12 Nov 2009

Era Najib ALtantuya : Ku Li Akan Jelaskan Isu Royalti Minyak - Husam

Exco Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah bersetuju memberikan penjelasan berhubung pembayaran royalti minyak melalui satu ceramah anjuran Kerajaan Negeri.

Katanya, persetujuan Ahli Parlimen Gua Musang itu dibuat setelah beliau bertemu dengannya pada Sidang Dewan Rakyat dua hari lalu di ibu negara.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut melantik sebuah syarikat guaman untuk menjadi panel peguam bagi tuntutan wang royalti yang kini berjumlah RM2 bilion sejak hasil perolehan dibuat pada 2 Januari 2005.

“Tengku Razaleigh akan memberikan penjelasan mengenai perjanjian antara Kerajaan Negeri dengan Petronas yang telah dibuat pada 1975, kita tidak pasti lagi bila ceramah itu akan diadakan kerana Menteri Besar Kelantan (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) menunaikan haji di Makkah.

“Kalau sempat, kita buat sebelum Menteri Besar pergi. Jika tidak kita buat selepas itu,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini, semalam.

Husam berkata demikian mengulas perkembangan tindakan kerajaan negeri terhadap isu tuntutan pembayaran wang royalti yang sebelum ini berjumlah RM1 bilion melalui mahkamah berikutan pada 4 November lalu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembayaran wang royalti ditukarkan kepada wang ihsan dan ia akan dibuat pada tahun depan.

Nik Abdul Aziz semalam juga meminta supaya pembayaran wang ihsan daripada pusat seharusnya diberikan kepada Kerajaan Negeri untuk diuruskan dan bukannya melalui agensi pusat Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK) mahupun Petronas yang menaja Program Pembangunan Wilayah Pantai Timur (ECER).

Husam berkata, panel peguam akan membuat kajian serta meneliti fakta yang ada di dalam perjanjian yang telah dibuat sebelum menjelaskan kepada Nik Abdul Aziz.

Beliau berkata, berdasarkan fakta yang dikeluarkan di laman web mengenai Malaysia-Thailand Kawasan Pembangunan Bersama (JDA) hasil perolehan royalti kepada pusat berjumlah RM800 juta dan separuh daripadanya perlu diberikan kepada Kerajaan Negeri.

“Pusat terima RM800 juta bayaran tunai royalti minyak dan RM400 juta daripadanya perlu dibayar kepada Kelantan dan jika pembayaran itu dituntut sejak 2005 hingga tahun depan maka jumlahnya menjadi kepada RM2 bilion,” katanya.

Ditanya kenapa Kerajaan Negeri meneruskan tuntutan melalui mahkamah walaupun Kerajaan Pusat memberikan peruntukan wang ihsan, Husam berkata, melalui perjanjian yang telah dimeterai sebelum ini iaitu pada 1975, Kerajaan Pusat perlu membuat pembayaran tunai kepada kerajaan negeri hasil royalti minyak.

Katanya, Sarawak dan Sabah telah menerima bayaran royalti minyak walaupun operasi perolehan minyak lebih jauh tiga batu nautika daripada perairan negeri tersebut.

Menurutnya,, bagi kawasan JDA, Kabinet tidak pernah menafikan ianya bukan kawasan perairan negeri, jadi secara tidak langsung kawasan JDA itu adalah di bawah negeri Kelantan.

“Kami tidak mahu aniaya Pusat, kerana jika Kelantan berjaya mendapatkan tuntutan royalti minyak itu, bagaimana pula dengan wang ihsan yang telah diberikan,” katanya. -SH

Tiada ulasan: