12 Apr 2009

PASCA BUKIT SELAMBAU : Langkah Pertama Manikumar Setelah Bergelar YB

Ahli Dewan Undangan Negeri DUN Bukit Selambau, S Manikumar hari ini berterima kasih kepada pengundi sambil menyifatkan sokongan dan mandat mereka kepada Pakatan Rakyat sebagai suatu yang amat penting dan berharga dalam usaha membuat perubahan landskap politik tanahair yang berteraskan keadilan, ketelusan dan mewujudkan masyarakat madani.

Manikumar memenangi Dun Bukit Selambau dalam pilihan raya kecil 7 April apabila beliau mengalahkan calon Barisan Nasional serta 13 lagi calon bebas yang merupakan rekod dalam sejarah pilihanraya negara.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di pusat makanan EUPE Taman Ria Jaya pagi tadi semasa membuat lawatan bermesra dan suai kenal dengan pengundi di kawasan tersebut.

Manikumar berkata kemenangan dalam pilihan raya kecil itu adalah bersejarah kerana Pakatan Rakyat berjaya menang walaupun berhadapan dengan 14 lain lantas membuktikan Pakatan Rakyat sudah diterima oleh rakyat.

Beliau juga berjanji akan mendengar dan meneliti segala rintihan yang dikemukakan kepada beliau sebagai wakil rakyat dan akan dibangkitkan dalam sidang dewan undangan negeri kelak.

Wakil rakyat itu juga yakin gabungan pemimpin muda Pakatan Rakyat mampu membawa perubahan baru kepada penduduk Bukit Selambau.

Manikumar dijangka mengangkat sumpah sebagai Wakil Rakyat dan Exco Kerajaan Negeri Kedah Isnin ini.

Antara langkah beliau pertama ialah mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh penduduk di kawasan Bukit Selambau tanpa mengira kaum.

Tiada ulasan: