13 Apr 2009

UMNO dan Mahathir Terus Nak Memperbodohkan Orang Melayu

Orang Melayu nampaknya masih terpesona dengan borak Dr. Mahathir Mohamed, masih mahu mendengar celoteh poli-tikus lihai yang pandai menjerat lawannya sehingga hampir semua pemimpin UMNO yang baik-baik dan pandai-pandai dihumban ke telaga buruk politik UMNO. Semua yang dihumban ke telaga buruk itu tidak muncul-muncul lagi, kecuali Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tampil dengan gerakan politik yang memukau rakyat Malaysia, sehingga tiga parti pembangkang terbesar (PKR, PAS dan DAP) dapat disatukan untuk menjadi Pakatan Rakyat.

Inilah yang menakutkan Dr. Mahathir Mohamed dan UMNO, walaupun mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk meyakinkan diri mereka dan rakyat bahawa tokoh-tokoh dalam Pakatan Rakyat hanya pandai bermain dengan retorik, tetapi tidak mampu menjadi pemerintah yang baik, dengan memberi bukti Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak dapat dirampas dengan mudah, dan yang lain-lain di empat negeri sedang digoncang untuk dicabut akarnya.

Maka tertubuhlah Kabinet Rakyat, sebuah kabinet kitar semula yang di dalamnya berkeliaran ketua-ketua parti yang telah ditolak rakyat, atau dipilih dalam perhimpunan parti yang bergolak dengan rasuah politik. Dengan memberi definisi rasuah politik itu sebagai pertukaran wang dalam perundingan pencalonan untuk memilih ahli Majlis Tertinggi UMNO, maka konsep rasuah disempitkan begitu rupa sehingga terbatas kepada pertukaran wang dalam beli-membeli undi di kalangan perwakilan UMNO. Padahal erti rasuah itu jauh lebih luas, yang seharusnya diketahui oleh anggota UMNO yang dididik dalam Islam Hadhari selama lebih dari lima tahun.

Dalam Islam, konsep rasuah itu diungkapkan dengan menyeluruh dalam konsep fasad, atau kerosakan besar dan terancang oleh manusia yang menentang hukum Allah. Siapakah yang menentang hukum Allah itu dalam politik Malaysia? Maksud pertanyaan ini dikhususkan kepada orang Melayu yang beragama Islam, terutama sekali kepada UMNO yang bersumpah untuk membela bangsa, negara, dan agama (Islam). Oleh sebab mereka telah mengaku dengan sesungguhnya bahawa mereka telus, jujur, ikhlas, dan beradab, maka mereka seharusnya, sewajarnya, menggunakan konsep rasuah dalam konteks fasad yang disebut oleh Al-Quran.

Konsep fasad seharusnya menjadi teras dalam membasmi rasuah dalam Islam Hadhari, kerana itulah ajaran Islam yang jelas tentang perbuatan rasuah. Dalam konteks inilah seharusnya pembangunan ekonomi, pembangunan politik, dan pembangunan masyarakat ditakrifkan dan dilaksanakan. Penjelasan tentang perkara ini boleh diberikan oleh pakar-pakar dalam bidang-bidang yang disebutkan, oleh itu tidak perlu dijelaskan di sini.

Yang lebih penting ialah pertanyaan-pertanyaan yang menjurus kepada penjelasan yang membolehkan kita mengerti mengapa kita menghadapi masalah sosial yang teruk, masalah ekonomi yang menekan rakyat, masalah politik yang memberi keutamaan kepada kuasa dan penggunaan kezaliman dalam mendapatkan kuasa itu melalui undang-undang yang diwujudkan untuk menyekat kebebasan bersuara dan bertindak dalam lingkungan nilai-nilai peradaban yang memihak kepada kebenaran dan kesejahteraan manusia, bukan kelangsungan kezaliman yang mencengkam rakyat.

Apakah pertanyaan-pertanyaan itu? Antaranya ialah: Mengapa kita perlu sebuah Putrajaya, yang di dalamnya termasuk litar lumba kereta yang membawa segala budaya lucah yang jelas bertentangan dengan Islam? Sejauh mana kita telah terjebak dalam tindakan berpaksikan fasad dalam membina bandar baru itu? Adakah Putrajaya contoh pembangunan berteraskan Islam? Seorang pakar seni bina dari sebuah universiti di Lembah Kelang berkata, kurang daripada 5% ciri Islam dan Melayu di Putrajaya.

Jadi ciri siapa yang menjadi kebanggaan kerajaan itu? Kita jangan lupa, pada mulanya Putrajaya dicadangkan diberi nama Taman Firdausi. Apakah tujuan sebenar nama itu dipilih pada mulanya, kemudian ditukar kepada Putrajaya? Jawapan kepada pertanyaan ini akan memberikan kita penjelasan yang tepat erti dan makna pembangunan yang dipakai dalam pembangunan ekonomi Malaysia yang dirancang oleh UMNO/BN. Inilah satu kajian kes yang perlu dibuat, kerana ini akan menyerlahkan hakikat sebenar projek pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan di Malaysia.

Kerajaan Malaysia menyewa Putrajaya, bukan memilikinya. Berapa sewanya setiap bulan? Siapa pemiliknya? Putrajaya Holdings Berhad. Siapakah tokoh-tokoh anggota pengurusannya? Siapa yang mendapat faedah daripada penyewaan harta itu? Sepatutnya tidak ada perkara yang perlu dirahsiakan tentang Putrajaya. Sekiranya Pakatan Rakyat memerintah nanti, bolehkah kerajaan Pakatan Rakyat menyewa Putrajaya? Kalau sudah ada “Kabinet Rakyat”, sudah patut benar rakyat tahu rahsia Putrajaya ini. Sepandai-pandai Si Luncai pun, rahsia khianatnya terbuka juga.

Pertanyaan lain yang tidak dapat dielakkan ialah: Mengapa kita perlu menggunakan bahasa Inggeris untuk belajar matematik dan sains? Dr. Mahathir Mohamed telah memberikan 26 dalil, yang sebenarnya bukan dalil, untuk mempertahankan kewujudan PPSMI dalam sistem pendidikan negara Malaysia. Yang dianggap dalil oleh Dr. Mahathir Mohamed bukanlah dalil, tetapi hanyalah sentimen beliau terhadap bahasa Inggeris, berasaskan andaian yang salah dan keliru tentang peranan bahasa dalam pembinaan tamadun manusia.

Jika anda mempelajari sejarah pemikiran manusia dan melihat bagaimana tamadun manusia dibina, maka anda akan dapat melihat dengan jelas dan terang, bahawa asas utamanya ialah bahasa dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan penggunaan bahasa yang tepat dan fasih. Sebelum ilmu perubatan dan fizik berkembang dalam tamadun Islam, telah lahir terlebih dahulu para genius dalam bidang-bidang sejarah, ilmu-ilmu bahasa dan sastera, filsafat (yang memerlukan penggunaan bahasa yang tepat dan jelas), undang-undang, politik dan semua jenis ilmu yang kini dipanggil ilmu-ilmu kemanusiaan.

Hanya selepas itulah baru lahir ahli sains dan ahli matematik, termasuk fizik, kimia dan lain-lain. Asasnya tetap bahasa. Tetapi di Malaysia terbalik, bahasa diabaikan. Yang terjadi ialah ramainya pakar-pakar sains dan teknologi yang bisu, yang tidak berupaya berbicara dengan teratur, tersusun dan fasih dalam ilmu yang mereka kuasai. Jika ada orang berkata, dengan kesedaran itulah maka Malaysia mengutamakan sains dan teknologi dengan menggunakan bahasa Inggeris kerana bahasa itulah yang senang dikuasai oleh rakyat Malaysia sebab mereka sudah biasa menggunakannya, dan itulah tujuan dan matlamat PPSMI.

Jika kita bertemu dengan orang itu, kita harus melemparkan tahi lembu ke mukanya, kerana cara berfikirnya bercorak dan bersifat kelembuan. Rasulullah SAW telah mengingatkan umat Islam dalam sebuah hadis sahih, yang dikutip oleh Sheikh Abdul Samad al-Palembangi dalam kitabnya, bahawa jika seseorang memuji seseorang lain, maka simbahlah debu ke mukanya. Pemikiran bercorak kelembuan ini tidak diasaskan kepada pengertian yang mendalam tentang prinsip-prinsip pembinaan tamadun manusia. Pemikiran bercorak kelembuan ini bukanlah pemikiran dalam pengertiannya yang hakiki, tetapi hanyalah peluahan sentimen berasaskan kejahilan tentang bagaimana ilmu-ilmu baru dibangunkan oleh ahli fikir dan pakar-pakar bidang tertentu.

Penjelasan tentang aspek ini amat diperlukan, kerana hampir semua ahli politik yang berada dalam UMNO dan Barisan Nasional tidak saja jahil tetapi menentang dengan gigih sebarang gerakan intelektualisme untuk mencerdikkan bangsanya. Adalah tepat dan jitu sekali jika orang membuat kesimpulan bahawa UMNO dan rakan-rakannya telah berjaya membodohkan bangsa Melayu dan rakyat Malaysia selama lebih 50 tahun, sehingga sampai ke kemuncaknya dalam projek PPSMI tajaan Dr. Mahathir Mohamed dan UMNO ini. Apa juga “hujah” palsu yang bercorak sentimen oleh Dr. Mahathir Mohamed dan rakan-rakannya adalah tidak lebih daripada sejenis bullshit semata-mata.

Seorang profesor filsafat dari Amerika Syarikat telah menghuraikan dengan terperinci mengenai masalah bullshit ini dalam budaya Amerika sendiri, dibahas dan dijelaskan dengan lebih mendalam oleh ahli-ahli falsafah dari Amerika dan England. Sila rujuk buku dan tulisan mengenainya oleh Prof. Harry G. Frankfurt berjudul “On Bullshit” (mula terbit seawal 1980-an, diterbitkan semula oleh Princeton University Press, 2005).

Corak pemikiran (??) bullshit seperti yang diutarakan oleh Dr. Mahathir Mohamed dan rakan-rakannya dalam UMNO telah dikritik dengan tajam oleh Prof. Syed Naquib al-Attas sejak tahun 1970-an lagi di Malaysia, dalam buku-bukunya yang tertulis dalam bahasa Inggeris (terutamanya Islam and Secularism, 1978) dan dalam rencana serta syarahannya. Apa yang disebut oleh Prof. Frankfurt sebagai bullshit itu dihuraikan oleh Prof. Naquib sebagai masalah kekeliruan dalam konsep ilmu. Orang-orang yang keliru konsep ilmunya itu menjadi biadab, lantas muncullah kehilangan adab secara meluas dalam masyarakat.

Akibatnya yang paling parah ialah munculnya para pemimpin palsu, yang memperoleh kuasa politik dan lain-lain dengan cara tidak beradab. Buku Prof. Syed Naquib al-Attas berjudul “Islam and Secularism” wajib dibaca oleh sesiapa saja yang ingin berbicara tentang adab dan ilmu. Orang-orang tidak beradab dan keliru ini tidak malu sedikit pun melontarkan bullshit mereka dalam akhbar, di TV, dalam syarahan mereka, dan dalam percakapan mereka. Dokumen palsu tentang 26 dalil mengapa PPSMI perlu dikekalkan adalah contoh klasik tentang aspek bullshit di kalangan ahli politik kita.

Hujah bercorak sentimen yang mengatakan bahasa Inggeris menjadi asas sains dan teknologi tidak saja karut dan bohong, tetapi juga satu penghinaan terhadap ahli-ahli ilmu Islam yang meletakkan asas tamadun moden Barat. Jika anda membuat kajian paling dasar sekali pun, anda akan dapat lihat berapa banyak istilah Arab digunakan dalam Ilmu Kimia, tak kurang dari 400 istilah. Jika anda teliti pula matematik moden, anda akan melihat di mana-mana anda berpaling wajah tersenyum dan warak seorang al-Khawarizmi, yang memperkenalkan aljabar dan mempopularkan angka sifar yang berasal dari India.

Malah angka yang kita pakai sekarang masih dipanggil Arabic Numerals oleh orang Barat sendiri. Angka itu kemudiannya ditinggalkan oleh ahli ilmu Islam kerana mereka mempunyai angka mereka sendiri yang serasi dengan tulisan Arab. Yang penting bukan menggunakan bahasa Inggeris untuk mengajar sains dan matematik, tetapi menggunakan kaedah yang membolehkan murid-murid mengenal keagungan sains dan matematik dalam Islam, yang menjadi asas tamadun Barat. Itu yang kita perlukan.

Itulah yang akan memberi ilham dan dorongan kepada anak-anak kita untuk mencapai taraf seorang Al-Farabi, Ibn Sina, Ibn Rushd (ulama besar dan ahli falsafah yang menghuraikan pemikiran Aristotle yang menjadi rujukan dan model kepada Barat), dan beratus lagi ahli sains dan matematik yang dilahirkan oleh tamadun Islam melalui bahasa Arab. Dengan berpaksikan Islam, orang Melayu pun akan mencapai ketinggian Ilmu dengan menggunakan bahasa Melayu. Hanya pemikiran kelembuan yang jahil saja yang tidak dapat melihat hakikat ini. Adalah tepat untuk kita membuat kesimpulan bahawa hanya orang yang berfikiran bullshit saja yang sanggup mengemukakan PPSMI untuk rakyat Malaysia dan bermati-matian pula mempertahankannya.

Jika anda melihat PPSMI dalam konteks yang dihuraikan oleh Prof. Frankfurt tentang bullshit dan Prof. Syed Naquib al-Attas tentang adab dan kekeliruan dalam konsep ilmu, anda akan faham mengapa PPSMI hanya sejenis bullshit sahaja, yang tidak perlu diwujudkan sama sekali. Membersihkan bullshit dalam pemikiran dan mengusahakan wujudnya konsep ilmu yang benar dalam masyarakat adalah tugas penting rakyat Malaysia, terutama di kalangan orang berilmu dan ahli akademik. Kerja begini tidak boleh dan tidak mungkin dilakukan oleh Si Luncai yang secara tabi’i jenis manusia penipu.

- Mohd Affandi Hassan

PASCA BUKIT GANTANG : Wawancara Terbaru Dengan Datuk Seri Nizar

PILIHAN RAYA Bukit Gantang ini dilihat begitu bermakna kerana ia boleh mencetuskan satu bentuk pemikiran yang berbeza bagi berdepan dengan pilihan raya lain. Ia juga mencetuskan tekanan dan kehendak rakyat Perak untuk dibubarkan Dun. Ahli Parlimen baru bagi Bukit Gantang, Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaludin mengupas perkara ini kepada Intan Abdullahdi kediamannya di Kampung Sungai Rokam, Ipoh, sehari selepas dinobatkan sebagai pemenang pilihan raya kecil kawasan itu 7 April lalu.

Bagaimana Dato’ Seri melihat ‘mood’ pengundi Melayu dalam keputusan pilihan raya kali ini?

DATO' SERI IR MOHAMAD NIZAR: Secara keseluruhannya, keputusan itu membayangkan bahawa rakyat Perak meletakkan kekecewaan mereka. Pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang ini rakyat telah memilih Pakatan Rakyat. Pada saat akhir tarikh penamaan calon memang ‘mood’nya itu adalah menyokong Pakatan Rakyat.

Tetapi pengundi Melayu ini mereka termakan juga dengan beberapa propaganda Umno-BN yang mencerminkan bahawa mereka ini payah lagi hendak berubah. Jadi saya nampak bahawa kami kena bekerja kuat untuk mengalihkan pandangan supaya kita dapat ubah persepsi mereka terhadap Pakatan rakyat ini.

Yang keduanya, ia juga mencerminkan kejumudan masyarakat di Bukit Gantang itu sendiri kerana ramai anggota masyarakat Melayu masih jumud dan tidak terbuka. Pemikiran lama masyarakat Melayu masih menebal.

Faktor yang menyebabkan keadaan ini akan dikaji. Antaranya termasuklah maklumat yang tidak sampai, masih dikongkong dengan pemikiran lama oleh pimpinan Umno, tidak dapat akses kepada maklumat yang betul. Ini menyebabkan mereka jumud dan tidak terbuka.

Tetapi pada masa yang sama, Pakatan Rakyat memperolehi sokongan yang luar biasa daripada masyarakat bukan Melayu. Apakah ini satu lonjakan?

Ini sememangnya telah dijangka pada peringkat awal kerana ‘mood’ orang Cina di seluruh negeri Perak dan ‘mood’ orang India ini mereka mahukan perubahan dan salah satu daripada manifestasi perubahan itu adalah dengan mengundi Pakatan Rakyat. Yang itu bukan hanya di Bukit Gantang, malah keseluruhannya.

Jadi, Bukit Gantang ini merupakan kemuncak apabila mereka memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat, yakni kepada PAS sendiri sepertimana dijangka pada peringkat awal lagi sokongan ini. Cumanya luar biasa ini dari segi sokongan itu memuncak itu oleh kerana ada faktor lain yang dicetuskan oleh pihak MCA, Gerakan pada saat akhir menyebabkan sokongan di dua dan tiga kawasan Cina menurun pada saat akhir.

Suasana kempen dan tekanan-tekanan ke atas Pakatan Rakyat bermula dari Februari sehingga kini. Adakah Dato’ Seri melihat pilihan raya ini merupakan satu episod politik jahat Umno-BN?

Saya melihat keputusan ini sebagai satu pungutan suara rakyat Malaysia umumnya dan Perak khususnya apabila kita tengok tragedi yang berlaku kepada negeri Perak setelah rampasan kuasa dibuat oleh Najib Razak sehinggalah kepada hari penamaan calon oleh kerana bukan kerana simpati namun sokongan itu tidak berbelah bahagi.

Puncanya kerana kezaliman, kerana mereka tidak boleh menerima hakikat. Kerajaan ini diambil begitu sahaja tanpa mengikut lunas-lunas perundangan. Jadi kita lihat mereka menterjemahkan kekecewaan itu dalam bentuk pilihan raya, pungutan suara itu sendiri.

Masyarakat Malaysia juga mengambil kesempatan ini untuk memberitahu kepada pimpinan Umno-BN bahawa pelantikan dan penurunan kuasa kepada Najib Razak itu tidak memenuhi kehendak dan aspirasi mereka yang mahu pimpinan yang bersih, cekap. Jadi, terdapat pelbagai tafsiran yang boleh kita duga dan timba daripada keputusan Bukit Gantang ini kerana ia mencerminkan dan mengeluarkan pelbagai isyarat kepada banyak institusi dan individu khususnya institusi politik.

Adakah ini bermakna kekalahan BN di ‘dua bukit’ merupakan petanda bahawa BN sudah tidak relevan?

Saya tidak tahu di Bukit Selambau, tetapi di Bukit Gantang ini, BN sama ada mereka tidak belajar atau tidak daripada kesalahan mereka itu, tetapi mereka telah mengulangi kesalahan mereka dengan mendera rakyat dan juga pengundi. Mereka mendera parti yang bertanding iaitu PAS dan juga mereka mendera saya sendiri sebagai calon.

Penderaan ini mereka buat beberapa kali sebelum ini, dan itulah yang menyebabkan kekalahan. Walaupun dahulunya mereka buat begitu juga tetapi oleh kerana dahulu suasananya berbeza kerana dan ‘timing’ untuk Bukit Gantang, jadi mereka laksanakan benda yang sama untuk Bukit Gantang dalam persekitaran yang berbeza dan juga dalam situasi yang berlainan, akibatnya apa yang dilakukan oleh mereka iaitu propaganda akhirnya memakan diri mereka sendiri.

Saya ingat mereka terlepas pandang apa yang berlaku pada hari ini adalah rakyat melihat kezaliman itu amat memuncak. Kezaliman ke atas Pakatan Rakyat khususnya kepada diri saya sendiri yakni penganiyaan itu, rakyat mungkin melahirkan pemberontakan ke atas kerajaan asal iaitu kerajaan Pakatan Rakyat. Semuanya itu diterjemahkan dan dimanifestasikan kepada keputusan pilihan raya ini.

Adakah Dato' Seri merasakan diri sendiri sebagai mangsa kepada keadaan ini?

Sudah tentulah sebahagian besar daripada pengundi Cina, dan bukan Melayu, mereka melihat saya sebagai mangsa penderaan, penganiayaan pada kerakusan. Mereka ini bukan ahli DAP, kebanyakan mereka ini adalah ahli MCA dan pengundi atas pagar. Untuk itu mereka telah menterjemahkan sokongan mereka kepada bentuk undian setelah berlaku penganiayaan kepada Pakatan Rakyat, khususnya saya.

Bagaimana dengan misi pertama Dato' Seri apabila melangkah ke Dewan Rakyat?

Selepas sesi angkat sumpah, maka kita akan buat persidangan. Tetapi kalau diberi peluang, sudah tentunya saya mahu mengucapkan syabas kepada semua pimpinan Pakatan Rakyat di peringkat Pusat, negeri dan bahagian khususnya di Bukit Gantang.

Keduanya juga saya ingin memberitahu kepada rakyat semua bahawa apa yang saya sebutkan tadi adalah natijah kepada semua itu. Yang ketiganya, hasil daripada kesemuanya ini menjurus kepada keputusan yang saya dan Pakatan Rakyat majukan di peringkat awal supaya pembubaran Dewan Undangan Negeri ini diadakan di peringkat awal.

Jadi, itu yang awal di peringkat saya kerana saya hendak menyelesaikan kemelut politik yang melanda di negeri Perak sekarang. Untuk itu, saya merasakan bahawa wajar bagi saya mengutarakan isu ini di Dewan Rakyat supaya masalah di negeri perak ini tidak berlarutan.

Kalau berlarutan macam mana?

Jika sekiranya perkara ini berlarutan, sudah tentulah krisis perlembagaan ini berkemungkinan perkara-perkara yang tidak baik berlaku yang menyebabkan kestabilan politik terjejas.

Sudah tentu agenda pertama ini memberikan keluhan supaya BN melihat apa yang saya lakukan itu suatu yang wajar dan apa yang mereka buat iaitu rampasan kuasa itu menafikan hak rakyat. Itu merupakan agenda asal yang saya hendak beri.

Kemudian kalau saya diberi peluang, saya ingin mengutarakan keresahan dan kekecewaan pengundi di Bukit Gantang khususnya kaum-kaum yang dipinggirkan dan miskin apabila kita lihat mereka cukup-cukup mundur. Saya mahu menegakkan bahawa mereka diberi perhatian daripada peringkat tertinggi sehinggalah ke bawah supaya Bukit Gantang ini dimasukkan sebagai satu senarai untuk diutamakan apa jua infrastruktur.

Nampaknya kenyataan Najib tidak akan ada "Projek Mee Segera" di Bukit Gantang suatu retorik politik?

Walaupun kita, Perdana Menteri kata beliau tidak akan melaksanakan projek-projek mi segera tetapi hakikatnya kita lihat kesemuanya itu masih dijalankan.

Keduanya, inilah satu-satunya tempat di Perak ini yang terdapat kawasan yang tidak ada bekalan air dan elektrik, jadi saya ingin menyuarakan perkara ini di dalam Parlimen. Bagaimana perkara ini boleh berlaku sedangkan kita menguar-uarkan bahawa negara kita maju, tiada orang miskin, tidak ada masalah pembangunan. Tiba-tiba selepas merdeka 51 tahun, masih lagi ada rakyat yang tidak boleh menikmati air, elektrik dan telefon. Ini keluhan rakyat yang kita rasakan ia perlu di ketengahkan.

Kes cabaran Dato' Seri terhadap keabsahan Kabinet Dun Perak di bawah Zambry (Abdul Kadir, MB Perak), apa perkembangan?

Sudah tentu permohonan saya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, untuk dibuat kajian penghakiman atau ‘judicial review’. Setelah saya mengikuti proses pada lebih kurang sebulan yang mana ada satu pihak tertentu yang mahu menyingkirkan dan mahu memaksa saya dan peguam saya untuk mengubah semula kajian penghakiman itu dalam konteks seolah-olah saya ini bermasalah dengan institusi kesultanan walhal pada peringkat awal saya telah terangkan apabila saya memfailkan kes ini ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Zambry.

Ia tidak melibatkan mana-mana pihak, tetapi di peringkat Peguam Negara dan juga di peringkat peguam Zambry sendiri termasuk penasihat undang-undang negeri seolah-olah mereka mahu mempercayai bahawa saya ini terlibat dengan hal saman-menyaman ini. Padahal ia tidak benar dan saya menafikannya. Kes ini telah dibincangkan di peringkat Mahkamah Tinggi ditolak oleh satu hakim ke atas hakim-hakim lain dibawa ke Mahkamah Rayuan, dibawa ke Mahkamah Persekutuan. Keputusan semuanya adalah menyebelahi pihak saya.

Maknanya dia ada kes prima facie...

Ya! Apa yang saya buat ini adalah terkandung di dalam Perlembagaan. Jadi, keputusan di Mahkamah Persekutuan supaya dibenarkan perbicaraan ini berjalan di peringkat Mahkamah Tinggi merupakan satu penghormatan kepada Pakatan Rakyat dan penghormatan kepada saya.

Ini merupakan satu tamparan hebat kepada Zambry dan Umno-BN. Yang mahu mereka tunjukkan bahawa saya ini menyaman Tuanku melalui surat-surat yang mereka telah formatkan, soalan yang mereka telah buat melalui pejabat peguam negara itu adalah soalan-soalan yang tidak langsung dipertikaikan oleh kami.

