28 Nov 2009

PAS Perlu Ambil Tindakan Ke Atas Nik Amar!

Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak sepatutnya ditekan untuk menamakan penggantinya dan semua kenyataan pemimpin PAS mengenai perkara itu mesti dihentikan, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"Jangan paksa Tuan Guru mencadangkan penggantinya. Beliau tentu mempunyai perkiraan, perhitungan dan kebijaksanaan sendiri untuk memilih masa yang sesuai untuk mencadangkan siapa penggantinya," kata beliau.

Mahfuz menyifatkan tindakan berbalas-balas kenyataan mengenai perkara itu secara terbuka di dalam media memberi tekanan kepada Tuan Guru menamakan penggantinya sebagai Menteri Besar Kelantan.

Walaupun tindakan menyuarakan pandangan mengenai perkara itu adalah hak demokratik masing-masing, kata beliau, tetapi berbalas-balas kenyataan sesama sendiri mengenai perkara itu secara terbuka di dalam media boleh mengakibatkan implikasi yang lain.

"Lebih dari itu, semua pihak jangan membelakangi tertib organisasi di dalam PAS.

"Dari segi peraturan berorganisasi di dalam PAS, Tuan Guru atas sifatnya sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan boleh mencadangkan nama penggantinya kepada dan di dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat untuk dipertimbangkan.

"Begitu juga, ahli-ahli mesyuarat yang lain di dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat juga boleh mengemukakan cadangan untuk dipertimbangkan.

"Tetapi, dari segi kaedah berjemaah di dalam PAS, keputusan mengenai perkara itu hanya boleh dibuat di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat sebagai badan eksekutif yang dipilih oleh muktamar," katanya.

Bagaimanapun, kata Mahfuz, pandangan dan hasrat Tuan Guru sebagai pemegang jawatan itu kini dan lebih dari itu sebagai Mursyidul Am biasanya diberi keutamaan untuk dipertimbangkan oleh mesyuarat tersebut.

Mahfuz juga menjelaskan, setiap kali PAS mendapat kerusi majoriti di mana-mana negeri selepas pilihan raya, nama orang yang mendapat kepercayaan parti untuk menjadi Menteri Besar di kemukakan oleh Presiden PAS kepada Sultan negeri yang berkenaan.

"Presiden PAS pula mengemukakan nama tersebut kepada Sultan yang berkenaan setelah dipersetujui oleh mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat,"kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz meminta semua pihak agar memberikan kepercayaan kepada Tuan Guru untuk memilih masa yang sesuai bagi mencadangkan penggantinya sebagai Menteri Besar Kelantan dan juga kepada mesyuarat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat untuk mempertimbangkan cadangan beliau dan membuat keputusan mengenainya.

"Saya yakin semuanya akan berjalan dengan lancar mengikut tertib berjemaah dan berorganisasi di dalam PAS," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu, demikian harakahdaily dipetik.

Ulasan GB

Kenapa PAS tidak terus mengambil tindakan disiplin seperti memberikan amaran kepada Nik Amar Nik Abdullah yang pertama mencetuskan isu pengganti ini?

Mengapa pimpinan PAS terlalu banyak memberikan "reservation" kepada golongan UG yang kerap kali menimbulkan masalah kepada parti?

Kenapa hanya yang anti-UG sering diberikan amaran untuk tutup isu UG sedangkan pemimpin pro-UG bebas untuk berbicara dan melakukan kerja sesuka hati untuk memecah belahkan jemaah?

GB sudah ulas mengenai kes Nik Amar ini di SINI.

Tempelakan Bodoh Nik Abduh : Jangan Sampai Anda Pula Dibodohkan

Saya Mohamad Shah berasal daripada Dungun Terengganu, bekas anak tahanan ISA 1984, amat tidak senang dengan berita yang disiarkan oleh Malaysiakini tentang penyataan berikut: "Ayahanda telah tua dan keletihan. Dia telah memberi yang terbaik. Jika suatu hari dia menyebut hasrat meletakkan jawatan, jangan ada yang bodoh datang mengatakan tidak dan jangan," tulis Nik Abduh Nik Aziz dalam blognya

"Jika tidak, saya akan memanggilnya, 'Wahai si bodoh!'," tulis Nik Abduh Nik Aziz yang juga exco Dewan Pemuda PAS pusat.

Dalam keadaan orang orang Islam dan perjuangan Islam diserang dari segenap penjuru sama ada di negeri Kelantan Malaysia malah dunia, masih adakah orang seperti Nik Abduh, seorang anak ulama besar yang disanjung mengatakan jika seseorang yang meminta bapanya tidak meletakkan jawatan.

Wahai Nik Abduh. Ustaz Nik Aziz itu bukan hak tuan, dia hanya dipinjamkan Allah dilahirkan ke dunia untuk memimpin dan pemimpin bagi umat manusia sama ada Islam atau bukan Islam di atas muka bumi ini. Cuma Ustaz Nik Aziz adalah perantara di alam istillah sunatullah.

Selepas Nabi Besar Muhammad wafat, di sambung oleh para sahabat diikuti para ambia dan berbetulan Ustaz Nik Aziz itu seorang alim, warak serta berpandukan al Quran, Hadis Nabi maka dia adalah hak umat manusia. Bukan hak Nik Abduh sahaja.

Apakah Nik Abduh bersedia apabila dipadang mashyar kelak untuk menjawab bahawa dia adalah penghalang umat Islam meminta Ustaz Nik Aziz berkhidmat untuk umat Islam dan manusia.

Kalau Ustaz Nik Aziz selalu mengambil pengiktibaran daripada kisah Rasullah, adakah di zaman Rasullah anak-anak Baginda melarang Rasullah meneruskan penyebaran dan penyampaian Islam kepada manusia?

Tak pernah pula saya terbaca anak Rasullah melarang ayahnya meneruskan Baginda menyampaikan Islam semasa Baginda sakit. Adalah baik Nik Abduh mengambil pengiktibaran daripada seorang Imam di Kampung Sura Tengah Dungun, Arwah Imam Haji Razali apabila ditanya oleh anaknya,

"Ayah sampai bila ayah akan menjadi imam sedangkan ayah dah tua dan sakit" apakah jawapan seorang imam yang tidak bertaraf ustaz dan ulama kepada anaknya, "Ayah akan terus menjadi Imam sehingga ayah mati"

Apakah pengiktibaran yang Allah berikan kepada umat Islam dikampung itu
Imam Haji Razali sempat mengimamkan solat Jumaat terakhir dalam hidupnya dan sebelum beliau meninggal dunia ini pun beliau meneruskan solat walaupun berada di katil hospital.

Oleh itu perkataan "Bodoh" atau tidak cerdik yang diguna pakai oleh Nik Abduh adalah perkataan orang yang tidak cerdik tentang perhitungan hidup mati, ketuhanan dan Islam. Perlu di ingat Nik Aziz hebat bukan kerana nama dia Nik Aziz, tetapi kerana perjuangan, pengucapan, cara hidup, amal ibadatnya mengikut Islam. Mereka yang bakal meminta Ustaz Nik Aziz meneruskan khidmatnya bukannya "Bodoh" tetapi mereka yang bakal meminta Nik Aziz meneruskan khidmatnya adalah mereka yang cerdik serta berpandangan jauh dalam meneruskan perjuangan Islam serta menyambung seruan Rasulullah saw.

Yang demikian Nik Abduh jangan bongkak, kerana sejarah menunjukan anak isteri para nabi ada yang menentang seruan Allah, jangan sampai Nik Abduh tergolong di kalangan mereka itu.

Sekian terima kasih - Mohd Shah (Detikdaily)

Memperingatkan Pimpinan PAS : Doa Seorang Hamba Yang Da'if

Doa Dan Munajat Seorang Hamba Yang Da'if

Segala puji teruntuk bagi Allah Tuhan Seru Sekalian Alam
Selawat dan salam kepada Nabi Junjungan kami
Mohd salallahu 'alahi wassalam

Ya Allah Ya Tuhan kami
Selamatkanlah parti kami
dari mereka yang sengaja merosakkan
perpaduan di antara kami

Ya Allah Ya Tuhan kami
bersihkanlah parti kami
dari mereka yang berpura-pura bersama kami
sedangkan hati mereka bersama dengan
musuh Engkau dan musuh kami
hantarkanlah pukulan keras Engkau
kepada mereka yang berpura-pura itu dan
pancunglah mereka untuk kami serta
hantarkanlah mereka ke lembah suuq (buruk)

Ya Allah Ya Tuhan kami
beradalah Engkau dipihak kami
bukan di pihak mereka yang menyebabkan
jemaah parti kami berada di dalam keadaan huru-hara
dan kacau-bilau

Ya Allah Ya Tuhan kami
tolonglah kami dan jangan Engkau beri pertolongan
kepada mana-mana pemimpin yang cuba
mengkhianati dan menyesatkan kami dan jemaah ini

Ya Allah Ya Tuhan kami
tunjukkanlah kebenaran Engkau
dengan mengangkat mereka yang ikhlas
berjuang keranaMu dan kerana agamaMu
sekalipun mereka bukan dari yang terpandai
dalam hal-hal agamaMu

Ya Allah Ya Tuhan kami
tunjukkanlah kebenaran Engkau
dengan menghantar mereka ke lembah kehinaan
mereka yang
berjuang kerana nafsu dan isi perut mereka
sekalipun mereka dari kalangan yang terpandai
dalam hal-hal agamaMu

Ya Allah Ya Tuhan kami
Kurniakanlah kemenangan kepada parti kami
di bawah pimpinan Mursyidul Am parti kami
Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
kurniakanlah beliau kekuatan
untuk menghadapi musuh-musuh
yang berada di luar dan di dalam parti kami


Ya Allah Ya Tuhan kami
perkukuhkanlah kedudukan kami dengan rakan-rakan kami
bersama Pakatan Rakyat
kurniakanlah kemenangan kepada kami
berikanlah kami petunjukMu
untuk membimbing rakan-rakan kami
ke arah kebenaranMu
sekalipun kami bukan dari kalangan yang
pandai di dalam urusan ugamaMu

Allahumma kun lanaa walaa takun 'alaina
beradalah Engkau di pihak kami
bukan di pihak lawan kami

Allahummansurna wa laa tansur 'alaina
Ya Allah berilah pertolongan kepada kami
dan jangan tolong mereka untuk mengatasi kami

Allahumma kur lanaa walaa tamkur alaina
Ya Allah bimbing kami untuk menipu daya dan
jangan bimbing mereka untuk menipu daya kami

Ampunkan mereka apabila mereka insaf
dan memohon ampun kepadaMu
serta memohon maaf daripada kami

Ya Allah Ya Tuhan kami
Jadikanlah kami orang yang sentiasa mengingatiMu
orang yang berterima kasih di atas nikmat-nikmatMu
orang yang bersabar dengan setiap ujianMu
orang yang dikurniakan kecukupan rezeki yang halal dari sisiMu
sehingga kami tidak memerlukan sesiapa selainMu
dan jadikanlah kami
orang yang terpelihara daripada dosa
orang yang dijauhkan dari siksaan api neraka


Ya Allah Ya Tuhan kami
Jadikanlah akhir ucapan kami di dunia
dengan ucapan "Lailahailallah"
matikanlah kami di dalam ucapan tersebut
tidak terfitnah, tidak sesat dan tidak menyesatkan
tidak memandai dan mengubah kalimah itu

Ya Allah Ya Tuhan kami
Jadikanlah kami orang yang menunjukkan kebenaran
serta mendapat petunjuk
bukan orang yang sesat serta bukan orang yang
menyesatkan
jadikanlah kami orang yang sentiasa bergiat
untuk menegakkan hukum-hakamMu
teguhkanlah pendirian kami dan
jauhkan lah kami dari hal-hal yang menyebabkan
penyesalan kami di hari kiamat nanti

Ya Allah Ya Tuhan kami
Anugerahkan barakah dan ridhaMu
di dalam perjuangan kami
di dalam menegakkan kebenaran
dan menghapuskan kemunkaran
dan berikanlah kami
kemenangan dan kejayaan cemerlang
di dalam perjuangan kami
dan terimalah segala doa kami
dengan pembuktian dariMu yang bertambah-tambah

Ya Allah Ya Tuhan kami
perbaikilah ugama kami yang menjadi tempat
segala urusan kami
perbaikilah dunia kami yang menjadi tempat
peghidupan kami
perbaikilah akhirat kami yang menjadi tempat
kembalinya kami
jadikanlah kehidupan kami sebagai tempat untuk
bertambahnya kebaikan untuk kami dan
jadikanlah mati kami sebagai tempat istirehat kami
terhadap segala kejahatan

Ya Allah Ya Tuhan kami
cucurilah rahmat Engkau
kepada tempat kembali kami iaitu mati
dan hantarkanlah dulang kemaafanMu
ke atas segala dosa kami serta perbaikilah segala
keaiban kami.

Ya Allah Ya Tuhan kami
Hidupkanlah kami jika hidup itu
lebih baik untuk kami dan agama kami
matikanlah kami jika mati itu
lebih baik untuk kami dan agama kami
janganlah jadikan kami orang yang
cintakan dunia dan takutkan mati

Ya Allah Ya Tuhan kami
tetapkan hati dan keyakinan kami kepadaMu
sekalipun kami diejek dan dicerca dengan
pelbagai cercaan seperti uztadz celupan
blogger celaka
dan seumpamanya
dan hantarkan pukulan Engkau kepada
pengejek-pengejek itu


Engkau Pelindung dan Penolong kami yang lemah ini

Ya Allah Ya Rahmaan Ya Rahiim
Ya Qahhar Ya Jabbar Ya Muntaqim
Ya Mujibas-sa'iilin

Ya Allah Ya Kariim Ya Sattar
Ya 'Alim Ya Jabbar
Ya 'Alii Ya Akbar
Ya Latiff Ya Ghaffar

Ya Allah Ya Awalal-Awaaliin
Ya Akhiral-akhiirin
Ya Zal-Quwatil-Matiin
Ya Rahiimal dhua'afa'i wal- Masakiin

Ya Allah Ya Tuhan kami
Terimalah dari kami ini
doa kami, solat kami, amalan kami dan
terimalah perjuangan kami,
Terimalah dan akuilah kami sebagai hamba-hambaMu
kerana itulah pemberian Engkau yang terbesar untuk
mereka yang Engkau pilih

jadilah kami imam kepada
orang beriman dan bertaqwa kepadaMu

Ya Allah Ya Tuhan kami
Janganlah Engkau siksa kami dengan menggagalkan kami
lantaran kelemahan dan kealpaan kami
Ampunkanlah kami di dalam tindakan-tindakan kami
yang melampaui batas
perteguhkan kami kami menghadapi
golongan yang ingkar

Rabbanaa la tuzigh qulubanaa ba'daiz hadai tanaa
wahablanaa minladukarahmataan innaka antal-wahhab
Rabbanaa aatina fiddun-ya hasanah
wa fil 'akhirah hasanah
wa qina azabannar

Selawat dan salam untuk Nabi Junjungan kami
Mohammad salallahu 'alaihi wassalam

Amin Ya Allah Amin Ya Rahmaan Amin Ya Rahiim
Walhamdulillahirabbal 'alamin

Aidiladha Tanda Pengorbanan Umat Islam

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menunaikan Solat Aidil Adha bersama pemimpin kerajaan negeri dan 10,000 rakyat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pagi tadi.

Walaupun sambutan Hari Raya Korban agak sederhana namun umat Islam digalakkan melakukan Solat Aidil Adha di pagi 10 Zulhijjah, diikuti dengan melaungkan takbir membesarkan Allah dan menyembelih haiwan ternakan.

Hari Raya Aidil Adha bukan setakat mengalirkan darah ternakan ke bumi malah ia adalah simbolik pengorbanan Nabi Ibrahim A.S. bersama anaknya, Nabi Ismail A.S menunaikan perintah Allah SWT.

Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid dalam khutbahnya mengingatkan umat Islam supaya sentiasa mempertahankan kesucian Islam melalui kepercayaan tauhid dan melaksanakan tuntutan agama secara konsisten tanpa dipengaruhi kepentingan mana-mana pihak.

“Masih ada segelintir umat Islam tidak yakin untuk melaksanakan Islam, dan masih ragu untuk hidup dengan melaksanakan sistem Islam yang syumul kerana takut tidak dipersetujui oleh orang-orang kafir, takut akan berlakunya huru-hara lalu menjadikannya alasan paling baik untuk tidak melaksanakan tuntutan Islam”, kata Tamyes.

Selain itu katanya, umat Islam dianjurkan bertakbir dan bertahmid sepanjang Hari Tasyriq iaitu pada hari kesepuluh, sebelas, dua belas dan diakhiri sesudah Asar pada hari ketiga belas bulan Zulhijjah yang disambut setiap tahun.

Tamyes turut mengingatkan Umat Islam supaya menghindarkan sikap mazmumah yang mementingkan urusan duniawi semata-mata sehingga sanggup meninggalkan tuntutan hukum hakam malah segelintirnya pula memperjuangkan maksiat dan kemungkaran.

“Pengorbanan Nabi Ibrahim bersama anaknya Nabi Ismail mengajar umat Islam semangat rela berkorban untuk menjunjung perintah Allah terutama pada saat umat Islam diserang wabak penyakit hubub dunia, iaitu terlalu sayangkan dunia, tamak kepada harta dan terlalu takut hilang sokongan”, jelasnya.

Hadir sama, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah; Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Exco Selangor, Yaakob Sapari, Iskandar Abdul Samad dan Datuk Dr Hassan Mohamed Ali. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN (TVS)



Pulau Pinang Beri Anugerah Kepada 137 Penghafaz Al-Quran Negeri

Seramai 137 penghafaz Al-Quran atau Hafiz di Pulau Pinang diberi penghargaan oleh kerajaan negeri dalam satu Majlis yang diadakan di Dewan Seri Pulau Pinang, kelmarin.

Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang,YAB Lim Guan Eng, pemberian anugerah ini adalah untuk memberi penghargaan kepada mereka yang berjaya menghafaz sepenuhnya AL-Quran dalam membentuk insan yang bertaqwa, sebagai pemangkin ekonomi negeri.

Jelas beliau, walaupun wujud kepelbagaian agama di negara ini khususnya di Pulau Pinang tetapi beliau berpegang kepada hakikat bahawa kesemua agama mengajak penganutnya ke arah kebaikan dan kesejahteraan.

Tambah beliau, Kerajaan negeri memberi pengiktirafan ini kerana percaya bahawa bukan mudah untuk menjadi seorang penghafal Al-Quran kerana ia memerlukan disiplin dan komitment yang tinggi dan hanya insan-insan berjiwa besar serta berkeperibadian mulia mampu melakukanya.

Penyampaian anugerah kepada para hafiz dan hafizah ini telah dimulakan sejak tahun 2008 dalam usaha melahirkan ramai para hafiz di negeri ini.Setiap penerima anugerah diberikan sijil penghargaan dan wang tunai RM 500 setiap seorang

Turut hadir dalam majlis penyampaian anugerah kepada 137 para hafiz dan hafizah, Tuan Yang Terutama Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Bin Abbas,Dato Abu Hassan Din Al-Hafiz dan Tuan Haji Mohamad Sabu.

Lim Guan Eng percaya dengan lahirnya para hafiz dan hafizah di negeri Pulau Pinang ini akan dapat melahirkan insan yang berintegriti tinggi serta melahirkan masyarakat yang harmoni dan dinamik. -TVS





27 Nov 2009

Apabila Gesaan Nik Amar Disambut Oleh UMNO

Akhirnya gesaan Nik Amar Nik Abdullah (gambar), Exco Kerajaan Negeri Kelantan yang juga Timb Pesuruhjaya III PAS Kelantan telah mendapat respons positif dri UMNO!

Malaysian Insider melaporkan Umno Kelantan turut menggesa barisan kepimpinan PAS negeri itu segera menamakan seorang pengganti yang jelas kepada Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan bukannya memberi pelbagai pendapat yang berbeza-beza mengenai isu tersebut.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Mustapa Mohamed berkata hanya dengan langkah itu nasib rakyat dapat dibela selepas barisan kepimpinan diterajui Nik Aziz kini bercelaru dengan isu isu dan masalah dalaman parti.

Nik Aziz menjadi Menteri Besar Kelantan sejak selepas pilihan raya umum 1990.

Beliau berkata, masalah dalaman yang dihadapi PAS negeri itu menyebabkan kebajikan rakyat terjejas kerana tumpuan pemimpin telah beralih arah.

Semalam Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob yang menerima sokongan dua Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri itu mengambil sikap rendah diri dengan menegaskan tidak perlu ada pelan peralihan sekarang yang memerlukan Nik Aziz menamakan penggantinya.

Ahmad disebut-sebut bakal menggantikan Nik Aziz jika beliau berundur.

Oleh kerana Nik Aziz masih sihat, Ahmad yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kelantan berkata, beliau boleh meneruskan kepimpinannya sebagai Menteri Besar.

"Tiada keadaan terdesak. Menteri Besar masih OK... boleh teruskan jawatan dia. Sebenarnya benda ini tak ada apa-apa," kata beliau.

Pandangan itu diberikan beberapa jam selepas Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang turut bersetuju supaya Ahmad dilantik Menteri Besar menggantikan Nik Aziz kelak.

Pendirian yang serupa juga dilahirkan oleh Exco Kanan Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa kelmarin.

Husam berkata beliau akan menolak tawaran jika dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan untuk menggantikan Nik Aziz.

Mohd Amar dan Husam juga merupakan Exco Kerajaan Negeri.

Sebelum ini beberapa pihak dalam PAS sendiri mengeluarkan kenyataan mengenai kedudukan Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS itu sebagai pentadbir negeri ini termasuklah Mohd Amar.

Awal minggu Mohd Amar menyarankan Nik Aziz agar menamakan penggantinya lebih awal untuk mengelakkan timbul kekalutan apabila tiba masanya beliau melepaskan jawatan itu kelak.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, Nik Aziz sepatutnya membuat keputusan kerana beliau tidak boleh memegang jawatan tersebut selama-lamanya.

"Tidak ada sesiapa yang boleh menongkat langit sampai bila-bila. Maka harus ada pengganti yang sudah dikenal pasti.

"Macam kita di peringkat pusat, Perdana Menteri akan digantikan oleh timbalannya. Di Kelantan ini pula, semua orang tampil dengan pendapat yang berbeza-beza," tegasnya

Kemelut dalaman PAS Kelantan dilihat meruncing sehingga memaksa Nik Aziz mengarahkan menantunya, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan.


Ulasan GB

Nik Amar Nik Abdullah sudah lupa bahawa ayahnya Nik Abdullah Arshad telah menjadi wakil tunggal PAS di Parlimen pada 1987 dengan kerusi Pengkalan Chepa yang diberikan oleh TG Nik Abdul Aziz (TGNA adalah wakil tunggal PAS di Parlimen selepas memenangi kerusi Pengkalan Chepa pada 1983-1986). Kini Nik Amar sudah giat untuk menydesak TG Nik Aziz menamakan pengganti - yang memberi persepsi bahawa Nik Amar mahu cepat TGNA berundur dan mahu jika namanya diumumkan sebagai pengganti!

GB memfitnah?

Lihat senario ini terlebih dahulu.

Nik Amar yang diketahui sebagai pemimpin yang menyokong gagasan UG di Kelantan memang tidak sehaluan dengan Husam Musa. Itu sebab apabila nama Datuk Ahmad Yaakob disebut-sbut sbagai pengganti TGNA, Nik Amar cepat-cepat menyokongnya.

Ditanya mengenai kenyataan Husam tidak dicalonkan sebagai menteri besar bagi mengambil alih tempat Nik Aziz jika menteri besar melepaskan jawatannya, Mohd Amar berkata itu pendapat peribadi Husam sendiri.

"Itu hak dan soal dia, saya tidak boleh kata apa," katanya. -malaysiakini


Perhatikan nada jawapan Nik Amar di atas apabila diajukan soalan mengenai Husam Musa. Jarang sekali seorang pemimpin parti akan menggunakan unggapan "Itu hak dan soal dia" terhadap sesama pemimpin parti, yang jelas menonjolkan Nik Amar yang sebenar.

Mujur Datuk Ahmad Yaakob yang tidak mahu TGNA terluka, tidak termakan dengan ampu Nik Amar apabila Datuk Ahmad menyatakan bahawa "Tiada keadaan terdesak. Menteri Besar masih OK... boleh teruskan jawatan dia. Sebenarnya benda ini tak ada apa-apa"

Husam lebih menampakkan ketulusan apabila dengan terang dan jelas menolak untuk dinamakan sebagai pengganti TGNA yang mencontohi kerendahan diri seperti Umar Al-Khattab sekalipun telah dinamakan sbagai Khalifah oleh Abu Bakar, sekalipun TGNA sendiri telah memberikan klu bahawa Husamlah yang bakal menggantinya.

Kini desakan dan gesaan Nik Amar itu disambut dan disambungkan oleh UMNO Kelantan. Nik Amar sanggup melukakan TGNA yang tentunya disukai UMNO. Tahniah Nik Amar. Kebenaran akan tetap terpancar.

Ini sama kes dengan Nik Abduh yang telah menerima pelawaan Pemuda UMNO untuk menyertai UMNO setelah beliau menghentam ayahandanya sendiri di satu ketika sebelum ini, tetapi Nik Abduh menolak dengan sipu-sipu malu pelawaan Pemuda UMNO itu!

Jangan ada lagi yang mendesak TGNA menamakan pengganti dan jangan ada yang menempelak "Bodoh" kepada orang yang ingin TGNA kekal sebagai MB kerana mereka bersama UMNO untuk menjatuhkan TGNA.

Seerah Rasulullah: Tiada siapa mendesak Rasulullah menamakan khalifah sementara hayat Rasulullah s.a.w. dikandung badan.

Blog Kelab GB, Terang, Tajam dan Tepat. InsyaAllah.

Gesaan Muhyiddin Berbaur Ugutan -Khalid Samad

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad membidas gesaan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Tengku Razaleigh Hamzah mempertimbangkan semula jemputan mengetuai kokus royalti minyak dan gas.

Menyifatkan gesaan tersebut berbaur ugutan, Khalid melahirkan kekesalan dengan tindakan Muhyiddin yang dilihat cuba menghalang langkah Razaleigh membantu rakyat Kelantan.

“Bunyi statement Muhyiddin itu macam ada unsur ugutan pula ye.. kena fakir dulu dan sebagainya, itu macam kurang sedap didengar lah. Hakikatnya Tengku Razaleigh adalah antara pelopor . Dalam soal ini dialah mengasaskan atau memain peranan untuk menghasilkan Akta Petroleum” ujarnya.

Kerajaan Pusat mendakwa rakyat Kelantan tidak berhak menerima royalti minyak kerana punca petroleum terletak melebihi 3 batu nautika dari pesisir pantai negeri.

Tengku Razaleigh yang terlibat secara langsung dalam penggubalan Akta Petroleum 1974, dijemput Pakatan Rakyat mempengerusikan kokus royalti minyak dan gas, yang diadakan bagi merangka pindaan baru keatas Akta itu.

Muhyiddin bagaimanapun menyarankan Razaleigh supaya berhati-hati membuat keputusan kerana kokus ini dianjurkan oleh Pakatan Rakyat.

“Jadi saya agak peliklah mengapa kalau kita ingin memahami, niat dan tujuan serta hak-hak yang ingin dipertahankan oleh Akta Petroleum itu, mengapa Muhyiddin mengeluarkan kenyataan yang sebegitu. Sepatutnya dia menggalakkan”.

Ditanya sama ada gesaan Muhyiddin kepada mantan Menteri Kewangan itu akan mempengaruhi keputusan yang bakal diambil, ujar Khalid, Ku Li punya kredibiliti dan nilai integritinya sendiri sebagai seorang yang bertanggungjawab.

“Saya rasa itulah kehendak pihak kerajaan pusat tetapi Tengku Razaleigh mempunyai kredibiliti dan nilai integriti dirinya sendiri. Dan saya rasa diapun tidak mahu terlibat dalam usaha untuk yang jelas mengkhianati kerajaan negeri Kelantan dan dia pun kebetulan rakyat negeri Kelantan". -TVS



UMNO BN Dalang Perpecahan Kaum India Di Malaysia

EExco Kerajaan Selangor, Dr Xavier Jayakumar berkata Umno dan parti suruhan MIC mendalangi perpecahan kaum India di Malaysia.

Ketika dihubungi Tv Selangor, Xavier melahirkan kekesalan dengan isu ini dan berkata kaum India bukan sahaja berpecah sama sendiri, bahkan terpisah daripada kaum lain.

Statistik menunjukkan kadar kemiskinan dan belia bermasalah dalam masyarakat India amat tinggi. Dipinggirkan sekian lama, tidak mengejutkan jika elemen-elemen ekstrem lahir dari ketidakpedulian kerajaan sebelum ini.

Sehubungan itu, Xavier berkata kerajaan negeri hari ini mengambil pelbagai langkah membantu masalah kemiskinan masyarakat India melalui pendidikan dan bantuan sewajarnya agar kaum minoriti ini tidak terputus dari arus perdana.

“Kita beberapa kali telahpun nyatakan bahawa seorang pemimpin India memang kena belajar dan dia kena tolong dan bantu semua orang, bukan sahaja kaum India, begitu juga dengan pemimpin Cina dan Melayu”, jelasnya.

Xavier berkata kewujudan Badan Bertindak Hak Hindu, Parti Makkal Sakhti dan Parti Hak Asasi Manusia menunjukkan perpecahan kaum India semakin serius.

Beliau berpendapatan perpecahan ini didalangi oleh Umno-BN, bagi memastikan kaum India tidak terikut dengan arus perubahan menyeluruh yang dibawa Pakatan Rakyat.

“Saya nampak sekarang ialah Makhal Sakhti ini yang telah didaftarkan macam itu cepat sangat satu permainan oleh Najib dengan Umno dan Barisan Nasional untuk pecah belahkan orang-orang India dalam kalangan rakyat di Malaysia. Dan ini adalah satu-satu caranya macam mana orang British gunakan pecah dan perintah ini ditunjukkan dan dipermainkan oleh Najib”, kata Xavier lagi.

Mengulas kemungkinan penyertaan Parti Makkal Sakhti menyertai Pakatan Rakyat Selangor, Xavier berkata ia tidak memberi impak besar kerana masyarakat India di negeri ini sedia maklum bahawa perubahan hanya akan berlaku jika semua kaum berganding-bahu.

“Parti Makhal Sakhti ini tidak akan ada banyak kesan atas Pakatan Rakyat sebab orang India sudah faham sekarang macam mana keadaan situasi sekarang”, tegasnya. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN (TVS)



26 Nov 2009

BTN Tolak Sistem Demokrasi Berparlimen - Khalid Samad

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menyifatkan Biro Tata Negara (BTN), kursus yang akan mewujudkan sentimen perkauman dan menolak sistem demokrasi berparlimen.

Katanya sistem ‘check and balance’ tidak lagi menjadi amalam dalam BTN kerana ia tidak memberi peluang kepada rakyat untuk menilai.

BTN juga dikatakan melahirkan sikap prejudis kepada pembangkang sehingga dianggap musuh negara.

“Kalau digambarkan pembangkang sebagai musuh negara maka itu akan menjejas peranan pembangkang dalam usaha melakukan semak dan timbang ini. Dan ianya akan memberikan gambaran, rakyat yang patriotik, mesti patuh kepada semua kehendak pihak yang memerintah” ujar Khalid.

Semalam kerajaan negeri Selangor mengumumkan akan melindungi penjawat awam di negeri itu dan penuntut-penuntut di institusi pendidikan milik kerajaan negeri.

Bercakap kepada TvSelangor, Khalid berkata, beliau sebulat hati menyokong keputusan yang diambil oleh kerajaan negeri.

Ujarnya BTN adalah platform kepada kerajaan untuk menyemat prinsip kepada generasi muda dan kaki tangan kerajaan tentang keburukan parti pembangkang dengan melabelkan parti-parti ini sebagai agen negara asing.

“Maka segala kritikan dan sebagainya tidak akan dilihat dari sudut yang positif, tetapi dilihat sebagai seolah-olah agen kuasa asing dan sebagainya. Dan inilah yang dilakukan oleh BTN sekarang ini”

Malah ujar beliau, masyarakat di negara ini dipinggirkan hak mereka dari dahulu lagi untuk menilai mana yang benar dan salah.

“Masalah kita ini, negara Malaysia ini ialah kita mewarisi satu sistem satu pemerintahan tanpa memahami selok belok dan rasional di sebalik sistem tersebut”

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Shah Alam, Ahmad Sayuti Bashiron turut menceritakan pengalaman beliau ketika menyertai BTN suatu ketika dahulu.

“Pernah suatu ketika dahulu, pada awal dahulu sewaktu saya di sekolah menengah, selain daripada lagu anak kecil main api, apa yang paling saya ingat apa yang ditanamkan ialah benci kepada Cina. Suatu ketika kami berlari-lari dari pusat pendidikan di Shah Alam, ketika kita berjumpa sahaja Cina seperti peniaga-peniaga Cina, fasilatator mengatakan ‘lihat itu adalah Cina, dia adalah orang yang merempat di negara kita. Apabila besar nanti,kamu nanti bila sudah besar, mesti ada perasaaan tolak mereka dari negara kita”. -TVS



Anwar menang kes saman NSTP, bukti media arus perdana diperguna Umno-BN

Pemimpin Pakatan Rakyat membidas tindakan media arus perdana yang jelas dilihat digunakan oleh Umno-Barisan Nasional hanya untuk memburuk-burukkan parti pembangkang.

Ini berikutan fitnah yang ditaburkan kepada Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh New Straits Times Press (NSTP).

Naib Presiden Pas, Mahfuz Omar berkata, kemenangan Anwar dalam kes saman media terbabit jelas membuktikan betapa rendahnya moral dan mutu pemberitaan arus perdana yang dimonopoli oleh kerajaan Barisan Nasional.

Katanya, laporan palsu itu hanya bertujuan untuk memburukkan imej kepimpinan PKR dan komponennya.

“Dilihat bahawa UMNO dan BN yang menjadi tulang belakang kepada media arus perdana ini telah gagal, tidak bersaing secara sihat mengikut prinsip demokrasi yang sepatutnya diamalkan dalam negara. Setelah mereka dapat lihat bahawa pimpinan parti pakatan rakyat ini mula mendapat tempat di hati nurani masyarakat dan rakyat Malaysia. Lalu akhirnya mereka menggunakan media untuk melancarkan pemberitaan yang bersifat fitnah, memburukkkan peribadi-peribadi pimpinan ini untuk menjatuhkan, dimoralize pimpinan parti pakatan rakyat itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada TVSelangor ketika dihubungi pagi tadi.

Menurut Mahfuz lagi, jika dilihat dari sudut positif secara tidak langsung ia membuka peluang masyarakat beralih arah kepada media alternatif bagi mendapatkan maklumat yang sahih.

“Saya kira bahawa ini adalah masa terbaik untuk media baru akan dapat memberi keyakinan yang lebih tinggi kepada masyarakat dan pengguna-pengguna media ini dalam negara kita untuk masa depan,” kata beliau.

Anwar telah menuntut ganti rugi sebanyak RM 100 juta kepada NSTP kerana telah mengeluarkan artikel fitnah yang mengaitkan beliau dengan agen Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berpendapat jumlah saman yang dimenangi oleh Anwar tidak setimpal dengan nilai reputasinya yang telah dimusnahkan sejak tujuh tahun lalu.

“Dan saya fikir sebenarnya 100 ribu itu tidak cukup sebab ini merupakan kemusnahan seorang pemimpin dan atleast dapat 1juta ke macam tu,” ujar beliau.

Beliau menambah, cara ini merupakan taktik sekian lama yang digunakan kerajaan Barisan Nasional untuk menimbulkan rasa kebimbangan rakyat dalam aspek salah guna kuasa pemimpin PKR.

“Dan juga ini ada unsur-unsur mewujudkan kebimbangan atas orang ramai bahawa pemimpin pakatan rakyat tidak boleh dipercayai,” katanya. –Hadri Yaziz (TVS)



Borang 2 Tidak Dihapus, Pas Tetap Gesa Undi Pos DiMansuh

Pas masih tetap dengan desakannya meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghapuskan sistem undi pos walaupun permintaan mereka supaya Borang 2 sistem undi berkenaan tidak tercapai.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Suhaizan Kayat berkata Pas lebih menekankan penghapusan sistem undi pos kerana sistem berkenaan menimbulkan manipulasi pihak ketiga.

Sehubungan itu, beliau mahu sistem pengundian awal diperkenalkan untuk mengelakkan berlakunya sebarang penyelewengan semasa proses pengundian.

"Sebab itu saya sebenarnya tak pandang kepada Borang 2.Pada saya yang penting adalah undi pos ini mesti dimansuhkan itu sahaja, kalau kita terima Borang 2 kita terima konsep undi pos itu secara keseluruhan.”

“Tapi kepada saya undi pos ini perlu dimansuhkan, ditukar kepada proses pengundian advance vote(pengundian awal) maknanya ini pernah dicadangkan oleh SPR, maknanya dia buat advance vote(pengundian awal) maksudnya macam ni pengundi yang betul-betul kritikal pada masa itu sahaja yang dibenarkan mengundi awal”, katanya.

Suhaizan berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri di Parlimen semalam bahawa penggunaan borang 2 dalam sistem undi pos tidak akan dihapuskan.

Sebelum ini, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub bersama 15 wakil Pas Pusat telah mengadakan pertemuan dengan SPR yang diketuai oleh Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bersama 15 pegawainya.

Dalam pertemuan berkenaan PAs mengemukakan beberapa cadangan kepada SPR iaitu meminta supaya Borang 2 dihapuskan kerana ia merupakan faktor ketakutan kepada pengundi pos.

Suhaizan juga berkata pengundian awal yang dicadangkan hanya melibatkan pengundi yang dikategorikan sebagai kritikal seperti pelajar, anggota tentera dan juga duta-duta Malaysia yang berada di luar negara.

“Jadi kalau katakan ada satu pilihanraya maknanya mereka yang terlibat ini sahaja yang perlu buat report kepada SPR menyatakan dia pengundi disini, sini dan dia memohon untuk membuat pengundian awal,golongan ini sahaja,yang lain tak terlibat dengan masa krtikal ini mengundi seperti biasa", katanya. -TVS



Selangor Tidak Akan Bayar Syabas

Kerajaan Selangor menegaskan tidak akan membayar ganti rugi kepada anak syarikat Puncak Niaga Holdings Bhd iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) berhubung pengumuman keuntungan Puncak Niaga.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Puncak Niaga dalam satu pengumuman semalam menyatakan keuntungan bersihnya meningkat sebanyak 275 peratus atau RM46.7 juta pada suku akhir 30 September lepas berikutan peningkatan pendapatan dan ganti rugi kenaikan kadar tarif air oleh kerajaan negeri itu.

“Saya ingin menjelaskan bahawa kerajaan negeri tidak pernah mempersetujui kenaikan tarif air oleh Syabas dan kami juga tidak akan membayar ganti rugi kepada Syabas atas keputusan tidak membenarkan kenaikan tarif air”, kata Tan Sri Khalid.

Beliau berkata, walaupun terdapat terma yang termaktub (bayaran ganti rugi) dalam perjanjian konsesi di antara kerajaan Selangor dan Syabas tetapi terma itu hanya dipakai jika terdapat persetujuan daripada kerajaan negeri.

Abdul Khalid, berkata pada mesyuarat lembaga pengarah, Kumpulan Darul Ehsan Bhd. amat konsisten menyatakan bahawa Syabas perlu mendapatkan persetujuan daripada kerajaan negeri dalam menentukan kadar tarif air.

“Oleh kerana tiada persetujuan dalam hal ini, maka isu ganti rugi tidak timbul”, tegasnya lagi.

Beliau berkata, kerajaan negeri berpendirian kenyataan Puncak Niaga tidak mematuhi perjanjian yang telah dibuat dan ia merupakan satu kenyataan keuntungan lebih tetapi realitinya bukan begitu, di mana syarikat itu perlu bertanggungjawab terhadap pemegang sahamnya.

Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri juga tidak akan bertanggungjawab ke atas laporan yang dikeluarkan Puncak Niaga mengenai peningkatan keuntungan itu seperti yang disiarkan media semalam. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN (TVS)



Pahang Lulus Pembalakan Tanpa Pengetahuan Exco dan EIA

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh melahirkan kebimbangan dengan sikap tidak bertanggungjawab Kerajaan Negeri Pahang yang meluluskan aktiviti pembalakan di negeri itu tannpa melalui Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

Beliau berkata, aktiviti pembalakan seluas 42,000 ekar berkenaan bukan sahaja tidak melalui EIA, bahkan ia juga tidak mendapat kelulusan Exco.

“Saya nak tunjukkan peta, ini adalah kawasan yang telah diluluskan untuk pembalakan dalam tempoh setahun setengah di Pahang yang melibatkan dua hutan simpan,"katanya di Lobi Parlimen semalam.

“Dia punya total ialah 42 ribu ekar atau 17 ribu hektar secara total tetapi ianya dipecahkan kepada kompartmen-kompartmen yang diluluskan kurang daripada 500 hektar maksudnya tidak perlu EIA. Dan mereka melanggar sistem tanpa membuat EIA, tanpa kelulusan EXCO. Ia terlepas dari kerajaan negeri tetapi apabila kita petakan, ia kelihatan seperti ini,"katanya.

Ujar Fuziah, tindakan tidak bertanggungjawab ini akan mengakibatkan hutan yang sepatutnya menjadi tempat tadahan air menjadi gondol dan menyebabkan kejadian banjir lumpur dan banjir kilat.

Malah menurut Fuziah, sekiranya tiada kawalan yang sewajarnya dilakukan, bandar Kuantan yang kecil berbanding dengan kawasan pembalakan tersebut mungkin akan tenggelam akibat bencana alam yang tidak dijangka.

“Saya tahu, Pahang memang ada masalah dari segi penguatkuasaan dan inilah masalahnya yang akan menimpa di Pahang. Jadi setakat ini kerajaan negeri memberitahu saya, tidak mungkin berlaku,"katanya.

Namun ujar Fuziah, meskipun kerajaan negeri menafikan tindakan mereka itu, Fuziah mempunyai bukti keterlibatan kerajaan negeri dalam meluluskan kompartmen-kompartmen yang berjumlah 17 ribu hektar.

“Tapi di sini, saya ada surat kelulusan daripada Jabatan Perhutanan Pahang, mesyuarat exco dan sebagainya dan total semuanya ada di sini. Daripada Oktober 2007, Oktober 2008 dan Mac 2009. Luluskan sedikit demi sedikit dan kini menjeadi sebegitu banyak,"katanya.


Apabila Nik Abduh Menempelak Bodoh!

Saya diminta oleh beberapa orang sahabat untuk memberi pandangan tulisan Sdra Nik Abduh Nik Aziz yang tersiar di blognya bertajuk "abdul ariffahmi abdul rahman – moga awan berarak lalu".

Pada awalnya saya tidak berapa nak layan tulisan-tulisannya sebab saya tahu beliau adalah penyokong kepada idea Kerajaan Perpaduan di satu ketika sebelum ini yang sanggup menentang dan bersikap tidak beradab (biadab) kepada ayahandanya sendiri.

Namun untuk sahabat yang mengharapkan saya cuma akan sentuh beberapa kepincangan yang saya kesani di dalam tulisan anak Tok Guru ini. Kalau nak harapkan lebih dari itu, bersabar dulu, tunggu petunjuk Ilahi melalui ayat manzurahNya. Kebenaran tetap terpapar jua akhirnya. Jangan ragu.

Rencananya yang panjang lebar menggunakan stail bahasa sasterawan tetapi malang dipenuhi dengan penonjolan diri berlebihan - kononnya aku adalah sang penasihat utama dalam isu yang sedang melanda. Jangan tak tahu hal itu!

Tulisnya:

Begitulah saya jika diminta nasihat. Saya berusaha untuk yang terbaik buat sahabat dan rakan. Nasihat saya mungkin betul dan mungkin salah. Apa saya kisah atas apa yang saya tidak tahu perihal masa depan milik Allah?

Kita tidak menamakan diri kita sebagai penasihat sekalipun kita ini memikirkan kita telah mengeluarkan buah-fikiran berupa nasihat. Cukup sekadar kita menyatakan kita mengeluarkan "buah fikiran" kerana yang mengkategorikan kita memberi nasihat ialah si pendengar bukan si pemberi. Ada penyakit di dalam hati jika kita sendiri meletakkan diri kita di tempat yang kita belum tentu layak di situ.

Beliau juga berkata:

Mengapa tidak terus mengkritik Ariffahmi di depannya sebagai mana saya dan yang lain.

Anehnya, beliau sendiri tidak mengkritik orang yang dikatakan bersalah di dalam isu ini yang masing-masing maklum beliau membedilkan pelurunya kepada Husam Musa tetapi melakukan di belakang figur terbabit dengan tuduhan yang belum tentu benar:

yang pasti bersalah ialah orang yang membawa anda (kickdfella) ke Kelantan dan sedang menyuci diri membebas diri daripada anda di depan ayahanda.

Bukankah itu pemaparan watak yang hipokrit, cakapnya lain buatnya lain?

Yang ketiga ialah di akhir tulisannya di mana beliau menempelak jika ada yang yang melarang ayahnya meletak jawatan jika beliau berhasrat berbuat demikian "kerana ayahanda telah tua dan keletihan" malah menempelak dengan sesuatu tempelakan yang menepekkan ludah ke mukanya sendiri. Aduh duh duh:

Ayahanda telah tua dan keletihan. Dia telah memberi yang terbaik. Jika suatu hari dia menyebut hasrat meletakkan jawatan, jangan ada yang bodoh datang mengatakan tidak dan jangan. Jika tidak, saya akan memanggilnya, “Wahai si bodoh!”

Ia juga mengingatkan saya tentang seorang pemimpin yang disanjung tinggi oleh Nik Abduh yang menggunakan perkataan "celaka" ke atas orang lain yang kemudiannya dirinya ditimpa "kecelakaan" apabila dia dikatakan replika watak Pak Lah di dalam PAS.

Justeru itu berhati-hati memaki dan mengeluarkan kata-kata nista teristimewa untuk orang yang bergelar dari kalangan ugamawan.

Nizar Tetap MB Perak Yang Sah

Tinggi tu maknanye ataih. Takde mende yang lebih tinggi daripada tinggi. Nombor satu paling ataih ialah tinggi. Ituler yang teman paham tentang maksud tinggi.

Begitu jugaler kisahnye dengan mahkamah. Mahkamahpun ada tinggi rendah. Keputusan Mahkamah Tinggi adalah keputusan yang nombor satu sah dan tepat. Takde keputusan lain yang lebih sah selain daripada keputusan Mahkamah Tinggi. MB Nizar tetap MB Perak yang sah. ADUN Kota Seputeh di Kedah telah menjadi bekas ADUN. Begituler keputusan Mahkamah Tinggi. Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan hanya berfungsi sebagai melayan permohonan rayuan pihak yang bersalah jer. Keputusan berdasarkan kesian, bukannya berdasarkan bukti dan fakta. Mahkamah Rayuan kesian nengak rupa laku MB DPulau yang tak tentu arah hidupnye. Lebih kesian lagi nengak orang-orang UMNO yang idup deme udah tak keruan. Kulu kelo nadah tangan takde kojer. Nak noreh tak gheti. Nak ke bendang, tali ayor tak berayor. Kalo ada ayorpun, anak jantan anak dara takut ya amat lintah masuk celah kangkang. Biorler tak berpadi asaikan celah kangkang selamat. Ngago bocat lagiler deme tak sanggup. Karang celah kangkang dilanggor bocat.

Nasib baik ada Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Terjagaler sikit makan pakai UMNO. Kalo idak udah lama UMNO mengemih mintak sedekah. Tapi takat mana UMNO boleh bertahan? Gelombang kebangkitan rakyat semakin memuncak. Tindak tanduk Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan melayan PR semakin menaikkan rasa benci rakyat kepada UMNO. Rakyat UMNOpun getik dan malu nak ngaku yang deme tu UMNO. Awai tahun dulu dengan bangganye deme menampai stiker ‘Daulat Tuanku’ pada ceghomin keter deme. Punyaler taat setia deme pada sultan. Ler ni udah tak nampak. Apabila ditanye, malu ker? Idak aih. Apa nak dimalukan. Keme buang sebab stiker tu nyemakkan ceghomin jer. Ituler ghupe jawab deme. Agaknye orang UMNO memang dilatih nyawab macam itu. Memang UMNO derhaka ...

Tak payahler kite nunggu keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap MB Nizar. Udah tiga minggu bersidang, tapi tetap soh. Janji nak putuskan pada 5 November 2009. Hari ni udah 26 haribulan. Esok raye. Teman sebagai rakyat Perak tetap yakin bahawa MB Nizar adalah MB Perak yang sebenor-benornye sehingga PRU 13. Walaupun MB Nizar tak boleh bagi apa-apa lagi pada rakyat Perak, dia tetap MB Perak yang sah. Mahkamah Tinggipun udah ngesahkan MB Nizar adalah MB Perak. Cuma MB DPulau yang terhegeh-hegeh merayu mintak dikasihani. Janganler bagi MB Nizar masuk pejabat MB. Nanti mati UMNO yeop.

Apa-apapun teman tetap bersyukur. Alhamdulillah kerana Allah mengurniakan kesulitan ini di Perak. Kesulitan ini semakin membuatkan pimpinan PR kembali ke alam nyata. Allah sayangkan PR. Allah tak mahu pimpinan PR menambah dosa dengan sikap hakap dan haloba. Diharapkan selepas ini, apabila PR kembali menerajui Perak, terajuler keme dengan amanah, bukannye dengan kuasa. Jangan jadi seperti dulu, MB Nizar untuk PAS, Nga & Ngeh untuk DAP dan PKR apa ada? Itu pasallah deme lompat. Padan muka kome.

Esok kite raye weh. Selamat Hari Raya Eidul Adha kepada semua pembaca ... Maaf zahir & batin. -dango mamamat