Najib yang berlepas ke Pattaya, Thailand pada Jumaat lepas untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean Ke-14 telah memendekkan lawatannya semalam berikutan kerajaan Thailand mengisytiharkan darurat di Pattaya, selepas ribuan penunjuk perasaan anti kerajaan menyerbu tempat berlangsungnya sidang kemuncak itu di Dewan Pameran dan Konvensyen Pattaya sehingga menyebabkan keseluruhan persidangan terpaksa dibatalkan.
"Agak malang sekali pertemuan-pertemuan saya dibatalkan satu per satu selepas pemimpin-pemimpin lain juga tidak dapat meninggalkan atau masuk ke tempat persidangan diadakan."
"Nasib baik, dengan bantuan angkatan bersenjata dan polis Thai, kami telah sampai ke lapangan terbang dalam perjalanan pulang, dengan selamat," katanya yang tiba di tanah air pada pukul 7.30 malam kelmarin.
Kerajaan Thailand semalam telah mengisytiharkan perintah darurat di ibu kota Bangkok dan lima wilayah berdekatan dalam usaha membendung penunjuk perasaan anti kerajaan.
Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva, yang membuat pengumuman perintah darurat menerusi televisyen kebangsaan, berkata perintah itu juga membabitkan Samut Prakan di mana terletak Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Nonthaburi, Pathum Thani, Nakhon Pathom dan Ayutthaya.
Pengumuman perintah darurat itu dilakukan sehari selepas perintah sama diisytiharkan di Pattaya sebelum dibatalkan tujuh jam kemudian selepas kesemua pemimpin ASEAN dan rakan dialog mereka meninggalkan negara itu.
Keadaan di Bangkok menjadi tegang selepas polis menahan seorang bekas penyanyi popular dan bekas penggubal undang-undang Arisamun Pongruengrong, sekutu bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, hari ini kerana memimpin gerakan memprotes di Pattaya.
Perusuh "Baju Merah" bergegas ke Kementerian dalam Negeri di sini di mana Abhisit sedang mengadakan perbincangan dengan pegawai kanan keselamatan negara.
Laporan berita televisyen menyebut Abhisit meninggalkan pejabat kementerian itu sebelum perusuh tiba tetapi beberapa orang cedera dalam pergelutan dengan anggota keselamatan dan beberapa das tembakan dilepaskan.
Pasukan polis dan tentera dijangka menyuraikan kira-kira 2,000 penunjuk perasaan anti kerajaan yang kini menghuni semua jalan menuju ke Rumah Kerajaan sejak 26 Mac lepas.
Bilangan penunjuk perasaan yang menjangkau 100,000 pada Rabu lalu, kini berkurangan kerana kebanyakan mereka pulang untuk menyambut festival Songkran (pesta air) bermula esok.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan