28 Nov 2009

Aidiladha Tanda Pengorbanan Umat Islam

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menunaikan Solat Aidil Adha bersama pemimpin kerajaan negeri dan 10,000 rakyat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pagi tadi.

Walaupun sambutan Hari Raya Korban agak sederhana namun umat Islam digalakkan melakukan Solat Aidil Adha di pagi 10 Zulhijjah, diikuti dengan melaungkan takbir membesarkan Allah dan menyembelih haiwan ternakan.

Hari Raya Aidil Adha bukan setakat mengalirkan darah ternakan ke bumi malah ia adalah simbolik pengorbanan Nabi Ibrahim A.S. bersama anaknya, Nabi Ismail A.S menunaikan perintah Allah SWT.

Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid dalam khutbahnya mengingatkan umat Islam supaya sentiasa mempertahankan kesucian Islam melalui kepercayaan tauhid dan melaksanakan tuntutan agama secara konsisten tanpa dipengaruhi kepentingan mana-mana pihak.

“Masih ada segelintir umat Islam tidak yakin untuk melaksanakan Islam, dan masih ragu untuk hidup dengan melaksanakan sistem Islam yang syumul kerana takut tidak dipersetujui oleh orang-orang kafir, takut akan berlakunya huru-hara lalu menjadikannya alasan paling baik untuk tidak melaksanakan tuntutan Islam”, kata Tamyes.

Selain itu katanya, umat Islam dianjurkan bertakbir dan bertahmid sepanjang Hari Tasyriq iaitu pada hari kesepuluh, sebelas, dua belas dan diakhiri sesudah Asar pada hari ketiga belas bulan Zulhijjah yang disambut setiap tahun.

Tamyes turut mengingatkan Umat Islam supaya menghindarkan sikap mazmumah yang mementingkan urusan duniawi semata-mata sehingga sanggup meninggalkan tuntutan hukum hakam malah segelintirnya pula memperjuangkan maksiat dan kemungkaran.

“Pengorbanan Nabi Ibrahim bersama anaknya Nabi Ismail mengajar umat Islam semangat rela berkorban untuk menjunjung perintah Allah terutama pada saat umat Islam diserang wabak penyakit hubub dunia, iaitu terlalu sayangkan dunia, tamak kepada harta dan terlalu takut hilang sokongan”, jelasnya.

Hadir sama, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah; Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Exco Selangor, Yaakob Sapari, Iskandar Abdul Samad dan Datuk Dr Hassan Mohamed Ali. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN (TVS)



Tiada ulasan: