8 Apr 2009

BUKIT GANTANG : Derhakakah 20 ribu Pengundi Nizar?

Patik sembah derhaka sekalipun ada pihak keterlaluan memutar-mutar lafaz patik untuk kepentingan politik mereka.

Ampun tuanku beribu-ribu ampun.

Rasanya telah pun sampai ke pengetahuan Tuanku berdua, Sultan Azlan Shah dan Raja Nazrin tentang berita kemenangan Datok Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan kekalahan calon UMNO-BN di pilihanraya kecil Bukit Gantang semalam.

Dan ini adalah kali ketiga patik menulis untuk istana, agar menerima sembah patik yang hina untuk dibubarkan dewan undangan negeri Perak agar dingin segala bahang yang ada di negeri Perak tercinta.

Di dalam tulisan pertama bertajuk, Benarkah Sultan Azlan Sebodoh dan Sezalim Itu? patik ada menyatakan:

bahawa baginda adalah terbijak dan terpandai dari sekalian raja-raja, mana mungkin Sultan Azlan memerintah mengikut hati sedangkan titahnya di atas mempamirkan keluhuran sebenar akal budi seorang raja.

Sambil memetik titah anakanda Tuanku, Raja Nazrin Syah:

"Bahawa selagi rakyat menaruh kepercayaan terhadap Raja dan menghormati Institusi Raja, selagi itulah takhta tidak akan dipindahkan dari istana ke muzium;.... Bahawa takhta juga tidak boleh lari dari hukum Allah, hukum yang ditetapkan ke atas seluruh umat manusia tanpa mengira Raja atau rakyat"

Dan patik menyudahinya dengan:

Namun, jika benar Tuanku mengikut hati bukan akal, ertinya Tuanku sendiri menumbangkan institusi raja - jangan disesal beban menjalar, jangan disalahkan ibu mengandung lantaran dilahirkan dari kerabat diraja kerana mengalihkan istitusi raja ke muzium seperti yang diminta.

Apa yang berlaku di dalam tulisan patik yang kedua Kezaliman Tuanku Dikenang Selama-lamanya! nampaknya seperti menjadi kenyataan dimana kini rakyat berpecah diantara mereka, Si Tuah dan Si Jebat - tidak ada yang menderhaka tetapi kerana fitnah yang bersifat adu-domba!

Di mahkamah sekarang ini belakulah seperti yang dijangka:

Pedang sebilah di tangan kanan
Telur sebiji di tangan kiri
Beduk selaras di bahu kanan

Dengan membuang songkok, membuang songkoklah,
Dengan membuang keris, membuang kerislah

Menyinsing-nyinsing lengan baju
menyinsing-nyinsing pesak seluar


Ampun Tuanku beribu-ribu ampun

Rakyat Tuanku kecewa kerana Tuanku telah menolak sembah derhaka Nizar yang merayu kepada Tuanku untuk dibubarkan dewan undangan negeri Perak agar rakyat diberi peluang menyatakan hasratnya, dihormati haknya di dalam sebuah negara yang menjunjung tinggi amalan demokrasi.

Sekalipun hasrat itu tidak kesampaian dan Tuanku enggan mendengarnya, rupa-rupanya Allah Maha Mendengar dan Maha Penyayang kepada hamba-hambaNya, maka dibawa pulang seorang dari sekalian hambaNya, Roslan Shahrum namanya agar rakyat dibeirkan peluang untuk menyatakan suaranya kepada Tuanku dan sekalian mereka yang angkuh berkuasa di kerajaan pusat.

Hasilnya, bersuaralah pengundi Bukit Gantang - 21,860 daripada yang keluar semalam berdiri teguh di belakang menteri besar yang Tuanku arahkan meletakkan jawatannya.

Malah bukan itu saja, Nizar yang bukan raja itu diberikan sambutan percikan bunga api untuk warga Taiping menjadi saksi bak kata nenek kebayan:

Kayu kelat tempatnya ular
Mal'un menjulur minum di bajan
Di dalam kelat tampaklah kilau
Nyatalah awan mengandung hujan


Derhakakah pula patik-patik yang 21,860 orang ini kerana membela Nizar tetapi tidak istana?

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun

Sekali lagi kami merayu agar Tuanku membubarkan segera dewan undangan negeri untuk menyelamatkan warga Perak dari terus bersengketa, untuk kami tentukan sendiri menteri besar kami yang sebenarnya.

2 ulasan:

bukit teluk sera berkata...

a wise letter from a humble man to a wise king. the king and his people is one. that is power.

lacking support from any of it, our great country will be a history.

o king, we plead you for a re-election.

just that simple.

inas berkata...

salamun 'alaik...

sultan yg pelik.