8 Apr 2009

BUKIT GANTANG PAS TAK AKAN LEPASKAN LAGI

Pengumuman kemenangan calon Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang semalam menyaksikan Bukit Gantang yang dahulunya kubu kuat UMNO kini telah menjadi kubu kuat PAS

Dalam sidang media yang diadakan di Markas Pas Air Kuning, Taiping pagi tadi, Pengarah Pilihan Raya Pas Negeri Perak, Asmuni Awi berkata kemenangan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah hasil sokongan padu semua lapisan masyarakat di Bukit Gantang dengan peningkatan undi kepada Pakatan Rakyat.

"Secara keseluruhannya Pakatan Rakyat berpuas hati di atas prestasi kami yang memuaskan di Bukit Gantang. Dakwaan bahawa jumlah pengundi Melayu terhadap Pakatan Rakyat juga dapat ditangkis melihat kepada peratusan yang diperolehi sebanyak 43 peratus pada PRK ini berbanding 40 peratus semasa pilihan raya umum lalu," Asmuni berkata.

Menurut Asmuni peningkatan jumlah pengundi yang keluar mengundi juga membantu kemenangan Pakatan Rakyat daripada 72.6 peratus pada PRU 2008 kepada 75 peratus pada PRK Bukit Gantang, masing-masing 40,301 dan 41,626.

Peratusan sokongan undi kaum Cina juga meningkat daripada 65 peratus kepada 75 peratus sementara undi kaum India tidak banyak berubah sekitar 62 peratus.

Kelab GB cuba menyelak lemabaran keputusan pilihanraya tahun-tahun sebelum ini di mana sebelum Bukit Gantang dimenangi oleh calon PAS pada tahun 2008, ia adalah kubu kuat UMNO-BN dimana Datok Dr Abdullah Fadzil Che Wan telah memenangi kerusi tersebut di atas tiket UMNO untuk 3 penggal berturut-turut, 1990 (maj: 7,213), 1995 (maj: 15,154) dan 1999 (maj: 5,101).

Pada PRU11 2004, kerusi tersebut telah diserahkan kepada Gerakan dimana calonnya Tan Lian Hoe telah menewaskan calon PAS Dr Lo'Lo' Mohamad Ghazali dengan majoriti 6,702 undi.

Keadaan berubah pada PRU12 2008 dimana kerusi Bukit Gantang buat pertama kali dimenangi oleh calon PAS Roslan Shahrum yang berjaya mengalahkan Bendahari UMNO Pusat, Mohamad Azim bin Mohamad Zabidi dengan majoriti 1,566.

Dan ianya dimantap dengan keputusan pilihanraya kecil semalam dimana Mohamad Nizar berjaya mengalahkan calon UMNO-BN, Ismail Safian dengan meraih majoriti sebanyak 2,789.

Dari segi undi menurut pecahan dewan undangan negeri, Pakatan Rakyat menang di dua DUN, Kuala Sepetang dan Changkat Jering tetapi masih tewas di Trong.

N 13 Kuala Sepetang: BN 6,259 undi Pas 8,469 undi.
N 14 Changkat Jering: BN 8,208 undi, Pas 9,897 undi.
N 15 Trong: BN 4,345 undi, Pas 3,441 undi.

Di Trong Pakatan rakyat menang di Pekan Trong, Trong Barat, Air Terjun, Sg Rotan dan Kuala Trong manakala di Pulau Pasir Hitam Pakatan Rakyat dan BN seri.

Peratusan saluran 4 dan 5 yang mewakili pengundi muda menunjukkan peningkatan bagi Pakatan Rakyat di kebanyakan peti undi menandakan golongan muda mahukan perubahan kepada sistem politik yang di amalkan Umno dan BN selama ini.

Dengan senario kebangkitan rakyat yang masih terasa kini disamping penerimaan masyarakat bukan-Melayu terhadap PAS berbanding musim-musim pilihanraya yang lepas-lepas, Bukit Gantang tidak mungkin lagi boleh menjadi kubu kuat UMNO, sebaliknya telah bertukar menjadi kubu kuat PAS pula.

Tiada ulasan: