24 Ogo 2016

Jangan Lupa Sertai Himpunan #TangkapMO1 Sabtu Ini

Pakatan Harapan seru orang ramai sertai himpunan ‪#‎TangkapMO1‬ Sabtu ini

Majlis Presiden Pakatan Harapan menyuarakan sokongan penuh kepada program #TangkapMO1 anjuran anak muda dan mahasiswa yang akan berlangsung pada Sabtu ini, 27 Ogos.

Dalam satu kenyataan media hari ini, badan tertinggi Pakatan Harapan itu menggesa seluruh rakyat Malaysia yang memegang teguh keadilan dan kebenaran untuk turut bersama-sama menyertai program berkenaan.


Menurut kenyataan Majlis tersebut, isu laporan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) berkaitan dakwaan kecurian berbilion ringgit wang rakyat oleh beberapa individu termasuk ‘Malaysian Official 1’ serta kemasukan AS$731 juta ke dalam akaun peribadi beliau mesti dipandang serius.

“Pada masa sama, kenyataan bercanggah oleh anggota-anggota Kabinet mengenai identiti MO1 serta keengganan pihak berkuasa termasuk PDRM untuk mengenalpasti MO1 amat merisaukan dan menjejaskan integriti pentadbiran kerajaan.

“Dalam sejarah negara malah dunia, apabila berlaku krisis kepimpinan atau kesusahan nasional, jika golongan lain dalam masyarakat berdiam diri atau keliru, lazimnya anak muda dan mahasiswalah yang mara mencetuskan angin kebangkitan ke arah perubahan positif,”
katanya.

Dalam pada itu, Majlis Presiden Pakatan Harapan turut membantah keras tindakan intimidasi dan menakut-nakutkan oleh pihak berkuasa terhadap penganjur dan penyokong kempen #TangkapMO1 tersebut.

Ia termasuklah perintah reman tiga hari ke atas tiga aktivis mahasiswa, iaitu Muhammad Luqman Nul Hakim Zul Razali, Luqman Hakim dan Ashraff Nazrin yang mempromosi kempen itu di UiTM Seri Iskandar, Perak baru-baru ini.


“Kami yakin dan percaya bahawa usaha anak muda dan mahasiswa ini akan mendatangkan hasil positif dalam menyelesaikan misteri siapa Malaysian Official 1 itu,” jelasnya.

Kenyataan media itu ditandatangani oleh Pemangku Pengerusi Kebangsaan DAP, Tan Kok Wai, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.


‘Satu dunia tahu kita dirompak, kenapa kita masih rileks?’

Jurucakap himpunan #TangkapMalaysianOfficial1, Anis Syafiqah Md Yusof pelik dengan sikap rakyat yang tidak mempeduli sedangkan 'seluruh dunia tahu bahawa negara ini telah dirompak’.

Dalam sebuah rakaman video yang dimuat-naikkan oleh Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan hari ini, Anis dipaparkan dikelilingi oleh rakan-rakan aktivis pelajar dan anggota polis di luar kampus UiTM Seri Iskandar berhampiran Ipoh, Perak.

Memulakan ucapannya, Anis berkata, beliau dan rakan-rakannya mahu ke kampus berkenaan untuk menyampaikan maklumat berhubung Malaysian Official 1 (MO1) tetapi tidak dibenarkan untuk berbuat demikian.

Katanya, kempen kumpulan itu yang adalah untuk menggesa pihak berkuasa menangkap MO1, sedangkan polis tidak melakukan apa-apa apabila adalah jelas bahawa wang negara telah dirompak.

“Kenapa polis tak nak tangkap perompak yang terang-terang merompak duit rakyat Malaysia. Duit mahasiswa, duit polis, polis juga rakyat Malaysia.

“Kenapa tak mahu fokus kepada perompak yang besar itu, kenapa nak fokus kepada kami yang kecil ini. Kami ini kecil, bukan siapa-siapa (pun), tak berbahaya

“Saya tak bawa apa-apa senjata pun, hanya bawa sekeping kertas untuk bagi tahu kawan-kawan di dalam (kampus),” kata Anis seperti yang dilihat dalam klip video yang dirakamkan Sabtu lalu.

Apa yang bermula sebagai ucapan jinak bertukar menjadi berapi-api apabila Anis mendakwa bagaimana wang berbilion-bilion ringgit disalahgunakan sedangkan wang berkenaan boleh digunakan untuk membiayai biasiswa untuk pelajar.

“Berapa orang boleh dapat manfaat itu. Takkan kita nak biar? Sampai bila kita nak biar perompak ini bersenang-lenang guna duit kita?

“Bayangkan kalau rumah kita masuk perompak lepas itu kita buat laporan polis (tetapi) polis tak boleh nak buat apa-apa. Apa yang kita rasa?” katanya.

Aktivis pelajar itu menjelaskan bahawa beliau bukannya datang untuk sengaja menimbulkan kekecohan mahupun memalukan dirinya tetapi atas kesedaran sebagai seorang rakyat.

“Saya nak bagi tahu kawan-kawan supaya kita kena sedar. Satu dunia dah tahu kita dah kena rompak, kenapa kita boleh relaks lagi,” katanya. Himpunan #TangkapMalaysianOfficial1 dijadualkan pada 27 Ogos ini yang bertujuan untuk memberi tekanan kepada pihak berkuasa supaya menangkap dan mendakwa ‘MalaysiaOfficial 1'.

Individu yang dirujuk sebagai 'Malaysian Official 1' itu dinamakan dalam saman Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat untuk merampas aset yang didakwa dibeli menggunakan dana daripada 1MDB.

DOJ percaya dana AS$3.5 bilion diseleweng dari 1MDB dan sekurang-kurangnya AS$ 731 juta berada di akaun bank 'Malaysian Official 1'.


VIDEO BERKAITAN





FEATURED ADS


6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Insya Allah kami akan bersama,,,,, tolong sebarkan maklumat ini kepada orang ramai.

Tanpa Nama berkata...

mohon hadi datang sekali untuk memeriahkan majlis..

Tanpa Nama berkata...

Tangkap perompak,pencuri,penyamun, penyonglap duit rakyat.

Unknown berkata...

Salam:

Insyallah,I'll be there...

Tanpa Nama berkata...

Hadi?....hehehahahoho

Tanpa Nama berkata...

Benarkah #TangkapMO1 tidak memberi kesan ?

Najib tidak akan berganjak sedikit pun.


Ada benarnya kerana tindakan mengikut undang-undang telah di buat tapi hasilnya, pemimpin UMNO dan BN diikuti oleh PAS terus membiarkan Najib memalukan rakyat. Mereka langsung tidak risau bagaimana untuk mendapatkan semula wang rakyat yang di beku kan oleh DoJ.

Kita perlu turun demi maruah kita. Kita ialah Rakyat Malaysia ! Walau pun #TangkapMO1 tidak berkesan ke atas Najib namun kita mesti selamatkan maruah kita.

Jika tidak .. apalah lagi yang tinggal ?