27 Nov 2009

Gesaan Muhyiddin Berbaur Ugutan -Khalid Samad

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad membidas gesaan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Tengku Razaleigh Hamzah mempertimbangkan semula jemputan mengetuai kokus royalti minyak dan gas.

Menyifatkan gesaan tersebut berbaur ugutan, Khalid melahirkan kekesalan dengan tindakan Muhyiddin yang dilihat cuba menghalang langkah Razaleigh membantu rakyat Kelantan.

“Bunyi statement Muhyiddin itu macam ada unsur ugutan pula ye.. kena fakir dulu dan sebagainya, itu macam kurang sedap didengar lah. Hakikatnya Tengku Razaleigh adalah antara pelopor . Dalam soal ini dialah mengasaskan atau memain peranan untuk menghasilkan Akta Petroleum” ujarnya.

Kerajaan Pusat mendakwa rakyat Kelantan tidak berhak menerima royalti minyak kerana punca petroleum terletak melebihi 3 batu nautika dari pesisir pantai negeri.

Tengku Razaleigh yang terlibat secara langsung dalam penggubalan Akta Petroleum 1974, dijemput Pakatan Rakyat mempengerusikan kokus royalti minyak dan gas, yang diadakan bagi merangka pindaan baru keatas Akta itu.

Muhyiddin bagaimanapun menyarankan Razaleigh supaya berhati-hati membuat keputusan kerana kokus ini dianjurkan oleh Pakatan Rakyat.

“Jadi saya agak peliklah mengapa kalau kita ingin memahami, niat dan tujuan serta hak-hak yang ingin dipertahankan oleh Akta Petroleum itu, mengapa Muhyiddin mengeluarkan kenyataan yang sebegitu. Sepatutnya dia menggalakkan”.

Ditanya sama ada gesaan Muhyiddin kepada mantan Menteri Kewangan itu akan mempengaruhi keputusan yang bakal diambil, ujar Khalid, Ku Li punya kredibiliti dan nilai integritinya sendiri sebagai seorang yang bertanggungjawab.

“Saya rasa itulah kehendak pihak kerajaan pusat tetapi Tengku Razaleigh mempunyai kredibiliti dan nilai integriti dirinya sendiri. Dan saya rasa diapun tidak mahu terlibat dalam usaha untuk yang jelas mengkhianati kerajaan negeri Kelantan dan dia pun kebetulan rakyat negeri Kelantan". -TVS



1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ku Li, Kalau tuan masih ada harga diri dan masih ada tersemat dalam hati akan hasrat untuk berbakti kepada rakyat Kelantan, rakyat tuan juga bagi mendapat kembali hak mereka, inilah masanya. Jelas, tiada sesiapa yang lebih layak serta lebih arif dalam perkara ini. Ayuh, segeralah. Nanti bila mati kelak dan perkara ini tak kesampaian, rabbul jalil sudah tentu akan bertanya.