkan Ketua Pendakwa Syarie Kuala Lumpur, Pengarah JAWI dan Datuk Jamil meneruskan pertuduhan Qazaf terhadap Mohd Saiful.

Anwar berkata pertuduhan liwatnya di Mahkamah Sivil telah dibiarkan berterusan dengan pelbagai kekangan yang beliau percaya berpunca daripada campur tangan politik. -TVS



Kerajaan, KDN Politikkan Isu Kalimah Allah

Pakatan Rakyat membidas tindakan kerajaan Umno-BN dan Kementerian Dalam Negeri mempolitikkan isu penggunaan kalimah Allah untuk semata-mata meraih sokongan orang Melayu.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan Umno-BN seharusnya bertindak mengadakan dialog dengan semua pihak berkepentingan dan tidak membiarkan isu itu melarat hingga ke peringkat mahkamah.

“Dan kini, setelah mahkamah membuat keputusan... Kementerian Dalam Negeri pula menyokong tunjuk perasaan oleh pelbagai pihak pada ketika emosi agama orang ramai melayang pada tahap yang begitu tinggi,” kata Anwar.

“KDN jelas bersifat pilih bulu untuk membenarkan tunjuk perasaan tertentu dan memukul penujuk perasaan lain pada perhimpunan yang tidak digemarinya,’ tambah Anwar.

Anwar berkata daripada memberi sokongan terbuka kepada protes dan tunjuk perasaan esok, kerajaan Umno-BN seharusnya menganjurkan dialog antara kumpulan berkepentingan bagi memastikan kepentingan Islam dan agama lain dipertahankan.

Beliau berkata dialog sedemikian akan memastikan penyelesaian yang rasional dan bersandarkan penelitian mendalam yang boleh diterima oleh semua pihak.

“Saya percaya kepada kebebasan bersuara tetapi KDN harus bersikap adil dan tidak memilih untuk menyokong kebebasan itu hanya dalam kes-kes tertentu,” tambah Anwar. -TVS



7 Jan 2010

240 Ribu Belum Berdaftar Sebagai Pengundi Di Kelantan?

Lebih 240,000 rakyat Kelantan yang layak mengundi belum mendaftar sebagai pemilih sekalipun pelbagai langkah telah diambil oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar mereka berbuat demikian.

Pengarah SPR Negeri Ab. Rahim Md Salleh berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada 1.4 juta penduduk Kelantan yang telah melewati usia 21 tahun dan layak mengundi.

"Jumlah itu boleh dikatakan agak tinggi berbanding negeri-negeri lain. Entah di mana silapnya, pelbagai cara telah dilakukan termasuk melantik agen dari wakil parti politik," katanya kepada Bernama di sini hari Khamis.

Beliau berkata keadaan itu mungkin berpunca daripada sikap sambil lewa rakyat selain suka mendaftar pada saat-saat akhir ketika pilihan raya semakin dekat.

Bagi menggalakkan golongan itu mendaftar, Ab. Rahim berkata pihaknya kini membuka kaunter bergerak di pasar raya seluruh Kelantan.

"Pembukaan kaunter itu lebih menyenangkan kerana orang ramai tidak lagi perlu pergi ke pejabat pos atau pejabat tanah jajahan semata-mata untuk mendaftar sebaliknya sebelum atau selepas membeli belah, mereka boleh mendaftar di kaunter yang dibuka," katanya. -Bernama

Ulasan GB

GB tertanya-tanya apakah ada agenda SPR mengumumkan jumlah mereka yang belum mengundi sebegitu ramai, 240,000 orang?

Jika kita masih ingat, jumlah pengundi begitu ramai di Terengganu dimana di dalam PRU yang lalu, jumlah pengundi keseluruhannya di negeri itu mencecah kira-kira 516,000 orang daripada jumlah satu juta keseluruhan penduduk negeri itu.

Apakah modus operandi yang serupa akan dilakukan di kelantan sebagai usaha untuk merampas Kelantan dari PAS?

Hubaya-hubaya Kelantan.


Perhimpunan: Najib Kata OK, Musa Hassan Kata Jangan

Kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak semakin celaru mengenai isu kalimah Allah.

Untuk mendapatkan sokongn orang Melayu terhadap partinya, Najib dilaporkan berkata, Kerajaan tidak akan menghalang orang ramai yang ingin mengadakan perhimpunan di masjid-masjid selepas solat Jumaat esok bagi membantah mingguan Katholik menggunakan nama 'Allah'.

Datuk Seri Mohd Najib Razak diminta mengulas sama ada kerajaan mengamalkan sikap berbeza terhadap kumpulan tertentu yang menganjurkan demonstrasi.

Bantahan terhadap penggunaan kalimah 'Allah' dalam Herald The Catholic Weekly terus marak walaupun Najib sebelumnya menyeru semua pihak bertenang.


Najib berkata semua pihak perlu menyerahkan kepada Mahkamah Tinggi bagi menyelesaikan isu semasa.

“Kita perlu mengambil sikap bahawa perkara ini perlu diselesaikan melalui mahkamah secara baik.. kita sepatutnya tidak menaikkan tahap ketegangan di negara ini.

“Tapi walau apapun, pihak berkuasa sentiasa bersedia dan saya berharap jika ada orang yang mahu menunjuk perasaan, ia tidak akan merebak sehingga menjadi sesuatu yang amat serius... moga-moga ia hanya tunjuk perasaan yang minimum,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan memberi amaran kepada mana-mana pihak yang berhasrat untuk berhimpun bagi membantah isu penggunaan kalimah Allah esok agar membatalkannya sebelum tindakan tegas diambil.

Beliau yang memantau secara serius perkara itu berkata polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengeruh dan menjejaskan keselamatan negara.

“Jangan buat sesuatu tindakan yang boleh mengusutkan keadaan, kita perlu bertenang kerana ia melibatkan isu agama yang menjadi isu sensitif,” kata beliau selepas merasmikan Seminar Pengurusan Inovasi dan Kualiti PDRM di sini hari ini.

Beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang dijangka berhimpun secara aman bagi membantah penggunaan kalimah Allah oleh Herald Catholic di beberapa masjid di ibu negara selepas solat Jumaat, esok.

Beliau berkata polis tidak mengeluarkan permit kepada mana-mana permohonanuntuk berhimpun meskipun ia adalah perhimpunan secara aman.

Beliau berkata semua pihak perlu bertenang dan memberi ruang kepada mahkamah untuk menyelesaikan isu itu dan jangan membuat kenyataan yang boleh menaikkan semangat serta kemarahan orang ramai.

Semalam Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Lau Bee Lan menangguhkan pelaksanaan perintah yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan itu setelah Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang mewakili Menteri Dalam Negeri dan peguam mewakili Gereja Katolik, Derek Fernandes mencapai kata sepakat supaya perintah itu ditangguh sementara menunggu rayuan.

Laporan sebelum ini menyebut selain Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) merancang mengadakan bantahan di seluruh negara esok Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) juga akan menganjurkan bantahan yang sama.

Bantahan yang dinamakan 'Satu hati mempertahankan kesucian Islam' diadakan selepas solat di Masjid Negara.

Selain itu, dua NGO Islam berpengaruh Angkatan Belia Islam Malaysia dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia akan berhimpun di masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur pada waktu yang sama.

Kes Anwar : Hakim Setuju Kes Dialankan Tergesa-gesa

Mahkamah Persekutuan Putrajaya akan menetapkan tarikh lain bagi memberi ruang kepada Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memfailkan petisyen rayuan dalam usaha mendapatkan dokumen penting dan sampel DNA dalam kes pertuduhan liwat.

Hakim Arifin Zakaria, Md Raus Sharif dan Abdul Hamid Embong bersetuju dengan hujah peguam bela Anwar bahawa kes itu tidak patut dijalankan dengan terlalu cepat dan akan menetapkan tarikh perbicaraan rayuan itu kemudian. Karpal Singh yang mewakili Anwar dalam hujahnya berkata pihaknya baru sahaja menerima rekod rayuan pada 30 Disember lalu dan mustahil bagi mereka memfailkan petisyen rayuan pada tarikh yang ditetapkan kerana ia jatuh pada hari cuti.

Malah beliau membantah kerana Anwar hanya diberi masa 10 hari dari tarikh 30 Disember itu sedangkan ia sekurang-kurangnya sebulan untuk memfailkan petisyen rayuan tersebut.

Menurut beliau, adalah penting untuk mengikut prosedur perundangan sedia ada kerana kelak akan memberi implikasi ke atas kes-kes jenayah pada masa depan.

Karpal berkata, “saya fikir mereka terlalu tergesa-gesa disebabkan perbicaraan kes tuduhan liwat itu bakal berlangsung 25 Januari ini, namun tidak sepatutnya mereka menggunapakai dalam kes ini.

“Ini kerana jelas dalam Seksyen 51 (a) Kanun Prosedur Jenayah perayu (Anwar) berhak mendapatkan dokumen bagi pembelaannya,” katanya.

Menurutnya lagi pihak pembelaan akan memfailkan petisyen rayuan itu pada 11 Januari nanti.

Anwar, yang dituduh meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari, 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun tahun lepas, berusaha mendapatkan dokumen penting dan mustahak bagi pembelaannya.

Namun sehingga kini dihalang dari mendapatkan dokumen serta memeriksa laporan perubatan, rakaman video litar dan sampel DNA akibat keputusan Mahkamah Rayuan yang menyebelahi rayuan pihak pendakwaan.

Anwar menuntut spesimen rakaman CCTV, laporan perubatan daripada Hospital Pusrawi, Hospital Kuala Lumpur, nota pakar kimia, senarai pendakwaan, kenyataan pemilik kondominium Hassanuddin Abdul Hamid dan sampel DNA Saiful.

Dalam pada itu perbicaraan kes ‘Sodomy Trial II’ ditetapkan selama sebulan bermula 25 Januari hingga 25 Februari dengan pihak pendakwaan akan memanggil saksi memberi keterangan.

SEMENTARA ITU, di dalam perkembangan yang berasingan Mahkamah Syariah menetapkan Rabu depan untuk mendengar permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi mengarahkan pihak berkuasa Islam Wilayah Persekutuan memulakan pertuduhan Qazaf terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Permohonan itu dibuat setelah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutan gagal mengambil tindakan wajar ke atas aduan Qazaf terhadap Saiful yang difailkan hampir 18 bulan lalu.

Anwar telah menfailkan aduan Qazaf itu setelah Saiful membuat pertuduhan liwat terhadap beliau walaupun laporan tiga pakar Hospital Kuala Lumpur mendapati tidak ada bukti forensik menunjukkan Saiful diliwat.

Hari ini, Anwar meminta Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur untuk mengarahkan Ketua Pendakwa Syarie JAWI dan pengarahnya serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom meneruskan pertuduhan Qazaf terhadap Mohd Saiful.

Anwar berkata pertuduhan liwatnya di Mahkamah Sivil telah dibiar berterusan dengan pelbagai kekangan yang beliau percaya berpunca daripada campur tangan politik.

Keadaan Nizar Stabil

Menteri Besar Perak Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, dilaporkan dalam keadaan stabil selepas kereta dipandu beliau terbalik dalam kemalangan jalan raya di Ipoh,Perak awal pagi ini.

Kejadian berlaku di Jalan Raja Dr. Nazrin Shah ketika Ahli Parlimen Bukit Gantang itu dalam perjalanan berjumpa doktor untuk pemeriksaan bulanan.

Pegawai Khas kepada menteri besar Perak itu, Amran Harun berkata Nizar mengalami kecederaan pada siku kanan dan dimasukkan ke Hospital Ipoh sebagai langkah berjaga-jaga dan untuk membolehkan beliau berehat.

"Datuk Seri cuba mengelak sebuah kereta yang keluar daripada persimpangan di Jalan Raja Dr Nazrin Shah. Beliau terbabas melanggar bahu jalan," kata Amran.

"Kereta Datuk Seri remuk, tapi Alhamdulillah beliau hanya mengalami luka di siku kanan," tambah beliau.

"Doktor nasihatkan Datuk Seri berehat sebab beliau sangat aktif berkerja sebagai ADUN dan Ahli Parlimen," tambahnya lagi. -TVS

(kredit imej : anaz of perakexpress.com)




Inkues Beng Hock : SPRM Diarah Serah Laporan Polis

Koroner Mahkamah Majistret Shah Alam, Azmil Muntapha Abbas mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kemukakan salinan laporan polis yang dibuat terhadap Dr Pornthip Rojanasunand esok.

Bagaimanapun peguam mewakili keluarga mangsa Teoh, Gobind Singh Doe mendesak kes perbicaraan terhadap pegawai SPRM yang didakwa menghina mahkamah dilakukan sebelum inkues dimulakan.

Peguam keluarga Teoh juga menegaskan peguam negara perlu memberi jaminan Dr Pornthip tidak akan ditahan sekiranya hadir sebagai saksi untuk membentangkan hasil laporan bedah siasatnya.

"Kemungkinan Dr Pornthip boleh ditahan, ditangkap jika datang kesini. Kecuali peguam negara boleh beri jaminan," kata Gobind Singh Deo.

Inkues ditangguh 15 Januari ini. -TVS



Koroner: Pegawai SPRM hina mahkamah
Malaysiakini

Mahkamah Koroner Shah Alam, yang mendengar inkues punca kematian Teoh Beng Hock, mengarahkan seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikenakan tindakan menghina mahkamah.

Koroner Azmil Muntapha Abas memerintahkan prosiding tersebut terhadap pegawai SPRM Cawangan Siasatan Putrajaya, Raub Ghani, didengar pada 15 Januari ini.

Pada 1 Januari lalu, pegawai itu membuat aduan polis agar pakar patologi dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand, disiasat kerana disyaki membocorkan maklumat laporan bedah siasat kedua, 22 November lalu, kepada pihak tidak sewajarnya.

Demo 100K, Ada Ahli PAS Yang Serba Salah

Kerajaan tidak menghalang rakyat untuk menyuarakan pendapat mereka berhubung penggunaan kalimah "Allah" oleh majalah mingguan Katolik, Herald, dengan syarat ia tidak menjejaskan keselamatan negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kementerian juga akan melakukan pemantauan terhadap laman-laman blog berhubung perkara itu dan akan mengambil tindakan jika ia mengancam keselamatan negara.

"Jika menjejaskan keselamatan, itu memang tugas kita untuk memastikan bahawa tindakan mereka itu akan diadili, atau ambil tindakan sebelum ia berlarutan dan wujud insiden yang tidak diingini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet peringkat kementerian di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rancangan beberapa pertubuhan untuk mengadakan demonstrasi Jumaat ini bagi membantah penggunaan kalimah Allah bagi agama lain.

Ditanya sama ada kementerian akan membenarkan demonstrasi sedemikian diadakan, beliau berkata: "Buat masa ini, dalam keadaan seperti ini, jika tidak dibenarkan, ia akan mewujudkan emosi dan jika dibenarkan, emosi itu akan sampai ke tahap yang tidak dapat dikawal, ini akan menjejaskan keselamatan negara," katanya.

Ditanya sama ada demonstrasi yang akan diadakan Jumaat ini akan dihalang oleh kementerian, beliau berkata: "Kita tengoklah, ada permohonan atau tidak. Di kementerian ini, kami tidak berdasarkan kepada kemungkinan dari segi demonstrasi dan sebagainya. Mereka perlu memohon permit.

"Kami mempunyai kaedah untuk memantau apa yang dirancang tetapi pokok pangkalnya adalah soal keselamatan," katanya.

Hishammuddin turut meminta semua pihak agar bertenang bagi membolehkan proses mahkamah berjalan seperti yang diharapkan berikutan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan penangguhan perintah yang dikeluarkan sebelum ini.

"Perkara ini sedang dibicarakan di mahkamah. Saya harap semua pihak agar tidak menggembar-gemburkan perkara ini lebih daripada apa yang sepatutnya," katanya.

Beliau berkata menjadi tugas kementerian untuk memastikan negara dan rakyat selamat dan mengenai isu sensitif dan beremosi, pihak berkuasa juga perlu bijak dan sabar dalam usaha menangani perkara itu.

"Isu berhubung agama dan kaum, sentiasa menjadi perkara yang sensitif yang boleh mengancam dan menidakkan keharmonian negara. Dalam hal ini, hanya pemimpin yang bijaksana, tidak ada kepentingan peribadi, politik atau kaum sahaja yang boleh membuat keputusan yang tepat.

"Ini satu perkara semua pemimpin kita tidak kira pembangkang atau kerajaan daripada merdeka lagi, memahami. Jangan main-main isu agama ini," katanya.

Ulasan GB

Sikap Menteri KDN yang secara terbukan membenarkan demo berhubung penggunaan kalimah "Allah" oleh majalah mingguan Katolik, Herald menampakkan bahawa UMNO memang suka sesuatu isu yang boleh menimbulkan provokasi antara kaum apabila ianya nanti boleh memberikan keuntungan politik kepada UMNO sndiri.

Kalau boleh disuruh diramaikan lagi mereka yang ingin menyertai demo itu.

Kalau sesuatu yang dianjurkan pembangkang sekecil amana sekalipun bilangannya jika UMNO merasa ia tak dapat apa-apa menafaat dariny, ia akan segera dikategorikan "perhimpunan haram" dan sekatan jalanraya bermula 2-3 hari sebelum perhimpunan itu diadakan untuk menunjukkan berlaku kesesakan, berlaku ketidak-teraman awam.

Kini, KDN memberikan lampu hijaunya. Maka mungkin ada juga mereka dari ahli PAS yang tak setuju dengan pendirian PAS Pusat tempohari yang mengikut, prinsip asas Islam sebenar, penggunaan kalimah Allah itu dibenarkan, menyertai perhimpunan berkenaan.

Diantara pemimpin-pemimpin dan ahli PAS yang patut hadir ialah :

* yang mengkufurkan mereka yang tidak membantah penggunaan kalimah Allah tersebut,
* yang masih tegar menghalang menggunakan kalimah Allah tersebut sekalipun tindakannya itu membelakangkan pendirian parti
* yang tak reti bahasa yang masih bermain kata-kata menjulang kejahilan serta tidak merujuk kepada "prinsip asas sebenar di dalam Islam" terhadap masalah berkenaan
* yang sememang hatinya UMNO, cuma berbaju PAS/PR.


Untuk memudahkan urusan, mereka berkenaan boleh hubungi terus Menteri KDN, dan saya yakin anda akan diberikan prioriti untuk berada di barisan hadapan, dengan bantuan iringan pihak keselamatan.

Berkata benar sekalipun pahit!

6 Jan 2010

Perlukah Presiden Membuat Kenyataan Balas?

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kenyataan medianya berkaitan isu penggunaan nama 'Allah' baru-baru ini tidak merujuk kepada penghakiman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi terhadap kes penggunaan kalimat 'Allah’ untuk penerbitan Herald.

Apa yang dimaksudkan oleh beliau adalah "prinsip asas yang digunakan oleh Islam dalam menentukan kaedah penggunaan kalimat ”Allah” itu secara sebenar."

Beliau membuat penjelasan ini ekoran laporan akhbar The Star yang melaporkan seolah-olah beliau menyokong keputusan mahkamah tinggi itu.

Berikut adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Politik beliau, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Penjelaskan artikel berita akhbar The Star 6 Januari 2010

Satu artikel berita yang bertajuk “Word Allah not restricted only to Muslims, says Hadi” sebagaimana yang diterbitkan oleh akhbar The Star, muka N12 bertarikh 6 Januari 2010 adalah dirujuk.

Dalam para keempat ianya ditulis sebagai : “In supporting the High Court’s decision that allowed the weekly Herald to use the word 'Allah', he said the principle of freedom of religion was championed by Islam because human beings could not be forced to profess any religion except through their own freewill”.

Ingin dijelaskan disini bahawa kenyataan akhbar yang dikeluarkan secara rasmi oleh Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS) pada 4 Januari 2010 itu tidak merujuk kepada penghakiman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi terhadap kes penggunaan kalimat ‛Allah’ untuk penerbitan Herald. PAS hanya menjelaskan prinsip asas yang digunakan oleh Islam dalam menentukan kaedah penggunaan kalimat ”Allah” itu secara sebenar.

Oleh yang demikian, maksud yang difahami dari para keempat terutamanya merujuk kepada ayat ”In supporting the High Court’s decision..” yang ditulis itu adalah tidak tepat sama sekali.


Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Setiusaha Politik Presiden PAS
6 Januari 2010

Ulasan GB

Kenyataan media yang dikeluarkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini terang dan jelas, dan adalah benar "prinsip asas yang digunakan oleh Islam dalam menentukan kaedah penggunaan kalimat ”Allah” itu secara sebenar."

Tiada ada keraguan mengenai hal itu. Bererti sebarang hal yang lain darinya yang menentang penggunaan kalimah Allah tidak didasarkan kepada prinsip asas agama Islam.

Tidak ada sebarang nas yang boleh diketengahkan untuk menghalang penggunaannya dan wajar untuk sekalian ahli PAS khususnya dan masyarakat Islam amnya menerima ketetapan yang telah diambil oleh Parti.

Soal media-media membuat ulasan dengan mengkaitkan kenyataan tersebut dengan keputusan mahkamah adalah implikasi dari pendirian yang telah diambil yang "mengikut prinsip asas di dalam Islam" tersebut.

Samada kenyataan sebelum ini menyokong atau pun tidak keputusan mahkamah, bukan soalnya dan ia, sepertimana GB katakan, adalah soal implikasi dari kenyataan tersebut dan apa pun persamaan jika ada dengan keputusan itu adalah kerana faktor kebetulan.

Dan ia tidak pula dapat dipersalahkan kepada wartawan walau apa tujuan mereka sekalipun asalkan ia tidak memesongkan atau mengubah mana-mana bahagian "kenyataan" mengenai prinsip asas yang digunakan untuk menetapkan keputusan tersebut.

Justeru itu, apa yang dilaporkan oleh akhbar TheStar .. ”In supporting the High Court’s decision..” adalah faktor kebetulan dan ia sekadar persepsi masyarakat (dalam konteks ini wartawan berkenaan), dan tidak perlu ada kenyataan balas kerana ia tidak relevan samasekali.

Kita khuatir, terlalu kerap "melakukan pembetulan" masyarakat makin mudah untuk maragukan kenyataan-kenyataan Tuan Presiden di masa akan datang.