Dan soalan itu sekiranya tidak dibincangkan di Mahkamah Persekutuan pun telah jelas jawapannya, iaitu bahawa Tuanku memang mempunyai kuasa untuk melantik menteri besar tetapi persoalannya yang ingin saya katakan ialah di manakah peruntukan dalam Perlembagaan itu yang membenarkan Zambry mengangkat sumpah sebagai menteri besar? Itu sahaja, saya hendak memohon pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan pelantikan Zambry itu sebagai menteri besar tidak sah, itu sahaja.

Pilihan raya kecil Bukit Gantang adalah satu pilihan raya yang pelik, apabila perdana menteri, Ketua Pemuda Umno tidak turun berkempen dan memberikan semangat sedangkan pada masa yang sama, PM Abdullah sebagai perdana menteri yang bakal meninggalkan takhta pun tidak dipamerkan gambarnya. Apa sebenarnya yang sedang berlaku di dalam BN sekarang ini?

Apa yang kita lihat dalam Umno sekarang ini adalah perpecahan yang berlaku dalam Umno-BN sendiri. Apabila mereka baru sahaja menghabiskan Perhimpunan Agung mereka, perpecahan di kalangan mereka itu jelas kelihatan apabila mereka berdepan dengan Pakatan Rakyat di Bukit Gantang.

Yang keduanya, pemilihan calon itu sendiri tidak dipersetujui oleh satu pihak yang lain dan ketiganya kita lihat apabila ketiadaan Najib dan Khairy Jamaludin. Cuma Khairy muncul pada hari penamaan calon sahaja. Tetapi dalam kempen dan sebagainya kita tidak lihat kewujudan pemuda dalam jentera kempen.

Di semua peti undi yang saya dapat tinjau iaitu 38, yang mainkan peranan sepanjang kempen ini adalah jentera Puteri Umno sahaja. Puteri Umnolah yang saya lihat pergi dari rumah ke rumah, membentengi mana-mana pusat undi, di pusat-pusat gerakan mereka di pasar malam.

Tetapi daripada segi Pemuda Umno, Wanita, nampak seolah-olah tidak wujud kerana ini mencerminkan terdapat perpecahan antara Shahrizat Jalil dan Rafidah Aziz dalam Wanita. Dan Pemuda sudah tentulah antara Khairy dengan Mukhriz dan Khir Toyo. Presidennya tidak muncul langsung, hanya mengharapkan Puteri dan beberapa anak muda yang mereka ambil dari mana pun saya tidak tahu. Maknanya gerak kerja mereka memang mencerminkan perpecahan itu sendiri.

Dalam keadaan krisis kepimpinan di dalam BN, Dato’ Seri muncul di kalangan barisan pemimpin harapan bukan sahaja di Perak, malah di negara ini. PAS pula semakin popular dan indeks sokongan pula kian meningkat. Jika anak muda dan remaja mencari idola, mereka akan mencari seorang tokoh yang mempunyai ciri-ciri yang terdapat pada Dato’ Seri. Komen sikit.

Saya merasakan bahawa ini merupakan penghargaan dan penghormatan yang cukup tinggi kepada PAS kerana PAS memainkan peranan yang cukup penting dalam mengembangkan dakwah Islam. Tetapi disebabkan oleh hentakan dan juga propaganda daripada Umno, akhirnya apa sahaja yang hendak dibuat oleh PAS itu dikaburi oleh Umno sehingga diputar belitkan.

Apa yang saya terima apabila saya diberi amanah untuk menjadi Menteri Besar Perak saya cuba untuk menunjukan satu persepsi dan juga satu ‘appearance’ berkenaan pemimpin PAS ini dalam konteks yang lain.

Dan hasil daripada 10 bulan itu, pergerakan saya dalam mana-mana majlis bersama dengan pemimpin PAS yang lain cuma saya menyebutnya dalam konteks yang berbeza.

Mad'unya berbeza dan cara penyampaiannya juga berbeza. Alhamdulillah, inilah yang menimbulkan rasa keyakinan anak-anak muda di kalangan Melayu, Cina dan India mereka sanggup dan berkeupayaan untuk menukar undi mereka kepada PAS walaupun pada awalnya persepsi itu agak negatif.

Apakah ini kesan dari kepimpinan Dato' Seri sewaktu menjadi MB Perak selama 10 bulan lalu?

Alhamdulillah 10 bulan itu kita dapat cerminkan satu bentuk pimpinan yang berbeza yang berkemampuan untuk memimpin masyarakat dan saya anggap ini satu ujian kepada saya sebenarnya untuk menyatupadukan rakyat di negeri perak ini di bawah satu bumbung yang mana kalau kita lihat keyakinan rakyat bukan Islam dan kebanyakan rakyat Melayu juga berkehendakkan pimpinan yang ada ciri-ciri dan unsur-unsur yang hak atau yang betul. Yang mana inilah satu spesies yang cukup sukar untuk dicari.

Jadi, apabila saya menonjolkan ciri yang ada di dalam PAS, sudah tentunya ia boleh diterima oleh naluri manusia tidak kisah sama ada orang itu Cina, India, Sikh atau Melayu, mereka akan menerimanya. Jadi, hasil daripada penjelmaan itulah menyebabkan mereka memberikan penghormatan kepada PAS. Saya hanya sekadar menjadi ejen atau pemandunya. Yang mereka lihat hari ini adalah vehicle untuk membawa rakyat untuk pergi ke arah yang jauh lebih elok dan lebih sempurna.

Secara kesimpulannya, apa yang berlaku di Bukit Gantang ini adalah cerminan daripada mereka yang mahu merubah pemikiran mereka untuk menyokong PAS dan mengambil saya sendiri, mengiktiraf saya sebagai pimpinan PAS yang mampu menyatukan ke kemuncak yang lebih cemerlang.

Adakah Dato' Seri akan berbuat sesuatu untuk memulihkan sokongan Melayu kepada PAS?

Di Bukit Gantang sendiri terdapat peluang yang boleh saya gunakan untuk memberikan keyakinan orang Melayu kepada pimpinan PAS khususnya kepada saya dalam konteks kita hendak membersihkan apa sahaja maklumat yang hendak diputar-belitkan oleh Umno. Dalam hal ini PAS berkemampuan untuk menggunakan pendekatan yang sama dengan masyarakat Cina dan India.

Jadi, masyarakat Melayu ini hanyalah kita menggunakan jentera dalam PAS termasuklah lajnah-lajnah untuk diperluaskan lagi gerak kerja mereka dan diperbanyakkan frekuensi untuk bertemu mereka.

Kalau sekiranya menggunakan lajnah-lajnah dan dewan dalam PAS ini bermasalah maka terpaksa kita gunakan beberapa institusi lain dalam PAS seperti NGO, kelab penyokong PAS yang akhir-akhir ini banyak wujud. Inilah beberapa institusi yang boleh kita guna dan pelbagaikan dalam menyampaikan seruan yang baik kepada masyarakat Melayu.

Mesej kepada pengundi dan petugas Pakatan Rakyat?

Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengundi khususnya di Kuala Sepetang, changkat Jering dan Trong yang telah memberikan sokongan kepada pakatan rakyat yang mana saya wakili.

Kedua, saya bertanggungjawab untuk mengambil apa jua ‘feedback’ dan apa sahaja maklumat yang diperolehi daripada petugas dalam dan luar negeri yang telah bertemu dengan pengundi secara ‘direct’ dan tahu masalah mereka. saya memohon kepada mereka memajukan masalah-masalah ini.

Ketiga, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua petugas Pakatan Rakyat khususnya daripada PAS, DAP dan KeADILan seluruh negeri Perak dan seluruh Malaysia.

Yang mana PAS negeri-negeri ini telah berkampung di Air Kuning, dan sekarang mereka telah melaksanakan yang cukup baik daripada apa jua aspek pun khususnya dari Kelantan, Terengganu, dan semuanya. Mereka telah menyumbangkan wang ringgit, tenaga dan peralatan untuk memenangkan PAS.

Yang keempat, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penulis blog (bloggers) dan pihak media sama ada media bebas, luaran dan dalaman yang membuat liputan yang baik berkenaan pilihan raya ini khususnya dalam menangkis serangan yang dibuat Umno-BN. Kita juga lihat dalam pilihan raya Bukit Gantang ini memberikan gambaran dalam janji PM pertamanya untuk membebaskan tahanan ISA ini dibuat dalam konteks pilihan raya di Bukit Gantang maka dalam konteks ini saya menyeru supaya hendaklah dimansuhkan ISA itu sendiri dan semua tahanan ISA dibebaskan tanpa ada syarat.

Seterusnya kita lihat, kalaulah sekiranya orang Melayu sebelum ini di Bukit Gantang isu yang dimainkan adalah boneka kepada DAP, memenuhi hasrat DAP, tetapi apa sahaja yang dibuat oleh Umno-BN dapat dinilai melalui apa yang disampaikan kepada satu sekolah Cina dengan memberikan RM1 juta tanpa sebarang sebab.

Yang ini kalau orang Melayu fikir-fikirkan, apa yang kami buat untuk membantu sekolah-sekolah agama rakyat dan orang miskin yang masih lagi ditafsirkan sebagai boneka, maka inilah yang berlaku apabila Muhyiddin Yasin pergi ke sekolah Cina Sin Min di Simpang dan menjanjikan RM1 juta meninggalkan sekolah-sekolah yang lain.

Apakah ertinya ini?

Kalau kita lihat, ini membonekakan diri mereka sendiri. Walaupun saya tidak menyatakan ini dalam konteks perkauman tetapi saya hendak menunjukkan bahawa Bukit Gantang ini mengetengahkan isu boneka, walhal mereka lah yang sebenarnya boneka sehingga sanggup memberikan sampai RM1 juta yang saya rasakan bahawa ini tidak adil kerana sepatutnya mereka hendaklah memberikan secara sama rata kepada sekolah-sekolah kebangsaan yang lain.

Dan akhir sekali saya mengharapkan kepada semua petugas yang berada di Bukit Gantang sendiri didokumentasikan dalam bentuk kertas kerja yang elok merupakan satu koordinasi kerja yang elok, yang ini perlu dibawa pengalaman Bukit Gantang ini ke peringkat yang lebih tinggi untuk dijadikan sebagai semangat dan pengalaman untuk berhadapan dengan pilihan raya umum yang akan datang.

Apa istimewanya pilihan raya kecil Bukit Gantang ini?

Pilihan raya Bukit Gantang ini dilihat begitu bermakna kerana ia boleh mencetuskan satu bentuk pemikiran yang berbeza bagi berdepan dengan pilihan raya lain. Ia juga mencetuskan tekanan dan kehendak rakyat Perak untuk dibubarkan Dun.

Sebab itu saya nyatakan bahawa ia sebagai satu ‘turning point’ untuk pendemokrasian pilihan raya secara terbuka juga untuk memberikan pelajaran baru kepada SPR, PDRM dan jabatan-jabatan kerajaan supaya mereka tidak mudah diperalatkan oleh Umno-BN.

Maka kalau diteruskan sehingga pilihan raya umum ke-13 sudah tentulah Pakatan Rakyat mempunyai peluang yang cukup elok. Kalaulah agensi kerajaan ini tahu mereka diperalatkan maka mereka tidak membenarkan diri mereka diperalatkan. Maka pada pilihan raya umum ke-13 atau pembubaran Dun Perak tidak lama lagi ia memberikan masa depan yang cukup baik kepada Pakatan Rakyat.

- sanggahtoksaga

Najib Altantuya Gagal Nak Perkenalkan Dirinya PM Malaysia Yang Baru

Persis satu misi yang tak direstui, Datuk Seri Najib Razak gagal untuk memperkenalkan dirinya sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baru kepada pemimpin-pemimpin ASEAN di Sidang Kemuncak Asean ke-14 di Thailand kelmarin apabila persidangan itu terpaksa dibatalkan kerana tunjuk perasaan anti-kerajaan yang berlaku dinegara tersebut.

Najib yang berlepas ke Pattaya, Thailand pada Jumaat lepas untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean Ke-14 telah memendekkan lawatannya semalam berikutan kerajaan Thailand mengisytiharkan darurat di Pattaya, selepas ribuan penunjuk perasaan anti kerajaan menyerbu tempat berlangsungnya sidang kemuncak itu di Dewan Pameran dan Konvensyen Pattaya sehingga menyebabkan keseluruhan persidangan terpaksa dibatalkan.

"Agak malang sekali pertemuan-pertemuan saya dibatalkan satu per satu selepas pemimpin-pemimpin lain juga tidak dapat meninggalkan atau masuk ke tempat persidangan diadakan."

"Nasib baik, dengan bantuan angkatan bersenjata dan polis Thai, kami telah sampai ke lapangan terbang dalam perjalanan pulang, dengan selamat," katanya yang tiba di tanah air pada pukul 7.30 malam kelmarin.

Kerajaan Thailand semalam telah mengisytiharkan perintah darurat di ibu kota Bangkok dan lima wilayah berdekatan dalam usaha membendung penunjuk perasaan anti kerajaan.

Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva, yang membuat pengumuman perintah darurat menerusi televisyen kebangsaan, berkata perintah itu juga membabitkan Samut Prakan di mana terletak Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Nonthaburi, Pathum Thani, Nakhon Pathom dan Ayutthaya.

Pengumuman perintah darurat itu dilakukan sehari selepas perintah sama diisytiharkan di Pattaya sebelum dibatalkan tujuh jam kemudian selepas kesemua pemimpin ASEAN dan rakan dialog mereka meninggalkan negara itu.

Keadaan di Bangkok menjadi tegang selepas polis menahan seorang bekas penyanyi popular dan bekas penggubal undang-undang Arisamun Pongruengrong, sekutu bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, hari ini kerana memimpin gerakan memprotes di Pattaya.

Perusuh "Baju Merah" bergegas ke Kementerian dalam Negeri di sini di mana Abhisit sedang mengadakan perbincangan dengan pegawai kanan keselamatan negara.

Laporan berita televisyen menyebut Abhisit meninggalkan pejabat kementerian itu sebelum perusuh tiba tetapi beberapa orang cedera dalam pergelutan dengan anggota keselamatan dan beberapa das tembakan dilepaskan.

Pasukan polis dan tentera dijangka menyuraikan kira-kira 2,000 penunjuk perasaan anti kerajaan yang kini menghuni semua jalan menuju ke Rumah Kerajaan sejak 26 Mac lepas.

Bilangan penunjuk perasaan yang menjangkau 100,000 pada Rabu lalu, kini berkurangan kerana kebanyakan mereka pulang untuk menyambut festival Songkran (pesta air) bermula esok.


UMNO Nak Kaji Islam Hadhari, Ust Nasha Gesa Buang Terus

Konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi tidak perlu dikaji semula tetapi sebaliknya mansuhkan terus, kata TImbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa.

Beliau berkata, tiada sebarang manfaat diperoleh sepanjang ia dilaksanakan, sebaliknya hanya menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam di negara ini sama ada Islam Hadhari itu adalah sebuah agama baru atau sekadar konsep.

“Saya tidak melihat sebarang pelaksanaan dibuat bagi memartabatkan Islam. Segala yang terkandung dalam konsep Islam Hadhari itu memang sudah dituntut dalam Islam,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Laporan akhbar semalam memetik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jen. (B) Datuk Jamil Khir Baharom akan mengkaji semula konsep Islam Hadhari bagi memastikan keberkesanan dari segi pendekatan dan penerimaan rakyat terhadapnya.

Nasharudin berkata, tiada kesan positif sebelum dan selepas pelaksanaan konsep tersebut, sebaliknya keadaan umat Islam dilihat masih mendatar dan lebih malang lagi menjadi lebih keliru.

“Umat Islam dan sistem perundangan syariah masih berada di takuk lama. Justeru tindakan mengkaji semula konsep tersebut hanya satu usaha sia-sia yang tidak akan mendatangkan hasil,” kata Ahli Parlimen Bachok itu.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Perak, Ustaz Norazli Musa menyokong kenyataan Timbalan Presiden Pas itu dan turut mencadangkan supaya menghapuskan konsep Islam Hadhari.

“Pada pandangan saya, Islam Hadhari ini tidak perlu dikaji, tetapi dihapuskan. Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW adalah Islam sebenar yang diturunkan oleh Allah SWT dan wajib diikuti oleh semua umat Islam,” katanya.

Menurutnya, kekeliruan yang timbul itu menyebabkan Islam Hadhari diharamkan di Selangor.

Beliau berkata, kepincangan dalam UMNO pada hari ini menggambarkan bahawa Islam Hadhari gagal dibawa oleh pemimpinnya sekali gus menunjukkan konsep tersebut tidak berkesan bagi membawa perubahan dalam peradaban.

Namun begitu, Norazli berkata, tidak menjadi kesalahan untuk mewujudkan satu peradaban Islam yang moden, tetapi perlu berlandaskan kepada acuan Islam yang sebenar supaya konsep Islam itu sendiri tidak disalah tafsirkan oleh masyarakat.

UMNO : Semi Biografi Si Pembakar Jambatan Bernama Rais

KATA Rais Yatim rahsia kenapa dia masih boleh kekal dalam Kabinet dan mampu berkhidmat dengan lima perdana menteri ialah kerana beliau tidak memijak kepala orang. Maksudnya beliau tidak jahat dalam politik, tidak ada permainan jatuh menjatuh, fitnah memfitnah dan adu domba. Sebaliknya beliau lebih tegas dan menumpukan kepada kerja. Dia juga tidak mencampuradukkan antara tujuan dengan politik yang kotor.

Bagus sungguh Rais Yatim ini. Betulkah Rais Yatim tidak pijak kepala orang?

Mungkin betul? Tidak terdengar Rais Yatim pijak mana-mana seteru politiknya. Mungkin tragedi politik yang menimpa bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Mukhtar Hahsim yang dituduh membunuh Datuk Taha 30 tahun lalu tidak ada kena mengena dengan Rais!

Peristiwa ini hanya Mukhtar Hashim saja boleh menceritakan sejauh mana terlibat ataupun tidaknya si Rais Yatim yang mana ketika itu mereka berdua merupakan pesaing politik utama di Negeri Sembilan.

Rais ada ilmu dan caranya tersendiri. Politiknya sangat licit dan membelut.

Kalau tidak licit dan lincah masakan orang yang sudah berada di luar Umno, menentang Umno tetapi bolah tercokol semula dalam parti itu dan menjadi menteri. Tentulah dia ada penawar tersendiri.

Cara Rais masuk ke dalam Umno dan bertukar parti lebih lunak dan bergaya daripada orang-orang yang seoportunis dengannya. Kejahatan Rais dalam politik tidak terkesan oleh sesiapa. Bayangkan orang yang telah membakar jambatan tetapi boleh terus menyeberangi sungai yang arusnya deras dan airnya dalam. Itu satu kehebatan kan?

Barang kali orang hairan dan kagum dengan Rais bagaimana dia boleh masuk semula dalam Umno Bahagian Jelebu. Bagaimana dia kecek ketua bahagian Yunus Rahmat agar memberi dia laluan bertanding kerusi parlimen Jempol tahun 1999.

Entah Rais pakai cendui ataupun jampi serampah apa menyebabkan Yunus Rahmat lembut hati dan menyerahkan kerusi begitu mudah kepada Rais?

Sebagai balasannya Rais hanya melantik Yunus Rahmat sebagai setiausaha politiknya kemudian pegawai di kementerian disandangnya, itu saja.

Saya setuju sangat kalau Rais kata dia tidak pijak kepala orang untuk melonjak dalam politik. Kepala Yunus pun dia tidak pernah langkah. Sebaliknya Yunus atas kepercayaan kerana terpukau atas kepetahan bicara politiknya menyerah kepalanya untuk dilangkau oleh Rais.

Satu kelebihan ada kepada Rais ialah pandai bodek (ampuisme), rayu dan pujuk.

Dia menggunakan kepetahan bahasa adat pepatihnya untuk memukau orang. Itulah jampi serampahnya memuji si ketua sehingga ketua lena dan terlupa kejahatannya. Cara Rais berpolitik macam maling yang pandai memukaulah... mulanya dia kecek tuan rumah bila tuan rumah terpengaruh dia masuk rumah kebas habis semua barang.

Cerita Rais pandai dan bijak membodek menggunakan ayat-ayat berjiwa ini memang terkenal di kalangan ahli politik Umno. Orang teruja dengan Rais kerana bahasa dan intonasi suaranya. Ucapannya juga boleh memukau sehinggakan yang benar jadi salah, yang salah jadi benar.

Tahun 1987 dialah yang dikatakan menjadi juara memujuk Tengku Razaleigh Hamzah supaya menubuhkan parti Semangat 46. Dialah yang membodek dan memberi baja kepada Tengku Razaleigh. Dialah orang utama yang menjadi pemukaunya.

Bacaan politiknya ketika itu Semangat 46 boleh menjadi alternatif kepada Umno. Rais sudah mengira kalau Semangat 46 menang dialah yang akan jadi timbalan perdana menteri. Dalam Semangat 46 dia adalah timbalan presiden. Walhal pengorbanannya untuk parti itu tidak ada apa-apa dan modalnya hanya air liur saja.

Selepas Rais menyedari Semangat 46 tidak akan pergi ke mana, dialah yang menjampi Tengku Razaleigh supaya bubar parti berkenaan. Ramai-ramai menyertai Umno. Entah mentera apa yang Rais gunakan akhirnya Tengku Razaleigh bersetuju untuk bubar Semangat 46. Dipercayai Rais sudah berunding dengan Mahathir sebelum meminta Tengku Razaleigh membubarkan Semangat 46.

Tengku Razaleigh tanpa banyak cerita terus membubarkan Semangat 46 kemudian menyertai Umno. Maka terlenggaklah Tengku Razaleigh kerana ingat dia akan dipanggil masuk dalam Kabinet. Tunggu punya tunggu buah tidak gugur-gurur! Walhasil balik asalnya pada tahun 1999, Rais Yatim yang dibawa masuk ke dalam Kabinet oleh Mahathir, manakala Tengku Razaleigh hanya menguah di luar macam kerbau rabit hidung sahaja.

Apa lagi setelah dapat menjadi ahli Kabinet semula, lena dan kenyanglah Rais di dalam Umno. Perhubungan dengan Tengku Razaleigh pun sudah menjauh. Kalau boleh Tengku Razaleigh pun tidak nak disebut dan dikenang lagi bimbang takut terkena tulah.


Pujaan dan tokoh idola Rais selepas itu ialah Mahathir. Segala dasar dan polisi Mahathir yang dikecam semasa Semangat 46 dimansuhkan semuanya. Kritikan yang dilemparkan ke atas Mahathir sebelum ini bagaikan di laku sewaktu sawannya menjelma. Seolah Rais tidak sedar.

Apabila Abdullah Badawi mengambil alih jawatan PM dari Mahathir, maka kiblat penyanjungan Rais berpidah pula kepada Abdullah. Berasap dipuja dan dipuji Abdullah Badawi. Kelemahan Abdullah ditasifrkan sebagai berhemah, sedarhana dan itulah kelebihan yang ada kepada Abullah. Bahasa dan bidalan perpatih sekali lagi dijadikan alat untuk memuji dan mengangkat Abdullah setinggi langit biru. Hasilnya Abdullah terus memberi kerja kepada Rais sebagai menteri.

Apabila beliau sudah menyedari Najib Razak sudah mula merangkak untuk naik dan menelan Abdullah, Rais mula bercakap beralih fesyen. Cakap-cakapnya mula menyindir dan menyinis kerajaan. Kelemahan dalam Umno juga digembar gemburkan. Umno perlu perubahan dan Melayu perlu diperkuatkan. Secara simbolik apa yang diucap dan disarankan Rais itu untuk membaham Abdullah.


Lalu Najib pun menjadi idola baru Rais. Najib mula diberi perhatian orang yang boleh melanjutkan survive politiknya. Hilanglah Abdullah seperti mana menjauhnya Tengku Razaleigh dari dirinya. Itulah sikap dan stail Rais.

Seperkara lagi Rais juga seorang yang rela membatalkan ikrarnya sendiri. Dia sanggup menafikan tesis Phdnya sendiri untuk menghalalkan tindakan menyertai Umno. Bayangkan bagaimana ketegasan dan berprinsipnya seseorang itu kalau sampai sanggup untuk menafikan tesisnya sendiri semata-mata kerana ingin rujuk semula kepada parti yang dicaci dan dimakinya.

Selain dari itu satu lagi kekuatan Rais ialah isterinya, Masnah Rais. Peranan Masnah dalam kerjaya politik Rais cukup penting. Bahkan kejayaan Rais menjadi menteri semula adalah hasil usaha isterinya. Isterinyalah yang beriya mahukan Rais menyertai semula Umno dan dilantik menjadi menteri.

Hubungan Masnah dengan isteri PM atas kapasiti ahli Bakti – isteri menteri dan bekas menteri digunakan Masnah untuk melobi suaminya. Masnah dikatakan baik dengan Siti Hasmah dan aruwah Hendon Mahmod. Cerita bagaimana Masnah melobi untuk suaminya diketahui oleh semua ahli-ahli Bakti!

Dan Rais pula bila berdepan dengan Masnah tidak bisa berbuat apa-apa melainkan kena ikut dan turut saja. Bahasa pepatihnya juga hilang tiba-tiba bole berhadapan dengan Masnah.

Itulah kehebatan dan modal besar yang ada kepada Rais. Disamping beliau tidak memijak kepala orang, isteri dan daya bodek yang ada kepadanya cukup ampuh dan itulah meletakkan beliau ditempat hari ini. Makanya ampuisme adalah antara model penting yang harus ada kepada ahli politik yang ingin berjaya!

- Mohd Sayuti Omar


BONGKAR: Taktik Jahat UMNO Untuk Menang Pilihanraya Akan Datang

Bongkar! UMNO cuba menggunakan taktik yang telah dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk meraih kemenangan semula melalui penipuan.

Ini berdasarkan kepada kenyataan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa Kementerian Pertahanan akan menubuhkan satu batalion Tentera Wataniah di kesemua 222 kawasan Parlimen dalam usaha memantapkan sistem pertahanan bagi seluruh negara.

Beliau berkata pasukan pertahanan itu akan mengandungi 300 anggota bagi setiap platun yang terdiri pelbagai kaum dan bilangan anggota secara keseluruhan dijangka 600,000 dalam tempoh lima tahun akan datang.

Mengimbas kembali pilihanraya 1999 Najib hanya menang dengan majoriti 242 undi. Itu pun selepas dibawa masuk tambahan 2,400 undi dalam bentuk undi pos. Apabila konstituensi itu diubah semula, satu kem pasukan tentera darat dan tentera udara telah diselitkan daripada kawasan Mentakab dan Kuantan, sekali gus menokok 4,000 undi dalam lingkungan kawasan pilihan raya Pekan. Pada luaran sahaja Dato Najib pasti mampu menang mudah di sana. Kemenangan Najib bagi tahun 2004 jauh lebih besar.

Dengan cara yang sama itulah Najib kini mengajar Zahid Hamidi untuk mempergunakan Kementerian Pertahanan bagi menambahkan undi untuk UMNO-Barisan Nasional untuk pilihanraya akan datang. Taktik kotor dirancang supaya kesannya berpihak kepada mereka untuk setidak-tidaknya di dalam pilihanraya umum akan datang.

Kita boleh mengesani penipuan pengundi-pengundi pos yang mana nama seorang pengundi terdapat lebih dari satu. Atau dengan kata mudah, nama dia ada kat tempat lain jugak dengan mengubah sedikit nombor tentera yang dipegang oleh seseorang pengundi. Sebagai contoh:

Sila semak secara ‘random’ nama2 dibawah ni di database SPR dan saksikan sendiri jawapan nya… http://daftarj.spr.gov.my/daftarj/

Match 1
T0705196, SHAMSUDDIN BIN JUSOH, 1956, 085 PEKAN
T705196, SAMSUDDIN B JUSOH , 1956, 118 SETIAWANGSA

Match 2
T0708111, JEROME LUCAS A/L LUCAS LOUIS, 1958, 085 PEKAN
T708111, JEROME LUCAS A/L LUCAS LOUIS, 1983, 107 SUBANG

Match 3
T0713078, SAIDI BIN ISMAIL, 1961, 033 BESUT
T713078, SAIDI BIN ISMAIL , 1961, 118 SETIAWANGSA

Match 4
T0713701, AMRAN BIN AWANG, 1966, 033 BESUT
T713701, AMRAN B AWANG, 1966, 196 STAMPIN

Match 5
T0713794, MOHAMAD SHAMMI BIN AHMAD, 1965, 033 BESUT
T713794, MOHAMAD SHAMMI BIN AHMAD, 1965, 085 PEKAN

Match 6
T0713844, JOHNNY HARPER@NORAZMAN BIN IBRAHIM, 1965, 159 PASIR GUDANG
T713844, JOHNNY HARPER @ NORAZMAN BIN IBRAHIM , 1965, 118 SETIAWANGSA

Match 7
T0713938, HIPPENI BIN HAMZAH, 1964, 033 BESUT
T713938, HIPPENI B HAMZAH, 1964, 196 STAMPIN

Match 8
T0714086, MOHAMAD NOR AHADI BIN HARUN, 1965, 033 BESUT
T714086, MOHAMAD NOR AHADI BIN HARUN, 1965, 085 PEKAN

Match 9
T0714250, ZAKARIA BIN ABU BAKAR, 1967, 033 BESUT
T714250, ZAKARIA B ABU BAKAR, 1967, 085 PEKAN

Match 10
T0714255, ZIHATOL IHAZAIR BIN SAYUTI, 1964, 033 BESUT
T714255, ZIATOL IHAZAIR BIN SAYUTI, 1964, 107 SUBANG

Itu baru 10, dan kedapatan beribu-ribu pengundi di dalam daftar pemilih bagi pengundi pos dengan yang berada di pusat penyemakan.

Zahid berkata :“Penubuhan Tentera Wataniah adalah sebagai usaha untuk membantu angkatan tentera dalam menjalankan tugas menjaga keamanan negara.”

Kita ingin bertanya kepada Zahid semejak negara mencapai kemerdekaan, bilakan masanya kita diserang oleh dari darat, udara atau laut oleh pihak tentera dari luar?

Jelas menunjukkan bahawa tiada justifikasi lansung terhadap langkah Kementerian Pertahanan tersebut dan sewajarnya ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat menentang usaha tersebut di Dewan Rakyat bagi menghalang perencanaan jahat manusia-manusia gila kuasa dari UMNO-BN ini.



12 Apr 2009

Pertubuhan NGO Berhimpun Sokong Elizabeth Wong

Sokongan terhadap ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong tetap diteruskan oleh persatuan-persatuan penduduk Bukit Lanjan, serta badan-badan bukan kerajaan.

Bertempat di Dewan Serbaguna BU3 di Bandar Utama menyeru Elizabeth Wong mengambil tempatnya semula sebagai wakil rakyat mereka. Mereka yakin dan terus menggesa Pakatan rakyat dan kerajaan negeri Selangor supaya mendahulukan hasrat warga Bukit Lanjan di dalam timbangtara masa hadapan kareer politik Elizabeth Wong.

Beliau terkenal sebagai aktivis alam sekitar dan sangat tegas dalam usaha melindungi alam semula jadi dan perkhidmatan beliau masih diperlukan di dalam memperjuangkan isu-isu tersebut.

Elizabeth Wong menjadi mangsa kepada penyebaran gambar aib dan kini telah diberikan cuti oleh Menteri Besar Selangor setelah siasatan polis selesai. Kerajaan negeri Selangor meletakkan sehingga 15 April sebagai tarikh akhir untuk menentukan status Elizabeth Wong sebagai ADUN dan exco negeri Selangor.

Diantara pilihan yang ada di tangan kerajaan negeri ialah menerima perletakan jawatan Elizabeth sebagai ADUN dan exco Selangor, menerima perletakan jawatan sebagai exco dan mengekalkan beliau sebagai DUN Bukit Lanjan atau menolak perletakan jawatan Elizabeth.

Perhimpunan yang juga menyaksikan kehadiran ADUN Kota Damansara Dr Nasir Hashim yang telah turut menyatakan sokongan kepada Elizabeth.

Sebelum ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj telah menyerahkan kepada Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk membuat keputusan membabitkan isu Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Elizabeth Wong.

Sultan Sharafuddin menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Sulit baginda bertitah yang baginda tidak dapat memberikan panduan atau nasihat kepada Dato’ Menteri Besar dalam hal itu kerana ia masih dalam siasatan pihak polis.

Selain melibatkan kedudukan Elizabeth yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan dalam politik, Mohamad Munir berkata sebagai Sultan, baginda sememangnya berkecuali dalam hal ehwal politik.

“Baginda selanjutnya menyatakan keyakinan baginda atas apa jua keputusan yang bakal diambil oleh Dato’ Menteri Besar dan percaya bahawa ianya dibuat secara adil dan bijaksana, dengan mengambil kira kepentingan rakyat khasnya dan negeri Selangor amnya,” katanya.

Beliau berkata Sultan Selangor turut menyatakan rasa bimbang dan dukacita baginda dengan perkembangan akhir-akhir ini di mana perbuatan menceroboh hak peribadi dan privasi individu dijadikan sebagai suatu alat untuk menjatuhkan maruah dan merosakkan imej seseorang.

“Adalah satu perkara yang menyedihkan apabila kehidupan dan hak peribadi individu itu dijadikan satu publisiti dan topik hangat untuk disebarkan (melalui media massa) kepada orang ramai,” katanya.




UMNO banyak tipu Melayu atau UMNO banyak tipu bukan Melayu?

Selepas Najib mengumumkan nama menteri-menteri kabinetnya, heboh pemuda UMNO memperkatakan tentang nasib ketua mereka si KJ yang dimalukan oleh presiden UMNO. Lebih parah lagi apabila KJ disuruh bekerja memujuk golongan muda untuk mengundi UMNO tanpa sebarang kuasa dan umpan material.

Kita tunggu berapa lama KJ mampu bertahan memendam rasa. Dan berapa lama Najib sanggup menghadapi sabotaj KJ. Mungkin esok lusa Najib akan melantik KJ sebagai penasihat yang bertaraf menteri. Rugi Najib jikalau pengalaman KJ sebagai penasihat PM mertua tidak digunakan.

Nun di utara, Shahidan Kassim melenting sakan. Tiga AP Perlis langsung tiada dalam senarai 68 menteri dan timbalan menteri. Shahidan sedih kerana hasrat adiknya untuk menjadi menteri tidak kesampaian. Maklumlah Perlis tidak sebesar Pahang. Maklumlah Perlis hanya ada AP Melayu sahaja. Jikalau Perlis ada AP bukan Melayu, tentu AP tersebut akan dilantik sebagai menteri. Rakyat Perlis mulai sedar bahawa ketuanan Melayu yang diperjuangkan oleh UMNO tidak meliputi negeri mereka.

Najib pula beralasan bahawa semua AP Perlis tidak mencapai standard KPI ‘Pencapaian Diutamakan’. Rakyat Perlis yang memenangkan UMNO begitu kecewa. Lebih baik UMNO kalah di Perlis. Lebih baik rakyat Perlis bersama rakyat Kedah mengundi PR. Walaupun UMNO kalah di Kedah, tetap ada juga AP UMNO Kedah yang dilantik sebagai menteri.

Di pantai timur, Idris Jusoh tidak diperkenankan sebagai menteri. YDPA masih murka terhadap Idris Jusoh yang telah ‘menatangkan’ baginda. Mungkin sedikit sebanyak hormat YDPA kepada Najib telah berkurangan selepas Najib mempersembahkan mohon perkenan nama Idris Jusoh sebagai menteri.

Najib telah gagal menghidu kemurkaan Istana Terengganu terhadap perlakuan Idris Jusoh setahun yang lalu. Najib tiada pilihan, mahu tidak mahu terpaksa juga mengitar semula Shabery Chik sebagai menteri. Soalnya, beranikah Shabery Chik di KBS membantu KJ menguatkan pengaruh di pemuda UMNO tanpa meminta izin bajet tuannya Najib terlebih dahulu?

Johor pula begitu gembira setelah Muhyidin dilantik sebagai TPM merangkap Menteri Pelajaran. Desakan UMNO Johor supaya PPSMI dihapuskan akan menjadi dilema kepada Muhyidin. Mampukah Muhyidin sebagai TPM mempengaruhi Najib supaya memansuhkan PPSMI? Inilah masanya untuk Muhyidin memenuhi kehendak Melayu Johor yang merupakan pendokong tegar UMNO.

Inilah masanya untuk Muhyidin merintis jalan memintas Najib sebelum Zahid merencana sesuatu. Jikalau Muhyidin mengumumkan pemansuhan PPSMI sebaik melangkah ke pejabat barunya, Muhyidin akan dijulang dan diangkat sebagai wira Melayu. Agaknya.

Anifah Aman di Sabah berjaya dalam misinya untuk menjadi menteri setelah menolak tawaran timbalan menteri setahun yang lalu. Anifah Aman bangga kerana menjadi menteri pertama yang mengiringi Najib ke Thailand untuk menghadiri Mesyuarat ASEAN. Bangganya rakyat Sabah kerana abang KM Sabah menjadi Menteri Luar. Harap-harap rakyat Sabah akan bebas daripada kemiskinan. Harap-harap nasib rakyat Sabah akan dibela oleh menterinya.

Telah terdengar suara hati Melayu UMNO, benarkah UMNO memperjuangkan ketuanan Melayu? Jumlah AP Melayu UMNO dan Melayu Sarawak menguasai lebih dua pertiga kerusi BN di parlimen. Sepatutnya jumlah menteri dan timbalan menteri Melayu mesti melebihi dua pertiga. Tetapi daripada 28 menteri, ada 10 menteri bukan Melayu. Daripada 40 timbalan menteri, ada 20 timbalan menteri bukan Melayu.

Sedangkan semasa berkempen di kawasan pengundi Melayu, UMNO memperkatakan tentang ketuanan Melayu. Di kawasan pengundi bukan Melayu, UMNO memperkatakan pula tentang perkongsian kuasa. Terpulanglah kepada rakyat untuk memikirkannya, UMNO banyak tipu Melayu atau UMNO banyak tipu bukan Melayu?

- jantantuya

PASCA BUKIT SELAMBAU : Langkah Pertama Manikumar Setelah Bergelar YB

Ahli Dewan Undangan Negeri DUN Bukit Selambau, S Manikumar hari ini berterima kasih kepada pengundi sambil menyifatkan sokongan dan mandat mereka kepada Pakatan Rakyat sebagai suatu yang amat penting dan berharga dalam usaha membuat perubahan landskap politik tanahair yang berteraskan keadilan, ketelusan dan mewujudkan masyarakat madani.

Manikumar memenangi Dun Bukit Selambau dalam pilihan raya kecil 7 April apabila beliau mengalahkan calon Barisan Nasional serta 13 lagi calon bebas yang merupakan rekod dalam sejarah pilihanraya negara.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di pusat makanan EUPE Taman Ria Jaya pagi tadi semasa membuat lawatan bermesra dan suai kenal dengan pengundi di kawasan tersebut.

Manikumar berkata kemenangan dalam pilihan raya kecil itu adalah bersejarah kerana Pakatan Rakyat berjaya menang walaupun berhadapan dengan 14 lain lantas membuktikan Pakatan Rakyat sudah diterima oleh rakyat.

Beliau juga berjanji akan mendengar dan meneliti segala rintihan yang dikemukakan kepada beliau sebagai wakil rakyat dan akan dibangkitkan dalam sidang dewan undangan negeri kelak.

Wakil rakyat itu juga yakin gabungan pemimpin muda Pakatan Rakyat mampu membawa perubahan baru kepada penduduk Bukit Selambau.

Manikumar dijangka mengangkat sumpah sebagai Wakil Rakyat dan Exco Kerajaan Negeri Kedah Isnin ini.

Antara langkah beliau pertama ialah mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh penduduk di kawasan Bukit Selambau tanpa mengira kaum.

UMNO BN Palu Rentak Lama, Mainkan Isu Perkauman - Anwar

Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar kerajaan UMNO - Barisan Nasional yang sehingga kini masih memainkan sentimen perkauman untuk meraih sokongan rakyat.

Slogan yang dicanang BN bunyinya hebat, ‘Mohon Restu Rakyat’ kononnya mengutamakan suara rakyat tetapi ini jelas omongan kosong semata- mata.

Sebaliknya serangan saraf isu perkauman disemarakkan dalam kempen pilihan raya kecil baru-baru ini bertujuan mengikis kepercayaan rakyat terhadap Pakatan Rakyat.

“Bukan sahaja ugutan, tetapi suatu propaganda yang sangat bahaya dan sangat jahat setelah 51 tahun kita merdeka. Kita masih main sentimen kaum yang melampau.” ujar Datuk Seri Anwar.

Datuk Seri Anwar yakin agenda yang didokong gagasan Pakatan Rakyat makin diterima rakyat dan terbukti ideologi serta wawasannya realistik dan berpijak di bumi nyata.

Kemenangan calon Pakatan Rakyat di pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang membuktikan rakyat sekali lagi memberi mandat kepada gagasan itu untuk memacu dan mengemudi perubahan yang di impikan mereka.

“Sebab Dun Perak very intelligent. Amat bijak. Berani. Dan Tun Perak yang selamatkan kerajaan Negeri Melaka. So, Datuk Seri Nizar is our model bendahara Negeri Perak. ”

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata kemenangan Pakatan Rakyat pada pilihanraya kecil itu adalah mesej yang jelas bahawa rakyat mahukan perubahan yang nyata, bukan sekadar janji politik untuk terus kekal berkuasa. “Kita nak hantar satu mesej yang jelas kepada PM yang baru bahawa rakyat perak tidak suka pada rampasan kuasa.” kata Datuk Seri Nizar.

Beliau berucap pada majlis ‘Malam Kembalikan Hak Rakyat’ yang dihadiri ribuan penyokong daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Beliau yang juga Adun Pasir Panjang itu juga mendesak agar pembubaran dewan undangan negeri Perak diadakan secepat mungkin untuk menamatkan kemelut politik negeri itu yang sehingga kini tidak berkesudahan.

- tvantara