Dua anggota Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi hari ini selepas bersalah atas tuduhan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibu, tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Kedua-dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu didapati bersalah membunuh Altantuya Shaariibuu, 28, di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat sini antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.
Sebelum ini, mereka dibicarakan bersama-sama Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia (MSRC), Abdul Razak Abdullah Baginda, 48, yang dituduh bersubahat membunuh Altantuya.
Bagaimanapun pada 31 Oktober 2008, penganalisis politik itu dilepaskan dan dibebaskan tanpa perlu membela diri setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen penting dalam pertuduhan bersubahat.
Azilah, 33, dan Sirul, 37, telah dipanggil membela diri pada 31 Oktober tahun lalu. Azilah memberi keterangan membela dirinya sendiri di kandang saksi manakala Sirul Azhar membacakan keterangan bertulis di kandang tertuduh.
Selepas penghakiman dibuat, peguam kedua-dua tertuduh menyalahkan satu sama lain berhubung keputusan mahkamah itu.
Mereka mendakwa, kegagalan memanggil saksi-saksi lain telah menjejaskan kes pihak pembela untuk menyokong alibi Azilah dan Sirul.
Karpal Singh, yang menjadi peguam pemerhati bagi pihak keluarga Altantuya berkata, sabitan ke atas kedua-dua tertuduh itu, tidak dapat memperbaiki imej Malaysia di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, masih banyak persoalan yang belum terjawab berhubung motif pembunuhan wanita Mongolia itu.
Menurutnya, satu lagi persoalan yang belum terjawab ialah sama ada kedua-dua tertuduh itu melakukannya atas kehendak sendiri atau diarahkan berbuat demikian oleh orang lain.
Peguam seorang tertuduh kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pernah menimbulkan kegemparan apabila memohon Abdul Razak Baginda dibicarakan semula.
Keputusan pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak dan DUN Bukit Selambau di Kedah 7 April 2009 adalah mesej rakyat menolak 'rampasan kuasa' kerajaan negeri di Perak pada 6 Februari 2009, menurut kalangan penganalisis politik. Kemenangan BN di Batang Air, di Sarawak pula bukanlah sokongan kepada UMNO sebaliknya memperlihat dominasi politik etnik Iban dan pengaruh parti-parti keturunan Dayak berperanan di Sarawak, kata mereka.
Justeru bagi memulihkan semula imej UMNO/BN isu 'rampasan kuasa' di DUN Perak perlu diselesaikan secara berhemah, di samping tak membabitkan kedaulatan istana, menurut bekas Exco Pemuda UMNO Dato' Kamal Amir Kamal Hijaz. Penjelasan Naib Presiden UMNO, Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi TV1 (Selamat Pagi Malaysia, 8 April 2009) yang menyebut terserah kepada baginda Sultan Perak untuk membubarkan DUN, adalah percubaan mengheret kemurnian institusi istana ke dalam kebobrokan UMNO, katanya.
"Langkah sebaik-baiknya untuk memulihkan maruah UMNO ialah membubarkan DUN di samping menyerahkan mandat kepada rakyat," beritahu beliau menambah. Penjelasan Zahid Hamidi sokongan tiga ADUN Bebas sebagai bukti UMNO/BN mendominasi DUN Perak, meletakkan kepongahan UMNO yang sukar diterima majoriti rakyat. Kata Dato' Kamal Amir, tiga ADUN yang disebut Zahid bukan ciri-ciri sokongan rakyat sebaliknya 'pencerobohan' ke atas hak rakyat.
Dalam pilihanraya kecil di Parlimen Bukit Gantang calon PAS Dato' Seri Ir Muhamad Nizar Jamaluddin yang juga Menteri Besar selepas PRU12 (8 Mac 2008) memperoleh 21,860 undi menewaskan calon UMNO/BN Ismail Suffian (19,071 undi). Kemenangan tersebut sebagai manifestasi sokongan rakyat iaitu menolak 'rampasan kuasa'. Sekiranya UMNO/BN masih beranggapan isu 'rampasan kuasa' sebagai remeh temeh ianya akan membawa impak yang lebih besar pada PRU13, menurut Dato' Kamal Amir menambah.
Sementara di Bukit Selambau, keberangan masyarakat India kepada Presiden MIC Dato' Seri Samy Vellu diterjemahkan melalui peti undi sebagai mesej jelas untuk 'menjenamakan' semula BN, beritahu sumber tersebut menambah. Malah mesej tersebut sudah disampaikan sebelum hari pengundian iaitu masyarakat India melarang Samy Vellu berkempen ke Bukit Selambau. "Kalau Samy Vellu masih tak mahu menerima hakikat, BN akan menanggung beban," jelasnya
Kritikan terbuka Ahmad Zahid dalam wawancara bersama 'Selamat Pagi Malaysia' 8 April 2009 mengakui pengundi bukan Melayu melahirkan kebencian kepada komponen BN, tetapi menyembunyikan keberangan orang Melayu kepada UMNO. Penolakan orang Melayu di Bukit Gantang terhadap UMNO juga memberi mesej, rakyat Perak menolak kepimpinan Najib selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Perak secara total, menurutnya lagi.
"Najib perlu berundur dari pimpinan UMNO Perak, sebelum ianya menambah banyak masalah di negeri itu," beritahu sumber dalaman UMNO di Perak sendiri selepas keputusan pilihanraya kecil berkenaan. Di samping itu kehadiran ramai FRU turut memberi petanda rakyat juga menolak kebobrokan bagi menakut-nakutkan mereka dengan isu keselamatan. Strategi menggunakan FRU ketika pilihanraya juga tak memberi sebarang kredit kepada UMNO/BN, kata sumber berkenaan.
Rumusannya menurut Dato' Kamal Amir, kekalahan BN di Semenanjung akan menular ke Sabah dan Sarawak selepas ini sekiranya berlaku pilihanraya. Kedudukan UMNO lebih 70 kerusi di Parlimen adalah bergantung kepada Sabah, kerana di Semenanjung kerusi UMNO tak sampai 70 kerusi daripada jumlah 140 dikuasai BN. "Justeru jentera kerajaan, media dan pasukan keselamatn tak lagi menjamin keberkesanan kempen UMNO/BN," jelas Dato' Kamal Amir.
Mahathir dilihat sebagai cuba untuk mempengaruhi kepimpinan Perdana Menteri baru, Datok Seri Najib Razak dengan membuat tekanan-tekanan supaya "dendam"nya terhadap Tun Abdullah Ahmad Badawi dapat disempurnakan.
Di antara lainnya beliau mendesak Najib tidak melantik menantu Abdullah, Khairy Jamaluddin yang memenangi jawatan Ketua Pemuda di dalam pemilihan UMNO yang lalu ke dalam barisan kabinet yang bakal diumumkan hari ini.
Dengan menganggap Khairy sebagai seorang yang terlibat dengan rasuah, Mahathir menyatakan bahawa kehadiran Khairy di dalam kabinet akan menyebabkan barisan kabinet yang dibentuk hilang kredibilitinya.
Bernama pula melaporkan bahawa Mahathir berkata, mentaliti kebanyakan rakyat hari ini telah dipengaruhi oleh kepincangan yang berlaku pada kepimpinan kerajaan sebelum ini, sekaligus membentuk satu sentimen yang amat sukar untuk diubah ketika mengulas mengenai kekalahan BN pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Kedah kelmarin.
Katanya, perubahan tersebut menuntut proses yang berpanjangan, justeru Najib perlu tegas dalam memulihkan kembali imej BN dan Umno.
Penganalis politik berpendapat kenyataannya itu menunjukkan bahawa Mahathir cuba mengajar Najib supaya bersikap tegas di dlam kepimpinannya sepertimana ketegasan dirinya sewaktu menjadi perdana menteri.
Ketegasan Mahathir dahulu dianggap oleh banyak pihak sebagai menghampiri peranan seorang pemimpin kuku besi dimana ketika itu beliau telah menahan dan menangkap pemimpin-pemimpin pembangkang di dalam operasi lalang 27 Oktober 1987 dimana 106 ahli politik terutama parti pembangkang ditahan di bawah tahanan ISA dan pembatalan dua akhabar harian berlesen, The Star dan Sin Chew Jit Poh serta dua akhbar mingguan, The Sunday Star dan Watan.
Selain itu beliau juga telah menggunakan kuasa yang ada padanya memecat ketua hakim negara dan hakim-hakim yang tidak dilihat menyokongnya serta menggantikan mereka yang mudah disogokkan dengan rasuah oleh kumpulan peniaga yang berlegar di sekelilingnya.
"Yang anehnya, hari ini beliau sibuk menyentuh soal rasuah sedangkan beliaulah sebenarnya yang telah menyuburkan gejala rasuah di dalam pentadbiran kerajaan yang dipimpinnya dahulu yang terpaksa dibersihkan oleh perdana menteri selepasnya," kata seorang penganalisis politik.
Kerajaan negeri Selangor meminta supaya dana Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (Balkis) berjumlah RM9.9 juta dikembalikan semula kepada kerajaan negeri untuk tindakan yang sewajarnya.
Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kerajaan negeri mempunyai tanggungjawab terhadap dana itu memandangkan ia antara lain disumbangkan agensi-agensi kerajaan negeri.
Sehubungan itu beliau berkata kerajaan negeri melalui pejabat peguam yang dilantik, telah menulis surat rasmi kepada Jabatan Insolvensi Malaysia untuk mendapat kepastian mengenai kedudukan dana berkenaan.
Katanya, surat bertarikh hari ini itu turut meminta pengesahan sama ada jabatan itu sedang mengendali dana berkenaan seperti yang diberitahu Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Selangor kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat).
“Mengikut nasihat undang-undang yang diberi kepada kerajaan negeri, pembubaran Balkis adalah salah di sisi undang-undang.
“Kerajaan negeri berharap Jabatan Insolvensi akan bersikap profesional dalam mengendali kes ini dengan memberi pengesahan yang diperlukan secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bukan satu kejutan tetapi sepatutnya itulah keputusan bagi setiap pilihanraya yang dijalankan di Sarawak. Sebenarnya kemenangan BN di Batang Ai sudah dijangka atau direncana lebih awal.
Apa yang lebih menarik ialah keikhlasan dan keberanian Parti Keadilan Rakyat ( PKR ) yang mewakili gagasan Pakatan Rakyat untuk bertanding di Batang Ai. Secara teorinya senario pilihanraya di Sarawak tidak akan mampu memberi impak yang besar kepada barisan pembangkang untuk menang.
Kemenangan parti pembangkang adalah sesuatu yang ajaib sekiranya berlaku. Ini kerana disebabkan beberapa langkah efektif yang cukup licik dilakukan oleh kepimpinan BN dalam mengekang kemenangan parti pembangkang di Sarawak. Justeru itu untuk menjadi lebih bersedia dan bertenaga untuk Pakatan Rakyat memecah benteng kukuh BN di Sarawak pada Pilihanraya ADUN Sarawak pada 2011 nanti, perkara-perkara ini perlu diselesaikan terlebih dahulu. Apa guna berjuang kalau kita sudah pasti kalah. Tapi kalau nak berjuang pastikan peluang untuk menang itu ada. Inilah kunci kekuatan BN sarawak :
1. SPR Sarawak adalah agen pemerintahan BN yang boleh menentukan kemenangan BN pada peringkat awal pilihanraya. Lihatlah bagaimana mereka menetapkan pilihanraya Batang Ai ini disegerakan dan diselaraskan di ketiga-tiga kawasan. Kalau keputusan mereka boleh melambat PRK di Bukit Selambau dan Bukit Gantang selepas pemilihan UMNO mengapa tidak SPR menetapkan supaya PRK Batang AI ini lewat sedikit agar semua parti yang ingin bertanding mampu melaksanakan tugas mereka dengan adil.
Penyelarasan PRK Batang Ai ini dilakukan kerana SPR Malaysia mendapat signal daripada SPR Sarawak yang telah mendapat ilham daripada Taib Mahmud supaya meminta PRK ini dijalankan serentak dengan PRK di Semenanjung. Kenapa? Ini kerana ketakutan Taib untuk kalah di Sarawak menyebabkan beliau takut pemimpin-pemimpin utama Pakatan Rakyat menyerang kubu beliau di Sarawak. Semasa kempen PRK Batang AI ini tadi seluruh pimpinan BN termasuk dari Sabah dan Semenanjung turun berkampung di Batang Ai sedagkan PKR hanya menerima kunjungan Datuk Seri Anwar dan Menteri Besar Selangor sahaja. Kuputusan PKR kalah tapi bayangan hanya dua pemimpin PKR ini sudah cukup menakutkan REJIM TAIB di Sarawak.
2. Seperti yang dilaporkan oleh MAFREL Sarawak bahawa senarai daftar pemilih Sarawak adalah tidak terkini. Banyak terdapat nama pengundi yang tidak dapat dikesan atau sudah meninggakl dunia tetapi tidak dihapuskan. Dan apa yang mungkin MAFREL tidak tahu ialah SPR Sarawak boleh mengubah lokasi pengundi mengikut situasi panas BN. SPR boleh mengubah, menghilangkan dan memindahkan nama-nama pengundi ini sesuka hati mereka berdasarkan ilham yang dinyatakan oleh pimpinan BN Sarawak. Ya, apabila nama pengundi telah didaftarkan dalam mana-mana kawasan maka pengundi tersebut layak mengundi di kawasan tersebut walaupun sebenarnya dia bukanlah pengundi asal kawasan berkenaan. Dan paling licik helah SPR dalam melaksanakan agenda ini pengundi-pengundi yang telah dipastikan mengundi BN dari luar itu tahu mereka akan ditukarkan kerana mereka dijanjikan imbuhan oleh BN. Bagaimana parti pembangkang nak menang kalau sudah dicaturkan BN akan menang dalam setiap pilihanraya oleh SPR Sarawak ?
3. Dengan jelas lagi nyata dan terbukti BN Sarawak menggunakan DASAR POLITIK PEMBANGUNAN RASUAH yang dipelopori dan dibangga-banggakan oleh REJIM TAIB MAHMUD di Sarawak semasa pilihanraya ini. Dalam kempen-kempen BN rakyat bukannya didedahkan dengan ketokohan calon tetapi pengundi-pengundi diumpan dengan segala projek-projek mega di kawasan tersebut. Dalam kempen BN semasa PRK Batang Ai ini setiap seorang pemimpin-pemimpin BN menjanjikan satu projek untuk rakyat. Daripada menteri tempatan sehinggalah menteri-menteri persekutuan.
Ceramah Shafie Apdal dan Syed Hamid Albar begitu mudah dan perihatin menjanjikan projek-projek untuk setiap rumah panjang yang mereka kunjungi. Betapa majunya Batang Ai selepas ini seandainya segala projek-projek yang dijanjikan itu dilaksanakan selepas ini. Tetapi dalam menjanjikan setiap projek tersebut rakyat juga diugut dengan penarikan balik projek-projek tersebut sekiranya mereka memilih PKR atau parti pembangkang. Oleh kerana rakyat Sarawak dahagakan pembangunan, walaupun sebenarnya selama ini menteri-menteri ini tidak pernah melawat mereka dan membela mereka, terpaksa memilih BN kerana mereka tidak mahu segala projek ini tidak dilaksanakan. Nah apakah segala bentuk janji-janji projek ini bukan dikatakan rasuah ?
4. Ketidakjujuran SPR ini jelas membuktikan kepada kita bahawa SPRM dan POLIS sebenarnya menghalalkan rasuah pemimpin-pemimpin BN di Sarawak. Entah apa istilah RASUAH bagi SPRM dan apa ertinya lencana KAMI TIDAK RASUAH pada pakaian KETUA POLIS NEGARA itu jika rasuah BN ini sengaja dibiarkan berleluasa. Oleh kerana mereka-mereka ini diberi makan dengan hasil-hasil rasuah BN ini maka mereka takut akan kehilangan pangkat untuk menyatakan dan menangkap pemimpin-pemimpin BN yang rasuah dalam PRK ini.
5. Satu perkara yang rakyat Sarawak dan pemimpin-pemimpin pembangkang harus akui ialah keputusan dalam pilihanraya di Sarawak menunjukkan masih ramai pemikiran rakyat Sarawak yang masih mahu makan rumput di tanah subur Sarawak dan sejuk berteduh di bawah tempurung di tambah pula cerdik pandai di Sarawak masih takut serta mementingkan diri sendiri demi kedudukan mereka. Seandainya golongan cerdik pandai ini tahu masih ramai rakyat Sarawak yang masih mahu makan rumput atau berteduh di bawah tempurung seharusnya merekalah perlu mengubah pemikiran rakyat atas dasar kesyukuran mereka kepada nikmat Allah dan Tuhan yang Esa kerana menganugerahkan mereka kebijaksanaan untuk tidak bergantung kepada rumput untuk makan dan kekuatan mereka memecahkan tempurung keras itu. Tetapi ini tidak dilakukan mereka kerana mereka terlalu sayangkan kedudukan mereka. Para cerdik pandai ini sanggup membiarkan rakyat Sarawak terus berada di bawah cengkaman REJIM TAIB MAHMUD ini. Inilah hakikatnya mentaliti rakyat Sarawak.
6. Penduduk-penduduk Bumiputera Sarawak tidak mempunyai ketua jentera pembangkang yang benar-benar berwibawa. Faktor ini menyebabkan pergerakan jentera pembangkang di Sarawak terlalu lemah dan tidak berdaya menyedarkan pemikiran rakyat. Ketakutan mereka dicap sebagai tidak baik atau orang ' jaik ' masih tebal walaupun hakikatnya mereka mahu melawan dan menyuarakan hak mereka. Hanya jentera-jentera daripada masyarakat Cina sahaja yang menunjukkan kesungguhan mereka untuk berjuang mempertahankan agenda politik mereka. Di PRK Batang Ai, peranan pemimpin-pemimpin DAP jelas menunjukkan kesungguhan mereka untuk menjalankan tugas tanpa rasa takut kepada pemimpin-pemimpin BN atau pihak Polis.
Kepada Pakatan Rakyat yang ingin mengempur kubu BN Sarawak pada PR ADUN 2010@2011 nanti maka faktor-faktor inilah yang harus diselesaikan terlebih dahulu. Sesungguhnya peluang itu ada cuma belum dapat dimanfaatkan lagi. Selamat datang PAKATAN RAKYAT pada PR ADUN nanti. Teruskan perjuangan demi sebuah negara yang sejahtera dan dinamis.
Sebutan kes saman malu bekas Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Southern (kini dikenali Hospital Putra) dikemukakan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam ditangguh 7 dan 8 September depan.
Plaintif, Abdul Hamid Mustapah, 49, diwakili pembantu peguamnya, Noraida Md Noor dari Tetuan Putchucheary Firoz & Mai di Mahkamah Tinggi semalam hampa berikutan defendan gagal menghadirkan diri.
Mohd Ali diwakili Lee Hishammudin Allen & Gledhill memohon di hadapan Hakim Datuk Wira Moktarudin Baki supaya sebutan ditangguhkan berikutan beliau memberikan alasan defendan tidak sihat.
Bagaimanapun, Moktarudin memberi amaran tidak mahu ia ditangguhkan dan menasihatkan jangan mengambil mudah perkara itu berikutan ia boleh membebankan mahkamah.
Manakala, Abdul Hamid yang tertekan dengan tindakan Mohd Ali, memberi peluang terakhir kepada defendan selepas permohonan peguamnya memohon selesai di luar mahkamah dipersetujui.
Saman malu sebanyak RM10 juta difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akhir 2005 juga pernah tertangguh dibicarakan di Mahkamah Tinggi Melaka pada 30 dan 31 Julai lalu.
Terdahulu, saman itu merupakan tindakan susulan selepas Mohd Ali enggan memohon maaf dan membayar ganti rugi sebagaimana yang diminta Abdul Hamid menerusi peguamnya.
Plaintif mendakwa Mohd Ali memfitnahnya dengan menuduh beliau mengarahkan kakitangan Hospital Southern supaya tidak memberi rawatan kepada bekas Exco, Datuk Ab Rahaman Ab Karim yang kini Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Kundor.
Selain itu, beliau juga mendakwa turut dituduh enggan memberi rawatan kepada isteri Setiausaha Kerajaan Negeri ketika itu, Datuk Ahmad Roslie Johari.
Tuduhan itu dilakukan Mohd Ali ketika mesyuarat Jawatankuasa Kakitangan dan Kewangan Hospital Southern di kediamannya di Seri Bendahara, di sini pada 15 Ogos 2005.
Beliau mendakwa dalam mesyuarat itu defendan memfitnahnya dengan mengatakan Abdul Hamid membuat penipuan akaun hospital terbabit.
Dalam tuntutan samannya, Abdul Hamid mendakwa tindakan Mohd Ali membawa makna beliau (Mohd Hamid) bertindak secara tidak beretika selain menyalahgunakan kuasanya sebagai ketua sebuah organisasi milik kerajaan.
Mahkamah Tinggi hari ini menolak dengan kos permohonan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan; Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan kerajaan Malaysia untuk mengetepikan saman RM100 juta terhadap mereka oleh penasihat undang-undang kumpulan Hindraf, P Uthayakumar.
Pesuruhjaya Kehakiman Datin Zabariah Mohd Yusof membuat keputusan itu dalam kamarnya hari ini selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak dan memerintahkan satu perbicaraan penuh diadakan secepat mungkin.
Uthayakumar diwakili peguam M Manogaran manakala Peguam Kanan Persekutuan, Rozi Bainon mewakili ketiga-tiga defendan.
Manogaran ketika ditanya media apakah alasan mahkamah menolak permohonan itu, berkata: "Hakim perlu mendengar keterangan saksi tentang beberapa perkara berhubung perkara itu (saman) melalui perbicaraan."
Musa, Abdul Gani dan kerajaan Malaysia sebelum ini memohon supaya saman itu ditolak bagi mengelak rasa benci terhadap kerajaan dan mengelak konflik perkauman.
Uthayakumar, yang ditangkap pada 13 Disember tahun lalu dan ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana disyaki terbabit menganjur tunjuk perasaan oleh Hindraf, menyaman ketiga-tiga pihak itu kerana mendakwanya mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas Sri Lanka.
Bekas anggota Exco Kedah, V. Arumugam yang pulang dari India hari ini berkata beliau melarikan diri kerana faktor keselamatan diri dan keluarganya terancam berikutan menerima banyak ugutan dan desakan supaya melompat parti.
"Saya melarikan diri berseorangan ke Mumbai untuk menenangkan fikiran dan hanya akan pulang selepas pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau berakhir kerana merasakan keadaan pada masa itu sudah tenang dan selamat," katanya.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama pihak yang mendesaknya melompat parti tetapi berkata cara itu sahaja yang boleh dilakukan bagi mengelak daripada menjadi mangsa keadaan.
"Saya tidak menyesal melepaskan kedua-dua jawatan (wakil rakyat dan Exco) pada 8 Feb lepas," katanya kepada pemberita semasa ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di sini, kira-kira pukul 3 petang.
Kepulangan Arumugam dapat dihidu wartawan dan jurugambar yang menunggu di lapangan terbang sejak pukul 1.45 petang.
Isteri beliau M. Mariyaee, 36, dan anak bongsunya, Selvanthiran, 7 tahun menunggu beliau dengan ditemani peguam, Murshidah Mustafa.
Turut menyambut kepulangan Arumugam ialah Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abd Isa Ismail, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukti Selambau yang baru S.Manikumar dan setiausaha politik Menteri Besar Kedah, Md Sanusi Md Nor.
Arumugam memenangi kerusi Bukit Selambau sebagai calon Bebas pada pilihan raya umum 8 Mac tahun lepas dan kemudian menyertai PKR.
Beliau mendakwa telah banyak kali membuat laporan polis mengenai ugutan yang diterima dan cermin keretanya dipecahkan.
"Sampai bila saya hendak tunggu...sampai kena bunuh dulu baru polis hendak bertindak padahal orang nak culik saya dan kawad pengecaman juga telah dibuat. Takkan tidak ada suspek," katanya.
Arumugam berkata beliau menyerahkan keputusan kepada pimpinan tertinggi parti untuk menentukan kedudukannya dalam PKR tetapi pada masa sama merancang mencari pekerjaan.
"Saya masih ahli PKR dan memegang jawatan timbalan pengerusi perhubungan negeri dan naib ketua bahagian Merbok," katanya sambil menambah akan meminta maaf kepada penduduk Bukit Selambau dan berharap Manikumar akan menyambung tugas yang ditinggalkan," kata beliau.
Beliau menambah PKR akan mengambil tindakan lebih berwaspada dan sewajarnya supaya 'malang' yang menimpa dirinya tidak menjangkiti Manikumar tetapi percaya ADUN baru itu tidak akan melompat menyerti parti lain.
Rakyat telah menghantar mesej yang jelas. Mereka mahukan ‘Perubahan’ yang nyata, bukan sekadar janji politik untuk terus kekal berkuasa.
Ketua Umum KeADILan Anwar Ibrahim berkata demikian di sidang akhbar yang berlangsung di Ibupejabat KeADILan, Petaling Jaya hari ini dengan penuh semangat bahawa tiga pilihanraya kecil ini menunjukkan rakyat menolak kepimpinan Perdana Menteri, Najib Razak.
“Syabas saya ucapkan kepada pengundi di Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Ai kerana sokongan yang anda berikan menjadi bukti kekuatan rakyat untuk berani berhadapan dengan kekuasaan. Undi yang telah anda berikan untuk Pakatan Rakyat menjadi saksi akan kemahuan yang kuat menuntut Perubahan,” kata Anwar.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada para calon dan petugas Pakatan Rakyat kerana bekerja keras untuk memastikan kejayaan hari ini dengan kemantapan kerjasama di antara Parti Keadilan Rakyat, Pas dan Dap semakin hari semakin utuh.
Kemenangan di Bukit Selambau dan Bukit Gantang serta sokongan pengundi Batang Ai membuktikan rakyat masih yakin terhadap kepimpinan Pakatan Rakyat untuk terus menerajui perjuangan menuntut perubahan bagi mencipta Malaysia Baru yang adil dan saksama.
Sementara itu, kemenangan Nizar Jamalauddin di Bukit Gantang merupakan satu referendum agar dikembalikan Kerajaan Perak yang sah. Rakyat menuntut agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan dan pilihanraya diadakan di seluruh Negeri Perak.
Kepada pendukung Pakatan Rakyat di Batang Ai pula, kita berhasil mengungkapkan isu tanah adat dan peminggiran rakyat yang terjadi di Sarawak.
“KeADILan dan Pakatan Rakyat akan terus berjuang membawa perubahan kepada rakyat Negeri Sarawak,” Tegas Anwar.
Sekali lagi kewibawaan proses pilihanraya menjadi pertikaian. Pengiraan awal yang tidak dilakukan di tempat pembuangan undi serta penggunaan helikopter untuk mengangkut membuka ruang kepada penipuan.
“Ini seharusnya menjadi pembakar semangat untuk terus bekerja keras membawa perubahan bukan sahaja di Batang Ai, tetapi juga di segenap pelusuk tanah air,” tambah beliau.
Pakatan Rakyat akan terus mempertahankan keluhuran Perlembagaan dan berusaha melaksanakan agenda serta dasar untuk membantu sesiapa sahaja yang terpinggir tanpa berasaskan kaum.
“Mereka berkata, Umno telah membuat kesilapan pada masa lalu dan ia kini harus diberi peluang di bawah kepimpinan Najib, mereka membawa balik Dr Mahathir itulah masalahnya,” kata Anwar di sidang akhbar pagi ini.
“Mereka mengutarakan konsep perpaduan Najib - Satu Malaysia - di samping isu Ketuanan Melayu, namun semua kempen tersebut tidak berhasil,” tempelak Anwar.
Beliau menegaskan supaya Najib mesti bersedia menerima hakikat bahawa gesaannya untuk perubahan dan pembaharuan telah gagal.
“Walaupun berulang kali berhadapan dengan kekerasan, fitnah dan ugutan penguasa, ianya tidak akan menghambat Pakatan Rakyat dari menunaikan janji yang telah diberikan serta tidak akan sesekali mengkhianati amanah yang telah diberikan rakyat,” jelas Anwar dalam kenyataan beliau.
“Saya menyeru rakyat Malaysia untuk tetap bersama-sama dengan agenda Perubahan dan Pakatan Rakyat. Sudah tiba masanya kita meniup nafas segar kepada demokrasi dan memperkukuhkan kembali kedaulatan undang-undang di negara ini,” kata anwar mengakhiri sidang akhbar beliau hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Selambau yang baru, S Manikumar, 35, akan mengangkat sumpah sebagai ahli Exco kerajaan Kedah, Isnin ini.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, berkata beliau sudah menghadap Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang memberi perkenan terhadap pelantikan Manikumar sebagai ahli Exco.
Azizan berkata, Adun Bukit Selambau itu juga akan menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kali pertama pada 19 April ini.
"Tuanku Sultan sudah memberi perkenan pelantikan Manikumar sebagai ahli Exco dan majlis angkat sumpah akan diadakan Isnin ini," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, hari ini.
Pada pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau semalam, Manikumar yang mendapat 12,632 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk S Ganesan yang mendapat 10,229 undi serta 13 lagi calon Bebas.
Pilihan raya kecil DUN itu diadakan berikutan penyandangnya, V Arumugam melepaskan jawatan pada 9 Februari lalu.
Sebelum itu, Azizan berjanji calon Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau akan dilantik sebagai ahli Exco kerajaan negeri jika memenangi kerusi itu.
Manikumar dijangka memegang portfolio Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Perpaduan, Pekerja Ladang dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri yang dikosongkan Arumugam.
Patik sembah derhaka sekalipun ada pihak keterlaluan memutar-mutar lafaz patik untuk kepentingan politik mereka.
Ampun tuanku beribu-ribu ampun.
Rasanya telah pun sampai ke pengetahuan Tuanku berdua, Sultan Azlan Shah dan Raja Nazrin tentang berita kemenangan Datok Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan kekalahan calon UMNO-BN di pilihanraya kecil Bukit Gantang semalam.
Dan ini adalah kali ketiga patik menulis untuk istana, agar menerima sembah patik yang hina untuk dibubarkan dewan undangan negeri Perak agar dingin segala bahang yang ada di negeri Perak tercinta.
bahawa baginda adalah terbijak dan terpandai dari sekalian raja-raja, mana mungkin Sultan Azlan memerintah mengikut hati sedangkan titahnya di atas mempamirkan keluhuran sebenar akal budi seorang raja.
