Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata kedudukan beliau sebagai pemimpin nombor satu parti itu tidak terjejas walaupun ada pihak tertentu cuba menggambarkan sebaliknya.Katanya sokongan terhadap beliau daripada anggota parti peringkat akar umbi dan barisan pimpinan PAS lain, termasuk daripada Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, juga tetap utuh.
Mengakui mempunyai perbezaan pendapat dengan Nik Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan sebelum ini, Abdul Hadi menegaskan ia telahpun diselesaikan.
"Hubungan kami macam isi dengan kuku. Memang ada perbezaan pendapat tapi tetap bersatu, lebih-lebih lagi bila beliau (Nik Aziz) terima resolusi yang dibuat dalam seminar parti baru-baru ini," katanya kepada pemberita di sini.
Nik Abdul Aziz sebelum ini meminta parti itu mengadakan Muktamar Agung Khas bagi membolehkan perwakilan membuat keputusan mengenai kedudukan beberapa pemimpin PAS disifatkan sebagai bermasalah termasuk mereka yang pro-Umno.
Bagaimanapun parti itu memutuskan untuk mengadakan seminar politik pada 7 Nov lalu dan membincangkan masalah berbangkit.
Berhubung isu bai'ah, beliau menjelaskan bai'ah sumpah setia laknat yang diamalkan parti itu seperti didedahkan Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali hari ini, tidak menyalahi ajaran Islam.
"Bai'ah talak tiga tidak menjadi dasar atau konsep dalam PAS," katanya.
-- BERNAMA
Ulasan GB
Terlepas dari hasrat untuk merendahkan kewibawaan Presiden PAS, TG Haji Abdul Hadi Awang, namun jawapan Presiden PAS di atas saling tak tumpah jawapan yang diberikan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi satu ketika sewakti diminta oleh ahli UMNO untuk melepaskan jawatannya sebagai Presiden UMNO, apatah lagi waktu itu Abdullah berbeza pandangan dengan mantan PM, Tun Dr. Mahathir.
TG Abd Hadi sepatutnya memperbaiki kelemahan apabila menerima kritikan. Abd Hadi sepatutnya peka dan perihatin bahawa di zaman ini, tidak ada ruang untuk pemimpin yang lemah dan tidak energetik. Tidak ada ruang untuk pemimpin yang hanya pandai bercakap tetapi tidak mampu melaksanakan tugas pengurusan parti untuk membawa kecemerlangan kepada organisasi yang dipimpin.
Seorang pemimpin utama parti yang mulia perlu mendengar dan berterima kasih di atas segala teguran. Malah seorang pemimpin yang mulia perlu berani mengakui kelemahan dan bersedia untuk berundur jika tampak jelas dia gagal melaksanakan amanah dan menyerahkan kepada ahli untuk melantik pemimpin baru yang lebih berwibawa dan bertenaga. Seorang pemimpin yang mulia tidak perlu mendakwa masih menerima sokongan akar-umbi jika ia hanya sebagai satu agakan rambang semata-mata kerana belum ada yang mengemukakan usul undi tidak percaya.
Seorang pemimpin parti perlu bersiap seperti Umar Al-Khattab yang berterima kasih kepada pengkritiknya yang sudi menegur sekalipun dengan mata pedangnya.
Abd Hadi perlu proaktif, kreatif dan innovatif di dalam merangka program-program parti. Tidak sepatutnya terhad kepada isu kontemporari dan hal-hal picisan. Era berceramah, berpidato dan berretorika sudah berlalu. Kini era berlumba-lumba untuk bekerja. Era berlumba-lumba untuk kecemerlangan, dunia dan akhirat.
Lajnah-lajnah PAS sepatutnya digerakkan sama seperti kementerian-kementerian yang mengutamakan budaya kecemerlangan dengan Islam sebagai dasar bagi melonjakkan parti jika benar ingin menjadikan parti sebagai "kerajaan yang dinanti".
Kita juga tak suka nanti ada yang memegang sepanduk meminta Presiden parti kita TURUN seperti yang pernah dilakukan oleh rakyat terhadap Abdullah. Namun jika kritikan dan pandangan para ahli diabaikan, apa yang berlaku kepada Abdullah tidak mustahil akan berlaku kepada Abd, Hadi juga. Bukan untuk mengajar Abd Hadi (kerana siapa GB untuk melakukan demikian), tetapi itu sunnatullah dan sunnatullah tidak pernah berubah, mafhum Al-Quran.











.jpg)


