7 Jan 2010

Perhimpunan: Najib Kata OK, Musa Hassan Kata Jangan

Kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak semakin celaru mengenai isu kalimah Allah.

Untuk mendapatkan sokongn orang Melayu terhadap partinya, Najib dilaporkan berkata, Kerajaan tidak akan menghalang orang ramai yang ingin mengadakan perhimpunan di masjid-masjid selepas solat Jumaat esok bagi membantah mingguan Katholik menggunakan nama 'Allah'.

Datuk Seri Mohd Najib Razak diminta mengulas sama ada kerajaan mengamalkan sikap berbeza terhadap kumpulan tertentu yang menganjurkan demonstrasi.

Bantahan terhadap penggunaan kalimah 'Allah' dalam Herald The Catholic Weekly terus marak walaupun Najib sebelumnya menyeru semua pihak bertenang.


Najib berkata semua pihak perlu menyerahkan kepada Mahkamah Tinggi bagi menyelesaikan isu semasa.

“Kita perlu mengambil sikap bahawa perkara ini perlu diselesaikan melalui mahkamah secara baik.. kita sepatutnya tidak menaikkan tahap ketegangan di negara ini.

“Tapi walau apapun, pihak berkuasa sentiasa bersedia dan saya berharap jika ada orang yang mahu menunjuk perasaan, ia tidak akan merebak sehingga menjadi sesuatu yang amat serius... moga-moga ia hanya tunjuk perasaan yang minimum,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan memberi amaran kepada mana-mana pihak yang berhasrat untuk berhimpun bagi membantah isu penggunaan kalimah Allah esok agar membatalkannya sebelum tindakan tegas diambil.

Beliau yang memantau secara serius perkara itu berkata polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengeruh dan menjejaskan keselamatan negara.

“Jangan buat sesuatu tindakan yang boleh mengusutkan keadaan, kita perlu bertenang kerana ia melibatkan isu agama yang menjadi isu sensitif,” kata beliau selepas merasmikan Seminar Pengurusan Inovasi dan Kualiti PDRM di sini hari ini.

Beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang dijangka berhimpun secara aman bagi membantah penggunaan kalimah Allah oleh Herald Catholic di beberapa masjid di ibu negara selepas solat Jumaat, esok.

Beliau berkata polis tidak mengeluarkan permit kepada mana-mana permohonanuntuk berhimpun meskipun ia adalah perhimpunan secara aman.

Beliau berkata semua pihak perlu bertenang dan memberi ruang kepada mahkamah untuk menyelesaikan isu itu dan jangan membuat kenyataan yang boleh menaikkan semangat serta kemarahan orang ramai.

Semalam Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Lau Bee Lan menangguhkan pelaksanaan perintah yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan itu setelah Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang mewakili Menteri Dalam Negeri dan peguam mewakili Gereja Katolik, Derek Fernandes mencapai kata sepakat supaya perintah itu ditangguh sementara menunggu rayuan.

Laporan sebelum ini menyebut selain Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) merancang mengadakan bantahan di seluruh negara esok Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) juga akan menganjurkan bantahan yang sama.

Bantahan yang dinamakan 'Satu hati mempertahankan kesucian Islam' diadakan selepas solat di Masjid Negara.

Selain itu, dua NGO Islam berpengaruh Angkatan Belia Islam Malaysia dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia akan berhimpun di masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur pada waktu yang sama.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Najib beri lampu hijau. Bila PAS kata nak adakan demonstrasi, cepat-cepat KPN kata tak boleh! Antara Najib dengan KPN ni ada krisis? Oh... ya, boleh jadi KPN di kem Muhyidin yang kini sudah terbayang turut disertai oleh Ahmad Zahid Hamidi yang turut bongkar kes injen pesawat F5E tu kot.

Tanpa Nama berkata...

Kini Hishamudin juga turut berada di kem Muhyiddin Yasin. Boleh jadi ada banyak lagi. PAS sebenarnya tak hendak demonstrasi atas isu itu sebaliknya menentang Mesir. Siapa yang kena main ni?