Sambil memetik titah anakanda Tuanku, Raja Nazrin Syah:
"Bahawa selagi rakyat menaruh kepercayaan terhadap Raja dan menghormati Institusi Raja, selagi itulah takhta tidak akan dipindahkan dari istana ke muzium;.... Bahawa takhta juga tidak boleh lari dari hukum Allah, hukum yang ditetapkan ke atas seluruh umat manusia tanpa mengira Raja atau rakyat"
Dan patik menyudahinya dengan:
Namun, jika benar Tuanku mengikut hati bukan akal, ertinya Tuanku sendiri menumbangkan institusi raja - jangan disesal beban menjalar, jangan disalahkan ibu mengandung lantaran dilahirkan dari kerabat diraja kerana mengalihkan istitusi raja ke muzium seperti yang diminta.
Apa yang berlaku di dalam tulisan patik yang kedua Kezaliman Tuanku Dikenang Selama-lamanya! nampaknya seperti menjadi kenyataan dimana kini rakyat berpecah diantara mereka, Si Tuah dan Si Jebat - tidak ada yang menderhaka tetapi kerana fitnah yang bersifat adu-domba!
Di mahkamah sekarang ini belakulah seperti yang dijangka:
Pedang sebilah di tangan kanan Telur sebiji di tangan kiri Beduk selaras di bahu kanan
Dengan membuang songkok, membuang songkoklah, Dengan membuang keris, membuang kerislah
Rakyat Tuanku kecewa kerana Tuanku telah menolak sembah derhaka Nizar yang merayu kepada Tuanku untuk dibubarkan dewan undangan negeri Perak agar rakyat diberi peluang menyatakan hasratnya, dihormati haknya di dalam sebuah negara yang menjunjung tinggi amalan demokrasi.
Sekalipun hasrat itu tidak kesampaian dan Tuanku enggan mendengarnya, rupa-rupanya Allah Maha Mendengar dan Maha Penyayang kepada hamba-hambaNya, maka dibawa pulang seorang dari sekalian hambaNya, Roslan Shahrum namanya agar rakyat dibeirkan peluang untuk menyatakan suaranya kepada Tuanku dan sekalian mereka yang angkuh berkuasa di kerajaan pusat.
Hasilnya, bersuaralah pengundi Bukit Gantang - 21,860 daripada yang keluar semalam berdiri teguh di belakang menteri besar yang Tuanku arahkan meletakkan jawatannya.
Malah bukan itu saja, Nizar yang bukan raja itu diberikan sambutan percikan bunga api untuk warga Taiping menjadi saksi bak kata nenek kebayan:
Kayu kelat tempatnya ular Mal'un menjulur minum di bajan Di dalam kelat tampaklah kilau Nyatalah awan mengandung hujan
Derhakakah pula patik-patik yang 21,860 orang ini kerana membela Nizar tetapi tidak istana?
Ampun Tuanku beribu-ribu ampun
Sekali lagi kami merayu agar Tuanku membubarkan segera dewan undangan negeri untuk menyelamatkan warga Perak dari terus bersengketa, untuk kami tentukan sendiri menteri besar kami yang sebenarnya.
Pengumuman kemenangan calon Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang semalam menyaksikan Bukit Gantang yang dahulunya kubu kuat UMNO kini telah menjadi kubu kuat PAS
Dalam sidang media yang diadakan di Markas Pas Air Kuning, Taiping pagi tadi, Pengarah Pilihan Raya Pas Negeri Perak, Asmuni Awi berkata kemenangan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah hasil sokongan padu semua lapisan masyarakat di Bukit Gantang dengan peningkatan undi kepada Pakatan Rakyat.
"Secara keseluruhannya Pakatan Rakyat berpuas hati di atas prestasi kami yang memuaskan di Bukit Gantang. Dakwaan bahawa jumlah pengundi Melayu terhadap Pakatan Rakyat juga dapat ditangkis melihat kepada peratusan yang diperolehi sebanyak 43 peratus pada PRK ini berbanding 40 peratus semasa pilihan raya umum lalu," Asmuni berkata.
Menurut Asmuni peningkatan jumlah pengundi yang keluar mengundi juga membantu kemenangan Pakatan Rakyat daripada 72.6 peratus pada PRU 2008 kepada 75 peratus pada PRK Bukit Gantang, masing-masing 40,301 dan 41,626.
Peratusan sokongan undi kaum Cina juga meningkat daripada 65 peratus kepada 75 peratus sementara undi kaum India tidak banyak berubah sekitar 62 peratus.
Kelab GB cuba menyelak lemabaran keputusan pilihanraya tahun-tahun sebelum ini di mana sebelum Bukit Gantang dimenangi oleh calon PAS pada tahun 2008, ia adalah kubu kuat UMNO-BN dimana Datok Dr Abdullah Fadzil Che Wan telah memenangi kerusi tersebut di atas tiket UMNO untuk 3 penggal berturut-turut, 1990 (maj: 7,213), 1995 (maj: 15,154) dan 1999 (maj: 5,101).
Pada PRU11 2004, kerusi tersebut telah diserahkan kepada Gerakan dimana calonnya Tan Lian Hoe telah menewaskan calon PAS Dr Lo'Lo' Mohamad Ghazali dengan majoriti 6,702 undi.
Keadaan berubah pada PRU12 2008 dimana kerusi Bukit Gantang buat pertama kali dimenangi oleh calon PAS Roslan Shahrum yang berjaya mengalahkan Bendahari UMNO Pusat, Mohamad Azim bin Mohamad Zabidi dengan majoriti 1,566.
Dan ianya dimantap dengan keputusan pilihanraya kecil semalam dimana Mohamad Nizar berjaya mengalahkan calon UMNO-BN, Ismail Safian dengan meraih majoriti sebanyak 2,789.
Dari segi undi menurut pecahan dewan undangan negeri, Pakatan Rakyat menang di dua DUN, Kuala Sepetang dan Changkat Jering tetapi masih tewas di Trong.
N 13 Kuala Sepetang: BN 6,259 undi Pas 8,469 undi. N 14 Changkat Jering: BN 8,208 undi, Pas 9,897 undi. N 15 Trong: BN 4,345 undi, Pas 3,441 undi.
Di Trong Pakatan rakyat menang di Pekan Trong, Trong Barat, Air Terjun, Sg Rotan dan Kuala Trong manakala di Pulau Pasir Hitam Pakatan Rakyat dan BN seri.
Peratusan saluran 4 dan 5 yang mewakili pengundi muda menunjukkan peningkatan bagi Pakatan Rakyat di kebanyakan peti undi menandakan golongan muda mahukan perubahan kepada sistem politik yang di amalkan Umno dan BN selama ini.
Dengan senario kebangkitan rakyat yang masih terasa kini disamping penerimaan masyarakat bukan-Melayu terhadap PAS berbanding musim-musim pilihanraya yang lepas-lepas, Bukit Gantang tidak mungkin lagi boleh menjadi kubu kuat UMNO, sebaliknya telah bertukar menjadi kubu kuat PAS pula.
Dilaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih dalam proses memuktamadkan kabinet barunya dan pengumuman yang dijangka diadakan hari ini ditangguhkan, menurut pegawai rasminya.
Najib, dijangka mengumumkan barisan kabinet barunya esok sebelum berlepas ke Thailand bagi menyertai persidangan serantau di negara berkenaan.
Najib mengambil langkah tersebut dipercayai ekoran kekalahan teruk Barisan Nasonal di pilihanraya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau semalam di mana beliau dikatakan akan memperkemaskan kabinet dengan sasaran untuk membantu beliau merealisasikan janjinya untuk membawa pembaharuan.
Sekurang-kurangnya enam menteri mungkin digugurkan, dengan menggabungkan beberapa kementerian, selain mewujudkan semula jawatan Setiausaha Parlimen yang dimansuhkan selepas pilihan raya umum tahun lalu.
Difahamkan Najib sudah menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pagi semalam berhubung pelantikan barisan Kabinet barunya.
Antara menteri yang dikatakan akan digugurkan ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Chuan, yang tewas jawatan Timbalan Presiden MCA pada pemilihan parti itu, tahun lalu.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib; Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, yang turut kalah dalam pemilihan Umno, bulan lalu, juga dijangka digugurkan.
Dua menteri lain dijangka digugurkan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Amirsham A Aziz dan Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad pula meletak jawatan, berkuat kuasa hari ini, selepas tewas pada pemilihan Umno.
Bagaimanapun, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang kalah dalam perebutan jawatan Naib Presiden, dijangka dikekalkan.
Difahamkan, Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon akan dilantik sebagai Senator untuk diserapkan dalam Kabinet baru. Shahrizat dijangka mengetuai kementerian lamanya, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Bekas menteri, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis juga dikatakan akan kembali ke Kabinet, manakala Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah; Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hamzah Zainuddin akan dinaikkan pangkat menjadi menteri.
Tiga Naib Presiden Umno diramal bertukar portfolio dengan Datuk Seri Dr Zahid Hamidi ke Kementerian Dalam Negeri; Datuk Seri Hishammuddin Hussein ke Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, manakala Datuk Seri Shafie Apdal bertukar ke Kementerian Pertahanan.
Antara kementerian dikatakan akan digabungkan ialah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan yang diserapkan ke Kementerian Pelancongan; Kementerian Pengajian Tinggi disatukan dengan Kementerian Pelajaran, manakala Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bergabung dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Taniaraikan.
Khairy Jamaluddin dijangka tidak akan disenaraikan ekoran tekanan dari Tun Dr Mahathir yang tidak mahu Najib mengambil mereka yang dikatakan terpalit dengan isu politik wang dan rasuah. Ini akan menglangi tindakan Mahathir sendiri yang tidak melantik Ketua Pemuda UMNO di dalam barisan kabinet seperti yang berlaku ke atas Ahmad Zahid Hamidi selepas pilihanraya 1999 dahulu.
Mukhriz Mahathir yang tewas di dalam pemilihan Ketua Pemuda dijangka akan disenaraikan.
Tidak ada apa yang dapat menjelaskan lagi tentang faktor kekalahan Barisan Nasional di dalam pilihanraya kecil dewan undangan negeri Bukit Selambau N29 kecuali ia merupakan satu "hadiah" paling berharga untuk Perdana Menteri yang baru Daro Seri Mohd Najib Razak.
S. Manikumar dari PKR yang mewakili Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya kecil kawasan itu dengan memperoleh 12,632 undi dengan menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk S. Ganesan yang memperoleh 10,229 undi dan 13 calon Bebas yang lain dengan majoriti 2,403 undi.
Keputusan tersebut diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil DUN Bukit Selambau, Datuk Abdullah Mat Akhir di Dewan Sekolah Menengah Teknik 1 kira-kira pukul 10.50 malam ini.
Kerusi itu pernah dimenangi oleh calon Bebas V. Arumugam setelah mengalahkan calon BN S.Krishnan dengan majoriti 2,362 pada pilihan raya lepas, sebelum beliau menyertai PKR.
Kemenangan Manikumar dan PKR cukup mengkagumkan setelah mencari sasaran pelbagai taktik kotor dalam pertandingan 15 penjuru itu.
Walaupun pelbagai langkah diambil oleh Najib untuk menarik sokongan pengundi bagi calon MIC, termasuk membebaskan dua daripada lima tahanan Hindraf, pengundi di sini, sebagaimana di Bukit Gantang, tidak mudah termakan gula-gula politik Perdana Menteri.
Dua pemimpin Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) yang dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) V. Ganabatirau dan R. Kenghadharan telah dibebaskan tetapi mereka tidak dibenarkan tidak keluar daripada kawasan masing-masing, satu tindakan yang memalukan bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang konon mahukan kebebasan kepada rakyat dan amalan demokrasi dipraktikkan dalam kepimpinannya.
Diperburukkan lagi dengan pengumuman Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Ismail Merican, pada sidang media khas sehari sebelum pilihanraya yang menyatakan Jawatankuasa Bebas Siasatan kes kematian A. Kugan yang cuba untuk menyelamatkan maruah polis yang tercalar ekoran kes tersebut.
Ia adalah sikap tipikal dan mentaliti hodoh "government servant" yang memperbodohkan rakyat serta melakukan kerja "mengampu" dan "membodek" keterlaluan.
Pelbagai taktik kotor digunakan UMNO-MIC-BN di Bukit Selambau bermula dari konspirasi meletakkan calon Bebas yang ramai, menggunakan polis utuk menyekat ceramah-ceramah Pakatan Rakyat sehinggalah kepada projek membeli ketua-ketua bahagian PKR di hari-hari terakhir kempen - itu semua akhirnya memakan diri mereka semula.
Sementara itu, Manikumar ketika ditemui selepas diumumkan kemenangannya mengucapkan terima kasih kepada pengundi di Bukit Selambau yang mengundinya serta jentera Pakatan Rakyat.
"Saya berterima kasih kerana pengundi memilih saya untuk memimpin mereka di masa hadapan dan saya berterima kasih kepada pemimpin-pemimpin Pakatan yang memutuskan kita perlu menang dalam pilihan raya ini bagi mempertahankan kerusi ini.
"Hari ini ia telah menjadi realiti dan kita akan berjuang dengan lebih tinggi selepas ini untuk menuju ke satu tahap yang teratas," katanya.
Dalam pada itu Naib Presiden PKR, Azmin Ali menegaskan pilihan raya di Bukit Selambau dan Bukit Gantang adalah referendum rakyat terhadap peralihan kuasa yang berlaku dalam kerajaan baru-baru ini.
"Walaupun Datuk Seri Najib memperkecilkan isu referendum rakyat di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, tetapi hari ini terbukti bahawa rakyat Kedah dan Perak memberikan mesej yang jelas bahawa mereka tidak langsung yakin dengan kepimpinan baru Umno, BN dan kerajaan."
Faktor paling ketara yang menyumbang kepada kekalahan BN/UMNO kali ini ialah cubaan mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad untuk bertapak kembali dalam parti dan kerajaan.
Beliau turun padang pada hari terakhir kempen di Bukit Gantang dan Bukit Selambau dan membuat pengumuman terbuka bahawa beliau sedia menjadi penasihat kepada kerajaan Najib.
Imbauan kepada pemerintahan kuku besi Mahathir selama 22 tahun cukup untuk meyakinkan pengundi bahawa mereka tidak mahu pemerintahan Najib dikembalikan kepada zaman "Mahathirisme."
Keputusan PRK Bukit Gantang dan Bukit Selambau membuktikan rakyat tetap mahukan angin perubahan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat dan menolak pemerintahan yang berteraskan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang mewarnai UMNO dan Barisan Nasional selama ini.
Ramai penganalisis politik menyifatkan kemenangan PAS yang mewakili Pakatan Rakyat di pilihanraya kecil Bukit Gantang semalam sebagai satu referendum (pungutan suara) sekalipun anggapan itu tidak diterima oleh pemimpin parti pemerintah.
Dengan keangkuhan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan Pengarah Pilihan Raya BN bagi tiga pilihan raya kecil semalam enggan menerimanya sebagai referendum jelas membelakang suara dan keputusan rakyat yang bakal mengundang padah yang lebih besar selepas ini.
Pilihanraya kecil Bukit Gantang itu dilihat sebagai satu referendum samada rakyat memilih Nizar dari Pakatan Rakyat atau Datuk Zambry Abdul Kadir dari BN, yang telah mengangkat sumpah sebagai menteri besar Perak dengan perkenan Sultan Perak pada Februari lalu.
"Keputusan itu akan memberi tekanan terhadap kerajaan negeri yang sedia ada menunaikan segala janjinya kerana di dalam hal tertentu pilihanraya kecil tersebut adalah satu referendum tentang siapa sebenarnya yang dikehendaki oleh rakyat Perak sebagai peneraju kerajaan negeri," kata Ibrahim Suffian dari Merdeka Centre.
"Jurang kemenangan juga mengesahkan bahawa undi di peringkat negeri masih kukuh untuk Pakatan Rakyat dan jika diadakan pilihanraya negeri, keputusan akan tetap serupa," tambahnya.
Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin memenangi kerusi Parlimen Bukit Gantang hari ini dengan memperoleh sebanyak 21,860 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Ismail Saffian yang mendapat 19,071 undi manakala calon Bebas, Kamarul Ramizu mendapat 62 undi.
Beliau mencatatkan majoriti 2,789 undi - berbanding 1,566 yang direkodkan oleh calon PAS pada Mac 2008.
Nizar dalam ucapan penerimaan keputusan itu, yang diumumkan secara rasmi kira-kira pukul 9.45 malam tadi, menyifatkan ia sebagai referendum rakyat mahukan kerajaan demokrasi, urus tadbir baik dan adil.
Malah beliau meminta agar Dewan Undangan Negeri Perak dibubarkan untuk membuka laluan kepada pilihan raya baru di negeri itu.
Keputusan pilihanraya Bukit Gantang ini juga membawa maksud rakyat Perak telah menolak dengan sekeras-kerasnya peranan yang dimainkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dilihat oleh rakyat Perak mendalangi rampasan kuasa haram 5 Februari lalu.
Selain itu, yang penting yang diperolehi melalui keputusan ini ialah isu derhaka yang cuba diapi-apikan oleh Umno dan BN dalam kempen sebenarnya melantun ke muka mereka sendiri.
Rakyat tidak lagi percaya kepada tohmah dan fitnah yang ditaburkan oleh Umno dan BN malah apa sahaja dakwaan terhadap Pakatan Rakyat ditolak bulat-bulat oleh pengundi Bukit Gantang.
Bukit Gantang juga menjadi landasan baru yang akan menjadi titik tolak perubahan total dan menyeluruh yang ingin dibawa oleh Pakatan Rakyat dalam senario politik negara.
Konsep politik baru yang diwar-warkan oleh Pakatan Rakyat nampaknya diterima baik oleh pengundi Bukit Gantang dan ini menjadi kayu pengukur bagi sentimen rakyat diseluruh negara.
Lebih-lebih lagi keputusan pilihan raya kecil ini membuktikan penolakan kepimpinan Najib sebagai Perdana Menteri dan cubaan awal beliau untuk memberi "gula-gula" politik kepada rakyat melalui dua "hadiah" sempena perlantikan beliau tidak dihiraukan rakyat.